DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Januari 31, 2012

BSK 270. Azizan, AUKU dan KUIN

Bismillah.
Assalamualaikum.

Tindakan pentadbiran KUIN menggantung lima mahasiswa mengikut AUKU mendapat tentangan kumpulan mahasiswa yang turut mendesak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan pendirian rasmi berhubung AUKU, yang mahu dimansuhkan Pakatan Rakyat.

Azizan MB Kedah

Datuk Seri MB Kedah menekankan beliau akur dengan kehendak pentadbiran KUIN menggunakan AUKU bagi menggantung lima mahasiswanya.

Adakah pendirian Datuk Azizan itu salah?

Jika dilihat dari tekanan yang diterima oleh Datuk Seri MB Kedah tu, nampaknya memang beliau dipihak itu.

Betul ke?

Perselisihan akan tetap berlaku. Tabiat manusia. Kira normal le tu. Demokrasi!

Tetapi tidak salah jika Datuk Seri MB Kedah akur dengan apa yang ditetapkan oleh pentadbiran KUIN.

Kerana pandangan, pemikiran dan pegangan politik mereka-mereka yang mentadbir IPT berbagai-bagai.

Seperti juga kelompok mahasiswa, Ada yang pro dan ada yang anti.

BN mentadbir Malaysia dan memperkenalkan AUKU yang masih digunapakai dan belum dimansuhkan. 

Buku Jingga PR pula subjektif. Mungkin berpeluang direalisasikan  dan mungkin juga tidak.

Samada di bakul sampahkan, digunakan  atau diubahsuai terletak di tangan kepimpinan yang dilantik oleh rakyat selepas PRU13 nanti.

AUKU ditolak oleh PR dan majoriti mahasiswa tetapi hakikatnya, suka atau tidak ianya masih ujud dan masih digunapakai sehingga hari ini.

Datuk Seri MB Kedah memberi pentadbiran KUIN untuk membuat keputusan.

Kita perlu hormati keputusan beliau.

Pentadbir IPT dan mahasiswa perlu berlapang dada  dan perlu bertolak-ansur dalam menangani isu AUKU ini.

Mahasiswa dilihat mewarisi kepimpinan dimasa hadapan. Bakat kepimpinan mereka perlu digilap seawal mungkin dan pastinya semasa mereka di IPT.

Pentadbir IPT perlu proaktif dan berfikiran terbuka. Berikan anak-anak bangsa kita ruang untuk menimba ilmu dan mengasah bakat kepimpinan yang ada.

Dengan semangat tolak-ansur diharap IPT dapat memperolehi graduan berbilang kaum yang matang dan berwibawa.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami menyerahkan urusan kami kepadaMu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya. Amin.

Wassalam.

Isnin, Januari 16, 2012

BSK 269. Handsome nyer

Bismillah.
Assalamualaikum.

Hasil satu kajian di Amerika Syarikat sudah tentu akan membuat lelaki yang ‘perasan’ mereka handsome atau tampan atau segak melompat hingga ke langit.

Bangga!

Satu kajian yang dijalankan di Universiti Negeri Pennsylvania menyatakan bahawa penampilan fizikal dan ketampanan seseorang lelaki mempunyai fungsi besar untuk meningkatkan peluang kehamilan pasangannya.

Superman “Hasil penelitian yang dijalankan menunjukkan, wanita memperoleh lebih kepuasan jika pasangannya mempunyai tubuh dan wajah yang dianggap penarik.

“Kami juga mendapati responden wanita yang memiliki pasangan tampan, cenderung untuk mempunyai ramai anak,”
kata seorang penyelidik dalam kumpulan itu.

Tetapi bagi lelaki yang merasa mereka kurang segak atau kurang tampan atau kurang handsome dan cuma gitu-gitu sahaja tak perlu risau kerana ada pakar yang meragui hasil kajian itu.

Pakar kesihatan dan terapi seks dari New Zealand, Robyn Salisbury, berkata beliau meragui wujudnya kaitan antara kepuasan bersama pasangan tampan dengan peningkatan peluang kehamilan.

“Ketampanan pasangan mungkin menjadi satu faktor mempengaruhi kehamilan, tetapi ia bukanlah faktor utama,” katanya.

Jadinya tak perlu le meroyan. Buat stress diri sendiri sahaja.

Bukan ketampanan lelaki tingkat peluang hamil tetapi rezeki dari Allah SWT.

So….. ya Allah ya Tuhan kami. kepadaMu kami panjat segala pujian. Ya Allah, tiada yang boleh menahan apa yang Engkau beri dan tiada yang boleh memberi apa yang Engkau tahan. Tiada siapa yang boleh mendekatkan kepada siapa yang Engkau jauhkan dan tiada siapa yang boleh menjauhkan kepada siapa yang Engkau dekatkan. Ya Allah bentangkanlah kepada kami sebahagian daripada keberkatanMu, rahmatMu, kelebihanMu dan rezekiMu. Amin.

Wassalam.

Sabtu, Januari 14, 2012

BSK 268. Bye Datuk Dr Hasan Ali

Bismillah.
Assalamualaikum.

Dalam posting yang lalu kami telah mengucapkan ‘sayonara’ kepada Datuk Dr Hasan Ali, samada beliau mahu kekal atau tidak dalam Pas.

Kini beliau bukan lagi ahli Pas kerana telah dipecat.

Dan beliau bebas menggabungkan diri dengan mana-mana parti politik atau mana-mana NGO atau mana-mana persatuan yang sudi menerima beliau untuk meneruskan perjuangan 3R beliau.

No1738

Beliau diberi masa untuk membuat rayuan setelah dipecat.

Adakah beliau akan membuat rayuan?

Rasa-rasanya tidak.

Adakah beliau akan berdiam diri?

Rasa-rasanya tidak juga.

Untuk mengakhiri kemelut diantara Datuk Dr Hasan Ali (sebelum dipecat) dan Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan membuat kenyataan di Harakah:

“Datuk Hassan Ali menarik balik kenyataan-kenyataan dia yang sensitif. Ini tanda kelelakian dia, anak jantan. Kita buat salah, bila kita sedar buat salah, tarik balik, minta maaf. Ini ajaran agama.

Bukan senang manusia buat salah nak tarik balik, bukan senang. Tiba-tiba dia ni tarik balik.

Kita ucap syukur, moga ramai lagi orang yang buat salah, tarik balik dan minta maaf.”

Datuk Dr Hasan Ali menyangkal beliau ada meminta maaf.

Pada hemat kami Tuan Guru tidak menyatakan pun Dr Hasan Ali ada meminta maaf.

Tuan Guru cuma mengatakan apa yang umumnya patut dilakukan oleh mereka-mereka yang merasakan mereka telah melakukan kesilapan iaitu menarik balik kenyataan atau pun meminta maaf.

Datuk Dr Hasan Ali tidak menerima kenyataan berlapik Menteri Besar Kelantan itu.

Ketika ini beliau sedang bercuti dan rasa-rasanya tidak akan kembali bertugas.

Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali - yang telah dipecat sebagai ahli PAS Ahad lalu - daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.

Well….. kali ini kami mengucapkan bye bye kepada beliau kerana pembebasan beliau dari Pas dan dari jawatan exco kerajaan negeri Selangor.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, baikkanlah keberkesanan perbuatan kami dalam segala urusan dan selamatkanlah kami dari kehinaan dunia dan azab akhirat. Amin.

Wassalam.

Sabtu, Januari 07, 2012

BSK 267. PM atau MB benar di Gedangsa

Bismillah.
Assalamualaikum.

Peneroka Felda adalah anak emas PM. Betul ke? 

Datuk Seri Najib Razak melawat Hulu Selangor untuk memeriksa kemajuan projek-projek yang diluluskan pada pilihan raya kecil itu selepas calon BN P Kamalanathan mengalahkan calon PKR, Zaid Ibrahim dengan majoriti 1725 undi pada April 2010.

PM sendiri turun untuk mengodit kemajuan projek-projek!

Salah satu projek itu dikatakan projek pembinaan rumah untuk generasi kedua peneroka Felda.

Projek di Felda Gedangsa belum pasti bila akan bermulanya.

Apa kata PM?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempersalahkan kerajaan negeri Selangor berhubung janji-janji pilihan raya yang dibuat BN tetapi belum ditunaikan semasa pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tahun lalu.

Ketika perjumpaan dengan peneroka Felda Gedangsa di Kuala Kubu Baru, Najib berkata kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat enggan meluluskan projek-projek perumahan yang dirancang oleh kerajaan persekutuan.

"Kita mahu bina rumah-rumah untuk generasi kedua peneroka Felda tetapi ini ditolak oleh kerajaan negeri ... semata-mata atas sebab-sebab politik.

"Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana pembangunan tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri," kata Najib.

Apa kata PM lagi?

Katanya, beliau kecewa kerana projek-projek yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan dan terpaksa menjelaskan kepada rakyat berhubung isu berkenaan.

"Jika anda mahukan perubahan, maka lakukannya apabila tiba masanya," katanya sambil mengingatkan rakyat supaya mengundi dengan bijak pada pilihan raya akan datang.

Najib juga menyumbangkan RM200,000 bagi pembinaan taman permainan kanak-kanak di empat penempatan Felda Gedangsa, Sungai Tengi, Suharto dan Sungai Tengi Selatan.

Beliau juga meluluskan RM300,000 lagi untuk menaik taraf kedai-kedai perniagaan di Gedangsa dan Soeharto.

No1734Apa reaksi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bila dikatakan membelakangkan rakyat negeri Selangor?

Menteri besar kecewa kerana perdana menteri menyalahkan pihak lain ekoran kegagalan Umno-BN menunaikan janji-janji yang dibuat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Apa kata MB Selangor?

Tiada sebarang permohonan kebenaran merancang projek perumahan di Felda Gedangsa di Hulu Selangor dari Kerajaan Persekutuan atau Felda, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan untuk bangunkan projek perumahan kepada generasi kedua di Felda tersebut seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika ada pun permohonan yang diterima, ia hanya melibatkan  permohonan dari Felda untuk melupuskan pemilikan tanah seluas 14.65 hektar di Felda Soeharto bagi tujuan kediaman.

“Kerajaan negeri bagaimanapun mendapati tanah itu masih terletak di bawah Seksyen 44 Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang bermaksud tanah itu masih di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.  Adalah salah untuk perdana menteri mendakwa Kerajaan Negeri enggan membantu,” kata Khalid dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan perdana menteri yang menyalahkan  kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu kerana didakwa enggan meluluskan projek-projek perumahan di kawasan Felda di Hulu Selangor.

Khalid juga berkata, semakan dengan Jabatan Tanah dan Galian Negeri Selangor juga mendapati terdapat satu cadangan pada awal tahun 1990-an itu dari Felda untuk projek pembangunan di Felda Gedangsa.

Bagaimanapun, tambahnya, ia ditolak oleh kerajaan negeri BN ketika itu kerana kegagalan projek pembangunan semula di Felda Sungai Buaya.

Kata MB Selangor lagi!

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kebaikan rakyat. Kami telah buktikan dengan Projek The Greater Klang Valley dan projek River of Life. Tiada alasan untuk kerajaan negeri mendiskriminasikan peneroka Felda.

“Malah, lebih 2,000 ekar tanah milik kerajaan negeri di Hulu Bernam telah dibangunkan oleh Felda tanpa pengetahuan kerajaan negeri dan kerajaan negeri tidak menerima bayaran satu sen pun,” katanya.

Oleh itu, tegas Khalid, perdana menteri perlu mengkaji fakta sebelum membuat tuduhan tidak berasas kerana kerajaan negeri melakukan reformasi pengurusan dan pentadbiran tanah secara berterusan bagi mengalakkan rakyat Selangor memiliki kediaman sendiri.

Adakah peneroka Felda terutama warga Gedangsa menerima atau disogokkan dengan fakta yang tidak benar?

Kesian!

Diantara PM dan MB, siapa yang berkata benar?

Well….. rakyat terutama warga Felda perlu membuat kajian sendiri. Tetapi konklusi yang diputuskan perlu kepada fakta atau hujah dan bukan dari air liur sahaja.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, campakkanlah kepada kami rasa benci kepada kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan. Ya Allah kami memohon kepadaMu perbuatan yang banyak kebaikan dan meninggalkan perbuatan-perbuatan mungkar. Dan jadikanlah kami dari golongan orang yang cerdik. Amin.

Wassalam.

Khamis, Januari 05, 2012

BFK 173. Kunci syurga

Bismillah.
Assalamualaikum.

Ustaz yang membimbing kami dan beberapa kawan-kawan ‘mengaji’ di KLCC satu waktu dahulu ada menyatakan, ‘Kunci syurga adalah solat. Kunci solat pula adalah wuduk.’

No1568

Tidak ada seorang ‘pelajar’ pun yang meminta penjelasan atau pertanyaan mengenai kata-kata ustaz itu.

Berkemungkinan semua, termasuk kami faham apa yang dimaksudkan oleh ustaz.

Jika urusan dan persoalan solat diterima Allah SWT, akan mudahlah laluan ke syurga.

Tetapi untuk solat diterima maka wuduknya perlu betul dan sempurna.

Hari ini kami nak cerita kelebihan wuduk yang sempurna. Jom…..

Sebelum tu!

Wuduk dari segi syarak ialah membersih anggota tubuh badan yang tertentu dengan niat yang tertentu.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah: ayat 6 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Cara mengambil wuduk dengan sempurna berdasarkan hadis Nabi SAW antaranya ialah: 

  • Membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ ketika membasuh kedua tangan hingga sampai ke pergelangannya, selepas itu hendaklah berkumur-kumur sekurang-kurangnya tiga kali dan membersihkan hidung, dengan memasukkan air kedalamnya serta mengeluarkannya iaitu tiga kali.
  • Membasuh muka tiga kali, sambil berniat dengan lafaznya yang bermaksud, “Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala.” atau  “Sahaja aku berwuduk kerana Allah Taala.”
    (Membasuh muka hendaklah dimulai dari bahagian atasnya hingga meliputi seluruh bulatan mukanya hingga kebawah dagu, ini termasuk membersihkan kelopak mata.)
  • Membasuh tangan kanan, mulai dari hujung jari hingga meliputi siku dan bahagian atasnya sebanyak tiga kali dan diikuti dengan tangan kiri tiga kali juga.
  • Menyapu sedikit dari kepala (lebih afdal seluruh kepala) tiga kali.
  • Menyapu kedua telinga luar dan dalam tiga kali.
  • Menyapu tengkuk dan leher tiga kali.
  • Membasuh kaki kanan tiga kali iaitu dari hujung jari hingga meliputi buku lali dan bahagian atasnya termasuk celah-celah jari kaki. Diikuti membasuh kaki kiri seperti cara membasuh kaki kanan. 

Kita perlu mengambil perhatian kepada rukun-rukun dan sunatnya. Perkara yang makruh dan yang membatalkannya.

Sesiapa yang mengambil berat menjaga kesempurnaan wuduk akan diberi kelebihan atau balasan yang baik.

Dari Amru bin Abasah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Barang siapa yang hampir untuk berwuduk terlebih dahulu dia menyedut air ke hidungnya lalu menghamburkannya keluar, maka keluarlah bersama air itu dosa-dosa wajah dan hidungnya. Apabila ia membasuh mukanya seperti yang diperintah Allah, maka keluarlah dosa-dosanya dari mukanya hingga ke hujung janggutnya. Apabila ia membasuh kedua tangan hingga ke siku maka gugurlah dosa-dosanya hingga ke hujung jari. Apabila ia menyapu kepala, lalu gugurlah dosa-dosanya hingga ke hujung rambut. Apabila ia membasuh kedua kakinya maka gugurlah dosa-dosa kaki hingga ke hujung jari kaki. Apabila ia berdiri untuk solat kemudian memuji Allah dengan selayaknya serta mengikhlaskan hati kepada Allah maka gugurlah segala dosa-dosanya seperti seorang kanak-kanak yang baru dilahirkan oleh ibunya.” [HR Muslim]

Dari Umar Al-Khattab RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Barang siapa yang berwuduk dan menyempurnakannya lalu ia membaca lafaz yang bermaksud: Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah, niscaya akan terbukalah lapan buah pintu-pintu syurga dan dia boleh masuk melalui mana-mana pintu-pintu syurga dan dia boleh masuk melalui mana-mana pintu yang dia suka.” [HR Muslim dan Tarmizi]

Kelebihan yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambaNya yang cermat.

Nak kongsi sedikit fakta yang diberikan oleh ustaz malam Rabu lepas.

Katanya dosa-dosa yang digugurkan jika kita melaksanakan puasa-puasa sunat contoh puasa 9 Zulhijjah (hari Wukuf) atau 10 Muharram (hari Ashyura) dan yang seumpamanya adalah dosa-dosa kecil sahaja.

Yang membabitkan dosa-dosa besar perlu bertaubat.

Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah al-Araaf: ayat 153]

Wallahualam.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, terimalah daripada kami akan solat kali. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, perteguhkan hati-hati kami diatas agamaMu dan ketaatan kepadaMu. Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang. Amin.

Wassalam.

Ahad, Januari 01, 2012

BSK 266. Selamat Tahun Baru 2012

Bismillah.
Assalamualaikum.

Hari ini genap seminggu bulan Safar 1433H. Hari ini juga bermulanya tahun baru Masehi 2012.

Malam tadi, hampir kesemua saluran TV menyiarkan ‘countdown’ 2012.

Saban tahun, sambutan tahun baru Masehi cukup meriah. Begitu juga sambutan tahun 2012 ini,

Sambutan diadakan dimerata lokasi dan salah satu lokasi paling menonjol, tentunya di KLCC.

Memang KLCC menjadi tarikan dan tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Setiap hari tidak putus-putus. Tidak sah melawat KL jika tidak ke KLCC.

Tidak pasti samada malam tadi ramai pelancong luar negara berkumpul dilokasi ini.

Tetapi sememangnya kelihatan di kaca TV ramai manusia yang berkumpul dilokasi-lokasi terpilih malam tadi. Dengan satu tujuan dan matlamat, menyambut tahun baru Masihi cara Malaysia.

naga

Yang pasti, mereka yang berada diatas pentas menghibur, juga disekitar pentas majoritinya orang Melayu.

Saban tahun rakyat Malaysia disogokkan dengan pelbagai hiburan menunggu countdown tahun baru Masehi.

Yang paling menyerlah dan istiqomah menyambut tradisi atau adat ini ialah orang Melayu.

Kami nak share sedikit apa yang diperkatakan oleh ustaz yang mengajar dan menerangkan topik tauhid di surau taman kami setiap minggu selepas solat Suboh.

Apa yang dapat difahami, tidak ada masalah jika kita ingin menyambut tahun baru Masehi. Orang kristian mengaitkan tahun Masehi dengan Nabi Isa AS. Hari kelahiran beliau menurut mereka. Wallahualam.

Ustaz ini berada di KL malam tadi kerana dijemput untuk bernasyid dimajlis perasmian sebuah masjid di sana. Permintaan ramai untuk perasmian di adakan pada tahun baru 2012.

Bukan itu sebenarnya yang ingin dikongsikan. Yang menarik pada  adalah apa yang dikisahkan semasa beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban.

Beliau tidak ditegur makhluk halus atau seumpamanya dalam perjalanan balik tengah malam tadi.

Cuma katanya, tiba di tengah bandar Seremban beliau melintas sebuah gereja berhampiran  Terminal 1, beliau mendapati ramai penganut kristian berkumpul disana.

Begitu juga keadaan disebuah lagi gereja yang beliau lintasi. Ramai penganut kristian berkumpul menyambut tahun baru.

Itu yang ironinya.

Orang kristian di Malaysia menyambut tahun baru Masehi di gereja.

Orang Melayu beragama Islam pula leka terkinja-kinja berhibur di dataran-dataran dan lokasi-lokasi hiburan yang dikhaskan.

Kecil besar tua muda. Seiring dan sejalan. Sakan habis!

Bolehkan kiranya diadakan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau agar umat Islam terutama remaja boleh mengetahui dengan sebenar-benarnyanya ‘message’ yang dibawa oleh utusan Allah itu.

‘Message’ yang seiring dengan apa yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad SAW.

Dengan demikian generasi remaja Islam akan menyambut ketibaan tahun baru Masehi dengan kefahaman dan bukan dalam kejahilan.

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah al-Nahl: ayat 119]

Fikir-fikirkan.

So….. Wahai Tuhan yang mengajar Ibrahim AS hikmah, ajarkanlah kepada kami kebijaksanaan. Wahai Tuhan yang memahamkan Sulaiman AS, berikanlah kepada kami kefahaman. Wahai Tuhan  Sulaiman, wahai Tuhan Ibrahim, wahai Tuhan Musa dan Isa, wahai Tuhan Muhammad SAW, keluarkanlah kami dari kegelapan kejahilan dan kelupaan, dengan berkat rahmatMu, wahai Tuhan Yang Penyayang dari segala yang penyayang. Amin.

Wassalam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India