Bismillah.
Assalamualaikum.
Umum mengetahui Pakatan tidak berjaya menawan Sarawak. Tetapi mereka dapat menambah kerusi DUN menjadi 15. Malang sekali PAS masih tidak mendapat mandat dari pengundi Sarawak.
Taib Mahmud kembali menjadi Ketua Menteri. Bergaya orang tua itu. Isteri baru beliau semestinya belum puas jadi FLOS (First Lady of Sarawak).
PM Najib Razak pun tak berupaya menghalang Taib Mahmud dari mengangkat sumpah. Kenapa ye? Kerana UMNO tak ada seorang wakil pun dalam DUN Sarawak. Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang UMNO tidak berwakil. Hebat Taib Mahmud! Tidak memberi peluang UMNO berkuasa seperti di Sabah.
Yang bakal bertapak dan mencengkam di Sarawak adalah DAP dan PKR. PAS sememangnya mempunyai cawangan disana. Cuma belum ada rezeki masuk DUN Sarawak. Insya’allah.
Memang sukar untuk mengubah pegangan rakyat atau lebih tepat pengundi. Terutama pengundi Melayu dan pengundi luar bandar. Pegangan yang 1Parti ini sahaja yang boleh memerintah Malaysia sudah sebati dalam diri, sudah berlumut dan sudah menjadi terumbu karang didalam minda dan hati. Mereka-mereka ini seolah-olah tidak mampu untuk berfikir diluar kotak dan sudah tidak mampu untuk menganjak paradigma mereka.
Apa atau siapa yang mampu mengubah pemikiran dan minda pengundi- pengundi itu? Untuk memastikan mereka-mereka ini dapat “memangkah” calon-calon dari gabungan parti-parti yang mengutamakan rakyat dalam perancangan pembangunan. Dan untuk memastikan gabungan parti-parti ini mendapat mandat yang besar dalam PRU13 nanti.
Kami ingin mengajak mereka-mereka ini berfikir dengan rasional tips mengundi dalam pilihanraya yang diberikan oleh Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA), bekas Mufti Perlis.
Kami ingin berkongsi sedikit dari tulisan beliau yang pada kami mempunyai impak yang besar kepada rakyat terutama pengundi-pengundi.
Tips Prof Madya Dr. MAZA:-
Ramai yang bertanya tentang siapakah yang patut mereka undi dalam piliharaya akan datang, atau yang sedang berlangsung di Sarawak sekarang.
Soalan-soalan ini muncul kerana kebanyakan generasi muda hari ini belum membuat keputusan parti pilihan. Ia patut dilihat sebagai satu perkembangan yang baik, kerana rakyat sudah mula bebas dari cengkaman fanatik atau sokong secara membuta tuli.
Jika sikap ini dipimpin ia akan melahirkan rakyat yang tidak boleh diperbodohkan dan sentiasa sedia untuk membuat perubahan berdasarkan potensi yang dipamer oleh setiap parti yang bertanding.
Dalam salah satu artikel yang lalu, saya telah menjelaskan bahawa undian seseorang mempunyai nilai dosa dan pahala di sisi Allah berdasarkan kesan yang mungkin berlaku disebabkan undi yang diberikan.
Jika ia membawa kesan yang baik untuk rakyat dan negara, dan itulah tujuan individu yang mengundi tersebut, maka undi itu mendapat pahala.
Jika dia tahu undinya itu boleh memberikan kesan yang buruk, tetapi dia terus mengundi juga, maka dia mendapat dosa.
Allah SWT telah memerintahkan kita memberikan amanah kepada yang layak. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa' ayat 58).
Beliau seterusnya ada memberi beberapa langkah atau panduan penting kepada pengundi-pengundi Muslim juga mungkin boleh dimanfaatkan oleh bukan Islam dalam konteks negara kita. Baca selanjutnya.....
Kami ingin juga berkongsi beberapa ingatan yang diberikan oleh mimbar pada hari Jumaat, 15/04/2011 lalu. Ingatan yang juga mempunyai impak kepada rakyat dan pengundi-pengundi. Juga kepada mereka-mereka yang ingin menjadi pemimpin.
Khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM):-
Kemajuan sesebuah negara adalah sangat bergantung kepada urus tadbir yang ada hubung kaitnya dengan ketepatan memilih pemimpin yang benar-benar berfungsi sebagai seorang pemimpin dan pentadbir. Kepakaran dan kemahiran serta perwatakan peribadi amatlah mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Ketepatan memilih pemimpin ini juga dapat menjamin kehidupan yang harmoni dan mempastikan segala sistem kehidupan dilaksanakan dengan berkesan. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Sesiapa melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya”. (Riwayat Iman Ahmad).
Mimbar ingin menegaskan terdapat dua perkara asas dalam ayat ini. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT.
Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan intergriti dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Diakhir khutbah, mimbar membuat seruan yang pada kami perlu kita renungkan bersama …..
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian marilah sama-sama kita melaksanakan tanggungjawab kita demi agama, bangsa dan negara dengan memilih pemimpin yang benar-benar beretika, bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan, bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang dipimpin di dunia dan di akhirat.
Sebagai pemimpin yang dipilih hendaklah sentiasa sedar dan insaf bahawa tugasan ini adalah satu taklif bukannya tasyrif.
Ingatlah bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.
Baca khutbah penuh "KEPIMPINAN TAKLIF BUKANNYA TASYRIF (KEMULIAAN)".
Semoga dengan tips dan ingatan yang diberikan, rakyat terutamanya pengundi-pengundi akan lebih berhati-hati dan serius dalam menentukan calon-calon dan gabungan parti yang akan menerajui negara kita Malaysia dimasa akan datang.
Begitu juga kepada mereka-mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin. Sudah adakah didalam diri ciri-ciri yang dinyatakan? Mampukah untuk memikul amanah yang besar itu?
Kesejahteraan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Itu matlamat hidup kita. Samada kita yang memimpin atau kita yang dipimpin. Fikir-fikirkan.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan