DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Rabu, November 30, 2011

BSK 261. Mak Oren

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita sering terdengar atau terbaca laporan kes bunuh membabitkan ibu-bapa. Pembunuhan ibu-bapa oleh anak-anak sendiri. Terbaru kes seorang anak mengelar leher ibunya yang membawa maut.

Kita juga sering terdengar dan terbaca kes-kes buang bayi oleh remaja-remaja. Ada bayi-bayi yang terselamat dan ramai juga yang kehilangan nyawa.

Kita juga sering terdengar dan terbaca kes-kes pecah amanah, rasuah, pembaziran dana rakyat dan sebagainya. Apa akan terjadi kepada anak-anak yang makan dari hasil tersebut?

Kami tidak mahu menyentuh isu-isu berkenaan, tetapi kami sebenarnya ingin berkongsi cerita mengenai seekor ibu kucing bersama anak-anaknya.

No1732

Kami gelar ibu kucing ini Mak Oren. Kucing ini telah melahirkan sembilan anak dari tiga kes mengandung.

Dalan kes pertama kucing ini melahirkan seekor anak berwarna oren. Kebetulan dilahirkan semasa musim bolasepak Piala Dunia 2010 dulu. Kami namakan anak kucing ini Oranje, sempena team kegemaran kami, Belanda. Comel anak kucing ini.

Sebab itu ibu kucing ini kami gelar Mak Oren.

Malangnya Oranje tidak hidup lama. Mati tidak berapa lama setelah Belanda tewas kepada Sepanyol di Piala Dunia 2010 itu.

Dalam kes kedua, anak-anaknya dilahirkan kalau tidak silap kami, rasa-rasa kami pada awal tahun 2011. Empat ekor kesemuanya.

Anak-anak dalam kes kedua ini memang comel kerana keempat-empatnya tidak berekor.

Kemana pergi kesemuanya  tidaklah kami ketahui. Mati atau diambil orang, wallahualam.

Yang pasti Mak Oren bersendirian tanpa keempat-empat anaknya.

Yang terkini dilahirkan, tak silap kami dua atau tiga bulan lepas. Empat ekor dan semuanya berekor kontot.

1Perkara yang common tentang anak-anak kucing ini ialah, dilahirkan di tempat yang sama. Kesemuanya comel-comel belaka.

Dicelah-celah periok-periok besar dan besen-besen besar. Di utility area disebelah belakang rumah kami.

Kebiasaan, setelah sebulan dua dilahirkan, anak-anak ini akan dipindahkan ke tempat lain.

Bukan sekali dua dipindahkan tetapi berulang juga. Sekejap kat rumah sebelah. Sekejap di rumah hadapan. Begitulah rutin Mak Oren ini.

Utility area di sebelah belakang rumah kami cuma macam klinik atau hospital sahaja. Anak-anak yang baru terketar-ketar berjalan sudah didischarged dan diangkut ke tempat lain.

Pada hemat kami disebabkan oleh faktor keselamatan dan untuk kemudahan. 

Kedudukan rumah kami lebih tinggi dari rumah sebelah dan semestinya utility area yang dipisahkan oleh pagar dibelakang rumah lebih tinggi dari rumah sebelah.

Sudahlah tinggi, kami bina  dinding menggantikan pagar yang ada, lagi tinggilah Mak Oren perlu melompat untuk masuk dan keluar dari utility area  berkenaan. Untuk mencari makan dan memberi susu pada anak-anak yang baru dilahirkan.

Kami bina dinding kerana tidak mahu terpandang kebawah dan terlihat jiran sebelah memasak atau membuat tugasan di dapur.

Berbalik kat keluarga terkini Mak Oren.

No1733Yang pasti dua ekor sudah tiada. Yang hidup itu dari penelitian kami adalah dua ekor yang paling aggresif diantara empat ekor yang dilahirkan. Dan lebih besar.

Tetapi kami tidak pasti samada yang dua ekor ini juga mampu bertahan.

Kami masih terdengar bunyi mengiau anak-anak kucing ini. Dan masih terlihat Emak Oren mengangkut anak-anaknya kesana kemari mencari tempat selamat.

Tidak pasti sampai bila.

Yang pasti, selagi anak-anaknya masih bernyawa  naluri ‘keibuan’ dalam dirinya akan mempastikan keselamatan anak-anak.

Well….. manusia, makhluk istimewa dan sempurna ciptaan Allah Taala diminta untuk mempastikan keluarga mereka terhindar dan terselamat dari fitnah dunia dan terlebih penting lagi diminta agar menjaga keluarga mereka dari terjerumus kedalam neraka.

Adakah kita melaksanakan saranan dan permintaan dari Allah SWT itu?

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari kejahatan-kejahatan kami sepertimana Engkau jauhkan timur dan barat. Ya Allah, ilhamkanlah kepada kami kecerdikan dan kewarasan dan lindungilah kami dari kejahatan diri kami. Amin.

Wassalam.

Ahad, November 27, 2011

BFK 171. Malaysia 2 Bahrain 3

Bismillah.
Assalamualaikum.

Malaysia kalah lagi di Stadium Bukit Jalil.

Malam ini Malaysia kalah kepada Bahrain. Malaysia 2 Bahrain 3.

Bahrain menjaringkan 3 gol dalam masa 6 minit. Di minit-minit terakhir perlawanan.

bola

Lebih malang Malaysia yang mendahului dengan 2 gol tumbang kepada pasukan Bahrain yang bermain dengan 10 pemain sahaja. Huhu.

Banyak alasan yang diberikan. Kepenatan adalah faktor utama. Kepenatan kerana menumbangkan Indonesia dalam perlawanan akhir Sukan Sea baru-baru ini.

Valid atau tidak alasan yang diberikan, terpulang.

Persoalannya?

Masih adakah harapan Malaysia ke Olimpik?

Nampak gaya tersangatlah tipis!

Wassalam.

BFK 170. Selamat Tahun Baru 1433H.

Bismillah.
Assalamualaikum.

Bukit

Hari ini 01 Muharram 1433H bersamaan 27 November 2011.

Umat Islam menyambut tahun baru berbeza dengan sambutan tahun baru bukan Islam atau tahun masehi.

Sambutan untuk menyambut tahun baru 1433H diadakan semalam, 30 Zulhijjah 1432H. Kebanyakan sambutan diadakan di surau-surau dan masjid-masjid.

Dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib. Bacaan doa awal tahun pula setelah masuk waktu Maghrib. Ada juga yang membaca setelah selesai solat Maghrib.

Bacaan doa akhir dan awal tahun ini diamalkan secara meluas di Malaysia.

Tetapi ramai juga yang mengatakan bacaan doa ini amalan bidaah.

Kedua-dua pihak memberikan hujah masing-masing.

Pada kami doa merupakan senjata ampuh orang mukmin. Kita meminta dan memohon direct kepada Allah Taala. 

Well….. sebelum Maghrib semalam kami menyertai ahli-ahli kariah taman kami menyambut sambutan tahun baru 1433H di surau.

Selamat menyambut Tahun Baru 1433H dan semoga Allah Taala memberi rahmatNya kepada kita semua.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, bentangkanlah kepada kami sebahagian daripada keberkatanMu, rahmatMu, kelebihanMu dan rezekiMu. Ya Allah, kami memohon nikmat yang berterusan yang tidak akan hilang selama-lamanya. Ya Allah, kami memohon kenikmatan pada hari kesusahan dan keamanan pada hari ketakutan. Amin.

Wassalam.

Sabtu, November 26, 2011

BFK 169. Majlis sana sini Disember 2011

Bismillah.
Assalamualaikum.

November 2011. 1Bulan yang padat dengan majlis bacaan Yassin. Majlis bacaan Yassin selalunya akan diiringi oleh tahlil, doa arwah dan doa selamat.

Majlis diadakan pada malam Jumaat dan kekadang malam Ahad. Ada yang diadakan di surau dan ada yang di kediaman sendiri.

Pada perkiraan kami majlis terakhir untuk November 2011 adalah pada malam ini.

Hari ini 30 Zulhijjah 1432H bersamaan 26 November 2011.

Akan diadakan majlis sambutan tahun baru 1433H kat surau. Bacaan doa akhir tahun dan awal tahun. Diadakan juga bacaan Yassin untuk memenuhi waktu menunggu Isya.

Selepas itu ada 1lagi majlis bacaan Yassin di rumah salah seorang bilal surau kami.

Majlis itu rasanya menutup tirai tahun 1432H dan bulan November 2011.

Disember 2011. Padat juga bulan ini.

Dimulakan pada 03 Disember 2011.

Ada 2 jemputan majlis perkahwinan. 1 di PD dan 1 kat taman kami ini. Di PD rakan se haji. Kat taman, memang jiran le.

Hari tu juga kena rewang kat kampong wife. Adik ipar buat kenduri majlis berkhatan 2 anak lelaki dia. Besar-besaran ni. Berkampong dari hari Jumaat, 02 Disember 2011. Majlis pada hari Ahad, 04 Disember 2011. Wong jowo ni! Hmm…..

Malam pula ada majlis bacaan Yassin kat rumah bendahari surau.

Pening juga 03 Disember 2011 ni! Boleh terkejar sana sini. Haru dibuatnya.

No1672

11 Disember 2011 majlis perkahwinan anak perempuan jiran setaman. Sebelah malam majlis pernikahan dan majlis bacaan Yassin.  11 Disember 2011 majlis persandingan.

18 Disember 2011 majlis perkahwinan anak lelaki jiran (sipi-sipi) depan rumah.

22 Disember 2011, majlis bacaan Yassin di rumah imam 1.

Selepas tarikh tu tak pasti lagi.

Cumanya kami sudah menerima jemputan mulut dari jiran corner lot kami.

Majlis perkahwinan anak perempuan dia pada 01 Januari 2012.

Itu kira pembukaan untuk tahun 2012.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon sebab-sebab untuk mendapat kerahmatanMu dan keazaman yang banyak untuk mendapat keampunanMu. Kami memohon Ya Allah keuntungan dari segala kebaikanMu dan keselamatan dari segala jenis dosa. Ya Allah, jangan biarkan diri kami berdosa melainkan Engkau ampunkannya, jangan biarkan diri kami susah hati melainkan Engkau lepaskannya, jangan biarkan diri kami berhajat melainkan Engkau tunaikan, dengan berkat rahmatMu. Amin.

Wassalam.

Khamis, November 24, 2011

BFK 168. Ok? OK!

Bismillah.
Assalamualaikum.

Hari ini hari ke7 anak bongsu kami menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anak bongsu

Dari hari pertama hingga hari ke6, kami bertanya soalan yang sama kepada anak bongsu kami yang seorang ini.

Macamana periksa? Ok?

Jawapan yang kami perolehi, padat dan ringkas. OK!

Tapi hari ke6, jawapannya sedikit berlainan. Susah!

Semalam hari ke6, kertas matematik tambahan atau add maths.

Kami memahami perasaan si bongsu tu.

Kami sendiri pernah mengambil kertas itu dulu. Dah lama sangat dah, semasa peperiksaan itu dinamakan Malaysia Certificate of Education (MCE). Tahun 1978.

Hari ini, 24 November 2011, hari ke7, satu lagi subjek yang cukup mengujakan. Fizik!

Setiap hari kami berdoa memohon Allah SWT memberi ketenangan dan kefahaman kepada anak bongsu kami. Ketenangan semasa membaca soalan dan memahami kehendak soalan. Terutama sekali ketenangan semasa memberikan jawapan.

Insyaallah boleh.

Selain fizik hari ini, kertas lain yang anak bongsu kami belum duduki ialah untuk subjek kimia, perakaunan dan ekonomi.

Berat juga rasanya. Hmm…..

Well….. kita boleh meminta dan memohon. Semoga diperkenankan oleh Yang Maha Penyayang.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, berlemah-lembutlah kepada kami dalam memudahkan segala yang susah. Kerana sesungguhnya memudahkan segala yang susah bagiMu adalah mudah. Dan kami memohon kemudahan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin.

Wassalam.

Isnin, November 21, 2011

BSK 260. NFC Projek Lembah Daging Gemas

Bismillah.
Assalamualaikum.

Semalam kami menghantar anak ke3 balik ke UiTM Segamat. Kami mengikut jalan biasa. Seremban-Simpang Ampat-Gemas dan terus ke UiTM.

Semasa memandu, tidak pasti dimana, tetapi sebelum sampai Gemas kami terlihat sebuah papantanda disebelah kiri jalan yang terpampang NFC. Dah comot papantanda tu.

NFC….. NFC….. NFC….. macam familiar je. 

Dekat semint dua baru teringat.

National Feedlot Corporation! Pusat Fidlot Kebangsaan! Projek Lembu!

Tajuk terhangat kebelakangan ini. Banyak isu yang ditimbulkan.

National Feedlot Corporation (NFC) atau Pusat Fidlot Kebangsaan ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan penggantungan negara kepada pengimportan daging dari luar negara.

lembu 2

Syarikat Agro Science Industries Sdn Bhd – salah sebuah daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjayakan Pusat Fidlot Kebangsaan – telah diberikan sejumlah pinjaman daripada RM250 juta yang diperuntukkan dan juga geran sebanyak RM6 juta melalui kementerian pertanian.

Ada pihak mengatakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menetapkan sasaran supaya Pusat Fidlot Kebangsaan menyediakan sebanyak 276,000 ekor lembu fidlot setahun.

Dakwaan itu dikatakan boleh dilihat melalui kertas dasar projek berkenaan yang diletakkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

"Mengikut RMK9, projek itu perlu ternak sekurang-kurang 60,000 ekor lembu, bina satu ladang komersil bebas dengan 20,000 ekor lembu setiap tahun, dan juga bina 310 ladang satelit dengan 600 ekor setahun (setiap ladang)," kata pihak itu lagi.

Tambah pihak itu lagi, jumlah sasaran bilangan lembu itu juga selari dengan jumlah sasaran bekalan daging yang ditetapkan untuk Pusat Fidlot Kebangsaan – sebanyak 50,000 tan daging menjelang 2009 atau 40 peratus daripada permintaan daging Malaysia.

Menteri yang berkaitan dalam jawapannya di Dewan Rakyat semalam berkata projek berkenaan tidak menemui kegagalam memandangkan syarikat Agro Science berjaya membekalkan sejumlah 8,016 ekor lembu sepanjang 2008 hingga 2010.

National Feedlot Corporation (NFC) dikaitkan dengan suami dan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Sasaran membekal sebanyak 276,000 ekor lembu setahun. Jumlah sebenar yang dibekalkan 8,016 ekor lembu sepanjang 2008 hingga 2010.

Memang tersasar jauh dari sasaran. Amatlah jauhnya.

Dalam kekalutan isu projek lembu tersebut ada gesaan dari Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang juga timbalan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan.

Namun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan  berkata:

“Seruan Bung itu saya fikir tak perlulah sangat. Soal-soal sebegini khusus di kalangan kita sama kita (sesama Umno) kerana ia tidak secara langsung menyatakan Shahrizat terlibat.

"Sebenarnya, ini soal operasi perniagaan yang diuruskan oleh keluarga tetapi Shahrizat sendiri tidak terlibat," katanya.

Dilaporkan juga Muhyiddin adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek lembu itu diserahkan kepada keluarga Shahrizat.

Mungkin benar Shahrizat tidak terlibat secara langsung dalam menguruskan projek itu. Suami dan anak-anak beliau yang menguruskannya. Tetapi itu projek keluarga.

Beliau tinggal sebumbung malah sebilik dengan pengurusan atasan projek berkenaan. Adakah beliau tidak diberikan feedback terkini mengenai status projek itu?

Sebagai seorang pemimpin negara yang berintegriti tidakkah beliau peka dengan status dan halatuju projek yang menggunakan dana rakyat?

Sebagai ahli keluarga, tidakkah beliau memberi pandangan dan nasihat bahawa mereka perlu berhati-hati dengan perbelanjaan yang digunakan dengan dana rakyat kerana ianya 1amanah yang telah disanggupi oleh keluarga beliau?

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah At-Tahriim: ayat 6)

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam
kitab-kitab Zabur dan Injil) melaui lidah nabi Daud dan nabi Isa ibni
Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan munkar ( derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk-nya apa yang mereka telah lakukan”. (Surah Al-Maidah, ayat 78-79)

“Demi diriku di bawah kekuasaan Allah, hendaklah kamu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran atau ditakuti bahawa Allah akan menurunkan ‘azab dan bala’. Kemudian kamu berdoa kepada Allah dan Allah tidak akan menerima (permohonan) kamu lagi ” . (HR at-Tirmizi)

“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan lidah, jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun yang demikian ini adalah selemah-lemahnya”. (HR Muslim)

Sebagai seorang ahli keluarga dan terlebih lagi seorang pemimpin beliau seharusnya lebih memahami bahawa menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar itu perlu, terutama kepada keluarga dan kaum kerabat.

Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. (Surah Asy-Syu’araa’: ayat 214)

Pembaziran dana rakyat semakin berleluasa. Dilakukan oleh segenap lapisan, dari peringkat bawahan sehingga peringkat tertinggi. Terbukti dari laporan tahunan Ketua Audit Negara.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kepadaMu kecintaanMu dan kecintaan orang yang cinta kepadaMu. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan-kebaikan yang diminta oleh nabiMu Muhammad SAW dan kami meminta perlindungan denganMu dari kejahatan yang nabiMu meminta perlindungan darinya. Engkaulah tempat kami meminta, Engkaulah yang menyampaikan dan tiadalah sebarang kekuatan melainkan kekuatan dengan pertolongan Allah. Amin.

Wassalam.

Rabu, November 16, 2011

BFK 167. Selamat datang 1433H

Bismillah.
Assalamualaikum.

Rasanya entry ini tidak terlalu awal.

Beberapa hari lagi kita akan menyambut tahun baru 1433H atau Awal Muharram.

Di Malaysia kita akan menyambut 01 Muharram 1433H pada hari Ahad bersamaan 27 November 2011.

Cuba imbas kembali perkara-perkara penting tahun 1432H.

Sebelum itu. Sebagai umat Islam, kita berikrar dengan lidah dan kita yakini dalam hati. Dan dibuktikan dengan perbuatan. Jadinya…..

Solat! Sudah mampu solat berjemaah?

Puasa! Sudah cukup berpuasa sebulan Ramadan?

Zakat! Sudah mampu untuk mengeluarkan?

Haji! Sudah mampu dari segenap aspek untuk pergi?

Tahun 1432H sudah hampir sangat nak berlalu. Jangan kita terlalu banyak berfikir mengenainya lagi.

Fikirkan pula apa yang perlu dilakukan diambang tahun baru dan tahun 1433H itu sendiri.

Pada hari Sabtu, 30 Zulhijjah 1432H bersamaan 26 November 2011, beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib hendaklah dibaca  doa akhir tahun 1432H.

Doa akhir tahun:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji hanya bagi Allah Tuhan Pemerintah sekelian alam. Rahmat dan kesejahteraan Allah ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan larangan-laranganMu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak redha dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepada ku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat daripada kesalahan-kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dari Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redhai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah Ya Karim Ya Zal Jal Al Liwal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda juga para sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.

Pada hari Sabtu, 30 Zulhijjah 1432H bersamaan 26 November 2011 juga, setelah menyempurnakan solat fardhu Maghrib hendaklah dibaca  doa awal tahun 1433H.

Doa awal tahun:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji hanya bagi Allah Tuhan Pemerintah sekelian alam. Rahmat dan kesejahteraan Allah ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agung dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, kuncu-kuncunya, tentera-tenteranya dan penolong-penolongnya dan memohon perlingungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda juga para sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.

Di tahun baru tingkatkan sedikit kemampuan.

masjid

Sudah mampu untuk berjemaah. Mungkin tidak dapat untuk bersolat berjemaah pada kelima-lima solat fardhu. Usahakan agar dapat bersolat Isyak dan Suboh berjemaah. Fadilatnya seolah-olah bersolat sepanjang malam. Boleh juga try bangun malam dan bersolat sunat.

Sudah berpuasa genap sebulan Ramadan. Cuba sambung untuk berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Fadilatnya seumpama  berpuasa setahun. Cuba-cuba puasa sunat Isnin dan Khamis. Banyak kebaikannya. Bertekad untuk bersolat terawih genap sebulan Ramadan. Perbanyakkan amalan pada 10 malam terakhirnya.

Jika sudah cukup syarat-syaratnya keluarkan zakat. Tunaikan ibadah haji jika sudah berkemampuan dari segala aspek.  Kudrat muda lebih mudah untuk mengerjakan haji.

Perbanyakkan bersedekah, membaca Quran dan berzikir.

Cuba-cubalah.

Berkaitan dengan bulan Muharram, banyak amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan di bulan itu.

Disunatkan berpuasa Tasua’ iaitu hari yang kesembilan Muharram dan ‘Asyura iaitu hari kesepuluh Muharram.

Ada yang berpuasa 9 dan 10 Muharram. Ada juga yang berpuasa dari 1-10 Muharram. Tidak ada masalah.

Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun.

Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.

Dalam bulan ini juga disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin, melebihkan perbelanjaan untuk keluarga, membuat kebaikkan kepada anak yatim, berzikir, berselawat dan banyak lagi amalan lain.

Insyaallah, cuba membuat yang terbaik dan ikhlas melakukannya.

Selamat tahun baru 1433 Hijrah dari kami sekeluarga.

So….. segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Ya Allah kami memohon sebab-sebab untuk mendapat kerahmatanMu dan keazaman yang banyak untuk mendapat keampunanMu. Kami memohon Ya Allah keuntungan dari segala kebaikanMu dan keselamatan dari segala jenis dosa. Ya Allah, jangan biarkan diri kami berdosa melainkan Engkau ampunkan, jangan biarkan diri kami susah hati melainkan Engkau lepaskannya, jangan biarkan diri kami berhajat (yang Engkau redha padanya) melainkan Engkau tunaikan, dengan berkat rahmatMu. Amin.

Wassalam.

Isnin, November 14, 2011

BSK 259. Rakyat diingat waspada fitnah terhadap Hj PM dan hajjah

Bismillah.
Assalamualaikum.

Ingatkan sudah reda perihal ibadah haji yang dikerjakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri tercinta beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Terbaru Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Md Zin mengingatkan rakyat agar berwaspada dan rakyat diingat tak terpengaruh fitnah yang dilemparkan oleh pelbagai pihak yang ingin meraih simpati untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 dan seterusnya memerintah negara.

Beliau juga dilaporkan berkata pihak yang ingin memenangi pilihan raya kini semakin terdesak hingga sanggup berbuat apa sahaja termasuk mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.

Terbaru katanya pihak-pihak berkenaan membuat tuduhan dengan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang pulang awal selepas selesai mengerjakan wukuf di Arafah sebagai tidak sah dan gagal mengerjakan haji.

Bila sesuatu isu itu telah reda, janganlah pula kita selongkar dan bangkitkan semula.

Rakyat mungkin sudah menerima penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai isu haji PM dan isteri.

Bila dibangkitkan semula terasa semacam ada sesuatu yang tidak kena.

Renungkan kata-kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Md Zin seperti dilaporkan:

“Katanya, terbaharu pihak-pihak berkenaan membuat tuduhan dengan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang pulang awal selepas selesai mengerjakan wukuf di Arafah sebagai tidak sah dan gagal mengerjakan haji.”

ArafahPulang awal selepas selesai mengerjakan wukuf di Arafah. Pulang ke tanah air?

Pulang tanpa:

  • Mabit di Muzdalifah dan berangkat ke Mina
  • 10 Zulhijjah melontar jamrah Aqabah dan tahallul awal
  • 11, 12 dan 13 Zulhijjah mabit di Mina dan melontar jamrah Ula, Wustho dan Aqabah
  • Tawah ifadhah dan sa'i (sudah sa'i ketika tawaf qudum tidak perlu sa'i lagi)
  • Tahallul tsani

Wallahualam.

Yang baik dari Allah dan yang serba kekurangan dari diri kita sendiri.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon rasa takut kepadaMu, baik dalam kami bersendirian atau bersama orang ramai. Ya Allah, kami memohon kata-kata yang benar dalam keadaan kami redha atau kami marah. Ya Allah, hiasilah diri kami dengan hiasan iman dan jadikanlah kami orang yang memberi petunjuk kepada orang yang mendapat petunjuk. Amin.

Wassalam.

Ahad, November 13, 2011

BSK 258. Tugas mudah guru di experimen bekerja sembilan jam

Bismillah.
Assalamualaikum.

Sessi persekolahan 2012 yang bermula Januari tahun depan menyaksikan guru-guru dan sekolah-sekolah terpilih di empat negeri iaitu Melaka, Johor, Pahang dan Sarawak melalui experimen projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.

Experimen dijalankan berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

Kenapa perlu diadakan experimen tersebut?

Jawapan seperti yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong ialah “bagi melihat sama ada benar pendapat orang ramai bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah”.

Jika diperhatikan, waktu bekerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.

Sembilan jam termasuk waktu 1jam waktu rehat pada perkiraan kami.

Sekarang ini guru-guru sessi pagi memulakan tugas jam 7.30 pagi dan tamat sekitar jam 2.00 petang. Durasi masa enam setengah jam termasuk waktu rehat.

Jika experimen berjalan dengan lancar bermakna tambahan waktu bekerja guru-guru sebanyak dua setengah jam.

Menyamai durasi masa bekerja sektor lain. Dan pada hemat kami durasi dua setengah jam itu tidak dikira OT kerana ianya waktu kerja biasa.

Dilaporkan terdapat sekitar 400,000 guru di seluruh negara pada masa sekarang.

(Laporan penuh: Ka Siong: Guru tak perlu risau dasar kerja sembilan jam.)

Pendapat kami!

Jika satu pihak dari orang ramai menyuarakan pendapat bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah, maka jawapannya pun mudah juga.

Yoda

Pilih beberapa sampel dari pihak berkenaan. Buat penilaian keatas tahap akademik mereka. Buat juga penilaian kepada kekuatan lain yang ada pada mereka. Contoh – kebolehan berpidato, aktif bersukan, mahir berbahasa Inggeris dan sebagainya.

Masukkan mereka dalam kelas express mengajar di UPSI atau maktab-maktab perguruan selama enam bulan.

Jadikan mereka guru-guru sandaran selama enam bulan atau genap 1sessi persekolahan di sekolah-sekolah yang bersesuaian dengan tahap akademik dan kebolehan mereka.

Biar mereka menjalani tugas-tugas guru yang sebenar. Mengajar, menguruskan koko, menguruskan pelajar-pelajar dan tugas-tugas guru yang lain semasa di sekolah dan diluar waktu persekolahan.

Mereka yang menyuarakan pendapat makanya mereka sendiri yang perlu membuktikan bahawa pendapat dan kata-kata mereka adalah benar.

Malangnya guru-guru yang menerima tuduhan pula diexperimen untuk membuktikan bahawa sememangnya tuduhan terhadap mereka dan rakan-rakan guru mereka adalah benar.

Malang! Amat malang nasib guru-guru dan cikgu-cikgu kita.

Simpati kami kepada kakak dan abang ipar kami yang mengajar di Tanjung Malim dan Slim River.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari kegelapan kejahilan dan kelupaan. Terangilah kami dengan cahaya ilmuMu dan jauhkanlah daripada kami kelupaan dengan berkat rahmatMu. Dan jadikanlah kami dari golongan orang yang cerdik. Amin.

Wassalam.

Sabtu, November 12, 2011

BFK 166. Iman dan pentingnya pemimpin yang diredhai

Bismillah.
Assalamualaikum.

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang sempurna dan di muliakan.

Manusia juga adalah makhluk yang dilebihkan oleh Allah atas banyak makhluk-makhluk lain ciptaanNya.

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
(Surah Al-Israak: ayat 70)

Walaupun dimuliakan dan diutamakan namun iman manusia sentiasa turun naik. 

”Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.”
(HR Ibn Hibban)

Turun naiknya iman disebabkan oleh faktor dalaman diri dan juga luaran manusia. Malas mencari ilmu dan mengikut pujukan syaitan sebagai contoh.

Sebab itu kita perlu mencari pendinding atau perisai untuk melindungi diri kita agar sentiasa berada dilandasan yang benar.

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda:

"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (SAW].

Hadis yang agak panjang dalam Berita Harian Online di ruangan Agama bertarikh 11.11.2011. Diriwayatkan oleh Ali.

KATANYA, ingatlah aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Awaslah! Sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar. Aku bertanya: Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab: (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah SWT, ia mengandungi kisah perihal umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah SWT Al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa juga dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya) akan dibinasakan Allah SWT dan sesiapa yang mencari petunjuk dari yang lainnya akan disesatkan Allah SWT; al-Quran ialah tali Allah SWT yang teguh kukuh dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus).

“Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan.

“Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukumnya, adillah keputusannya, dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus.” 

Dunia yang serba canggih menjadikan kehidupan manusia lebih celaru dan kalut.

Manusia perlu kepada pemimpin yang diredhai Maha Pencipta yang  berada diatas landasan agamaNya untuk melepaskan diri dari kecelaruan dan kekalutan.

Kepentingan mencari pemimpin yang diredhai Allah amat penting.

(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. 

Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
(Surah Al-Israak: ayat 71-72)

Kerana di hari kebangkitan kita akan dihimpunkan bersama mereka-mereka yang kita ikuti dan taati. Bahkan kita akan saling berbalah dan salah menyalahkan antara satu sama lain.

Dan orang-orang yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya". Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): "Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman". 

Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa".

Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: "Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan. (Surah Saba: ayat 31-33)

perkuburanKita juga diperintahkan untuk melindungi diri serta keluarga dari terjerumus kedalam neraka.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah At-Tahrim: ayat 6)

Renung-renungkan dan fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan yang melepaskan dari sebarang kesusahan dan kesedihan, Tuhan yang mengabulkan segala doa orang susah, Tuhan yang Maha Pengasih di dunia dan akhirat dan Maha Penyayang, sayangilah diri kami dengan rahmatMu yang mana kami tidak perlu lagi kepada rahmat selain dariMu. Amin.

Wassalam.

Khamis, November 10, 2011

BFK 165. Beberapa hari sebelum Aidil Fitri 1432H lalu

Bismillah.
Assalamualaikum.

Dalam posting terdahulu ada kami sebutkan yang peti derma surau kami telah dirembat kali pertama beberapa hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri 1432H akhir Ogos 2011 lalu.

Rupanya ada cerita berkenaan dengannya sebelum ianya berlaku. Kami pun baru je mengetahuinya.

Seminggu sebelum peti derma di rembat surau kami mengadakan majlis berbuka puasa.

Seorang ahli kariah telah sudi untuk menaja makanan untuk majlis itu.

Pada sebelah petang abang ini telah ke surau untuk mengambil periuk besar dan lain-lain peralatan untuk persiapan memasak dan hidangan.

Setiba disana didapati ada seorang hamba Allah ini sedang mengelilingi surau. Diperhatikan hamba Allah ini seolah-olah sedang mengukur kaki lima surau.

Abang ini pun bertanya pada hamba Allah tu apa je yang sedang dilakukannya.

Hamba Allah ni menjawab yang dia sedang mengukur kaki lima surau. Katanya lagi dia bercadang untuk memasang jubin kat kaki lima surau tu.

Mendengar jawapan itu abang ni memanggil imam dan setiausaha surau.

Hamba Allah itu pun menerangkan kepada ketiga-tiga mereka yang dia baru renovate rumah. Ada berbaki jubin lantai dalam 1ribu keping dalam simpanan dia.

jubin

Sampel jubin pun ditunjukkan.

Teruja ketiga-tiga mereka mendengar kata-kata hamba Allah yang bermurah hati itu.

Sebabnya baru sehari dua karpet surau ditukar baru. Seorang ahli kariah kami juga yang sponsor.

Karpet baru. Kaki lima berjubin. Kira orait le.

Hamba Allah tu berjanji akan datang pada keesokkan hari untuk memulakan kerja-kerja pemasangan.

Well….. tidak ada apa-apa yang berlaku keesokannya. Macam biasa je.

Seminggu selepas itu surau dipecah masuk, mangga peti derma di gergaji dan wang sedekah dirembat.

Mendengar dari yang empunya cerita, hamba Allah ini tidak dikenali. Dari mana? Wallahualam. 

Kami sendiri tidak pasti samada orang yang sama melakukan aktiviti rembat-merembat itu.

Tapinya, jika dia yang melakukannya, seolah-olah dia telah biasa berbuat demikian.

Lokanan dan aksi, pita pengukur serta siap dengan sampel jubin lantai untuk mengelentong (ahli kariah yang kebetulan ke surau diluar waktu solat) memperlihatkan dia mempunyai kemahiran dan keyakinan yang tinggi.

Berkemungkinan besar boleh menjadi juara program Pilih Kasih jika di terima Rosyam Nor. 

Tetapi jika bukan dia yang melakukannya, kami berdoa agar dia cepat bertindak dan melunaskan janji yang dibuat.

Kehidupan manusia di zaman serba canggih-manggih memang sentiasa sibuk.

Ada sahaja perkara atau benda yang hendak disibukkan. Kerana kesibukkan sampai terlupa. Terlupa perkara dan benda yang hendak disibukkannya.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kepadaMu perbuatan yang banyak kebaikan dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang mungkar. Ya Allah ilhamkanlah kepada kami kecerdikan dan kewarasan dan lindungilah kami dari kejahatan diri kami. Amin.

Wassalam.

Rabu, November 09, 2011

BFK 164. Sehari sebelum Aidil Adha 1432H

Bismillah.
Assalamualaikum.

Pada Hari Raya Aidil Adha 10 Zulhijjah 1432H bersamaan 10 November 2011, jemaah taman kami mengadakan ibadah korban. 8 ekor lembu dan 3 ekor kambing.

Terus terang kami katakan memang kami tak berkesempatan nak merakam gambar-gambar semasa ibadah korban itu.

Jadinya kami tak naklah bercerita mengenai hari itu.

Kami nak berkongsi kisah sehari sebelum Aidil Adha 1432H ia itu pada 09 Zulhijjah 1432H bersamaan 05 November 2011.

Jemaah haji sedang bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah dan kita kat Malaysia sedang bersiap sedia untuk menyambut Aidil Adha.

Selepas Subuh, semasa jemaah hendak beredar dari perkarangan surau didapati seekor dari lembu korban tersembam ke bumi.

Kami dan jemaah lain mendapati kepala lembu itu berada dibawah kaki hadapan dalam keadaan tidak dapat bergerak. Tali memang dah terikat dengan ketat keliling leher lembu tu.

Keadaan macam orang bersenam yoga.

Kedua mata dah terbeliak.

Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah pergerakkan yoga lembu itu dapat kami semua meng’unlock’kan.

Tetapi nampak macam sudah tidak berdaya lagi. Tak dengar pun bunyi nafasnya.

Dikatakan lembu sekor ni memang dari dalam lori dah ganas berbanding dengan yang lain.

Nak menurunkannya dari lori pun sukar.

Berbalik kat lembu yoga tu, kelihatannya seolah-olah tak berupaya hendak bertahan hingga esok.

Lembu ini yang akan disembelih paling awal. Lembu nombor 1 diperuntukkan kepada 5 bahagian aqiqah dan 2 bahagian korban.

Dipersetujui, jika didapati haiwan itu tidak dapat bertahan sehingga ke petang dan perlu disembelih petang itu juga maka 2 bahagian korban perlu dan akan ditukar kepada aqiqah.

Jam 7.45 pagi kami dan wife singgah kat surau, nak lihat keadaan number 1 tu.

No1663Alhamdulillah, kelihatan OK je. Tak perlu disembelih. Nampak boleh bertahan hingga esok.

Petang kami ke surau, nampak dah segar number 1. Dah meragut rumput.

Kebetulan setiausaha surau dan siak ada kat sana. Sedang membuat persediaan untuk solat sunat Aidil Adha esok hari.

Kami bantu serba sikit sambil berbual-bual dengan kedua mereka.

Nama pun buat kerja. Berbual dari satu tempat ke satu tempat sehingga sampai kat tiang dimana kotak derma berada.

Ketika berbual, tuan setiausaha ni pegang mangga kat peti derma tu, secara spontan ditarik-tariknya mangga itu.

Terbuka pintu peti derma tu!

Terperanjat kami dibuatnya.

Didapati pemegang mangga dah tertanggal dari badan peti. Ada seperti bekas ketukan kuat di pemegang tersebut yang menyebabkan paterinya tertanggal. 

Isi peti memang dah tiada.

Tuan setiausaha bergegas ke tempat solat wanita.

Bila dibuat penelitian kat tempat peti derma bahagian wanita, didapati pemegang mangga digergaji dan isi peti sudah wassalam.No1664Peti derma kat tempat solat lelaki. pemegang mangga tertanggal dari badan.No1666Peti derma kat tempat solat wanita, pemegang mangga di gergaji.

Ini kali kedua dalam masa 2 bulan kejadian berlaku. Kali pertama beberapa hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri.

Tidak diketahui angkara siapa dibelakang kedua-dua kejadian itu.

Tindakan susulan biarlah ditentukan oleh mereka-mereka yang mentadbir dan memakmurkan surau itu.

Hendak diadakan majlis bacaan Yassin atau dibiarkan begitu sahaja. Terpulang!

Kami doakan semoga sesiapa yang melakukan perkara itu insaf dan tidak melakukannya lagi.

Well….. itu le ceritanya mengenai yang hendak dikorbankan dan yang terkorban sehari sebelum Hari Raya Korban atau Aidil Adha 1432H.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon campakkanlah rasa cukup dengan rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami dan berkatkanlah apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan gantikanlah apa yang telah hilang dari kami dengan sesuatu yang lebih baik di sisiMu. Amin.

Wassalam.

Selasa, November 08, 2011

BSK 257. Bila Hj PM nak selesaikan teka-teki PRU13

Bismillah.
Assalamualaikum.

Perdana Menteri dan isteri dilaporkan telah selesai menunaikan ibadah haji.

Tak sure samada penganalisa pilihanraya berpendapat Hj Perdana Menteri telah mendapat petunjuk dan ilham untuk mengadakan PRU13 dalam masa terdekat ini.

Kerana timbul sekali lagi teka-teki bila ianya akan diadakan.

Bulan 12 atau tahun 2012!

Dan dikatakan tahun 2012 adalah pilihan ramai.

Jika difikir-fikirkan tarikh PRU13 ini boleh dibuat wang besar  oleh kaki-kaki judi.

Berkemungkinan sudah ada sindiket judi yang sudah menerima taruhan besar dari kaki-kaki judi.

Rakyat Malaysia ramai yang kreatif. Lebih-lebih lagi dalam masa kegawatan ekonomi sekarang ini.

Dengan kenaikan harga barangan keperluan. Semakin lama semakin meningkat. Tak turun-turun.

Gaji naik tak?

Pilih wang besar!

Walauapapun PRU13 akan tetap diadakan. Lagi 6 bulan genap 4 tahun kerajaan pusat semasa memerintah. Mandat rakyat pula hanya akan berakhir pada April 2013.

Publisiti yang diberikan kepada Hj PM semasa beliau dan isteri di Tanah Suci boleh memberi impak besar kepada parti pemerintah.

Itu yang membuat ada pihak yang meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan pada bulan 12. Dimana spekulasi parlimen akan dibubarkan pada 11 November 2011.

Pihak yang 1lagi memberi pandangan bahawa bulan 12 merupakan bulan perjanjian antara Hj PM dan rakyat. Segala imbuhan dan ganjaran perlu dilaksanakan dan ditunaikan selewat-lewatnya awal Januari 2012.

Pihak ini mengandaikan PRU13 berkemungkinan Februari atau Mac 2012.

Macam-macam spekulasi dan teka-teki yang diutarakan.

malam

Hakikatnya Hj PM belum boleh meneropong anak bulan pilihanraya dan mengishtiharkan PRU13.

Kemungkinan belum dapat petunjuk.

Kemungkinan belum dapat ilham.

Kemungkinan belum dapat seru.

Kemungkinan belum  dibincangkan bersama Hajjah.

Banyak kemungkinan yang ada.

Tetapi suami isteri kan saling lengkap melengkapkan dan perlu saling bantu membantu. Baru hidup aman bahagia.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, campakkanlah kepada kami rasa benci kepada kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. Dan jadikanlah kami dari golongan orang yang cerdik. Amin.

Wassalam.

Jumaat, November 04, 2011

BSK 256. Wukuf dan kelebihan berpuasa di hari itu

Bismillah.
Assalamualaikum.

Esok, Sabtu, 09 Zulhijjah 1432H bersamaan 05 November 2011 merupakan Hari Wukuf.

arafahSesiapa yang berniat untuk menunaikan rukun Islam yang ke5  mesti berwukuf di Arafah.

Jemaah yang tidak berwukuf bererti tiada haji.

Itulah kepentingan berwukuf di Arafah pada jemaah yang telah berniat haji.

Kepada mereka-mereka selain dari jemaah yang berwukuf di Arafah seperti kita-kita ini digalakkan untuk berpuasa pada hari itu.

Ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT sememangnya amat besar sekali.

Seperti sabda Rasulullah SAW di riwayatkan oleh Imam Muslim bila Baginda ditanya tentang berpuasa di hari Arafah:

“Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”

Sememangnya ibadah sunat yang dilakukan oleh Nabi SAW dan digalakkan kita untuk melakukannya membawa kebaikan kepada umat manusia.

Setiap apa yang diajarkan oleh Baginda kepada kita memberikan ganjaran terbaik, baik puasa sunat, solat sunat, zikir dan lain-lain amalan.

Amal-amalkan.

Selamat berpuasa dan semoga apa yang kita lakukan ikhlas hanya kepada Allah sahaja.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, terimalah daripada kami akan solat kami, puasa kami, permohonan kami dan amalan kami. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Amin.

Wassalam.

BSK 255. Sebab Malaysia masih berisiko menjadi muflis

Bismillah.
Assalamualaikum.

Dikatakan Malaysia menggunakan wang pinjaman untuk membayar kos operasi dan bukan menggunakannya untuk tujuan pelaburan.

Contoh kos operasi yang diberikan adalah subsidi. Mekanisma yang digunakan untuk meringankan beban rakyat.

Dan dikatakan Malaysia masih ada risiko jadi muflis dalam masa 1dekad lagi.

Itu yang dapat kami fahami dari kata-kata Datuk Seri Idris Jala selepas mengumumkan perkembangan terkini mengenai pelaburan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kesian rakyat Malaysia.

Contoh yang diberikan menjadikan rakyat sebagai kambing hitam penyebab utama kemungkinan kemuflisan negara.

Oleh kerana peningkatan pemberian subsidi maka kerajaan dengan sebak hatinya akan terpaksa memperkenalkan dan melaksanakan  cukai baru iaitu GST.

Rakyat juga yang menjadi mangsanya. Lemas kita semua.

Hutang negara meningkat 12.3 peratus untuk mencecah RM407 bilion tahun lalu.

Sementara berbelanja melebih had sehingga mengakibatkan penggunaan peruntukan tambahan pula berjumlah RM3.73 bilion.

Itu berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Laporan tahunan yang dibentangkan menunjukkan peningkatan prestasi.

Peningkatan prestasi pembaziran yang melampau!

No1659

Kamu! Jari terus ditudingkan kepada rakyat.

Kamu menghabiskan peruntukan yang ada. Subsidi itu, subsidi ini, semua subsidi.

Projek pembangunan terbantut. Negara tidak akan dapat mencapai tahap transformasi yang dirancangkan dek kerana subsidi yang terlampau.

Kesalahan dan bebanan semuanya dihempap diatas bahu rakyat.

Rakyat yang bersalah! Yang ‘menguruskan’ dana rakyat berlepas tangan!

Yang ‘menguruskan’ nampak sangat tidak kompeten untuk memegang amanah dan mandat rakyat.

Hakikatnya yang perhabis dan menyeleweng bukan rakyat tetapi ‘pengurus’ yang tidak amanah.

Malangnya tiada tindakan ‘adil’ yang dikenakan kepada mereka-mereka ini. Lepas bebas!

Apa sebenarnya yang rakyat 1Malaysia perolehi dari ketidak pandaian, ketidak amanahan dan ketidak kompetentan yang dipraktikkan oleh ‘pengurus’ dan barisan staf mereka?

Bukannya kesenangan. Keperitan!

Rakyat keperitan untuk melangsaikan hutang dan pinjaman yang dibuat oleh kerajaan dalam bentuk cukai baru, pelupusan subsidi  dan seumpamanya.

Benarkah kata-kata “rakyat sengsara pemimpin bahagia?”

Mereka-mereka yang diamanahkan dan yang sanggup memikul amanah kelihatannya bukan tergolong dari kelompok orang susah atau miskin.

Mereka boleh dikategorikan didalam kelompok ‘well-off society’.

Dan sebelum menuding jari kepada rakyat, pemimpin perlu membuat penilaiaan diri mereka sendiri.

Sudahkah saya transformasi diri saya menjadi pemimpin yang kompeten dan amanah?

Fikir-fikirkan dan faham-fahamkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon perlindungan denganMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dan hati yang tidak khusuk, dari jiwa yang tidak pernah rasa kenyang dan dari doa yang tidak diterima. Ya Allah, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami, terhadap orang-orang yang beriman. Ya Rabb kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang. Amin.

Wassalam.

Rabu, November 02, 2011

BSK 254. Idul Adha 1432H, ibadah haji, qurban dan sembelihan

Bismillah.
Assalamualaikum.

10 Zulhijjah 1432H bersamaan 06 November 2011 umat Islam di negara kita Malaysia akan menyambut Idul Adha.

Bila membicarakan mengenai Idul Adha maka umat Islam tidak dapat lari dari mengaitkan hari itu dengan ibadah haji dan qurban.

Ibadah haji dan qurban pula berkait rapat dengan Nabi Ibrahim A.S. dan keluarga baginda.

Pengorbanan Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail A.S. yang ditinggalkan berdua tanpa bekalan di padang pasir yang tandus. Bagaimana Siti Hajar berikhtiar dan berusaha untuk mencari air untuk puteranya yang kehausan. Berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwa berulang kali.

Peristiwa Nabi Ibrahim A.S. diperintahkan oleh Allah S.W.T. untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail A.S.

Nabi Ismail A.S. patuh dengan ketetapan Allah S.W.T dengan kata-katanya kepada ayahandanya Nabi Ibrahim A.S.:

Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada mu. Engkau akan mendapatiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah."

Kerana ketaataan dan kepatuhan sepenuhnya kepada Pencipta mereka,  maka Allah S.W.T. memberi penghormatan kepada Nabi Ibrahim A.S. dan keluarga baginda.

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima dimana umat Islam yang berkemampuan diwajibkan menunaikannya. Pada Idul Adha pula umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah qurban.

untaPengertian qurban ialah sembelihan binatang seperti unta, kerbau, lembu, kambing dan biri-biri pada Idul Adha atau 3 hari berikutnya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Hukum qurban ialah sunat muakkad atau sunat yang sangat dituntut bagi yang mampu melakukannya.

Hukum qurban kadangkala menjadi wajib dengan sebab-sebab berikut:

  1. Seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang memenuhi syarat untuk dijadikan qurban sambil berkata, "Aku akan qurbankan lembu ini".
  2. Seseorang bernazar hendak melakukan qurban untuk mendampingkan diri kepada Allah S.W.T. dengan berkata, "Aku mewajibkan ke atas diriku berqurban kerana Allah".

Dengan kata-kata seperti di atas maka dia wajib melaksanakan qurban.

Daging qurban pula diagih-agihkan  kepada golongan fakir, miskin atau golongan yang berhak menerimanya daripada kalangan orang Islam sahaja sementara bahagian daging yang diniatkan untuk akikah tidak boleh di makan oleh bukan Islam.

Haram memberi, menghadiahkan atau menjual daging qurban  kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir zimmi.

Ini adalah disebabkan menyembelih binatang qurban itu adalah merupakan ibadat kepada Allah S.W.T.

Sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan, dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.

Kita perhatikan pandangan dibawah untuk rujukan.

Mazhab Syafie berpandangan daging qurban dan akikah tidak dibenarkan diberi kepada orang bukan Islam kerana pemberian tersebut merupakan ibadat kepada Allah.

Di sisi mazhab Hambali, pemberian ini dibolehkan. Melihat kepada suasana hari ini, untuk kepentingan dakwah dan maslahat am seperti di majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh bukan Islam maka tidaklah menjadi satu persoalan besar khususnya untuk menunjukkan betapa indahnya Islam.

Bila kita berkata ‘sembelihan’ maka penting untuk kita mengetahui kebaikkan kaedah penyembelihan Islam.

Hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berlaku ihsan dalam semua perkara. Apabila kamu membunuh maka perelokkan pembunuhan, apabila kamu menyembelih maka perelokkan sembelihan, hendaklah penyembelih itu menajamkan mata alat sembelihannya dan rehatkanlah binatang sembelihannya.”

Proses atau kaedah penyembelihan Islam memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. 

Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul didalam daging.

Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala diceraikan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma.

Seperkara lagi, dari kajian yang dijalankan, didapati daging haiwan yang disembelih mengikut kaedah Islam lebih lembut berbanding daging haiwan yang tidak disembelih.

Indahnya Islam!

Semoga Idul Adha menjadikan kita manusia yang patuh dan taat kepada Allah Taala.

Kerana ketaatan sepenuhnya kepada Allah ada kaitan rapat dengan prestasi ketaqwaan umat manusia.

Ketaatan kepada perintah Allah Taala akan menentukan dan mempengaruhi corak kehidupan kita di dunia.

Terlebih penting kerana ketaatan kepada perintah Allah Taala  akan menentukan nasib kita di akhirat.

Selamat menyambut Idul Adha 1432 Hijrah, maaf zahir batin.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kenikmatan yang tidak akan hilang. Ya Allah, kami memohon penyejuk mata yang tidak putus-putus. Ya Allah, kami memohon perasaan redha ke atas ketetapanMu. Ya Allah, kami memohon kesejukan kehidupan selepas mati. Ya Allah, kami memohon kelazatan memandang ke atas wajahMu dan rindu untuk bertemu denganMu tanpa kemudaratan yang memudaratkan dan fitnah yang menyesatkan. Amin.

Wassalam.

(Sumber rujukan: Jakim dan Suara Masjid)

Selasa, November 01, 2011

BSK 253. Calon Perdana Menteri 1Malaysia terbuka

Bismillah.
Assalamualaikum.

Jawatan Perdana Menteri dikatakan isu yang sensitif di negara kita. Begitu juga jawatan timbalannya.

Sepanjang 54 negara kita merdeka belum ada lagi bukan melayu yang berpeluang menjawat kedua-dua jawatan utama negara itu.

Sedikit masa dulu, kalut 1Malaysia bila pakatan pembangkang mahu melantik bukan melayu untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Jika barisan pembangkang mendapat mandat rakyat.

Kalut parti melayu terbesar dan NGO melayu terbesar 1Malaysia dibuatnya.

Seorang pemimpin parti melayu terbesar yang juga seorang menteri  memberi jawapan (dalam 1temuramah) beliau tidak kisah jawatan itu disandang oleh bukan melayu, asalkan calon itu berkelayakan. 

De facto law minister Datuk Seri Nazri Aziz says he has no problem with a non-Malay prime minister as long as the best man gets the job.

“If it happens that the best person is a non-Malay, so be it,” he told The Edge Financial Daily in an interview published today.

“I cannot say, ‘I’m Malaysian first, but the prime minister must be Malay.’ You can’t have your cake and eat it (too).”

Laporan penuh: Nazri says no objection to non-Malay PM.

Bolehkah digunapakai jawapan yang diberikan?

Kita perlu ‘read between the lines’ jawapan yang diberikan.

Semua pemimpin negara dunia mahu menampilkan imej mereka dan negara mereka sebagai maju lagi terbuka.

Jawapan dari pendapat Datuk Seri Nazri Aziz adalah selari dengan hasrat pemimpin dunia termasuk pemimpin tertinggi negara kita.

Jawapan yang diberikan tidak semestinya perlu digunapakai. Ianya dilihat untuk menjaga ‘air muka’ negara sahaja.

Pemimpin dan juak-juak parti melayu terbesar dan pemimpin dan juak-juak NGO melayu terbesar di Malaysia tidak  mengambil kisah jawapan Datuk Seri Nazri Aziz itu.

Syaratnya pandangan itu mesti terbit dari mulut kedua-dua puak itu. Jika datangnya dari pihak lain, huru-hara! 

Tapi pada hakikatnya sememangnya bukan melayu boleh menjadi PM atau TPM.

Bila rakyat memberi mandat kepada parti yang berpaksikan Islam semua pemimpin berwibawa mereka, melayu dan juga bukan melayu adalah calon PM dan TPM. Kriteria utama adalah Islam.

No1569

Tak perlulah kita melenting atau terkejut jika ada pemimpin parti Islam berkata mereka tidak kisah orang bukan melayu jadi PM tapi syaratnya mesti Islam.

Sekarang ini pula ada pemimpin berkata mentadbir negara seperti menguruskan syarikat. Jawatan PM seumpama CEO.

Well….. jika bukan melayu boleh membawa keuntungan kepada syarikat dan negara mereka berhak dilantik sebagai CEO atau PM.

Terlebih baik jika CEO atau PM yang dilantik itu beragama Islam. Kerana mereka tahu menilai diantara jawatan CEO dan PM.

Kerana jawatan CEO dan PM ada sedikit berbezaan yang ketara.

CEO bertanggungjawab kepada pemegang saham dan pemberi hutang walhal seorang PM kepada Allah SWT dan rakyatnya.

Perbezaan yang amat kecil tetapi membawa impak yang tersangat besar kepada penyandangnya.

Melayu mudah lupa.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari kegelapan kejahilan dan kelupaan dengan berkat rahmatMu. Ya Allah, tambahkanlah ilmu kami dan kurniakanlah kepada kami kefahaman dengan berkat rahmatMu. Ya Allah, terangilah kami dengan cahaya ilmuMu dan jauhkanlah daripada kami kelupaan dengan berkat rahmatMu, wahai Tuhan Yang Penyayang dari segala yang penyayang. Amin.

Wassalam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India