Bismillah.
Assalamualaikum.
Bulan hijrah telah meninggalkan kita. Kita telah memasuki bulan kedua Islam iaitu bulan Safar. Hari ini 3 Safar 1433H bersamaan 28 Disember 2011.
Ikut kalendar masihi, semalam 27 Disember 2011 adalah hari lahir anak sulong kami. Dilahirkan pada waktu maghrib.
Selamat hari lahir kami ucapkan. Semoga Allah memberikan abang kebaikan di dunia dan mengurniakan abang kebaikan di akhirat. Amin.
Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan Safar. Begitu juga empat bulan berikutnya iaitu Rabiul Awwal, Rabiul Akhir, Jamadil Awwal dan Jamadil Akhir.
Cuma amalan fardu dan sunat yang biasa-biasa sahaja.
Memulakan bulan Safar ini, jom kita ‘explore’ sedikit rukun Islam yang kedua.
Di negara kita, rukun Islam yang kedua ini lebih dikenali dengan panggilan sembahyang.
Sembahyang atau solat adalah perkataan yang diambil dari bahasa arab iaitu ‘Solah’. Di segi bahasa bermaksud doa. Manakala dari segi istilah atau syara’, bacaan-bacaan dan perbuatan-perbuatan yang tertentu yang bermula dari Takbiratul Ihram dan diakhiri dengan ucapan salam. Dengan syarat-syarat dan cara-cara tertentu.
Ada syarat-syarat wajib, syarat-syarat sah dan rukun-rukun sembahyang yang kita perlu perhatikan.
Ada perkara-perkara yang membatalkan dan yang makhruh dalam sembahyang yang kita perlu ketahui juga.
Dengan sembahyang atau solat kita mengabdikan seluruh anggota tubuh badan kita menyembah Allah SWT.
Banyak kelebihan yang perolehi oleh kita umat Islam yang istiqomah menunaikan solat dan memeliharanya.
Kami ingin berkongsi satu poin sahaja kelebihan menunaikan solat dan memeliharanya iaitu mencegah perbuatan keji dan mungkar
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah Taala didalam surah Al-Ankabut: ayat 45 yang bermaksud:
”Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al-Kitab (Al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Allah SWT telah memerintahkan supaya mendirikan solat dan Allah juga telah menerangkan kesan solat kepada mereka yang mendirikannya (solat) iaitu mencegah dari perbuatan-perbuatan keji (perbuatan-perbuatan) yang haram dan mungkar (kata-kata). Dan perbuatan-perbuatan keji (haram) dan perkataan-perkataan yang mungkar, kedua-duanya himpunan dosa-dosa.
Ambil perhatikan kepada rukun sembahyang yang keempat iaitu membaca surah al-Fatihah.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca surah Fatihah”.
Didalam surah al-Fatihah, termaktub munajat antara hamba dan Allah SWT.
Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda, “Allah telah berfirman, ‘Aku telah membahagi (kandungan makna) surah al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.’
Apabila dia membaca, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam’, Allah akan membalasnya dengan berfirman, ‘HambaKu telah memujiKu.’
Apabila dia membaca, ‘Zat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’, Allah berfirman, ‘HambaKu telah memujiKu.’
Apabila dia membaca, ‘Yang menguasai di Hari Pembalasan.’ Allah berfirman, ‘HambaKu telah mengagungkanKu’, lalu Allah berfirman sekali lagi, ‘HambaKu telah memasrahkan urusannya kepadaKu.’
Apabila dia membaca, ‘Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan’, Allah berfirman, ‘Ini adalah urusan antara Aku dan hambaKu, dan Aku akan mengabulkan apa yang hambaKu pinta.’
Apabila dia membaca, ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat (iman) kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat’. Allah berfirman, ‘Ini adalah untuk hambaKu, dan dia akan mendapatkan apa yang dipinta.’”
[HR Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah]
Kita telah mengetahui sembahyang umpama perisai mencegah kita dan mereka-mereka yang menunaikannya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Dan kita juga ketahui ketika membaca surah Fatihah didalam sembahyang kita sebagai hamba, bersessi munajat dengan Allah Taala.
Itu seperti yang difirmankan oleh Allah Taala dan disabdakan oleh rasulNya.
Tetapi realiti dunia terkini, umat Islam terjebak didalam pelbagai kategori jenayah. Mengalami keruntuhan akhlak dan moral dan paling membimbangkan kerosakan akidah.
Dari tidak berkata benar hingga menuruti jejak langkah kaum Nabi Lut.
Adakah solat umat Islam di zaman serba canggih ini tidak menepati dan tersasar dari piawaian yang ditetapkan oleh Allah dan rasulNya?
Fikir-fikirkan.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, terimalah daripada kami akan solat kami dan permohonan kami. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Amin.
Wassalam.
(Sumber dari Panduan Sembahyang Fardu dan Jenazah, Keistimewaan Umat Muhammad dan Tafsir Quran Per Kata – terima kasih)
1 comments:
Selamat hari jadi utk Abang, moga sentiasa didalam rahmat dan keberkatanNya...amin
Catat Ulasan