Bismillah.
Assalamualaikum.
Khutbah pada hari Jumaat lepas, 18 Jamadilawal 1432H/22 April 2011 bertajuk “MENTADBIR HARTA MENURUT ISLAM”.
Kami mahu berkongsi poin-poin yang pada kami penting untuk kita fikirkan dan mengambil ikhtibar.
Poin pertama ialah ingatan dari khatib sendiri iaitu “Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.”
Poin-poin seterusnya:
1. Mencari dan memiliki harta kekayaan adalah sesuatu yang diizinkan oleh agama. Ini kerana Allah SWT yang maha berkuasa telah menjadikan dunia dan segala isinya dalam keadaan sedia untuk diterokai dan dimiliki oleh manusia. Allah SWT yang maha kaya mencipta dan memiliki secara mutlak semua ini tidak sama sekali berhajat kepada segala khazanah yang dijadikan-Nya. Sebaliknya manusialah yang lebih berhajat kepada Allah SWT dan segala khazanah yang dijadikan-Nya di atas dunia ini.
2. Dalam pada Islam menggalakkkan kita supaya berusaha mencari harta kekayaan, kita diingatkan agar melakukan usaha yang halal dan yang dibenarkan oleh syariat. Agama Islam melarang sama sekali kita mencari harta kekayaan dengan jalan yang salah seperti terlibat dengan perbuatan menipu, mencuri, merompak, merasuah salahguna kuasa dan sebagainya.
3. Mengurus dan mentadbir harta secara betul dan menepati kehendak syariat merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar. Dari itu kita hendaklah sentiasa sedar bahawa sesungguhnya kurniaan harta kekayaan merupakan suatu anugerah dan nikmat tetapi ia juga adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT. Mimbar ingin mengingatkan bahawa dunia ini adalah tempat yang penuh dengan ujian, manakala akhirat sebagai tempat pembalasan. Tidak ada seorang manusia pun yang akan terlepas daripada ujian hidup di dunia dan demikian juga tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada menerima balasan di hari akhirat. Mereka yang miskin dan melarat akan diuji dengan kemiskinan dan kemalaratan. Manakala yang kaya pula akan diuji dengan kekayaan. Oleh itu, kurniaan harta kekayaan kepada kita bukanlah semata-mata merupakan hasil dari apa yang kita usahakan bahkan ini juga merupakan satu ujian Allah SWT terhadap diri kita.
4. Demikianlah hakikat penting yang perlu difahami oleh kita semua. kesenangan dan kekayaan bagi orang yang kufur dan berbuat derhaka kepada Allah SWT bukanlah kesenangan dan kekayaan yang hakiki, sebaliknya merupakan satu istidraj(umpan) daripada Allah SWT untuk mengangkat suatu kaum kepada darjat yang tinggi, di mana ia berlaku dengan cara memberi kenikmatan yang banyak dan pemberian itu membuatkan mereka lupa untuk mensyukuri, bahkan mereka bersenang-lenang dalam kesesatan dan menjauhi petunjuk. Akhirnya mereka dibinasakan oleh Allah SWT dengan azabnya yang datang secara tiba-tiba. Mimbar ingin menegaskan bahawa manusia yang paling baik ialah mereka yang sentiasa mensyukuri nikmat harta dengan cara mengunakan harta secara bijaksana bagi tujuan kebaikan untuk kehidupan diri, keluarga dan dalam masa yang dapat memberi manafaat kepada orang lain samada dengan bersedekah atau mengeluarkan zakat.
Diatas adalah poin-poin yang ingin kami kongsi dengan kawan-kawan.
***********************************************************************************
Kita telah diingatkan agar tidak mencari harta dengan jalan yang tidak menurut syariat. Tetapi di zaman ini kita mendapati manusia rakus mencari kemewahan dengan pelbagai cara.
Semua mahu menikmati kehidupan dunia ini dengan apa cara sekali pun. Mahu memiliki kediaman besar dan mewah. Kenderaan canggih dan berjenama. Berpakaian jenama pereka fesyen terkini dan uptodate. Melancung keserata pelusuk dunia. Mengikuti cruise dengan kapal mewah. Menikmati makanan yang pelbagai dan enak. Kita semua ingin menikmati sepenuhnya segala nikmat yang boleh diberikan oleh dunia.
Kita diberitahu ramai jutawan dilahirkan didalam jangka waktu yang singkat dengan menceburi perniagaan jualan langsung. Kita diberitahu ada pemimpin mendirikan kediaman ala-ala mahligai. Kita diberitahu ada penjawat awam memiliki jumlah simpanan yang amat melampau.
Jika kita dengan yakin memperolehi harta dari sumber yang diberkati maka apabila kita bersedekah atau mengeluarkan zakat kita akan merasa tenang. Bukan begitu?
Tetapi, di waktu ini bukan mudah untuk kita membuat perbezakan samada harta yang kita kumpul adalah dari sumber yang memenuhi kehendak syarak. Why?
Kerana jika kita berniaga kita tidak dapat memisahkan diri dari memberi “ole-ole” untuk mendapat projek. Jika kita penjawat awam atau swasta kita tidak dapat lari dari menerima “ole-ole” dari mereka-mereka yang inginkan projek.
Jika kita memimpin kita tidak dapat lari dari memberi “politik wang”. Jika kita dipimpin kita tidak dapat lari dari menerima”politik wang”. Pemimpin ingin mengekalkan kuasa untuk terus “mewah”. Yang dipimpin ingin menumpang sama.
Kita menyapu habis dari semua dan segala sumber yang ada. Membujur lalu melintang patah. Halal, haram dan syubhah kita tidak hiraukan.
Adakah sedekah dan zakat yang kita keluarkan membawa kebaikkan kepada kita? Well? Kita sama-sama fikir-fikirkan.
Seperti ingatan dari khatib “marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.”
So….. Ya Allah ya Tuhan kami, berilalah kepada kami rezeki yang halal, banyak, baik dan berkat, tanpa ada kekurangan dan kesusahan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami berlindung kepadaMu dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya siksaanMu dan berbagai macam murkaMu. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan