Bismillah.
Assalamualaikum.
Kami ingat isu hudud ini sudah pun reda dari dikomen oleh mereka-mereka yang berada diluar PAS.
Bekas ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim memberikan pandangan beliau berkenaan isu itu.
Sedikit dari kata-kata beliau seperti yang dilaporkan:
Ismail yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, selama ini banyak pihak mengambil mudah bahawa undang-undang ini telah difahami oleh semua orang, terutamanya orang Islam.
“Sebab itulah apabila disebutkan undang-undang hudud, maka orang akan terbayang hukuman potong tangan bagi yang mencuri, rejam atau sebat bagi yang berzina dan sebagainya sedangkan isu-isu yang berkaitan dengannya seperti isu berhubung dengan pendakwaan, kesaksian, hikmah dan budi bicara hakim serta kesaksian utama atau pengakuan pihak tertuduh dalam kes-kes ini tidak difahami dengan baik.
“Oleh itu, apabila disebut hudud, maka perasaan dan pemikiran yang timbul dalam kepala orang ramai ialah takut dan gerun, ngeri malah kadang-kadang membawa kepada kejam dan sebagainya yang dilabelkan dalam hukuman hudud ini,” kata Ismail lagi.
Sehubungan itu kata Ismail, beliau berpandangan bahawa isu hudud “janganlah menjadi isu monopoli antara golongan politik kepartian.”
(Laporan lengkap: Bekas KP Ikim: Jangan lihat hudud isu politik kepartian.)
[Terbaru: Beri Kelantan peluang ‘uji’ hudud, Mufti Perak nasihat Putrajaya.]
Kami tidak mahu menyentuh pandangan yang diberikan oleh Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim diatas.
Tetapi disini, kami ingin berkongsi beberapa perenggan didalam buku yang berjudul “Sirah Nabawiyyah” hasil tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kita hayati tulisan beliau:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami…..”
[Surah al-Ankabut: ayat 69]Apabila seseorang itu tidak mendapat taufiq dan hidayah Allah SWT nescaya mereka tidak akan menemui jalan-jalan menuju keredaan-Nya. Justeru itu sebagai orang mukmin, mereka mesti menyedari perkara yang teramat penting dalam kehidupan mereka ialah berjihad dengan sepenuh upaya untuk mendapatkan taufiq dan hidayah dari Allah Taala.
Apatah lagi sebagai seorang pemimpin yang diamanahkan mentadbir negara, dengan tanggungjawab yang besar itu sekiranya mereka tidak mendapat taufiq dan hidayah Allah Taala, nescaya mereka mentadbir negara mengikut pandai sendiri, malah mengikut hawa nafsunya.
Mereka hanya percaya dengan kebolehan sendiri, dengan mengagungkan undang-undang dan hukum ciptaan manusia. Sebaliknya mereka seolah-olah meragui keupayaan Tuhan, apabila undang-undang dan hukum Allah yang didatangkan melalui Rasul-Nya telah tidak diberi tempat selayaknya dalam pentadbiran negara, kecuali dalam perkara-perkara yang menguntungkan dari segi kebendaan.
Jika pemimpin tidak mendapat taufiq nescaya sukar bagi mereka untuk menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan keimanan mereka. Mereka boleh melakukan apa saja terhadap harta negara yang diamanahkan kepada mereka untuk mentadbirnya, malangnya apabila tiada taufiq dan hidayah Allah SWT beserta mereka maka perbendaharaan negara seperti miliknya.
[Bab 2: Peranan taufiq dalam kehidupan Nabi S.A.W. ms 7-8]
Halangan utama untuk melaksanakan hukum hudud bukan dari orang bukan Islam tetapi dari kalangan kita juga.
Bila yang mengaku Islam terang-terangan membuatkan pengakuan bahawa mereka tidak akan melaksanakan hukum hudud (walaupun mereka berkuasa untuk berbuat demikian) bahkan berikrar untuk berpegang dengan hukum ciptaan manusia dengan pelbagai alasan diantaranya:
- masyarakat majmuk bukan 100% Islam.
- orang Islam sendiri tidak faham undang-undang Islam.
- tidak ada negara yang melaksanakan hukum itu sepenuhnya.
Bila orang Islam sendiri tidak mahu menggunapakai undang-undang agama sendiri dengan berbagai-bagai alasan, makanya orang bukan Islam pun turutlah berani memberi tentangan.
[Terkini: Sisters in Islam tegas bantah hudud, dakwa tidak adil kepada wanita.]
Adakah semasa diberi kemerdekaan rakyat Malaysia mengetahui dan memahami undang-undang ciptaan Lord Reid yang mahu digunapakai?
Persoalannya, selepas 54 tahun di beri kemerdekaan, adakah masyarakat majmuk di Malaysia lebih mengetahui dan benar-benar faham undang-undang itu?
Cuba ingat-ingatkan dalam kehidupan kita ini, sudah berapa kali kita mendengar seruan ini:
“Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.”
Adakah kita tidak memerlukan keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat?
Letakkan perlahan-lahan telapak tangan kanan kat dahi dan fikir-fikirkan.
So….. Ya Allah bentangkan kepada kami sebahagian daripada keberkatanMu, rahmatMu, kelebihanMu dan rezekiMu. Ya Allah, kami memohon nikmat yang berterusan yang tidak akan hilang selama-lamanya. Ya Allah, kami memohon kenikmatan pada hari kesusahan dan keamanan pada hari ketakutan. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan