DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Disember 30, 2014

BBK 60. Hawa Nafsu Dan Kemudaratannya (3)

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

No2557

Dugaan banjir yang Allah SWT turunkan kepada sebahagian dari saudara-saudara kita sememangnya perit dan memilukan. Kehilangan saudara mara dan hartabenda. Semuanya musnah. Tetapi perlulah ada kesabaran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.[HR Al-Hakim]

Semoga pihak-pihak berwajib memberi bantuan untuk mereka membina kembali kehidupan yang normal.

Dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali r.a katanya,:Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w meminta bantuan kepada baginda untuk membayarnya. Jawab baginda,:Tunggulah hingga orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh serahkan kepadamu. Kemudian baginda melanjutkan sabdanya, Hai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan:

  1. Orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya langsai. Apabila hutangnya telah selesai, maka tidak boleh lagi dia meminta-minta.
  2. Orang yang ditimpa bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak bagi dirinya.
  3. Orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta hingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak. Selain tiga golongan tersebut , haram baginya meminta-minta dan haram pula baginya memakan hasil perbuatan meminta-minta itu.[HR Muslim]

Habis…..

Kami teruskan ke point yang seterusnya…..

5. Punca utama manusia terpengaruh atau mengutamakan dunia adalah nafsu. Berkata Imam Al-Mawardi rhm, “Hawa nafsu itu akan sentiasa menghalang kebaikan dan berlawanan dengan kewarasan aqal. Apa jua yang lahir dari mengikut hawa nafsu adalah akhlaq yang buruk, perbuatan yang jelek, meruntuhkan maruah seseorang dan jalan kemasukan bagi kejahatan dalam diri seseorang.”

۞ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُہَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٲلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ‌ۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرً۬ا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِہِمَا‌ۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْ‌ۚ وَإِن تَلۡوُ ۥۤاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرً۬ا (١٣٥)1

(135). Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu, kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, jangan kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [An-Nisak]

6. Apabila nafsu syahwat berjaya menguasai diri, ia pasti akan membawa manusia bersifat seperti binatang. Ini adalah kerana matlamatnya, kehendaknya dan kerunsingannya adalah berlegar disekitar memenuhi kelazatan dan kehendak nafsunya. Bagi orang yang telah menjadikan melayan nafsu sebagai tabiatnya, sifat-sifat berikut akan terjelam dari diri mereka:

  • Kurang perasaan malu untuk berbuat kemaksiatan tetapi malu untuk berbuat baik.
  • Perangai kebodohan akan semakin terserlah.
  • Liar dari mendekati orang-orang beragama @ baik.
  • Membenci orang berilmu dan kebaikan. Kebaikan itu akan disukai jika ia memberi keuntungan kepadanya.
  • Suka bergaul dengan orang berdosa.
  • Suka kepada perkara sia-sia (tidak berpahala) dan majlis lagha.
  • Tidak serius didalam kerja.
  • Secara perlahan-lahan akan terjebak didalam perkara yang membahayakan diri sendiri. Sampai satu keadaan, mereka akan membahayakan orang lain pula.
  • Mencari rezeki dari sumber syubhat dan haram
  • Suka berbohong dan berkhianat.

Habis untuk kali ini. Akan kembali lagi….. إن شاء الله

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya. [HR Bukhari]

جزاك الله خيرا

Sumber hadith dari eHadith JAKIM

Ahad, Disember 28, 2014

BBK 59. Hawa Nafsu Dan Kemudaratannya (2)

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Keadaan banjir yang melanda kebanyakkan negeri-negeri  di Semenanjung masih belum reda. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada sahabat-sahabat kita yang sedang diuji ketika ini. Kepada mereka-mereka yang berusaha keras membantu mangsa-mangsa banjir, semoga Allah SWT memberikan kebaikkan kepada mereka semua.

Diberitakan bahawa sebuah pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal dari Bandara Juanda Surabaya ke Singapura, terputus hubungan pagi ini. Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Pesawat yang berlepas pada 5.20 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB), sepatutnya tiba di Singapura pada jam 8.30 pagi waktu tempatan.

Kita doakan kebaikkan dari Allah SWT untuk mereka semua.

IMG_20130418_162645

Di posting kami yang lalu, telah diajukan 3 makna kepada apa yang dikatakan hawa nafsu iaitu:

  1. Kehendak hati yang kuat untuk melakukan sesuatu yang kurang baik.
  2. Kecenderungan diri untuk mencapai kelazatan apa yang diingini tanpa memikirkan akibatnya; dan
  3. Perkara yang diingini (oleh diri manusia).

Kami akan sambung lagi apa yang dinukilkan oleh tuan punya buku…..

4. Daripada ketiga makna diatas dapatlah kita simpulkan bahawa tabiat manusia adalah suka mencapai kelazatan dengan perkara yang diingini yang terdiri daripada perkara keduniaan (barang dan pangkat). Keinginan mereka ini akan membuatkan mereka mengosongkan diri mereka daripada mentaati hukum hakam Allah SWT. Akibatnya, mereka menjatuhkan martabat kemanusiaan mereka yang telah dimuliakan oleh Allah SWT sehingga ke peringkat yang lebih rendah daripada binatang.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ (١٤)1

(14). Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan, anak pinak dan harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Kesemuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia, dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). [Ali Imron]

  • Sifat dihiaskan ini adalah satu ketetapan Allah SWT @ sunnatullah sejak manusia itu dilahirkan ke dunia.

أَفَرَءَيۡتُمُ ٱللَّـٰتَ وَٱلۡعُزَّىٰ (١٩) وَمَنَوٰةَ ٱلثَّالِثَةَ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ (٢٠) أَلَكُمُ ٱلذَّكَرُ وَلَهُ ٱلۡأُنثَىٰ (٢١) تِلۡكَ إِذً۬ا قِسۡمَةٌ۬ ضِيزَىٰٓ (٢٢) إِنۡ هِىَ إِلَّآ أَسۡمَآءٌ۬ سَمَّيۡتُمُوهَآ أَنتُمۡ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِہَا مِن سُلۡطَـٰنٍ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَمَا تَهۡوَى ٱلۡأَنفُسُ‌ۖ وَلَقَدۡ جَآءَهُم مِّن رَّبِّہِمُ ٱلۡهُدَىٰٓ (٢٣)1

(19). (setelah kamu – Wahai kaum musyrik Mekah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampat bahawa “Al-Laat” dan “Al-Uzza (20). serta “Manaat” yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? (21). Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci, lalu kamu tanam mereka hidup-hidup)? (22). Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil. (23). (Hakikatnya) benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu yang menamakannya. Allah sekali-kali tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, (sebenarnya) tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya, padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka. [An-Najm]

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ (١٧٩)1

(179). dan sesungguhnya Kami telah jadikan penghuni nereka jahanam itu, banyaknya dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya( ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-‘Araf]

  • Mereka menjadi demikian kerana menuruti hawa nafsu mereka. Surah Al-‘Araf adalah surah yang ada menceritakan kisah umat-umat terdahulu yang mengikut hawa nafsu.

Sampai kat sini dulu. Akan disambung lagi….. إن شاء الله

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak. [HR Abu Daud]

جزاك الله خيرا

Jumaat, Disember 26, 2014

BBK 58. Hawa Nafsu Dan Kemudaratannya

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

No2511

Banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur semakin buruk.

Dilaporkan lebih 100k mangsa berada di pusat-pusat perlindungan ketika ini.

Kita doakan semoga Allah SWT memberikan RahmatNya kepada kita semua terutama mereka-mereka yang ditimpa dugaan besar ini.

Hari ini, 26/12/2014 merupakan hari memperingati peristiwa Tsunami Acheh. Sudah 10 tahun peristiwa itu berlaku. الله أكبر

Kami telah berkongsi secara umum apa dia yang dikatakan Musuh Manusia 3+1 pada 4 postings kami yang lalu. Izinkan kami untuk sharing topik 3+1 itu secara sedikit specific.

Boleh ke tak boleh, kami akan proceed juga….. jangan marah….. nanti kena jual.

Kami mulakan Hawa Nafsu dan Kemudaratannya…..

1. Hawa adalah kalimah arab yang bermaksud kosong dan jatuh ke bawah. Asalnya adalah udara yang berada diantara langit dan bumi. Perkataan nafsu pula bermaksud diri manusia.

Masyarakat Melayu sering menggandingkan perkataan hawa dan nafsu. Ia sebenarnya bermaksud hawa yang berada didalam diri manusia. Mengikut Kamus Dewan, hawa nafsu bermaksud kehendak hati yang kuat untuk melakukan sesuatu yang kurang baik.

Jika diperhatikan, apa jua yang lahir dari hawa nafsu, secara perlahan akan menjatuhkan pelalunya ke bawah kerana orang yang mengikut hawa nafsu mereka sebenarnya mengosongkan hati mereka dari arahan Allah SWT.

قُلۡ أَنَدۡعُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَىٰٓ أَعۡقَابِنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَٮٰنَا ٱللَّهُ كَٱلَّذِى ٱسۡتَهۡوَتۡهُ ٱلشَّيَـٰطِينُ فِى ٱلۡأَرۡضِ حَيۡرَانَ لَهُ ۥۤ أَصۡحَـٰبٌ۬ يَدۡعُونَهُ ۥۤ إِلَى ٱلۡهُدَى ٱئۡتِنَا‌ۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰ‌ۖ وَأُمِرۡنَا لِنُسۡلِمَ لِرَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٧١)1

(71). katakanlah “Patutkah kami menyeru serta menyembah Tuhan selain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita. Dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), (Jika kami menurut kehendak kamu, keadaan kami ini samalah) seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi (ditempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. [Al-An’aam]

  • Ayat ini diturunkan setelah orang musyrik Mekah cuba mengajak mereka yang beriman supaya kembali kepada agama datuk nenek moyang mereka.
  • Perkataan  ٱسۡتَهۡوَتۡ  bermaksud meminta supaya ikut hawa nafsu mereka supaya kembali kepada agama datuk nenek moyang.
  • Orang yang bingung adalah orang yang kosong aqalnya.

مُهۡطِعِينَ مُقۡنِعِى رُءُوسِہِمۡ لَا يَرۡتَدُّ إِلَيۡہِمۡ طَرۡفُهُمۡ‌ۖ وَأَفۡـِٔدَتُہُمۡ هَوَآءٌ۬ (٤٣)1

(43). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke Padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka engan mata tidak berkedip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas). [Ibrahim]

2. Hawa nafsu mengikut takrif Al-Kafawi adalah kecenderungan diri untuk mencapai kelazatan apa yang diingini tanpa memikirkan akibatnya.

3. Perkataan syahwat didalam bahasa arab membawa maksud perkara yang diingini. Didalam masyarakat, kita biasa mendengar perkataan nafsu syahwat. Ia bermaksud apa yang diingini oleh diri manusia. Sudah tentu pula hawa itu berperanan besar untuk mencapainya.

Kami stop kat sini dahulu. To be continued…..  إن شاء الله

جزاك الله خيرا

Khamis, Disember 25, 2014

BBK 57. Musuh Manusia 3 + 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Selepas mengenali dengan pasti musuh manusia 3+1, hari ni kami caring dan sharing 3 point terakhir. Point agar manusia, akan dan boleh meyedari bahawa kita akan terus menerus diasak oleh 4 unsur itu sepanjang kehidupan kita. Apakah senjata yang perlu kita semua ada? Jom jom jom…..

IMG_20130625_1250368. Ilmu adalah permulaan untuk manusia melihat Allah SWT. Ilmu yang paling tepat adalah ilmu Al-Quran dan Al-Hadis yang sohih. Apabila menuntut ilmu, kita bukan sahaja mempelajari bagaimana untuk mendekatiNya dengan melakukan amal soleh, kita juga wajib belajar perkara jahat untuk mengelakkan gangguan musuh kita. Kita belajar perkara jahat supaya:-

  • Kita tidak menjadi jahat. Kita perlu mengetahui bahawa sifat kejadian dalaman diri manusia (sifat khuiuqiyahnya) adalah sangat negatif dan sangat mudah untuk berlaku kufur kepada Allah SWT.
  • Kita mudah untuk memelihara diri dan berhati-hati dari kejahatan. Inilah makna taqwa. Amao soleh akan terhalang apabila kita tidak menjaga diri daripada perkara jahat. Amal soleh juga boleh terbatal apabila kita tidak mengawasi syarat-syaratnya.
  • Kita mengetahui batas baik(iman) dan jahat (kufur). Sikap melampau dan mengurang (mengambil ringan) akan menjerumuskan manusia dalam perkara jahat. Ada banyak keadaan, apabila manusia berurusan dengan dunia, secara tidak sedar, mereka akan terjebak menjadi jahat. Akibatnya, amalan agama akan semakin berkurangan diamalkan. Ia berpunca daripada perkara jahat.
  • Apabila kita nampak perkara jahat, ia mesti dihalang. Ia adalah satu kewajipan dakwah. Jika kita tidak berusaha menghalangnya, kejahatan akang menjangkit kepada diri kita dan keluarga kita.
  • Kita dapat menyelamatkan orang jahat atau menyelamatkan mereka yang terpengaruh dengan perkara jahat. Ia sangat sesuai dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud, tolonglah saudaramu yang zalim dan yang kena zalim.
  • Kita akan semakin rapat dengan Allah SWT. Didalam satu keadaan, Allah SWT akan menghukum dengan belitan kejahatan kepada sesiapa yang menderhaka kepadaNya. Didalam satu keadaan yang lain pula, tiada cara untuk selamat daripada kejahatan melainkan dengan pertolongan Tuhan.
  • Ia melahirkan rasa mujahadah yang berpanjangan. Inilah makna istiqamah yang sebenar. Oleh sebab itu, didalam beragama, tiada istilah cuti dalam beriman.

9. Nabi SAW ada meyatakan sifat siratul mustaqim. Tujuan menuntut ilmu adalah untuk pelihara diri daripada tipudayanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Allah SWT membuat perumpamaan tentang Siratul Mustakim bahawa kedua belah jalan itu ada dua dinding yang tinggi. Pada kedua dinding tinggi itu ada beberapa buah pintu terbuka dan diatas tiap pintu itu ada langsir yang menutup. Dihujung jalan yang lurus ada seorang berdiri memanggil-manggil, “Wahai manusia! Masuklah kedalam Sirat kesemuanya dan jangan kamu berpecah belah. Ada pula seorang penyeru diatas Sirat. Maka apabila manusia cuba membuka salah satu pintu itu, berkatalah dia, “Celakalah kamu, jangan buka pintu itu.” Kalau ia buka juga, nescaya ia akan terperosok kedalam.

Seterusnya baginda bersabda, “Jalan Sirat itu adalah Islam, kedua dinding adalah batas-batas yang ditentukan oleh Allah SWT, pintu-pintu adalah perkara yang diharamkan, penyeru dihujung jalan adalah Al-Quran, penyeru diatas adalah wa’iz dari Allah SWT yang ada didalam setiap diri muslim.

10. Apa jua perkara jahat dan dosa yang manusia lakukan, ia pasti berhadapan dengan hukuman ‘cash’ daripada Allah SWT ketika di dunia. Hukuman itu juga akan berlaku di akhirat selepas kematian kita.

  1. Adapun hukuman di dunia, ia akan
    i.  Dikeraskan hati
    ii. Dibutakan hati
    iii. Hawa nafsu akan menguasai diri
    iv. Dibelit oleh musuh 3+1
    v.  Dibelit dengan persekitaran yang jahat
  2. Adapaun hukuman di akhirat, ia terlalu banyak dan sifatnya kekal abadi
    i.  Azab seksa didalam kubur
    ii. Azab seksa di Padang Mahsyar (50,000 tahun)
    iii. Azab dalam neraka

Habis…..

Samada sedar atau tidak sebenarnya pertembungan dengan 4 musuh itu sentiasa berlaku didalam diri kita. Setiap keputusan yang kita buat dan kita pilih samada baik atau buruk adalah selepas pertempuran dalam diri kita.

Dilain kesempatan kami akan berkongsi isu Hawa Nafsu. إن شاء الله

جزاك الله خيرا

Sumber: Buku Pelengkap Tiga Serangkai Sistem Tarbiyah Rabbaniyah Dan Kepimpinan Al-Quran Menerusi Tadabur Al-Quran ms 19-22 [Ustaz Hj Suhaimi Bin Kassim – Madrasah Al-Barakah]

Rabu, Disember 24, 2014

BBK 56. Musuh Manusia 3 + 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Empat point telah diutarakan. Kami sambung ke point seterusnya…..

IMG_20130704_081542

5. Oleh kerana hawa nafsu ini ada sunnatullahnya (undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT) maka untuk mengawalnya, kita memerlukan ilmu dan bimbingan dari Allah SWT. Tiada cara untuk mengawalnya melainkan dengan merujuk kepada Allah SWT yang menjadi tuanpunya hawa nafsu itu.

6. Dengan kekufuran inilah, ia menjadi sebab bermulanya gangguan iblis dan aulianya. Aulianya adalah golongan jin  dan manusia. Golongan manusia pula diketuai oleh pemimpin dan ulamak*. Gangguan ini tidak mungkin akan berlaku melainkan setelah kita membuka pintu kepadanya untuk menggangu kita. Hakikatnya, tiada siapa yang boleh terlepas dan mampu mengatasi daripada gangguannya melainkan ia mesti kembali berlindung dengan Allah SWT daripada kejahatannya. Oleh kerana itu, amalan isti’azah adalah amalan yang sangat dituntut keatas kita untuk melakukannya setiap hari.

7. Musuh manusia 3 + 1 adalah termasuk didalam perkara aqidah yang menghalang manusia memasuki syurga Allah SWT. Oleh kerana itulah para ulama, mengatakan bahawa menuntut ilmu itu adalah ibadah paling utama selepas amalan fardhu. Ini adalah kerana, tanpa ilmu manusia tidak mungkin mengetahui tipudaya musuh. Musuh yang dimaksudkan disini adalah:

  • Hawa Nafsu
  • Syaitan Jin
  • Syaitan Manusia
  • Dunia

Asalnya dunia bukanlah musuh manusia. Ia hanya akan menjadi musuh yang akan memasukkannya kedalam neraka apabila manusia mensyirikkan Allah SWT dengannya.

Keempat-empat musuh telah diperkenalkan. Sampai kat sini buat kali ini. Tiga lagi point terakhir akan kami kongsi-kongsikan dan share-sharekan dilain kesempatan. Sharing-sharing caring-caring. إن شاء الله

جزاك الله خيرا

* Dalam kisah nabi-nabi golongan pemimpin dan ulamak yang memberi tentangan kepada dakwah nabi dan rasul.

Isnin, Disember 22, 2014

BBK 55. Musuh Manusia 3 + 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Sambungan dari BBK 54, kami akan berkongsi apa yang dikatakan Musuh Manusia 3 + 1 itu. Pembicaraan kali ini serba-sedikit memberi gambaran apa atau siapa musuh-musuh yang consistently dan continuously menggangu dan menghantui kita. Musuh-musuh yang teramat dekat dan teramat melekat pada diri kita.

No2572

Kami mulakan…..

1. Di dalam Al-Quran, ayat yang menceritakan pertembungan dan pertarungan di antara kebenaran dan kebatilan adalah hampir sama banyak. Ia adalah satu ketetapan (sunnatullah) daripada Allah SWT yang Maha Bijaksana yang mana tujuannya adalah untuk menguji mereka sejauhmana keimanan mereka kepadaNya dan untuk membezakan siapa yang bersungguh untuk mencapai keredhaanNya.

2. Allah SWT telah menyatakan bahawa Iblis laknatullah adalah musuh manusia sejak ia dilahirkan. Ia adalah dari kalangan bangsa jin. Dia telah bersumpah di hadapan Allah SWT untuk menyesatkan seramai mungkin umat manusia. Seperti mana nikmat Allat SWT, kita nikmati setiap kali nafas disedut dan dihembuskan, begitu juga gangguan musuh manusia yang diketuai oleh Iblis laknatullah. ia tidak akan berhenti daripada menipu dan menyekat manusia daripada mentauhidkan Allah SWT.

3. Gangguan musuh yang datang menyerang manusia berlaku secara berperingkat. Ia bermula dengan pilihan manusia melayan hawa nafsunya. Subur dan sihatnya hawa nafsu, sangat berkait rapat dengan dunia yang direzekikan kepada kita. Dari satu sudut pandang yang lain, dengan dunia yang dikurniakan kepada manusia, ramai yang mengambil ringan akan masalah bersyukur kepada Allah SWT. Tanpa mereka sedari, mereka sedang melakukan kekufuran kepadaNya.

4. Kekufuran ini sebenarnya mengundang kemurkaan Allah SWT. Akibatnya ia akan dihukum dengan belenggu syaitan iblis.

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)1

(16). Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; (17) “Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. [Al-‘Araaf]

وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُ ۥ شَيۡطَـٰنً۬ا فَهُوَ لَهُ ۥ قَرِينٌ۬ (٣٦) وَإِنَّہُمۡ لَيَصُدُّونَہُمۡ عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَيَحۡسَبُونَ أَنَّہُم مُّهۡتَدُونَ (٣٧)1

(36). dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (37). dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalang mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [Az-Zukhruf]

Kami berhenti sampai point no.4 dahulu. Terdapat  3 musuh manusia yang diperkatakan pada 4 point diatas. Satu lagi belum diperkatakan. Ada 6 point lagi yang akan kami caringkan dan sharingkan dilain kesempatan. إن شاء الله

جزاك الله خيرا

Sabtu, Disember 20, 2014

BBK 54. Musuh Manusia 3 + 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Setahun telah berlalu….. bila nak memulakan semula apa yang telah kita sendiri stopkan….. terasa buntu….. tak tahu apa nak buat….. tak pasti nak mula dari mana.

Tapi….. kena mulakan juga.

Kami dah pilih topik yang bakal kami share dengan kawan-kawan….. Musuh Manusia 3 + 1 tajuknya.

Sebelum tu sedikit update atau peristiwa yang keluarga kecil kami alami dan juga perkembangan taman kami ini…..

Setahun berlalu bermacam peristiwa kami lalui. Dalam keluarga kecil kami…..

Abah meninggal dunia, Graduation Abang dan kakak. Dah bekerja pun dua anak kami tu.. Anak ketiga dalam minggu-minggu terakhir buat praktikal kat Perpustakaan Awam Seremban. Anak bongsu pula di semester 3 kat KUIS.

Latest news….. bulan lepas, 23/11/2014 abang bertunang.

Perkembangan taman kami pula…..

IMG_20130831_092634Aktiviti kat surau sekarang ni boleh dikatakan penuh. Malam-malam Selasa, Rabu, Khamis dan Sabtu ada kuliah. Malam Jumaat….. kebiasaan….. bacaan Yasin dan tahlil. Subuh Ahad pun ada kuliah. Malam Ahad dan Isnin….. hmmmmm….. aktiviti bebas.

Nak sentuh sikit berkenaan dengan kuliah kat surau kami ni. Kami dapat rasakan dalam masa terdekat ini akan ada atau dah ada pun berlaku pertembungan. Pertembungan dalam minda aktivis surau kami.

Pertembungan apa yang dikatakan apa nama tu….. antara fahaman golongan tua dan fahaman golongan muda.

Tauhid sifat 20 vs Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma Wa Sifat.

Gelaran komersial yang diberikan kepada mereka-mereka atau sapa-sapa yang tidak  berpegangan dengan sifat 20 ini ialah “Wahabi”.

Kat taman kami ni majoriti tipis adalah golongan yang dah pencen. Tapi mereka-mereka ini kami lihat berpandangan terbuka. Boleh menerima apa yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang memimpin kuliah.

Kita tunggu dan lihat sahaja. Waktu-waktu mendatang yang akan menghurai dan merungkai isu berkenaan. Buat masa ini semuanya smooth sailing.

Habis update…..

Tajuk kami ambil dari buku yang dihasilkan oleh salah seorang ustaz yang mengajar kat taman kami ini.

Sebagai pengenalan kami ambil sedikit apa yang dituliskan dan yang ingin disampaikan oleh ustaz dalam muqaddimah buku beliau…..

“Kepimpinan Al-Quran tidak akan lengkap jika penuntutnya tidak memahami konsep ‘enjin’ hatinya. Mereka juga perlu nampak dengan matahatinya bagaimana musuh mereka 3 + 1 sentiasa menyerang mereka. Serangan yang tidak akan berhenti sehingga mati menjemput kita. Hanya mereka yang membenteng hati sahaja yang dapat terselamat daripada serangan yang sangat manipu daya ini.” 

Cukup sampai disini dahulu. Jumpa lagi…..

جزاك الله خيرا

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India