DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Rabu, Februari 29, 2012

BBK 52. Bencana penghapus dosa

Bismillah.
Assalamualaikum.

Bila kita menghadiri majlis-majlis ilmu, ustaz-ustaz yang memberi penerangan akan sering berkata bahawa musibah yang kita terima merupakan ujian Allah Taala dan penghapus dosa.

Kami ingin berkongsi beberapa fakta dari buku yang sedang kami baca ketika ini mengenai musibah atau bencana. Bagaimana ianya boleh menghapuskan dosa dan menyucikan diri kita.

Kami dipertengahan buku “Indahnya Kematian [Hadapi Ajal Dengan Senyuman]” hasil tulisan saudara Bisri M. Djaelani terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. Terima kasih!

….. Nabi Muhammad mengajar kita satu doa yang baik iaitu, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan atas dosa-dosa yang aku sedari dan dosa-dosa yang tidak kusedari, dosa-dosa yang aku ketahui serta yang tidak kuketahui.” Doa ini penting kerana kita cenderung tidak bertaubat bagi dosa-dosa yang tidak kita ketahui atau sedari.

Kaabah

Namun begitu, Allah yang maha pengasih masih berkenan menyucikan diri kita. Penyucian daripada Allah ini disebut at-Tamhis iaitu bencana. Bencana-bencana yang menimpa kita di dunia ini sebenarnya menghapuskan dosa.

Bukhari dan Muslim merekodkan satu hadis perihal perkara ini. Nabi Muhammad berkata, “Apabila seseorang ditimpa bencana, kesalahan, keresahan ataupun terluka akibat terpijak duri, perkara-perkara itu menyebabkan dosa-dosanya terhapus.”

At-Tamhis iaitu penyucian daripada Allah dalam bentuk bencana ini terdiri daripada beberapa bentuk. Nabi Muhammad memberitahu, “Ada dosa yang tidak boleh dihapuskan dengan apa pun kecuali melalui kesulitan mencari pendapatan yang halal.” Kepayahan mencari nafkah yang halal itulah proses penyucian yang Allah berikan kepada kita. Namun begitu, ada syarat yang perlu dipenuhi supaya kepayahan itu menjadi penghapus dosa-dosa kita. Kunci mendapatkan at-Tamhis adalah sabar. Kita perlu bersabar dengan setiap kesusahan yang dihadapi.

Ada seorang sahabat Nabi Muhammad yang hidup mewah sebelum beliau memeluk agama Islam. Selepas memeluk Islam, bisnesnya mengalami kerugian berterusan. Lalu dia mengadu kepada Nabi Muhammad, “Wahai pesuruh Allah, harta-harta saya hilang dan badan saya pula sakit.” Nabi Muhammad menjawab, ”Allah memberi ujian kepada orang yang disayangi-Nya. Tiada baiknya seorang manusia yang tidak pernah sakit dan tidak pernah hilang hartanya.”

Walaupun banyak bencana menimpa kita, belum tentu ia dapat mencuci dosa-dosa kita kecuali apabila kita menerimanya dengan sabar. Sifat sabar, tenang dan berserah kepada Allah dalam menanggung bencana menjadi alasan Allah menghadiahkan kita dengan kesucian jiwa dan raga. Sebaliknya, apabila kita marah dan tidak sabar menghadapi bencana, hadiah tersebut tidak dapat kita perolehi. Malah, kualiti hidup kita akan semakin merosot.
[Bab 5-Erti Kematian (ms 86-87)]

Well….. jika kawan-kawan teringin mengetahui lebih lanjut atau teringin untuk lebih memahami fakta-fakta yang ditulis oleh penulis, beli buku ini. Boleh di buat ikhtibar.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan yang melepaskan dari sebarang kesusahan dan kesedihan, Tuhan yang mengabulkan segala doa orang yang susah, Tuhan yang Maha Pengasih di dunia dan akhirat dan Maha Penyayang, sayangilah diri kami dengan rahmatMu yang mana kami tidak perlu lagi kepada rahmat selain dariMu. Ya Allah, kami memohon campakkanlah rasa cukup dengan rezeki yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan gantikanlah apa yang telah hilang dari kami dengan sesuatu yang lebih baik di sisiMu. Amin.

Wassalam.

Isnin, Februari 27, 2012

BFK 174. Umrah saudara setaman

Bismillah.
Assalamualaikum.

Hari ini saudara setaman dan sehaji pergi menunaikan umrah bersama keluarga salah seorang anak mereka.

Menggunakan pakej TH Travel.  Flight MAS jam 3.00 petang ni.

Masjid Nabi

Terus memasuki Mekah dan melakukan umrah. Kebiasaannya apabila jemaah kita pergi menunaikan atau melakukan umrah, jemaah akan dibawa ke Madinah terlebih dahulu.

Semalam kami menziarahi saudara kami ini. Lebih mesra di panggil Abang Rahman dan Kak Azizah. Niat hendak ziarah cuma sebentar sahaja. Sebentar sahaja!

Kami sampai rumah Abang Rahman dah nak masuk pukul 2.00 petang.

Wife dah sound awal-awal, sekejap je, jangan lama-lama, mereka nak berkemas. Takut nanti mereka penat melayan kita.

Bukan sekali, rasa-rasanya tiga kali. Mungkin lebih! Seingat kami, kat rumah, kat dalam kereta dan bila sampai kat pintu pagar.

Well….. bila dah masuk pintu pagar dan dijemput masuk rumah, lain ceritanya.

Mula-mula berbual kat ruang tamu. Memang ikhlas nak beritahu, niat memang tak nak susahkan tuan rumah.

Bila mula berbual, cerita itu cerita ini, tanpa disedari dah beranjak kat ruang makan. Dah tersedia air teh,  spaghetti, kek dan agar-agar kat depan mata. Bila pulak berpindah kat meja makan ni?

Bila terasa dah lama kat sana, wife beri cuitan. Faham maksud wife. Kami minta diri. Tiba kat rumah, jam menunjukkan pukul 2.50 petang. Ingatkan 10 minit,  rupa-rupanya satu jam.

Selalunya, bila menziarah Abang Rahman dan Kak Azizah memang lama. Selalu terlebih budget masa kat sana.

Kepada mereka, kami sekeluarga mendoakan selamat pergi dan selamat kembali. Kami sekeluarga juga memohon kepada Allah SWT agar memudahkan segala urusan dan menerima ibadah umrah mereka sekeluarga.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, berikanlah kepada diri kami perasaan taqwa kepadaMu dan sucikanlah diri kami kerana Engkau adalah sebaik yang mensucikan. Ya Allah bersihkanlah dari kami dosa-dosa kami dengan air salji yang sejuk dan dan sucikanlah hati-hati kami dari sebarang kesalahan sepertimana Engkau menyucikan kain yang putih dari sebarang kekotoran. Amin.

Wassalam.

Ahad, Februari 19, 2012

BSK 276. PM Malaysia transformkan Kelantan tercorot

Bismillah.
Assalamualaikum.

Perdana Menteri Malaysia membuat satu pengumuman penting semasa  berucap melancarkan projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu, Sabah.

Perdana Menteri Malaysia itu telah berjaya membuat transformasi yang membanggakan rakyat negeri Sabah.

Beliau telah  mentransformkan negeri Kelantan menjadi negeri paling miskin di Malaysia dan meletakkan kedudukan Sabah di tengah-tengah negeri terkaya dan termiskin.

Sabah sudah berganjak daripada status negeri termiskin di Malaysia susulan pelbagai pembangunan dibawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia itu.

Tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia dengan pencapaian yang sungguh membanggakan seluruh takyat Malaysia terutama orang Melayu dan khasnya warga Sabah.

Orang Kelantan jangan makan hati dengan kejayaan Perdana Menteri Malaysia itu.

tgnanm

Tidak ada kepastian samada negeri Kelantan majoritinya orang Melayu atau tidak.

Yang mentadbir negeri Kelantan itu bukan orang Melayu ke?

Seperti yang diketahui umum, negeri Kelantan memang tidak ada majoriti orang Melayu sudah lebih 20 tahun.

Tidak ada majoriti orang Melayu yang mengundi parti Perdana Menteri Malaysia itu di Kelantan.

Kerana tidak ada majoriti orang Melayu yang memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, negeri Kelantan dan rakyatnya telah dinafikan hak untuk mendapat royalty minyak untuk sekian lamanya.

Tidak seperti negeri Sabah, negeri yang dikatakan salah satu ‘deposit tetap’ kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, yang setiap tahun menerima royalty minyak.

Negeri yang mendapat royalty minyak dan pelbagai pembangunan dari kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia.

Secara logiknya Sabah (dan rakyatnya) telah berada dikelompok 5 negeri terkaya di Malaysia semenjak dulu lagi. Bukan ditengah-tengah dan pastinya bukan yang tercorot.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, bentangkanlah kepada kami sebahagian daripada keberkatanMu, rahmatMu, kelebihanMu dan rezekiMu. Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah kami dari golongan orang yang cerdik. Amin.

Wassalam.

Ahad, Februari 12, 2012

BSK 275. KWSP, bank atau kerajaan tanggung PPR

Bismillah.
Assalamualaikum.

Sememangnya hasrat dan impian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membantu golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur memiliki rumah sendiri adalah satu usaha yang sungguh murni.

Cumanya, kaedah yang dipilih untuk merealisasikan transformasi itu boleh dipersoalkan.

Kenapa KWSP, pengurus dana pencen pekerja boleh terpilih untuk membiayai Skim Pembiayaan Khas tersebut?

Tidak adakah institusi kewangan yang menyokong impian murni PM?

Sebagai contoh, kami ulangi sebagai contoh,  tidakkah boleh CIMB fleksibalkan syarat-syarat pinjaman dan merealisasikan impian murni PM kesayangan rakyat 1Malaysia itu?

Cuba perhatikan antara syarat-syarat yang diberikan kepada bakal pembeli seperti yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar:

  • “Hanya mereka yang mempunyai rekod bersih baik dari pembayaran sewa mengikut jadual akan mendapat surat tawaran.”
  • “DBKL turut memberi jaminan akan membeli semula rumah berkenaan terhadap pemilik yang gagal membayar hutang mereka.”
  • “Malah, DBKL juga akan mewujudkan Dana Rizab Pembelian Semula berdasarkan 20 peratus daripada hasil jualan rumah di bawah skim ini bagi memastikan ia mempunyai dana untuk membeli semula rumah berkenaan.”
  • Antara syarat yang dikenakan kepada bakal pembeli adalah mereka dibenarkan untuk menyewakan kediaman mereka kepada hanya kepada penduduk tempatan dan warga asing dilarang sama sekali menyewa rumah berkenaan.

Bukankah terbaik syarat-syarat diatas? Adakah institusi kewangan tidak percaya dengan syarat-syarat terbaik yang dijanjikan oleh  Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu?

Pelik ni! Menteri tu kan ke wakil kerajaan? Tak boleh percaya juga?

No1864

Tetapi yang lebih pelik, syarat yang pembeli juga dibenarkan untuk menyewa kediaman mereka!

Cuba kita fikirkan secara rasional dan tenang, siapa sebenarnya yang ingin dibantu oleh kerajaan?

Golongan berpendapatan rendah dan orang susah? Fikir-fikirkanlah sendiri.

Atas alasan apa sekali pun yang dikemukakan oleh pak menteri , kami tetap berpendapat bahawa KWSP bukanlah pihak yang patut menerima bebanan. Tolong jangan babitkan KWSP!

Ada pihak yang memberi komen Putrajaya telah ketandusan wang untuk membantu merealisasikan hasrat PM untuk membantu golongan berpendapatan rendah ini?

“Memang benar, wang kerajaan memang mencukupi. Tuduhan ini semua tidak berasas," kata senator Umno itu.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, wahai Tuhan yang menghilangkan dukacita dan yang menghilangkan kesusahan, wahai Tuhan yang mengampuni dan yang memberi rahmat bagi hambaNya dan wahai Tuhan yang menolakkan bala dan kemurkaan. Tolakkanlah daripada kami wahai Allah tiap-tiap bala, wabak, dukacita, kesusahan, kesempitan, keberatan, kemurkaan dan fitnah. Amin.

Wassalam.

Sabtu, Februari 11, 2012

BSK 274. Akidah, husnul dan suul khatimah

Bismillah.
Assalamualaikum.

Semalam ada dua laporan, pada hemat kami, kita sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam perlu peka dan mengambil perhatian.

Laporan yang berkaitan dengan akidah.

Laporan pertama membabitkan seorang pemimpin beragama Islam  yang mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan upacara keagamaan kaum lain dan merupakan kali ketiga beliau mengunjungi pusat ibadat perayaan itu sejak 2010.

Petikan sebahagian dari kata-kata seorang mufti mengenai isu itu:

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata mufti berkenaan menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

Laporan kedua menyentuh teks khutbah solat Jumaat semalam yang memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam.

Teks khutbah Jakim bertajuk “Awas Jerat Valentine” berkata selain bercanggah dengan akidah umat Islam, ia juga boleh membawa kepada budaya pemujaan berhala melalui istilah-istilah yang digunakan.

“Sedar atau tidak jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine?’ maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah.

Sentiasalah kita berlapang dada dan berterima kasih menerima teguran dan peringatan dari mereka-mereka yang berpengetahuan dan memahami agama yang kita anuti yang prihatin dan masih sayang dan mahu kita mendapat kebaikan di dunia terutamanya kebaikan di akhirat.

Sebagai renungan, kami ingin berkongsi satu kisah yang disebutkan dalam buku “Indahnya Kematian” oleh saudara Bisri M. Djaelani terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd. 

Satu masa dahulu ada pemuda yang sudah bertahun-tahun menjadi juruazan di masjid. Bersebelahan masjid itu terdapat sebuah rumah yang didiami sebuah keluarga yang bukan Islam. Keluarga itu memiliki anak gadis berparas cantik yang sedang menginjak dewasa.

Masjid KUIS2

Setiap kali juruazan itu naik ke menara masjid bagi melaungkan azan, tanpa disedari pandangan matanya selalu singgah kepada anak gadis yang cantik itu. Hal ini turut terjadi ketika pemuda itu turun dari menara masjid. Namun bak kata pepatah, ‘daripada mata turun ke hati’.

Akibat sering terpandang, hatinya mula terpaut pada kecantikan rupa paras gadis itu. Bahkan, tatkala lidah melaungan seruan azan, hatinya sibuk mengingati si gadis. Selepas sekian lama, juruazan itu nekad mengunjungi rumah anak gadis itu dengan tujuan melamarnya. Sayangnya, ibu bapa gadis itu menolak mentah-mentah permintaan juruazan itu. Apatah lagi apabila anak mereka perlu bertukar agama mengikut agama calon si suami yang beragama Islam. Bapa gadis itu berkata, “Selagi kamu masih beragama Islam, saya tidak izinkan anak saya menjadi isterimu.” Kenyataan itu sekali gus menjadi syarat iaitu juruazan itu perlu memeluk agama mereka terlebih dahulu sebelum dapat mengahwini anaknya.

Ketika berada di atas menara masjid, juruazan itu berfikir sedalam-dalamnya. Sayangnya, akalnya sudah tidak mampu berfikir dengan jernih sehingga terbit niat dalam hatinya supaya bertukar agama buat sementara waktu. Hatinya berkata, “Ya Allah, sudah bertahun-tahun aku melaungkan azan demi mengajak dan mengingati umat Islam supaya menyembah-Mu. Aku yakin Engkau menyaksikannya serta memberi balasan yang setimpal. Namun pada saat ini aku memohon kepada-Mu hendak memeluk agama keluarga gadis itu selama beberapa saat sahaja. Selepas berkahwin dengannya, aku berjanji akan kembali memeluk Islam.”

Baru sahaja hatinya berniat sedemikian, kakinya tergelincir dari tangga menara masjid yang tinggi itu. Juruazan itu jatuh lalu meninggal dunia dalam keadaan suul khatimah. [ms 11-12]

Mana pilihan kita? Suul khatimah iaitu dipanggil kembali dalam keadaan berdosa dan tidak baik atau husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik?

Semoga kita sekeluarga disetiap masa, sentiasa berada dibawah lindungan Allah SWT agar kita sekeluarga dijemput dalam keadaan husnul khatimah dan dijauhi kita sekeluarga daripada dipanggil dalam keadaan suul khatimah.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau beri pertunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmatMu. Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami Dunia ini kebaikan dan di akhirat pun kebaikan dan lindungilah kami dari azab api Neraka. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Melimpah kurnianya. Amin.

Wassalam.

Jumaat, Februari 10, 2012

BSK 273. Rasulullah SAW jom kenal dan cintai Baginda

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita masih lagi di bulan kelahiran Rasulullah SAW. Pada setiap tahun pihak berwajib akan mengadakan majlis sambutan untuk mengingati dan menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada Nabi Besar SAW.

Masjid KUISHari Selasa, 07 Feb 2012 kami ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Tempat anak kedua belajar.

Semasa anak kedua sibuk dengan urusan beliau, kami ke masjid kolej tersebut.

Wife dan anak bongsu rilek kat dalam kereta.

Kami nak share maklumat dari risalah kecil yang disediakan oleh Institut Kajian Hadis (INHAD) KUIS yang kami ambil dari masjid itu.

Risalah kecil yang diberikan nama “Jom Kenal & Cintai Rasulullah SAW.”

  • Nabi terawal yang dilantik oleh Allah SWT
    Daripada Abu Hurayrah radiyallahu ‘anhu berkata: Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah tuan dilantik menjadi Nabi? Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ketika Adam masih antara ruh dan jasad.” (Hadith riwayat al Tirmidhi. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Maisarah al Fajr)
  • Insan yang terpilih daripada yang terpilih
    Daripada Wathilah bin al Asqa’ radiyallahu ‘anhu berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah daripada keturunan Nabi Isma’il dan memilih kaum Quraish daripada zuriat Kinanah, dan memilih daripada kaum Quraish Bani Hasyim dan memilih aku daripada Bani Hasyim.” (Hadith riwayat Muslim dan al-Tirmidhi)
    Daripada ‘Aisyah radiyallahu ‘anha, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Jibril telah berkata kepadaku, ‘Aku telah mengelilingi bumi dari timur ke barat dan aku tidak temui seorang lelaki yang lebih afdal daripada Muhammad. Dan aku telah mengelilingi bumi dari timur ke barat dan aku tidak temui keturunan yang lebih afdal daripada Bani Hasyim’.” (Hadith riwayat al-Tabarani, al-Bayhagi dll)
  • Nabi terulung dan agung di sisi Allah SWT
    Daripada Anas radiyallahu ‘anhu bahawa Nabi s.a.w. telah didatangkan dengan buraq yang telah dipakai kekang pada mulutnya dan telah berpelana pada malam Nabi diisrakkan, tetapi Nabi sukar untuk menunggangnya. Berkata Jibril kepada buraq, “Adakah dengan Muhammad pun kamu lakukan sedemikian (kerana susah untuk menunggangnya)? Tidak ada seorang pun yang menunggang kamu yang lebih mulia di sisi Allah daripadanya”. Maka mengalirlah peluh buraq (kerana malu dengan Nabi). (Hadith riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan al-Bayhaqi)
  • Nabi yang penuh dengan mukjizat
    Daripada Anas bin Malik radiyallahu ‘anhu bahawa Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berada di Zaura’ (suatu tempat yang terletak di pasar Madinah), lalu Nabi meminta bekas yang diisi dengan air. Nabi meletakkan tapak tangan dalam bekas tersebut lalu air keluar mengalir daripada celah-celah jari jemarinya. Semua para sahabat pun mengambil wudu’. Aku (perawi) bertanya, “Berapakah bilangan mereka wahai Abu Hamzah? Dia berkata, “Mereka sekitar tiga ratus orang.” (Hadith riwayat al Bukhari dan Muslim)
  • Kerinduan tunggul kurma kepada Nabi SAW
    Daripada Jabir radiyallahu ‘anhu berkata: Terdapat sebatang tunggul kurma yang Nabi berdiri di atasnya (ketika berkhutbah). Apabila mimbar diletakkan sebagai ganti untuk baginda, kami mendengar tangisan tunggul kurma tersebut seperti tangisan anak kecil sehingga Nabi turun (daripada mimbar) lalu meletakkan tangannya di atas tunggul kurma tersebut (sehingga tunggul kurma tersebut diam). (Hadith riwayat al Bukhari)
  • Keistimewaan-keistimewaan Nabi SAW yang lebih dari nabi-nabi yang lain
    Daripada Abu Hurayrah radiyallahu ‘anhu, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku telah diberi kelebihan ke atas para Nabi yang lain dengan enam perkara. Aku telah dikurniakan dengan jawami’ al kalim (kalimah yang pendek tetapi mengandungi makna yang padat), aku ditolong dengan rasa ketakutan pada hati (musuh), dihalalkan ghanimah (harta rampasan perang) untukku, bumi dijadikan suci bagiku untuk dijadikan alat bersuci dan masjid, serta aku diutuskan kepada semua makhluk dan aku sebagai penutup semua para nabi.” (Hadith riwayat Muslim)
  • Penghulu seluruh makhluk di Hari Kiamat
    Daripada Abu Hurayrah radiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Aku adalah penghulu keturunan Adam pada hari kiamat, orang pertama yang akan dibangkitkan daripada kubur, orang pertama yang akan memberi syafaat dan juga yang pertama diberikan syafaat.” (Hadith riwayat Muslim)
  • Kewajipan mencintai Nabi SAW lebih dari segalanya
    Daripada Anas bin Malik radiyallahu ‘anhu katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia lebih mengasihi aku daripada anaknya, bapanya dan semua manusia lain.” (Hadith riwayat al Bukhari dan Muslim)

Itulah hadis yang ingin kami kongsi dengan kawan-kawan.

Semoga dengan mengetahui kelebihan-kelebihan Rasulullah SAW kita akan lebih mengenali, mengasihi dan mencintai Baginda. Dan Allah SWT mengurniakan kepada kita keimanan yang kukuh dan sempurna.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, Engkau jadikan dan Engkau tetapkanlah Agama kami di Agama Nabi Muhammad SAW. Dan (jadikanlah) ke Islaman kami Islam yang sebenar-benar Islam. Kami meridhai Allah sebagai Tuhan, kami meridhai Islam sebagai Agama dan kami meridhai Muhammad sebagai Nabi. Amin.

Wassalam.

Rabu, Februari 08, 2012

BSK 272. KWSP tanggung Skim Pembiayaan Khas (PPR)

Bismillah.
Assalamualaikum.

Bgn KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk didalam kumpulan ‘elit’ 10 dana pencen terbesar di dunia!

Apa yang tergambar di minda kita dengan kenyataan itu?

Wang! Pastinya badan itu berwang dan mempunyai dana yang banyak!

Kami adalah salah seorang daripada ribuan atau jutaan pekerja yang mencarum kepada badan tersebut.

Sebagai pencarum yang mempunyai kepentingan dalam badan itu, tidak salah jika kami ingin memberi pandangan kepada ‘proposal’ yang dimajukan oleh Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk dilaksanakan oleh KWSP.

Proposal untuk menggunakan dana KWSP sejumlah RM1.5 bilion untuk membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Skim Pembiayaan Khas yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 28 Januari lalu, yang mana skim berkenaan bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di bandaraya ini. Bandaraya KL!

Cuba kita selami dan fikirkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu.

“Melalui pelaburan tersebut, KWSP akan ‘menyelam sambil minum air’ kerana selain membiayai pinjaman perumahan, mereka juga akan mendapat ganjaran di akhirat kerana membantu orang susah,” katanya.

Kita sedang memperkatakan tentang wang pekerja. Caruman bulanan pekerja dari mula bekerja hingga pencen. Simpanan dari titik peluh pekerja untuk kegunaan di masa tua kelak.

Kerajaan mahu memulakan penggunaan wang pencen pekerja untuk membantu golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

KWSP bukanlah badan yang sewajarnya menerima ‘assignment’ itu.

Institusi-institusi kewangan di Malaysia lebih menjurus dan lebih memahami urusan pinjam-meminjam ini. Bukankah institusi-institusi ini berniaga? Menjalankan perniagaan untuk mengaut keuntungan.

Tetapi kenapa kerajaan memilih KWSP?

Institusi-institusi kewangan ini juga boleh ‘menyelam sambil minum air’? Institusi-institusi ini juga boleh mendapat ganjaran di akhirat bila membantu golongan berpendapatn rendah ini.

Adakah institusi-institusi kewangan ini tidak mahu memberi pinjaman kepada orang susah, membantu mereka membeli dan memiliki rumah?

Mungkinkah kerajaan dan pihak berkaitan telah membuat penilaian dan menjangkakan golongan berpendapatan rendah yang diberi pinjaman perumahan tidak akan mampu membayar balik ansuran bulanan?

Pihak yang memberi pinjaman (KWSP atau institusi kewangan) berkemungkinan besar akan menghadapi bukan sahaja masalah tidak mendapat ansuran bulanan tetapi masalah-masalah lain yang berbangkit.

Institusi yang tujuan utama mahukan keuntungan dimana unjuran keuntungan tahunan sentiasa meningkat akan memandang sepi Skim Pembiayaan Khas ini.

Jika kerajaan tetap mahu KWSP mengambil alih peranan institusi kewangan dengan memberi pembiayaan kepada golongan ini maka ianya merupakan perbuatan khianat kepada satu golongan rakyat Malaysia yang lain.

Pembiayaan RM1.5 bilion ini akan menjadi ‘precedent’ kepada pembiayaan kepada banyak lagi golongan orang susah dan lain-lain pembiayaan berkaitan dengan rakyat. 

Ini kerana golongan berpendapatan rendah jumlahnya bukan sedikit. Golongan ini bukan sahaja ada di KL tetapi berada di bandar-bandar besar lain. Orang susah bukan sahaja menetap di bandar-bandar tetapi juga di kampong-kampong. Boleh dikatakan 1Malaysia ada golongan berpendapatan rendah dan orang susah.

Kerajaan seolah-olah mahu berlepas tangan dan memberi beban dan risiko yang besar kepada golongan pekerja yang mencarum dalam KWSP.

Golongan cerdik pandai didalam kerajaan sepatutnya lebih peka dengan pengurusan wang pencen rakyat.

Membantu satu golongan dengan memperjudikan kesejahteraan  golongan lain bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. 

Kerajaan perlu mencari cara dan kaedah yang lebih effektif untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan orang susah di negara kita ini.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami berlindung denganMu dari penyakit malas dan nyanyuk. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung denganMu dari dosa dan hutang. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung denganMu dari kejahatan fitnah kekayaan. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung denganMu dari fitnah kefakiran. Amin.

Wassalam.

Isnin, Februari 06, 2012

BSK 271. Sampul putih sampul merah tersimpul

Bismillah.
Assalamualaikum.

Tahun ini masyarakat Cina menyambut tahun Naga. Naga Air!

Kat taman kami sambutannya macam tak terasa. Tak kedengaran bakaran mercun yang berjela-jela panjangnya.  Tiada  kelihatan di kejiranan kami ada rumah yang menganjurkan tarian singa atau tarian naga.

Sunyi!

Tetapi sambutan diperingkat nasional lain pula. Sambutan rumah  terbuka sana sini.

NGO Melayu terbesar dan tersohor di Malaysia Perkasa pun teruja untuk menganjurkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina.

image

Majlis berjalan lancar. Angpau disampaikan oleh presiden NGO berkenaan kepada hadirin. Jumlah keseluruhan angpau yang diagihkan dikatakan berjumlah RM10,000.

Sehari-dua lepas majlis, kecoh 1Malaysia kerana dilaporkan sampul angpau yang diberikan berwarna putih. Bagi masyarakat Cina  sampul putih hanya untuk upacara berkabung dan kematian.

Ada pihak tertentu meminta Perkasa meminta maaf kerana dikatakan tidak prihatin dengan tradisi masyarakat Cina.

Pemimpin wahid negara kita juga mengeluarkan kenyataan bahawa apa yang dilakukan oleh NGO itu tidak ada kena mengena dengan BN.

Presiden NGO bekas ahli Umno, dikatakan tidak wajar beliau tidak sensitif atau tidak peka dengan tradisi masyarakat Cina.

Sampul merah bukan putih!

Berkemungkinan kerana letih diasak dan ditekan dan tidak tahan dituduh sebagai menghina masyarakat Cina, Setiausaha Agung NGO berkenaan mendedahkan tindakan itu juga dilakukan oleh BN.

angpau

Beliau merujuk kepada gambar dalam sebuah akhbar harian yang menunjukkan penduduk di Seri Setia menerima angpau bersampul putih di majlis Tahun Baru Cina anjuran BN yang disampaikan oleh penyelaras BN Seri Setia.

Sampul warna putih juga! Serupa macam yang diagihkan oleh Presiden Perkasa.

Ketua MCA Bahagian Kelana Jaya  menjelaskan bahawa sampul putih yang digunakan oleh penyelaras BN Seri Setia sebenarnya adalah sampul khas yang bercetak dengan logo BN dan Umno. Sampul berkenaan digunakan oleh mereka sepanjang tahun.

"Kami gunakan sampul ini sepanjang tahun, bukan hanya semasa Tahun Baru Cina. "Kami juga gunakan sampul ini pada Hari Raya, Deevapali dan juga apabila kami mengagihkan sumbangan. Ini berbeza daripada apa yang dilakukan oleh Ibrahim Ali," kata Ketua MCA Bahagian Kelana Jaya.

Ketua Wira PERKASA bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apa maksudnya bila BN memberi angpau dalam sampul warna putih di Seri Setia.

"Masa isu PERKASA (beri angpau dalam sampul putih), PM kata 'semua orang tahu angpau ialah sampul merah'," kata beliau dalam satu kenyataan.

"Sekarang angpau BN kenapa warna putih?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Apa yang dapat difahami dari kenyataan yang diberikan, putih berlogo dan putih bersih berbeza. Maksudnya putih berlogo tidak menghina. Putih bersih?

Atau benarkah ada amalan ‘double standard’ di negara kita ini?

"Oh jika warna putih dari BN, bukan maksud untuk kematian? Dari awal PERKASA kata semuanya 'double standard' terhadap PERKASA," tegas Ketua Wira PERKASA.

Putih atau merah. Berlogo tak berlogo. Peka tak peka. Sensitif tak sensitif. Berkabung atau kematian. Terima tak terima. Terima kasih tak terima kasih.

Semuanya terserah kepada mereka-mereka yang hadir dan yang menerima habuan berkenaan.

Mereka yang menentukan dan membuat keputusan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami berlindung denganMu dari penyakit malas dan nyanyuk. Ya Allah, ilhamkanlah kepada kami kecerdikan dan kewarasan dan lindungilah kami dari kejahatan diri kami. Amin.

Wassalam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India