DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Disember 06, 2011

BSK 263. Hari Asyura dan kelebihan bulan Muharram

Bismillah.
Assalamualaikum.

Masjid

Hari ini 10 Muharram 1433H lebih dikenali dengan nama hari Asyura.

Amalan utama di bulan Muharram terutama pada hari ke10  ialah berpuasa.

Kami ingin berkongsi beberapa hadis yang kami ambil dari laman Jakim mengenai keistimewaan berpuasa di bulan ini. Mari…..

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan).

  • Puasa sunat yang sangat dituntut kepada umat Islam mengerjakannya selepas daripada puasa fardhu (Ramadhan) ialah puasa pada bulan Muharram, sama ada di awal, di tengah atau di akhir bulan.
  • Islam menganjurkan kepada semua umatnya agar memperbanyakkan ibadat sunat termasuk solat sunat di mana sembahyang sunat yang paling mulia dan banyak kelebihannya di sisi Allah ialah sembahyang sunat di waktu malam, lebih-lebih lagi di waktu malam di bulan Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat daripada Allah.

Sejarah puasa puasa hari Asyura seperti hadis dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga".

Kita perhatikan kepentingan bulan ini terutama hari ke10nya. Jom….. 

Hari 'Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah saw. telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari tersebut kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping kelebihan bulan Muharram itu sendiri. 10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama sepertimana yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub ialah bahawa pada tarikh tersebut:

  1. Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
  2. Diterima taubat Nabi Adam a.s.
  3. Dicipta Adam a.s.
  4. Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
  5. Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
  6. Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
  7. Selamatnya Nabi Ibrahim daripada api Namrud.
  8. Selamatnya Musa dan pengikutnya.
  9. Lemasnya Firaun.
  10. Dilahirkan Nabi Isa a.s.
  11. Diangkat Nabi Isa ke langit.
  12. Diangkat Nabi Idris ke langit.
  13. Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas Bukit Judy.
  14. Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
  15. Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
  16. Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
  17. Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
  18. Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
  19. Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."

Perlunya umat Islam membuat perbezaan!

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

  • Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.
  • Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.
  • Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat.
    Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu`a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram.
    Bahkan Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram.
    Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura'. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301)

Kenapa kita perlu merebut peluang beramal di bulan ini terutama pada hari ke10?

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Hal ini termasuklah peluang-peluang melakukan amal ibadat yang diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding dengan amalan-amalan yang dilakukan pada waktu-waktu biasa.
Contohnya Allah memuliakan bulan Muharram dan menggalakkan kita berpuasa sunat.
Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui akan kelebihan yang ada padanya tetapi hakikatnya itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim itu dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang terbaik iaitu ia tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu yang dikurniakan padanya kerana apabila seseorang itu sudah ditimpa sakit ataupun sibuk barulah mereka terasa akan kekurangan diri dalam mempersiapkan bekalan di hari akhirat kelak.
Oleh itu marilah kita bersama-sama menyahut seruan Rasulullah ini mudah-mudahan ketaqwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang".
Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu".

Puasalah mengikut keupayaan yang ada pada kita. Pada kami bukan mudah untuk berpuasa diluar bulan Ramadan. Godaan yang datang pun besar rasanya.

Tapi jangan sampai tidak berpuasa pula. Rugi!

Dan jangan pasang niat yang lain pula. Nak diet dan sebagainya. Rugi juga.

1 hari, 2 hari, 3 hari, 10 hari atau genap 1bulan terpulang. Yang penting ikhlas mencari keredhaan Yang Maha Berkuasa.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, campakkanlah kepada kami rasa cinta kepada iman dan hiaskanlah ia di dalam dada kami. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung denganMu dari penyakit malas dan nyanyuk. Ya Allah kami memohon kenikmatan yang tidak akan hilang. Dan ya Allah kami memohon perasaan redha keatas ketetapanMu. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India