DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Khamis, Januari 24, 2013

BSK 341. Kenapa kita berselawat?

Bismillah.
Assalamualaikum.

Hari ni, 12 Rabiul Awal 1434H bersamaan 24 Jan 2013 umat Islam meraikan Maulidur Rasul.

No2494

Perbanyakkan selawat kepada Baginda Nabi s.a.w kerana ada banyak kelebihannya. Dimana maksud berselawat itu ialah berdoa memohon supaya Allah S.W.T melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Baginda .

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu." [HR Abu Hurairah r.a]

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia" [HR Anas r.a]

Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." [HR Ibn Mas’ud r.a]

Kita berselawat adakah kerana kita cuma mahukan kelebihan yang ada pada selawat itu sahaja atau kita sememangnya benar-benar cintai dan kasihi Nabi Muhammad s.a.w?

Jom kita renungi dan hayati perbualan Rasulullah s.a.w dengan Umar bin al-Khattab r.a.

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata: Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata: Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar: Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!

Apa yang dapat dipelajari dan perlu kita ambil ikhtibar dari perbualan tersebut:

  • Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling berhak dicintai daripada sekelian makhluk di dunia ini.
  • Mencintai baginda tidak mencukupi hanya dengan menyatakan dengan lisan tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan dan amal seperti mempraktikkan sunnahnya dan melaksanakan segala ajarannya.
  • Orang yang sentiasa menjaga akhlaknya dan mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak akan mendapat ganjaran syafaat daripada baginda.
  • Kita hendaklah berusaha untuk sentiasa menyuburkan iman di jiwa dan mempastikan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh baginda.

Mari kita renungi kata-kata Urwah bin Mas’fid al-Thaqafi kepada orang-orang Quraish sekembalinya beliau dari berbicara dengan Rasulullah s.a.w di Hudaybiyyah. Jom…..

“Hai kaumku, demi Allah, aku pernah menjadi utusan untuk bertemu raja-raja, aku pernah bertemu Kaisar, Kisra dan Najasi. Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat-sahabatnya sebagaimana Muhammad diagungkan. Demi Allah, kalau dia meludah, maka ludahnya disambut oleh salah seorang sahabatnya, lalu disapu di muka dan kulitnya. Kalau dia menyuruh mereka sesuatu maka cepat-cepat mereka menjalankan suruhannya. Kalau dia berwuduk, mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkan air wuduknya. Kalau dia bercakap mereka akan merendahkan suara di sisinya. Mereka tidak pernah memerhatikan dia dengan pandangan yang tajam kerana membesarkannya. Dia telah menawarkan kepada kamu satu rancangan yang baik, maka terimalah”.

Berdoalah kepada Allah SWT agar hati kita menjadi lembut untuk mencintai dan mengasihi Nabi s.a.w seperti mana para sahabat mencintai dan mengasihi Baginda.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami meridhai Allah sebagai Tuhan, kami meridhai Islam sebagai Agama dan kami meridhai Muhammad sebagai Nabi. Ya Allah, berilah kami ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepada kami dan kepada kedua ibu bapa kami dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah kami dengan rahmat-Mu kedalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh. Amin.

Wassalam.

Bersumber dari Jakim dan Yadim

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India