DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Isnin, Julai 04, 2011

BSK 204. Titah khas Yang di-Pertuan Agong

Bismillah.
Assalamualaikum.

Bersih 2.0 masuk ke phasa baru dengan titah khas Yang di-Pertuan Agong semalam.

Bersih Agong

Memang menarik Bersih 2.0 ini …..

Perhimpunan 9 Julai: Titah khas Yang di-Pertuan Agong

MalaysiaKini Jul 3, 11 9:00pm

Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

agung

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati pandangan dan teguran dari Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong beliau hanya mahu yang terbaik untuk rakyat.

Kita tunggu dan lihat samada saranan baginda akan ditangani dengan bijaksana oleh kepimpinan negara.

Kami tutup bab titah khas diatas.

Kita nak tahu juga perkembangan terbaru Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Masih lagi sekitar isu Bersih 2.0

TGNA

Nik Aziz nafi larikan diri dari Bersih

Mohd Sayuti Omar

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak tuduhan dan anggapan beliau sengaja melarikan diri dengan mengerjakan umrah untuk mengelak dari menyertai himpunan Bersih 9 Julai ini.

Bercakap di Madinah yang disiarkan menerusi Youtube beliau berkata tuduhan itu tidak tepat dan tidak betul.

Kata Nik Aziz, tidak timbul beliau melarikan diri kerana beliau sudah menegaskan himpunan Bersih itu halal dan perlu disertai oleh orang ramai untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

"Himpunan itu atau demostrasi itu sama dengan kita berjemaah dalam melalukan ibadat," katanya.

Baginya himpunan untuk menuntut supaya pilihan raya diadakan dengan adil sangat perlu kerana keadilan itu tidak pernah dirasai sendiri oleh beliau.

"Setiap kali saya serta pilihan raya, saya tidak merasakan ia adil, tetapi selalu berat sebelah," katanya.

Dengan penjelasan itu tidak timbul kalau Menteri Besar Kelantan itu sengaja melarikan diri bagi mengelakkan daripada menghadiri himpunan terbesar tahun ini.

Beliau sekali lagi menyeru supaya orang ramai menghadirinya tanpa merasa takut dan gerun kepada polis.

"Yang menangkap (polis) orang yang kena tangkap pun orang. Semuanya akan menghadap Allah," tegasnya.

Apa yang hendak disampaikan bahawa tindakan polis itu bukan sesuatu yang perlu ditakut dan menjadi halangan kerana semua pihak ada tanggungjawab dan tugas masing-masing dan akan berhadapan dengan Allah s.w.t.

Sama ada apakah polis benar atau orang ramai salah kerana menghadiri himpunan itu Allah yang akan menentukan.

Sebelum ini saya mendapat tahu beliau dan setengah rombongannya akan pulang pada 10 Julai sehari selepas himpunan Bersih.

Apakah dengan kenyataan itu Tok Guru akan mempercepatkan pemulangannya bagi membolehkan beliau bersama dalam himpunan yang kini dalam keadaan krtikal itu?

Kita sebagai rakyat hanya perlu melihat dan mendengar apa yang dilakukan dan diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin kita.

Kita lihat dan kita dengar, kita buka sedikit minda kita, tajam-tajamkan sedikit akal kita, buat comparison input dan data yang kita terima.

Dengan membuat minda dan akal kita melakukan sedikit kerja, insya’allah kita akan dapat membuat penilaian dengan bijak.

Kita renungi sabda Rasulullah S.A.W. yang ertinya:

“Maka kamu semua adalah pengembala (pemimpin) dan kamu semua akan ditanyai tentang pengembalaannya (kepimpinannya).”
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar R.A)

Kita renungi juga firman Allah Taala yang bermaksud:

“Katakanlah ~ Wahai Muhammad! Mahukah kamu Aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka. Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik.”
[Surah Al Kahfi: ayat 103-104]

“Di hari itu (hari Qiamat) akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidahmu, tanganmu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (didalam dunia dahulu).”
[Surat An Nur: ayat 24]

“Pada hari ini (hari Qiamat) Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka perbuat (di dunia dahulu).”
[Surah Yassin: ayat 65]

Kita sendiri yang akan menanggung segala perbuatan kita. Tiada siapa yang sanggup menerimanya.

Pilih kebenaran, keadilan dan kebaikan agar kita menjadi orang-orang yang berjaya iaitu hamba-hamba Nya yang dipersilakan oleh Allah Taala masuk ke dalam syurgaNya.

So….. Ya Allah kami berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak memberi manfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan). Amin.

Wassalam.

BSK 203. Kabinet sekat tarif Astro

Bismillah.
Assalamualaikum.

Rasanya belum terlalu lewat untuk kami beri pandangan berkenaan peningkatan tarif Astro.

Selain dari Bersih 2.0 satu lagi isu menarik pada pandangan kami ialah kenaikkan tarif perkhidmatan stesen televisyen Astro.

Kerana kenaikkan itu berkaitan terus kepada rakyat, maka atas sifat prihatin, kabinet memutuskan Astro tidak boleh menaikkan tarif perkhidmatan stesen berbayar itu.

No1363

Datuk Seri Dr Rais Yatim menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memberi penjelasan…..

Kabinet tak benar Astro naik tarif perkhidmatan

Jul 1, 11 9:34pm

Kabinet hari ini memutuskan stesen televisyen berbayar Astro tidak boleh menaikkan tarif perkhidmatan mereka selagi tidak mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Kabinet, yang membincangkan isu itu pada mesyuaratnya hari ini, berpendapat Astro tidak wajar menaikkan sebarang tarif berkaitan perkhidmatan mereka.

"Saya telah bersetuju untuk SKMM tidak membenarkan kenaikan sebarang tarif kecuali ia diluluskan mengikut kadar yang berpatutan dan mengikut lunas undang-undang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet di Angkasapuri.

Beliau berkata setakat ini, Astro didapati melanggar undang-undang sedia ada berdasarkan notis awal kenaikan yang diedar kepada pelanggannya.

"Notis yang dikeluarkan oleh Astro itu nampaknya mencanggahi undang-undang yang ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Oleh itu, saya telah mengarahkan SKMM untuk mengambil tindakan sewajarnya memberitahu Astro untuk tidak meneruskan kenaikan sehingga suatu masa yang lebih sesuai untuk dilaksanakan demikian," katanya.

Menjelaskan maksud 'tindakan sewajarnya', Rais berkata ia terpulang kepada SKMM untuk menentukan jenis tindakan, sama ada menjurus kepada kompaun atau denda dengan jumlah yang dibenarkan mengikut akta berkenaan.

Astro baru-baru ini mengumumkan akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuat kuasa 11 Julai ini, dengan harga langganan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Langkah itu menyebabkan sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan, manakala yang lain menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Di Malaysia rakyat wajib memperolehi  hiburan dengan harga yang rendah. Rakyat dilihat sangat-sangat memerlukan hiburan untuk menghilangkan stress dan mengembalikan ketenangan diri.

Tak apa jika harga bahan bakar naik. Tak apa jika harga barang makanan mahal. Tak apa jika harga ikan meningkat. Tak apa jika tarif letrik dinaikkan. Semuanya tak apa!

Siapa yang peduli kenaikan harga barang-barang. Kenaikan harga barang-barang tidak boleh dielakkan.

Rakyat perlu dan boleh berjimat cermat seperti saranan kerajaan.

Tapi….. tolong jangan naikkan tarif Astro. Rakyat boleh mati kutu! Kenapa? Kerana hiburan adalah keperluan asas masa kini.

Biar mati kebulur tapi jangan mati kutu.

Faham-fahamkan.

So….. Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon Engkau tetapkan iman yang sempurna dan kurniakanlah kami sebenar-benar iman dan keyakinan dan lidah kami yang sentiasa menyebut nama-Mu dan jadikanlah hati kami hati yang khusyuk dan taubat kami sebenar-benar taubat yang diterima dan kami bertaubat sebelum mati dan kurniailah kami kelapangan ketika ajal maut dan kurniailah kami kemenangan dengan beroleh syurga dan terjauh dari neraka. Amin.

Wassalam.

Jumaat, Julai 01, 2011

BSK 202. Kemerdekaan vs Bersih

Bismillah.
Assalamualaikum.

Bersih 2.0 telah menyebabkan pihak pemerintah melatah secara keterlaluan.

Bersih 1

Provokasi demi provokasi dilakukan oleh juak-juak parti pemerintah. Orang-orang besar dari sayap Pemuda, pemuka-pemuka dari NGO Melayu dan juga hulubalang-hulubalang dari pertubuhan persilatan.

Semuanya dilakukan agar Bersih 2.0 berkubur.

Kenapa mereka-mereka ini meroyan semeroyannya?

Nak dikatakan perhimpunan dan perarakan membawa malapetaka, kita mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun. Aman damai sahaja!

Nak dikatakan sambutan Hari Kemerdekaan membuat peniaga mengalami kerugian dan kemusnahan premis perniagaan. Rasanya tidak! Untung semua mereka!

Nak dikatakan sambutan Hari Kemerdekaan membuat rakyat stress kerana kesesakan lalulintas. Tak juga! Happy je muka mereka!

Dari segi teknikal perhimpunan dan perarakan Bersih 2.0 sama sahaja seperti perhimpunan dan perarakan sambutan Hari Kemerdekaan.

Rakyat yang berfikiran waras tentu dapat membuat perbandingan. Cumanya matlamat berbeza. 

Semuanya terletak ditangan pihak-pihak yang berwajib. Jika pihak-pihak ini memberi kerjasama kepada Bersih 2.0 seperti kerjasama yang diberikan kepada penganjur perhimpunan dan perarakan Hari Kemerdekaan rasanya semua pihak boleh bernafas lega.

Habis tu kenapa tiada kerjasama?

Jika pihak-pihak berwajib telus memberi kerjasama, Bersih 2.0 mencapai sasaran dan matlamatnya, akan bergegarlah mahligai di Putrajaya. Ibaratnya seperti dilanda tsunami.

Wallahualam.

Berikut adalah 8 tuntutan Bersih 2.0:-

  1. Bersihkan senarai undi
    Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

    Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

  2. Mereformasikan undi pos
    SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

    Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

    Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

  3. Gunakan dakwat kekal
    Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

  4. Masa kempen minima 21 hari
    Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

    Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

    Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari.

    Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

  5. Akses media yang bebas dan adil
    RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

    Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

    Ini adalah mengenai keadilan!
    Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

  6. Kukuhkan institusi awam
    Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

    Contohnya:
    Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

    Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

    Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

    Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

  7. Hentikan rasuah
    Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

    Pembelian undi harus dihentikan!

    Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

  8. Hentikan politik kotor
    BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Laporan penuh: Provokasi keterlaluan Bersih 2.0

Fikir-fikirkan.

So….. Penolong kami ialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, kepada-Nya jua kami berserah dan Dialah yang memelihara ‘Arasy yang besar. Wahai Tuhan Pemerintah Hari Perhitungan, Engkau jua yang kami sembah dan kepada-Mu jua kami memohon pertolongan. Amin.

Wassalam.

Khamis, Jun 30, 2011

BBK 49. Umur adalah modal

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita hidup di waktu yang semakin hari semakin menyulitkan dan kekadang itu mencabar keimanan kita.

Waktu dimana iman keluar masuk dari dalam diri kita. Nauzubillah.

No1388

Kami ingin berkongsi satu perenggan dari kitab Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) hasil karangan Al Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al Ghazali  yang diterjemahkan oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi dan diterbitkan oleh Khazanah Banjariah Maahad Tarbiyah Islamiah Derang Pokok Sena Kedah Darul Aman.

Terima kasih kepada semua.

Perenggan di Bahagian Pertama iaitu Adab-adab Melaksanakan Ketaatan – Adab-adab Mempersiapkan Diri Untuk Sembahyang.

Mukasurat 74.

“….. Apabila engkau merancang pekerjaanmu dan menyusun waktumu pasti engkau akan melihat keberkatan daripada setiap waktumu yang sangat berharga itu.

Tetapi jikalau engkau biarkan dirimu dengan tidak teratur atau kosong daripada sebarang pekerjaan yang berfaedah seperti halnya binatang dan engkau tidak tahu apakah yang mesti engkau buat pada setiap waktu, nescaya engkau akan menyesal dan waktumu akan berlalu dengan sia-sia, sedangkan waktumu itu adalah umurmu. Dan umurmu itu adalah modal. Dan dengan modal inilah engkau mencari keuntungan. Hanya dengan umurmu sahaja engkau dapat mencapai kebahagiaan yang sebenarnya di negeri yang kekal abadi di sisi Allah Taala. Maka setiap nafas daripada nafasmu adalah laksana batu permata yang tak ternilai harganya kerana ia tidak dapat diganti walau dengan apa sekalipun dan apabila ia telah luput, ia tidak akan kembali buat selama-lamanya. Maka janganlah engkau menjadi seperti orang bodoh yang tertipu di dalam kehidupannya, di mana setiap hari mereka bersuka-suka dengan bertambah banyak harta benda mereka sedangkan umur mereka semakin berkurangan. Apalah faedahnya harta yang bertambah apabila umur jadi berkurangan. Oleh itu janganlah engkau bergembira kecuali dengan tambahan ilmu atau amal soleh kerana keduanya adalah sahabatmu yang menjadi temanmu yang setia di dalam kubur ketika keluarga, harta, anak dan kawan-kawanmu semuanya meninggalkan engkau.”

Kita dinasihatkan untuk merancang pergerakkan seharian kita. Membuat pekerjaan yang berfaedah untuk kebaikan dunia dan akhirat kita. Memenafaatkan umur yang masih dikurniakan Allah Taala.

Semoga apa yang kami kongsikan memberi kebaikan kepada kita semua dan juga keluarga kita

So….. ya Allah ya Tuhan kami, tambahkanlah ilmu kami dan luaskanlah faham kami. Wahai Tuhan kami, lapangkanlah dada kami dan mudahkanlah urusan kami. Ya Allah, keluarkanlah kami dari kegelapan ragu dan muliakanlah kami dengan cahaya kefahaman, bukakanlah bagi kami makrifat ilmu, berilah cahaya kepada hati kami sebagaimana Engkau beri cahaya kepada matahari dan bulan dan mudahkanlah bagi kami pintu-pintu kurniaMu, wahai Yang Maha Penyayang. Amin.

Wassalam.

Rabu, Jun 29, 2011

BSK 201. Superhero bastard di unggun api syahdu

Bismillah.
Assalamualaikum.

Sememangnya perhimpunan Bersih 2.0 menjadi tajuk utama dimana-mana dan diperkatakan oleh semua.

Pihak berkuasa telah mengecopkan perhimpunan ini sebagai perhimpunan haram.

Perhimpunan yang akan diadakan kurang separuh hari itu dikatakan mengancam keselamatan negara. Mengakibatkan kerugian dalam industri pelancongan. Membuat peniaga-peniaga sekitar tempat perhimpunan mengalami kerugian besar dan juga kerosakan pada premis perniagaan. Rakyat mengalami stress kerana terganggu aktiviti hujung minggu disebabkan kesesakan lalulintas.

Dibawah ini luahan dan cetusan rasa Tan Sri Harussani Zakaria, mufti Perak berhubung dengan ‘superhero’ beliau.

Harussani: Ambiga cuba jadi 'superhero'

Jun 28, 11 7:57pm

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan Datuk S Ambiga dilihat cuba menjadi 'superhero' dengan tindakannya mengetuai penganjuran perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

HarussaniBeliau berkata dengan mengetuai perhimpunan yang tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa itu, penganjur mahu mencari publisiti dengan menjatuhkan imej negara pada kaca mata dunia sekaligus akan mendapat publisiti.

"Tindakan itu juga seolah-olah dia (Ambiga) mahu menjatuhkan imej kerajaan di luar negara dengan mengadakan perhimpunan yang tidak mendatangkan faedah," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya pengamal undang-undang yang bertindak seperti Ambiga dibatalkan lesen guaman mereka.

Beliau berkata sebelum ini bekas presiden Majlis Peguam itu pernah mempersoalkan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu.

Harussani berkata malangnya ada kalangan masyarakat yang sudah lupa serta mempunyai perasaan hasad dengki antara satu sama lain.

"Rentetan itu, mereka bertindak menyokong perhimpunan haram yang bakal dianjurkan pada 9 Julai ini bagi menunjukkan tanda protes," katanya.

Beliau menasihatkan supaya rakyat tidak terpengaruh dengan perhimpunan haram terbabit serta mengelakkan diri daripada menyertainya.
--Bernama

Bersih_2.0_logo

Kita telah mengetahui pendirian mufti paling senior di negara kita ini berhubung dengan Bersih 2.0.

Pada hemat kami beliau lebih condong kepada pihak yang satu lagi. 

Kita hayati pula luahan rasa presiden PERKASA mengenai perhimpunan itu….. well berhubung dengan majlis peguam…..

PERKASA: Majlis Peguam 'bastard'

Abdul Rahim Sabri
Jun 28, 11 7:03pm

Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini mencerca Majlis Peguam yang didakwanya hipokrit dan dwistandard dalam sesuatu kenyataan.

Ibrahim AliKatanya kebanyakkan kenyataan yang dikeluarkan oleh majlis tersebut "menyokong (pihak) yang menentang kerajaan".

"Majlis Peguam ini tak boleh ikut. Majlis Peguam, pada pandangan saya, adalah bastard (anak haram) punya council (majlis).

"Sebab mereka hipokrit dan double standard. Semua yang Majlis Peguam sokong, (mereka) yang lawan kerajaan, kebanyakkannya.

"Tengok, dia marah, ada ahli PERKASA bakar gambar (pengerusi BERSIH) S Ambiga. Waktu ada penyokong India, atas isu Interlok, gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussin dibakar, mana kenyataan daripada Majlis Peguam?

"Jadi dia double standard. Saya tak hormat langsung dekat Majlis Peguam," katanya.

Ibrahim turut dengan mempersoalkan pendirian Majlis Peguam berhubung penyiaran gambar menghina Islam menggambarkan seekor babi berada di atas kaabah atau seekor anjing membaca surah Yassin.

"Apa yang Majlis Peguam buat?" soalnya lagi yang juga anggota parlimen Pasir Mas.

'Kebebasan bukan cek kosong'

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berhubung kenyataan Majlis Peguam yang menyatakan bahawa tindakan bekas presiden Umno pernah berdemonstrasi sewaktu menentang Malayan Union sebelum merdeka.

SuhakamDalam sidang media itu juga, Ibrahim turut membidas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam (kanan) yang berkata rakyat mempunyai hak untuk berhimpun seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dari segi perlembagaan memang benar... Memang dari segi prinsipnya begitu, tetapi ia juga tertakluk dengan undang-undang yang terikat dalam negara kita.

"Ia bukannya cek kosong, yang mana setiap orang boleh berdemonstrasi atas nama kebebasan bersuara... kita ada undang-undang seperti Akta Polis yang perlu dibaca sekali. Kemudian, kita tengok pula isu yang munasabah," katanya.

Katanya, sepatutnya Hasmy mencadangkan supaya perhimpunan diadakan di tempat tertutup seperti di stadium yang disifatkannya sebagai selamat dan tidak mungkin berlakunya huru hara.

"Nak menyampaikan pandangan, tidak semestinya di jalan raya. Boleh buat di stadium, boleh pasang video, dan layar besar (untuk) sampaikan memorandum. Itu juga menyampaikan suara, menyampaikan pandangan," katanya.

Bendera PAS

Presiden PERKASA ini memenangi kerusi parlimen beliau diatas tiket parti pembangkang dalam PRU12 dulu.

Beliau belot dengan parti yang memberi nafas kepadanya sebaik sahaja sidang parlimen bermula dengan mengistihar diri beliau ahli bebas.

Nampaknya beliau adalah salah seorang dari manusia-manusia yang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik perhatian pemimpin tertinggi negara.

Adakah kerana kerusi PRU13?

Kita hayati pula luahan hati penerima Anugerah Sastera Negara 1985 yang merestui perhimpunan itu…..

Unggun-Bersih

A Samad Said
Jun 28, 11 9:49am

Samad Said

Semakin lara kita didera bara -
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita - demokrasi luka;
lama duka kita - demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Beliau pernah turun ke jalanraya pada 2009 kerana isu PPSMI. Puisi beliau “Unggun – Bersih” telah menyebabkan beliau dijemput ke balai polis Dang Wangi.

Unggun beliau telah membakar hati pihak-pihak tertentu.

Itulah pandangan tiga hamba Allah dari tiga latarbelakang yang berbeza. Hanya Allah SWT sahaja yang nengetahui niat dan isi hati mereka.

So….. Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon supaya Engkau melindungi kami daripada kejahatan pendengaran kami, pandangan kami, pertuturan kami, hati kami dan juga daripada kejahatan mengungkit-ungkit. Amin.

Wassalam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India