Bismillah.
Assalamualaikum.
Bersih 2.0 masuk ke phasa baru dengan titah khas Yang di-Pertuan Agong semalam.
Memang menarik Bersih 2.0 ini …..
Perhimpunan 9 Julai: Titah khas Yang di-Pertuan Agong
MalaysiaKini Jul 3, 11 9:00pm
Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan pada 9 Julai ini.
Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.
Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.
Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.
Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.
Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".
Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.
Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.
Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.
Kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati pandangan dan teguran dari Yang di-Pertuan Agong.
Sebagai Yang di-Pertuan Agong beliau hanya mahu yang terbaik untuk rakyat.
Kita tunggu dan lihat samada saranan baginda akan ditangani dengan bijaksana oleh kepimpinan negara.
Kami tutup bab titah khas diatas.
Kita nak tahu juga perkembangan terbaru Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Masih lagi sekitar isu Bersih 2.0
Nik Aziz nafi larikan diri dari Bersih
Mohd Sayuti Omar
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak tuduhan dan anggapan beliau sengaja melarikan diri dengan mengerjakan umrah untuk mengelak dari menyertai himpunan Bersih 9 Julai ini.
Bercakap di Madinah yang disiarkan menerusi Youtube beliau berkata tuduhan itu tidak tepat dan tidak betul.
Kata Nik Aziz, tidak timbul beliau melarikan diri kerana beliau sudah menegaskan himpunan Bersih itu halal dan perlu disertai oleh orang ramai untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.
"Himpunan itu atau demostrasi itu sama dengan kita berjemaah dalam melalukan ibadat," katanya.
Baginya himpunan untuk menuntut supaya pilihan raya diadakan dengan adil sangat perlu kerana keadilan itu tidak pernah dirasai sendiri oleh beliau.
"Setiap kali saya serta pilihan raya, saya tidak merasakan ia adil, tetapi selalu berat sebelah," katanya.
Dengan penjelasan itu tidak timbul kalau Menteri Besar Kelantan itu sengaja melarikan diri bagi mengelakkan daripada menghadiri himpunan terbesar tahun ini.
Beliau sekali lagi menyeru supaya orang ramai menghadirinya tanpa merasa takut dan gerun kepada polis.
"Yang menangkap (polis) orang yang kena tangkap pun orang. Semuanya akan menghadap Allah," tegasnya.
Apa yang hendak disampaikan bahawa tindakan polis itu bukan sesuatu yang perlu ditakut dan menjadi halangan kerana semua pihak ada tanggungjawab dan tugas masing-masing dan akan berhadapan dengan Allah s.w.t.
Sama ada apakah polis benar atau orang ramai salah kerana menghadiri himpunan itu Allah yang akan menentukan.
Sebelum ini saya mendapat tahu beliau dan setengah rombongannya akan pulang pada 10 Julai sehari selepas himpunan Bersih.
Apakah dengan kenyataan itu Tok Guru akan mempercepatkan pemulangannya bagi membolehkan beliau bersama dalam himpunan yang kini dalam keadaan krtikal itu?
Kita sebagai rakyat hanya perlu melihat dan mendengar apa yang dilakukan dan diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin kita.
Kita lihat dan kita dengar, kita buka sedikit minda kita, tajam-tajamkan sedikit akal kita, buat comparison input dan data yang kita terima.
Dengan membuat minda dan akal kita melakukan sedikit kerja, insya’allah kita akan dapat membuat penilaian dengan bijak.
Kita renungi sabda Rasulullah S.A.W. yang ertinya:
“Maka kamu semua adalah pengembala (pemimpin) dan kamu semua akan ditanyai tentang pengembalaannya (kepimpinannya).”
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar R.A)
Kita renungi juga firman Allah Taala yang bermaksud:
“Katakanlah ~ Wahai Muhammad! Mahukah kamu Aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka. Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik.”
[Surah Al Kahfi: ayat 103-104]
“Di hari itu (hari Qiamat) akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidahmu, tanganmu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (didalam dunia dahulu).”
[Surat An Nur: ayat 24]“Pada hari ini (hari Qiamat) Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka perbuat (di dunia dahulu).”
[Surah Yassin: ayat 65]
Kita sendiri yang akan menanggung segala perbuatan kita. Tiada siapa yang sanggup menerimanya.
Pilih kebenaran, keadilan dan kebaikan agar kita menjadi orang-orang yang berjaya iaitu hamba-hamba Nya yang dipersilakan oleh Allah Taala masuk ke dalam syurgaNya.
So….. Ya Allah kami berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak memberi manfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan). Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan