DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Rabu, Oktober 12, 2011

BBK 51. Sirah Nabawiyyah-terima dakyah barat kerana dangkal ilmu

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kami ingin berkongsi beberapa perenggan dari buku “Sirah Nabawiyyah – Insan Teladan Sepanjang Zaman” hasil nukilan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.Masjid NabawiBab 25: Terima Dakyah Barat Kerana Dangkal Ilmu (Ms 85-86)

Sesungguhnya orang-orang yang lekas terpesona dengan dakyah Barat sehingga mudah terpengaruh dengan jarum-jarum yang menyentuh keutuhan asas agama, semata-mata kerana mereka mengkagumi kemajuan sains dan teknologi. Mereka adalah ibarat manusia terkejut dari tidurnya disebabkan pancaran cahaya yang kuat. Kerana cahaya yang amat menyilaukan itulah menyebabkan sebahagian dari umat Islam terjerlus dalam jebak penjajah Barat, mereka lupa bahawa Barat telah mengheret mereka sehingga terlepas dari pegangan agama Islam yang sebenar.

Mereka adalah golongan yang dangkal cara berfikirnya sehingga begitu rapuh pegangan hidup mereka terhadap agama, mudah terpesona dengan perkara-perkara baru yang dikemukakan oleh golongan penjajah dan orientalis. Mereka berfikiran suntuk sehingga tertipu dengan kata-kata manis, terpesona dengan dakyah dusta serta janji-janji kemajuan yang hanya boleh dicapai sekiranya cara berfikir cara lama mesti dirubah dengan pemikiran terkini, mengenepikan kepercayaan terhadap perkara-perkara yang dianggap ilusi seperti yang telah dijelaskan diatas.

Sebab itu tercetus dari lidah umat Islam sendiri kata-kata yang menggambarkan pegangan agama mereka yang semakin longgar. Justeru itu ada yang sanggup berkata; bagaimana hendak mencapai kemajuan kalau itu haram ini haram? Kata-kata itu menggambarkan bahawa manusia tidak perlu terikat dengan peraturan Allah SWT, mereka membebaskan diri dari terikat dengan syariat Islam.

Timbul juga kata-kata dari lidah umat Islam; bahawa agama tidak boleh dikotori dengan politik, agama suci bersih sementara politik itu kotor. Justeru itu tidak boleh agama dicampur aduk dengan politik. Orang yang dangkal pemikiran dan ilmu agamanya termakan dengan ungkapan yang sekular itu.

Golongan itu melaungkan kemajuan dan pembangunan tanpa memikirkan bagaimana pembangunan itu dicapai. Mereka kononnya menentang rasuah, sedangkan rasuah itu adalah gaya hidup orang yang tidak memikirkan halal haram, malah mereka menganggap riba sebagai suatu kemestian dalam pembangunan ekonomi, sebab itu riba tidak diperangi sebagaimana mereka memerangi kemiskinan.

Semua itu adalah kesan tusukan yang dalam, dari jarum penjajah dan juga orientalis yang sudah membenam di dalam hati orang-orang yang telah diasuh oleh Barat. Sebab itu terdengar kata-kata yang secara terang menolak hukum Al-Quran kononnya demi perpaduan antara kaum dan pembangunan masyarakat.

Samada setuju atau tidak dengan apa yang dikatakan oleh Tuan Guru,  terpulang kepada diri kita sendiri. 

Hakikatnya, kita sendiri yang tahu samada kita ini termasuk didalam golongan mereka-mereka yang disebutkan diatas.

Dan kita sendiri juga yang boleh mengenal dengan pasti kelompok-kelompok yang disebutkan itu di negara kita ini.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah kami memohon kepadaMu kecintaanMu dan kecintaan orang yang cinta kepadaMu dan cinta kepada amalan yang mendekatkan kami kepada cintaMu. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan-kebaikan yang diminta oleh nabiMu Muhammad SAW dan kami meminta perlindungan denganMu dari kejahatan yang nabiMu meminta perlindungan darinya. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India