Bismillah.
Assalamualaikum.
Mari kita perhatikan apa yang dikatakan oleh orang bukan Islam berkenaan dengan perkara asas dalam agama Islam.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tun M wajar mohon maaf pada PAS, Anwar
Ismail HashimSHAH ALAM, 9 Jun: Nasihat segera bertaubat Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dilihat sangat tepat pada masanya.
Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Swee Lim (gambar) berkata, nasihat itu sewajarnya diikuti baik oleh Mahathir memandangkan beliau seorang perdana menteri selama 22 tahun yang banyak melakukan kesilapan.
Menurut Swee Lim, Tun Mahathir mestilah menerima nasihat itu kerana sebagai seorang beragama Islam, beliau wajib percaya kepada konsep halal haram, dosa pahala dan syurga neraka.
Katanya, jika Mahathir tidak menerima nasihat bertaubat itu, nescaya di akhirat nanti, beliau akan disiksa dengan azab pedih ekoran kesalahan besar yang dilakukan semasa hidup di dunia.
“Antara kesalahan paling besar adalah memfitnah PAS dan menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan liwat yang tidak dapat dibawa saksi yang adil dan mencukupi.
Swee Lim yang juga Adun Sekinchan, Selangor berkata, sekiranya Tun Mahathir sudi bertaubat, maka selepas itu beliau hendaklah memohon maaf kepada PAS, Anwar serta keluarganya secara terbuka.
“Saya seorang bukan Islam tetapi saya menerima konsep halal haram, dosa pahala dan syurga neraka apatah lagi agama Islam (Allah SWT) itu Maha Pengampun.
“Semua orang pernah melakukan kesalahan, jangan berdegil, wajib dan sudah sampai masanya untuk beliau bertaubat serta memohon maaf sesama umat kerana jika enggan, ada bara api neraka menunggu di akhirat kelak,” tegasnya.
Adun dua penggal itu berkata, Mahathir pernah menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menghalang dilaksanakan Kanun Jenayah Syariah II dan hari ini, tiba-tiba beliau pula yang sukakan hukum Islam itu.
Sekiranya masih tidak mahu bertaubat, Swee Lim berkata, tunggulah satu hari nanti Mahathir terpaksa menjawab di akhirat kelak kerana sebagai manusia biasa, tiada apa yang rakyat boleh lakukan terhadapnya.
Dalam pada itu, Swee Lim berkata, apa yang dilakukan Mahathir adalah bertolak dari perasaannya yang kesunyian sekarang dan tidak dipedulikan lagi, lalu keluarkan berbagai kenyataan merapu.
Terbaru, Mahathir mengulas keputusan pemilihan pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan ke 57 dari 3 hingga 5 Jun lalu yang disifatkannya sebagai kemenangan kepada Karpal.
Ini ekoran tema ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Membangun Negara Berkebajikan yang pada Mahathir, PAS membuang perjuangan tegakkan Negara Islam yang ditentang Karpal.
Bertindak balas dari jawapan itu, Karpal pula menasihatkan Mahathir agar segera bertaubat.
Sementara itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, pihaknya masih menyimpan surat ancaman daripada Mahathir sewaktu beliau menjadi perdana menteri yang menghalang Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II termasuk Hukum Hudud. [HarakahDaily]
Berkaitan:
Karpal nasihatkan Dr M supaya bertaubat
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Begitulah saranan orang bukan Islam kepada hamba allah yang beragama Islam dan yang mengistiharkan Malaysia negara Islam satu masa dulu.
Cuba kita renungi dan hayati apa yang diwajibkan Allah SWT keatas pemerintah Islam dan sebahagian kaum muslimin dalam surah At-Taubah: ayat 7 yang bermaksud:
“Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”
Memberi hidayah itu adalah milik mutlak Allah SWT. Hanya Dia sahaja yang berkuasa untuk membuat hamba-Nya menerima Islam dan orang yang sedia Islam untuk beriman kepada-Nya.
Surah Qaaf: ayat 45 yang bermaksud:
“Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu.”
Kita perlu berlaku lurus kepada mereka yang telah mengikat perjanjian dengan kita.
Disamping itu kita juga perlu memberi penerangan kepada mereka tentang hakikat sebenar Islam. Agar mereka faham kebaikan yang dibawa dan dianjurkan oleh Islam. Matlamat kebaikan di dunia dan kebahagian di akhirat.
Menerima atau tidak menerima, urusan itu kita serahkan kepada Allah SWT.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan