السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Kepimpinan amanah! Kepimpinan penyesalan! Kepimpinan gila kuasa!
Jom kita hayati hadith dibawah dan huraiannya.
Pertama:-
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya. [HR: Muslim]
Huraian Hadith:
i) Sekurang-kurangnya setiap manusia itu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri. Oleh itu ia bertanggungjawab menjaga dirinya dan orang yang diamanahkan kepadanya seperti anak, isteri, keluarga, para pekerja dan sebagainya agar hidup mereka berjalan dengan baik dan sempurna.
ii) Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tentang tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung di dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya agar tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan.
iii) Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan dan kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.
iv) Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari tentang hakikat sesuatu tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati kerana setiap kepimpinan adalah amanah dan setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan disoal di hari akhirat kelak.
Kedua:-
Ma'qil Ibnu Yasar r.a berkata Saya mendengar Nabi SAW bersabda: Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga. [HR: Bukhari & Muslim]
Huraian Hadith:
Huraian:
Seseorang yang diserahkan kepadanya urusan rakyat lalu dia tidak memelihara rakyatnya dengan sempurna dan tidak mempedulikan urusan-urusan rakyatnya yang membawa mereka kepada kebaikan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat tidak akan mendapat bau syurga kerana pemimpin memegang satu jawatan besar dalam menentukan hala tuju dan masa depan sebuah negara. Jika pemimpin cuai bala akan menimpa rakyat dan negara. Sebaliknya pemimpin yang baik akan menjadi teladan kepada rakyat dan mampu
Ketiga:-
Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata: Nabi SAW berkata kepada ku:Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan. [HR: Bukhari & Muslim]
Huraian Hadith:
Nabi menegaskan bahawa kita tidak boleh mengajukan permintaan untuk diangkat menjadi pemimpin atau dengan perkataan lain menjadi orang yang gila kuasa. Ini adalah kerana menjadi seorang pemimpin bukanlah perkara yang mudah. Kebiasaannya orang yang ghairah memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik. Apatah lagi jika kedudukan itu diberikan atas permintaannya sendiri yang kemungkinan besar akan menimbulkan banyak pertuduhan bahawa individu tersebut mempunyai kepentingan tertentu. Kepimpinannya nanti akan menimbulkan banyak huru hara dan penentangan lantaran wujud golongan yang tidak berpuas hati. Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan tanpa dia sendiri yang menginginkannya sedangkan dialah orang yang paling layak insyaAllah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah akan dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara.
Sesiapa yang nak jawatan pemimpin perlu muhasabah diri sendiri terlebih dahulu sebelum meminta atau menerimanya. Banyak risikonya, dunia dan akhirat.
Ada jawatan pemimpin yang datang bergolek. Terpaksa diterima. Orang2 macam kami ni mesti memikuinya….. ketua keluarga. Banyak juga risikonya.
Cuba kita fikir2kan….. baru jadi ketua keluarga dah kacau-bilau keluarga. Lepas tu minta jawatan yang ada kena mengena dengan rakyat. Tak huru-hara kita semua dibuatnya.
جزاك الله خيرا
[Sumber hadith dari JAKIM]
0 comments:
Catat Ulasan