السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Pada 12 Rabiul Awal 1436H bersamaan 3/1/2015 umat Islam kat negara kita menyambut Maulidur Rasul.
Kita berselawat. Kita berarak. Kita berdoa, Kita baca ayat-ayat suci Al-Quran. Kita mengadakan ceramah. Semua itu kerana menyambut Maulidur Rasul.
Kenapa kita umat Islam, setiap tahun menyambut hari kelahiran Nabi SAW?
Kerana kita cinta Rasulullah SAW!
Kenapa kita mesti cinta Rasulullah SAW?
Jawapannya….. kata-kata Umar Al-Khattab.
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata: Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata: Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar! [HR Muslim]
Huraian Hadith:
- Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling berhak dicintai daripada sekelian makhluk di dunia ini.
- Mencintai baginda tidak mencukupi hanya dengan menyatakan dengan lisan tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan dan amal seperti mempraktikkan sunnahnya dan melaksanakan segala ajarannya.
- Orang yang sentiasa menjaga akhlaknya dan mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak akan mendapat ganjaran syafaat daripada baginda.
- Kita hendaklah berusaha untuk sentiasa menyuburkan iman di jiwa dan mempastikan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh baginda.
Kita mengasihi Nabi SAW maka Allah SWT akan mengasihi kita.
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٣١)1
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (31). (Ali-Imran]
Segala yang dibawakan dan disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah benar kesemuanya. Baik perkataan maupun perbuatan. Tak perlu kita ada perasaan was-was didalam diri kita.
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ (٣) إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡىٌ۬ يُوحَىٰ (٤)1
Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. (3) Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (4). [An-Najm]
Jika inginkan akhlak yang baik maka kita mau tak mau mesti mencontohinya dari Nabi SAW. Kita ada contoh yang terbaik. Kenapa perlu kita mencari dari yang lain. Betul?
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا (٢١)1
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (21). [Al-Ahzab]
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ (١٥٣)1
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa. (153). [Al-Anaam]
Kita tak perlulah terhegeh-hegah mencari jalan yang lain.
Ikutlah Nabi SAW dan jalan yang dibawanya. Kita akan mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. إن شاء الله
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu." [HR Abu Hurairah RA]
Jom kawan-kawan, kita perbanyakkan selawat.
جزاك الله خيرا
0 comments:
Catat Ulasan