DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Isnin, Januari 28, 2013

BSK 342. Sembahyang tinggal

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم

Kita masih di bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Perbanyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w. semoga hati kita lembut dan mengasihi dan mencintai Baginda  melebehi sesiapa jua termasuk diri sendiri.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Kami nak berkongsi satu perkara yang selalu diperingatkan kepada kita oleh ramai orang. Kami pasti semua mengetahui peringatan ini. Disini kami cuma nak refreshkan peringatan itu.

No2456Rasulullah s.a.w ditanya oleh para sahabat, ya Rasulullah apakah seksaan orang-orang yang meninggalkan dan mentak’hir (melewat-lewatkan) waktu sembahyang?

Jawab Baginda s.a.w. : “Seksaan orang-orang yang meninggalkan dan mencuaikannya, maka Allah s.w.t. akan membalasnya dengan 15 bala (seksaan)”.

Para sahabat bertanya lagi, apakah seksaan itu ya Rasulullah?

Jawab Rasulullah s.a.w. : “ Bahawa enam macam seksaan akan diterima sewaktu di dunia (sepanjang hayat), tiga seksaan semasa ketika hendak mati (sampai ajalnya), tiga seksaan sewaktu di alam kubur dan tiga seksaan lagi ketika menemui Allah s.w.t. di hari berbangkit.”

Para sahabat Nabi s.a.w. bertanya lagi, apakah bentuk seksaan Allah s.w.t. ketika di dunia akibat perbuatan suka meninggalkan dan melewat-lewatkan sembahyang itu?

Dengan pantas Rasulullah s.a.w. menjawab …..

  1. Umurnya tidak diberkati oleh Allah s.w.t., mereka akan hilang berkat umurnya yakni hidup percuma sahaja dengan kekosongan. Walau pun kelihatan hidupnya mewah kemewahannya itu hanya pandangan umum sahaja, rezekinya juga kurang berkat dan seandainya dia kelihatan kaya raya, tetapi kekayaan itu menjadi  laknat baginya.
  2. Terhapus tanda soleh di mukanya. Allah Taala juga akan menghilangkan tanda orang soleh di mukanya dan dia tidak diakui termasuk dalam golongan Islam (dia dimasukkan di dalam golongan munafik yang hanya pada zahirnya sahaja Islam tetapi batinnya munafik).
  3. Segala amalan kebajikannya tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. seperti sedekahnya tidak akan mendapat pahala dan sebagainya.
  4. Doanya tidak akan naik ke langit kerana pintu langit tertutup.
  5. Segala makhluk benci kepadanya (samada golongan manusia yang beriman, haiwan dan segala apa yang dijadikan oleh Allah di alam ini).
  6. Tidak terpelihara bagi ugama Islam, kerana kalaulah sembahyang yang diwajibkan itu sebagai tiang agama berani ditinggalkannya sudah tentulah ia lebih lagi akan mensia-siakan kewajipan ugama yang lain.

Lalu para sahabat bertanya lagi, apakah seksaannya ya Rasulullah ketika hampir ajal?

Jawab Baginda…..

  1. Matinya dalam keadaan kehinaan, yakni pencabutan nyawanya itu oleh malaikat Izrail tanpa belas kasihan.
  2. Matinya dalam kelaparan, kelaparan bukan kerana tidak ada makanan yang disediakan, sebaliknya tidak ada nafsu makan akibat terlalu sakit ketika rohnya hendak keluar.
  3. Matinya dalam keadaan paling dahaga dan boleh diibaratkan jika diberi air minuman yang ada di dunia ini, dahaganya masih tidak hilang.

Para sahabat bertanya lagi, apakah seksaan ketika di alam kubur ya Rasulullah?

Jawab Baginda…..

  1. Allah s.w.t. akan menyempitkan dan menggelapkan kuburnya. Para malaikat disuruh menyeksa tidak henti-henti sehinggalah hari kiamat, begitu juga kepada mereka yang melengah-lengahkan sembahyang itu disifatkan sebagai orang munafik.
  2. Mayatnya akan disalaikan dengan api neraka didalam kubur itu sehingga hari berbangkit.
  3. Allah s.w.t. akan menyuruh ular bernama Saja’ul Akra, ular itu lain dari yang lain kerana matanya dari api dan bertangan dengan mempunyai kuku dari besi. Saja’ul Akra akan membawa alat pemukul dari besi menemui mayat sambil mengeluarkan suara halilintar katanya “Aku disuruh oleh Tuhan ku untuk memukul engkau kerana engkau telah meninggalkan fardu subuh hingga masuk waktu Zohor, kemudian dari Zohor hingga Asar, dari Asar ke Maghrib, Maghrib ke Isya’ sampai waktu Subuh semula”. Ular itu terus memukul hingga terbenam beberapa hasta kedalam bumi, setelah itu dikoreknya dengan kukunya yang panjang dan dipukul lagi, begitulah keadaan mayat itu sehingga sampai ke hari kiamat.

Para sahabat bertanya lagi, apakah seksaannya ketika bertemu dengan Allah s.w.t.?

Jawab Baginda…..

  1. Allah sangat murka kepadanya.
  2. Allah akan mengutus malaikat iaitu malaikat Zabaniah. Pada hari kiamat akan didatangkan malaikat dengan rantai yang panjang, rantai itu akan diikat pada leher orang yang meninggalkan sembahyang lalu dimasukkannya ke dalam mulut dan dikeluarkan melalui duburnya. Malaikat itu akan menarik dan menyentap-nyentap dalam keadaan tunggang-langgang sambil ia berteriak “Inilah balasan bagi orang yang meninggalkan sembahyang yang difardhukan”.
  3. Kemudian mereka akan dicampakkan ke dalam neraka Saqar. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Muddasir ayat 42, dengan cara menghina yang bermaksud “Kata Allah, apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka Saqar ini? Kata mereka (penghuni dengan rasa sedih dan kesal), adalah kami ini orang-orang yang meninggalkan sembahyang”.

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Sehampir-hampir seseorang hamba itu kepada Tuhannya ialah semasa ia sujud”.

Itulah refresher yang kami nak share. Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon supaya Engkau melindungi kami daripada kejahatan pendengaran kami, pandangan kami, pertuturan kami, hati kami dan juga daripada kejahatan mengungkit-ungkit. Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari kemalasan serta lanjut usia dan buruknya perbuatan di masa tua, dari godaan-godaan dunia dan dari siksa kubur. Amin.

Wassalam.

Sumber: Panduan Sembahyang Fardu dan Jenazah Serta Himpunan Sembahyang-sembahyang Sunat (Fardu Ain) – Susunan Ustaz Haji Abu Zaki Bin Haji Yusof

Khamis, Januari 24, 2013

BSK 341. Kenapa kita berselawat?

Bismillah.
Assalamualaikum.

Hari ni, 12 Rabiul Awal 1434H bersamaan 24 Jan 2013 umat Islam meraikan Maulidur Rasul.

No2494

Perbanyakkan selawat kepada Baginda Nabi s.a.w kerana ada banyak kelebihannya. Dimana maksud berselawat itu ialah berdoa memohon supaya Allah S.W.T melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Baginda .

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu." [HR Abu Hurairah r.a]

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia" [HR Anas r.a]

Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." [HR Ibn Mas’ud r.a]

Kita berselawat adakah kerana kita cuma mahukan kelebihan yang ada pada selawat itu sahaja atau kita sememangnya benar-benar cintai dan kasihi Nabi Muhammad s.a.w?

Jom kita renungi dan hayati perbualan Rasulullah s.a.w dengan Umar bin al-Khattab r.a.

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata: Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata: Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar: Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!

Apa yang dapat dipelajari dan perlu kita ambil ikhtibar dari perbualan tersebut:

  • Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling berhak dicintai daripada sekelian makhluk di dunia ini.
  • Mencintai baginda tidak mencukupi hanya dengan menyatakan dengan lisan tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan dan amal seperti mempraktikkan sunnahnya dan melaksanakan segala ajarannya.
  • Orang yang sentiasa menjaga akhlaknya dan mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak akan mendapat ganjaran syafaat daripada baginda.
  • Kita hendaklah berusaha untuk sentiasa menyuburkan iman di jiwa dan mempastikan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh baginda.

Mari kita renungi kata-kata Urwah bin Mas’fid al-Thaqafi kepada orang-orang Quraish sekembalinya beliau dari berbicara dengan Rasulullah s.a.w di Hudaybiyyah. Jom…..

“Hai kaumku, demi Allah, aku pernah menjadi utusan untuk bertemu raja-raja, aku pernah bertemu Kaisar, Kisra dan Najasi. Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat-sahabatnya sebagaimana Muhammad diagungkan. Demi Allah, kalau dia meludah, maka ludahnya disambut oleh salah seorang sahabatnya, lalu disapu di muka dan kulitnya. Kalau dia menyuruh mereka sesuatu maka cepat-cepat mereka menjalankan suruhannya. Kalau dia berwuduk, mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkan air wuduknya. Kalau dia bercakap mereka akan merendahkan suara di sisinya. Mereka tidak pernah memerhatikan dia dengan pandangan yang tajam kerana membesarkannya. Dia telah menawarkan kepada kamu satu rancangan yang baik, maka terimalah”.

Berdoalah kepada Allah SWT agar hati kita menjadi lembut untuk mencintai dan mengasihi Nabi s.a.w seperti mana para sahabat mencintai dan mengasihi Baginda.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami meridhai Allah sebagai Tuhan, kami meridhai Islam sebagai Agama dan kami meridhai Muhammad sebagai Nabi. Ya Allah, berilah kami ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepada kami dan kepada kedua ibu bapa kami dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah kami dengan rahmat-Mu kedalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh. Amin.

Wassalam.

Bersumber dari Jakim dan Yadim

Rabu, Januari 23, 2013

BSK 340. Cabaran 8.1 juta bakal jemaah haji

Bismillah.
Assalamualaikum.

Daripada Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya. [HR Bukhari dan Muslim]

No2385

Menjadi tetamu Allah SWT dan Rasul-Nya merupakan idaman tiap umat Islam seluruh dunia. Dalam normal circumstances umat Islam diwajibkan untuk menunaikan ibadah haji sekali seumur hidupnya. Tetapi tidak dinafikan ada juga insan-insan yang berpeluang melakukannya lebih dari sekali. Ada juga yang dikatakan berjaya ke sana berkali-kali. Rezeki masing-masing!  

Di negara kita angka terkini menunjukkan jumlah pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) mencapai 8.1 juta di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Kamarudin Mat Ali berkata, peningkatan jumlah pendeposit TH setiap tahun menunjukkan kesedaran orang ramai untuk membuat penyimpanan awal sebagai persediaan mengerjakan ibadat haji.

“Setiap tahun, pendeposit TH semakin meningkat hingga menyebabkan kita terpaksa memilih pencarum benar-benar layak diberi keutamaan menunaikan haji, berikutan jumlah mereka yang menunggu giliran kini berjuta orang.

“Bagi mereka yang sudah mengerjakan haji diminta memberi laluan kepada mereka yang berada di dalam senarai menunggu dan golongan pencarum berdaftar yang berusia 75 tahun ke atas.”

Umum mengetahui berdasarkan sistem kuota yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, peruntukan terkini yang diberi kepada negara kita cuma 28,000 jemaah haji sahaja. Berkemungkinan jumlah ini akan berkekalan sehingga beberapa tahun akan datang. Kita juga mengetahui sistem kuota diluar bidang kuasa kita. Pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan kuota berdasarkan 0.01% daripada penduduk sesebuah negara.

Pengalaman kami. Seingat kami, musim haji 2003 adalah tahun kuota itu dikuatkuasakan kepada negara kita. Tahun itu kami telah diminta untuk menghadiri sessi Kursus Asas Haji atau lebih dikenali Kursus Haji Bersiri. Kami juga menghadiri Kursus Intensif Haji dan juga Kursus Perdana Haji. Namun sehingga berakhir program Kursus Perdana Haji status kami masih belum dapat di confirmkan.

Sebelum Kursus Perdana Haji dan semasa program itu berjalan kedengaran  desas desus menyatakan tidak semua yang menghadiri Kursus Perdana Haji tahun itu dapat ke Mekah. Dikatakan cuma separuh sahaja jemaah yang akan menerima tawaran.

Kami akhirnya menerima confirmation menyatakan dukacita kerana tidak dapat mengerjakan haji pada tahun itu tetapi disenaraikan pada sessi musim haji tahun berikutnya.

Sebelum 2003 negara kita berupaya menghantar jemaah melebehi kuota yang ditetapkan. Dikatakan sekali ganda lagi. Namun itu cerita lama. Kini strictly quota. Permohonan beberapa negara untuk mendapatkan jumlah lebih ditolak.

Bukan negara kita sahaja yang mengalami masalah menunggu giliran. Negara lain pun mengalami perkara yang sama.

Kuota merupakan cabaran kepada bakal jemaah. Ianya juga merupakan cabaran utama TH. 8.1 juta pendeposit tentu teruja untuk mengetahui camno TH mengagih-agihkan kuota itu.

Pada hemat kami lebihkanlah kuota kepada peserta haji ‘Muassasah’. Dan bantulahlah warga emas yang berada lama dalam senarai menunggu.

Ramai jutawan Melayu kat Malaysia. Jika warga emas yang simpanannya tidak mencukupi minta bantuan jutawan-jutawan kita menambah. Minta seorang jutawan sponsor 5 pasangan atau 10 jemaah. Lebih ramai lebih baik. Maksima sponsor untuk seorang jemaah katakan RM5,000 atau lebih sikit. Baru RM50,000++ sahaja. Yang sponsor dapat menambah simpanan akhirat dan juga mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT. Contoh je nak bantu golongan warga emas yang tidak berkeupayaan.

Pengalaman kami. Perkara paling exciting mengenai muassasah semestinya penginapan jauh dari masjid dan jamrah. Setiap waktu solat kami dan wife akan menyusur jalan ke Masjidil Haram semasa di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah. Untuk melakukan lontaran pun begitu. Itu yang mengujakan. Tak percaya? Sendiri kena laluinya.

Mekah dan Madinah memang idaman semua. Berdoalah agar kita dicalonkan oleh Allah SWT menjadi tetamuNya dan tetamu RasulNya.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman, wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu. Amin.

Wassalam.

Selasa, Januari 22, 2013

BSK 339. Atok dan 16 alatan bedah dalam tubuh

Bismillah.
Assalamualaikum.

Terkedu juga dibuatnya bila kami membaca laporan dari Jerman ni. Jom baca….. 

Frankfurt: Keluarga seorang lelaki Jerman yang mati selepas seorang pakar bedah didakwa tertinggal 16 pelbagai alatan bedah dalam tubuhnya ketika satu pembedahan kanser prostat menuntut bayaran ganti rugi sebanyak AS$124,000 (RM364,573).

Dirk Schroeder, 74, menjalani pembedahan pada 2009 tetapi prosedur terbabit gagal untuk melegakan kesakitan beliau dan dalam masa tiga bulan pesakit kembali ke hospital selepas seorang jururawat yang melawatnya di rumah di Hannover menyedari pembalut luka terkeluar dari satu daripada lukanya.

Ketika menjalani dua pembedahan seterusnya sebanyak 16 alatan dikeluarkan dari tubuh mangsa termasuk jarum, gulungan pembalut enam inci, cebisan kapas dan sepasang topeng pembedahan.

Schroeder terselamat dalam pembedahan terbabit tetapi meninggal dunia tahun lalu selepas kanser beliau kembali merebak.

Keluarga mangsa kini menuntut sejumlah AS$124,000 dari hospital yang tidak didedahkan itu.

Peguam dan pakar perubatan keluarga berkenaan, Annette Corinth berkata, bahawa kesilapan seperti itu adalah unik dalam bidang perubatan.

Hospital bagaimanapun menafikan barangan terbabit tertinggal dalam badan Schroeder ketika pembedahan prostat, sebaliknya mengatakan bahawa semua barang terbabit memasuki tubuh mangsa selepas pembedahan.

Saya harap pihak hospital akan menyelesaikannya, jika tidak keluarga bersedia meneruskan saman, katanya.
Agensi

Satu peralatan tertinggal kat dalam tubuh pesakit biasa juga didengari. Tetapi bila sampai 16, tersentak juga dibuatnya. Nak cipta rekod Guinness ke?

Tak dapat dibayangkan betapa perit dan sengsara bila ada satu benda asing yang tak ada kena mengena dengan badan kita tiba-tiba berada dalam tubuh kita yang fragile ni. Ini pula 16! Giler!

Pihak hospital mengatakan semua barang terbabit memasuki tubuh mangsa selepas pembedahan. Betul ke tak betul? Hmm…..

No2493

Tak masuk akal doktor bedah dan pasukannya tertinggal atau sengaja meninggalkan benda-benda kat dalam tubuh atuk yang malang tu . Sengaja tak rasanya. Satu benda tertinggal mungkin. 16! Team Mr Bean ke?

Yang pasti orang dari sebelah sini mampu memberikan jawapan yang tepat terperinci dan bernas kepada peguam dan pakar perubatan keluarga atok malang tu. Jawapan dikira boleh selesaikan tuntutan kes saman keluarga atok tu. Tapi for sure menang hospital.

Jika diperhatikan benda yang dikeluarkan dari badan atok tu termasuk jarum, gulungan pembalut enam inci, cebisan kapas dan sepasang topeng pembedahan. Kat sebelah sini yang keluar selalunya jarum, paku dan kaca.

Well….. apa yang dunia ni tak ada? Semua adaaaa…..

So….. ya Allah ya Tuhan kami, tiadalah Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang satu, tidak ada sekutu bagiMu, kepunyaanMu kekuasaan dan segala pujian. Engkau yang menghidupkan dan mematikan dan Engkau berkuasa di atas segala sesuatu. Amin.

Wassalam.

Sumber Berita Harian 21/01/2013

Rabu, Januari 16, 2013

BSK 338. GST perlu mandat Pengguna Akhir

Bismillah.
Assalamualaikum.

“Kita mahu perbincangan itu terus diteliti dan maklumat mengenainya disebarkan kepada rakyat supaya mereka tahu serta faham, baru kita boleh melaksanakannya,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah  selepas menghadiri Program Khidmat Bakti Masyarakat anjuran Kastam Diraja Malaysia di Dewan Komuniti 1Malaysia Chemor semalam.

Beliau memperkatakan berkenaan dengan perlaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) dimana Rang Undang-Undang GST telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan kedua yang dijadualkan pada Mac 2010 ditangguhkan.

Di sesetengah negara cukai ini dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) atau Cukai Nilai Ditambah.

Menarik isu GST ini. Transformasi untuk melaksanakannya (tak silap kami) bermula 2005 tetapi sehingga ke 2013 masih belum terlaksana.

Kami nak kongsi info yang kami dapati dari suratkhabar arus perdana dan dari internet mengenai isu berkenaan. Jom…..

GST dijangka dilaksanakan di negara kita pertengahan tahun 2011 lalu bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada, tetapi sehingga kini masih tertangguh dan ditangguhkan.

GST merupakan cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. Memandangkan ia berasaskan pengenaan cukai di setiap langkah nilai ditambah, maka pungutan cukai adalah lebih kerap berbanding dengan pungutan cukai jualan dan perkhidmatan di mana cukai dikutip hanya sekali.

Dikatakan tidak semua barangan atau perkhidmatan akan dikenakan GST. GST boleh dilaksanakan ke atas bekalan bercukai sama ada pada kadar lazim ataupun sifar. Untuk bekalan yang dikecualikan, tiada GST akan dikenakan.

No2423

Barangan yang mana akan dikenakan kadar lazim, kadar sifar mahupun dikecualikan akan ditentukan oleh pihak kerajaan kelak. Kerajaan telah pun memberi jaminan bahawa sejumlah besar barangan keperluan mungkin akan dikecualikan daripada GST. Lazimnya, barangan yang dikecualikan turut merangkumi pendidikan dan kesihatan.

Perancis mula memperkenalkan cukai ini sekitar tahun 1954 dan dikatakan telah digunapakai di 160 negara termasuk negara-negara di Asia..

Malaysia merupakan antara negara tercorot ASEAN yang akan memperkenalkan cukai ini kepada rakyatnya. Jiran ASEAN yang telah mendahului kita ialah Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina

Pihak yang terbabit secara langsung dengan pelaksanaan cukai itu: 

  1. Kerajaan – pengenalan GST dilihat akan memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar Cukai Pendapatan dan Korporat pada masa hadapan. Pengurangan kadar cukai ini akan dapat menarik ramai pelabur asing masuk ke Malaysia dan secara tidak langsung akan menambahkan hasil negara. GST juga merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, cekap, telus dan berkesan. Pematuhan juga dijangka akan meningkat memandangkan untuk menuntut cukai masukan, sesebuah perniagaan harus mendaftar dan menyimpan akaun dengan teratur.
  2. Perniagaan - dari aspek bisnes atau perniagaan, GST adalah cukai yang neutral. Walaubagaimanapun, bisnes/perniagaan akan mendapati bahawa kos pentadbiran akan meningkat untuk memastikan yang cukai keluaran dan cukai masukan yang dicaj/dituntut adalah tepat dan betul bagi mengelak penalti.
  3. Pengguna Akhir (rakyat) – pengguna akhir iaitu rakyat secara kasarnya dilihat terpaksa menanggung keseluruhan cukai yang diserahkan oleh pembekal dan pengilang kepada Kerajaan.

Diwar-warkan bahawa dengan pengenalan GST rakyat meraih keuntungan yang lebih banyak sekiranya dibandingkan dengan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang sedia ada.

Ketika ini Cukai Jualan dan Perkhidmatan dikenakan pada kadar 10 peratus hingga 15 peratus berbanding dengan GST yang hanya mengenakan satu kadar yang berpatutan yang mungkin adalah lebih kurang daripada cukai sedia ada.

Kadar GST yang dikenakan oleh jiran ASEAN kita adalah diantara 5% hingga 12%.

Ketika ini golongan tertentu dalam masyarakat sahaja yang membayar Cukai Pendapatan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan tetapi dengan GST segenap lapisan masyarakat bukan sahaja perlu tetapi terpaksa membayarnya.

Pelaksanaan dilihat memberi kelebihan kepada kerajaan dan menampakkan kekurangan pada Pengguna Akhir atau rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

Kelebihan - pelaksanaan GST memberi kelebihan terutamanya kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat. Asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut. Ia juga mudah difahami oleh rakyat berbanding cukai yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan. Ia juga dapat mengurangkan beban pembayar cukai kerana jumlah yang membayar cukai pendapatan hanya beberapa peratus berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.

Kekurangan – dalam sistem percukaian yang digunakan ketika ini golongan berpendapatan rendah tidak dikenakan cukai. Tetapi selepas pelaksanaan GST, mereka bakal dikenakan cukai secara tidak langsung yang dipindahkan kepada perkhidmatan dan barangan. Bagi rakyat berpendapatan rendah, hakikat itu mungkin satu bebanan berbanding dengan golongan kaya yang mendapat kelebihan kerana tidak lagi perlu membayar cukai yang tinggi serta beberapa cukai yang dikecualikan.

Pelaksanaan GST telah beberapa kali ditangguhkan sehinggalah ke hari ini. Why?

Kerana ada kerajaan yang tumbang apabila memperkenalkan GST kepada rakyatnya!

Persoalan yang kita sebagai Pengguna Akhir perlu jawab adalah samada kita perlu memberi mandat kepada pihak yang mahu mengintroduce GST kepada kita.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan kami sesudah Engkau beri pertunjuk kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya. Amin.

Wassalam.

Jumaat, Januari 11, 2013

BSK 337. Sebak melihat Ansar menangis

Bismillah.
Assalamualaikum.

Safar 1434H berada dipenghujung. Akan menjelang pula Rabiul Awal. Kita akan menyambut maulidur Rasul s.a.w kurang dua minggu lagi iaitu pada 24 Jan 2013.

Nabi s.a.w dilahirkan di Mekah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun pertama peristiwa gajah. Ada juga yang mengatakan 09 Rabiul Awal.

*“Sesungguhnya Allah memilih daripada anak Ibrahim akan Ismail dan daripada anak Ismail akan Kinanah. Daripada anak-anak Kinanah Allah memilih Quraish. Dan daripada Quraish dipilih-Nya anak pinak Hashim dan aku dipilih daripada anak pinak Hashim.”

“Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya lalu dijadikan aku yang terbaik antara kumpulan-kumpulan makhluk dan yang terbaik antara dua kumpulan. Kemudian Allah memilih kabilah-kabilah lalu dijadikan aku daripada kabilah yang terbaik, kemudian Allah memilih keluarga-keluarga lalu dijadikan aku daripada keluarga mereka yang terbaik, maka akulah yang terbaik jiwanya dan keluarganya dikalangan mereka.”

Sempena sambutan Maulidur Rasul 1434H kami ingin berkongsi satu peristiwa yang berlaku diantara orang-orang Ansar dan Nabi s.a.w.

Peristiwa disebabkan oleh pembahagian harta rampasan perang Hunayn yang disimpan di Ja’ranah.

No2407

Umat Islam memperolehi harta rampasan yang begitu banyak dalam perang itu. Perang yang bermula di Hunayn dan berakhir di Taif terjadi selepas pembukaan Kota Mekah. Pembukaan Kota Mekah menyaksikan berbondong-bondong warga Mekah menerima Islam.

Jom ikuti…..

*Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudry katanya:

Apabila Rasulullah s.a.w membahagikan kepada orang-orang Quraish dan kabilah-kabilah Arab pembahagian harta rampasan itu sedangkan orang-orang Ansar tidak mendapat apa-apa. Timbullah rasa tidak senang hati dalam diri mereka sehingga banyak diperbualkan di kalangan mereka. Hinggakan ada seorang di kalangan mereka yang berkata: Demi Allah Rasulullah s.a.w telah pun bertemu kaumnya.

Lalu Saad bin Ubadah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: “Wahai Rasulullah, orang-orang Ansar ini merasa tidak senang dengan kamu berkaitan dengan harta-harta yang kamu dapati, kamu bahagikan di kalangan kaummu sahaja dan kamu serahkan pemberian yang besar-besar kepada kabilah-kabilah Arab sedangkan orang-orang Ansar ini tidak mendapat apa-apa pun”.

Rasulullah s.a.w berkata: “Jadi kamu berada di pihak mana hai Saad”? Jawabnya: “Wahai Rasulullah, tentu aku di pihak kaumku”. Baginda berkata: “Kalau begitu kumpulkan kaummu di lapangan ini”.

Lalu Saad pun keluar untuk memanggil orang-orang Ansar untuk berkumpul di lapangan tersebut tetapi ada juga orang-orang Muhajirin yang datang tapi mereka tidak dipedulikan. Kemudian datang sekumpulan yang lain lalu mereka disuruh berpatah balik.

Setelah semua orang Ansar berkumpul untuk bertemu Rasulullah s.a.w Saad pun datang kepada baginda dan berkata: Orang-orang Ansar ini telah pun berkumpul untuk bertemumu.

Kemudian Rasulullah datang kepada mereka lalu memuji Allah dan berucap: “Hai sekelian orang Ansar, cakap-cakap apa yang sampai kepadaku ini? Dan apakah yang tidak menyenangkan kamu terhadap diriku? Bukankah aku datang kepadamu sedangkan ketika itu kamu adalah orang-orang yang sesat lalu Allah memberikan hidayah kepadamu. Bukankah kamu dulu orang yang miskin lalu Allah kayakanmu, dan bukankah kamu dulu orang yang bermusuhan lalu Allah jinakkan hatimu”. Mereka menjawab: “Bahkan Allah dan Rasul-Nya yang lebih besar kurniaan-Nya”.

Kemudian baginda berkata: “Tidakkah kamu mahu menyahutku hai orang-orang Ansar”? Mereka bertanya: “Apa yang nak kami sahuti ya Rasulullah? Sedangkan anugerah dan kurniaan itu milik Allah dan Rasul-Nya”. Rasulullah berkata: “Demi Allah, kalau mahu kamu boleh mengatakan dan nescaya kamu akan dibenarkan. Dahulu kami datang kepadamu padahal engkau didustakan lalu kami yang membenarkan engkau dan engkau tidak diberikan pertolongan lalu kamilah yang membantumu, dahulu engkau diusir dan kamilah yang membantumu dan engkau dalam keadaan miskin lalu kamilah yang menampung keperluanmu”.

“Hai orang Ansar apakah kamu rasa dirimu masih lagi terpaut pada dunia, dunia yang aku jadikan alat untuk melembutkan hati satu kaum untuk menerima Islam sedangkan keislaman kamu aku benar-benar telah meyakininya? Tidakkah kamu rela hai sekelian orang-orang Ansar membiarkan mereka membawa pergi kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah s.a.w ke kampungmu? Demi diri Muhammad yang ada dalam kekuasaan-Nya, kalaulah tidak adanya hijrah nescaya aku termasuk salah seorang dari orang-orang Ansar. Kalau manusia melalui satu lorong dan orang Ansar pula melalui lorong yang lain nescaya aku akan melalui lorong orang-orang Ansar. Ya Allah rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak orang Ansar dan cucu cicit orang-orang Ansar”.

Mendengar kata-kata baginda orang Ansar menangis sehingga air mata mereka membasahi janggut. Mereka berkata: “Kami rela Rasulullah s.a.w sebagai bahagian dan habuan untuk kami”.

Kemudian Rasulullah s.a.w beredar dan mereka pun bersurai.

Itulah sessi pertemuan antara Nabi s.a.w dengan orang Ansar di Ja’ranah yang ingin kami kongsikan bersama.

Setiap kali membaca atau mengingati peristiwa itu membuat kami merasa begitu sebak. Seolah-olah kami melihat peristiwa itu secara live.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, curahkanlah rahmat-Mu keatas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya sebagaimana yang Engkau rahmatkan atas Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya; dan berkatilah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya sebagaimana yang Engkau berkati atas Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya di seluruh alam; sesungguhnya Engkau yang Terpuji lagi yang Termulia. Amin.

Wassalam.

* sumber Sirah Nabawiyyah s.a.w terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India