Bismillah.
Assalamualaikum.
Kami ingin berkongsi jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kepada persoalan supaya pindaan perkataan ‘Islam agama bagi Persekutuan’ kepada ‘Islam agama rasmi bagi Persekutuan’. Jawapan itu dimuatkan dalam rencana “Syor pinda Perkara 3 hanya cetus kekeliruan” oleh saudara Zainul Rijal Abu Bakar.
Jom kita selami jawapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom …..
“PERUNTUKAN Islam agama bagi Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan wajar dikekalkan dalam bentuk sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika menjawab persoalan di Parlimen minggu lalu.
Katanya, Islam adalah agama bagi Malaysia dengan semua kaum dan keturunan sudah sepakat menerima peruntukan itu yang bersifat sederhana dan membolehkan prinsip Islam dilaksanakan dalam maksud luas serta komprehensif.
Ia termasuk mengiktiraf hak kebebasan rakyat untuk menganut dan mengamalkan agama lain serta penerimaan itu adalah hakikat penerusan kepada kedaulatan agama Islam yang dianuti oleh negeri Tanah Melayu sebelum kedatangan British lagi.
Jamil berkata, pindaan perkataan ‘agama rasmi bagi Persekutuan’ akan menyempitkan keluasan skop pemakaian peruntukan itu menjadikan agama Islam terhad kepada upacara rasmi, ritual dan keagamaan semata-mata.
Beliau berkata, cadangan meminda peruntukan Islam di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga perlu mengambil kira tujuan dasar di sebalik pindaan itu dan implikasinya kepada perundangan negara.”
Itu adalah kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Kami nak kongsi juga fakta yang diberikan oleh penulis rencana tersebut:
Kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah kesinambungan apa yang ada sebelum Perlembagaan Persekutuan ditulis. Ia tidak tiba-tiba muncul ketika negara merdeka. Ia juga hasil perbincangan antara kaum atau kontrak sosial.
Sebelum merdeka orang bukan Melayu dianggap ‘British subjects’ kerana British membawa mereka ke Tanah Melayu untuk kepentingan British.
Tatkala rundingan untuk mendapat kemerdekaan bagi tanah Melayu, isu kewarganegaraan orang bukan Melayu timbul dan pihak British keberatan untuk menerima ‘British subjects’ ini. Atas sifat toleransi, orang Melayu bersetuju menerima bukan Melayu menjadi warga negara Tanah Melayu.
Syaratnya, kedudukan istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Islam terpelihara. Sebab itu banyak peruntukan Perlembagaan bagi memelihara keistimewaan orang Melayu, memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempertahankan agama Islam.
Itu adalah kenyataan yang ditulis oleh saudara Zainul Rijal Abu Bakar.
#######################################################
Menarik bukan?
Kami bersetuju dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri di JPM itu.
Pada kami ada 2 perkara yang menarik disini:
1. Katanya, Islam adalah agama bagi Malaysia dengan semua kaum dan keturunan sudah sepakat menerima peruntukan itu yang bersifat sederhana dan membolehkan prinsip Islam dilaksanakan dalam maksud luas serta komprehensif.
2.1 Tatkala rundingan untuk mendapat kemerdekaan bagi tanah Melayu, isu kewarganegaraan orang bukan Melayu timbul dan pihak British keberatan untuk menerima ‘British subjects’ ini. Atas sifat toleransi, orang Melayu bersetuju menerima bukan Melayu menjadi warga negara Tanah Melayu.
2.2 Syaratnya, kedudukan istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Islam terpelihara. Sebab itu banyak peruntukan Perlembagaan bagi memelihara keistimewaan orang Melayu, memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempertahankan agama Islam.
Perkara 1 menyatakan semua kaum dan keturunan sudah sepakat menerima peruntukan ‘Islam agama bagi Persekutuan’ dan kesepakatan ini membolehkan prinsip Islam dilaksanakan dalam maksud luas serta komprehensif.
Tahun 2011, negara kita Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 54. Satu jangkamasa yang panjang.
Dah nak masuk 54 tahun kita merdeka tetapi kenapa undang-undang Islam masih tidak dilaksanakan secara menyeluruh oleh pemerintah Malaysia?
Menyentuh perkara 2, adakah atas sifat toleransi, pemerintah (yang majoritinya Melayu dan beragama Islam), sebaik sahaja menerima kemerdekaan tidak berusaha untuk menjadikan Islam satu cara hidup rakyat Malaysia.
Cuba kita dalami hujah Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Fairuz, memberi makna Islam bukan himpunan dogma dan ritual tetapi juga satu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.
Jika benar ada perbincangan dan persefahaman diantara kaum mengenai kedudukan istimewa Islam dalam perlembagaan sepatutnya untuk pemerintah mempraktikan dan menerapkan “Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman” tidaklah sukar. Sudah ada kontrak sosial diantara kaum. Betul?
Persoalannya, siapakah yang tidak mahu Islam menjadi tunggak dalam segala urusan di Malaysia. Pemerintah (yang majoritinya Melayu dan beragama Islam)? Orang Melayu? Orang bukan Melayu? Wallahualam!
Berfikirlah secara serius untuk menghadapi PRU13 yang bakal kita hadapi nanti. Semoga kita dikurniakan Allah SWT kebaikkan di dunia dan kebaikkan di akhirat.
So….. Ya Allah ya Tuhan kami, tunjukkanlah kepada kami perkara yang benar itu adalah benar dan pandulah kami supaya mengikutinya dan tunjukkanlah kami perkara yang batil itu adalah batil supaya kami meninggalkannya dan tiadalah daya dan kuasa melainkan dengan daya kuasa Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan