Bismillah.
Assalamualaikum.
Mari kita baca tulisan Anak Muda di Harakah Daily yang pada kami sedikit sebanyak memberikan gambaran halatuju Tun Mahathir dan Tok Guru Nik Aziz.
Panjang tulisannya. Tapi….. jom baca:
Jawapan anak muda kepada Tun Dr M
Anak Muda
Tun Dr M yang dihormati,
Kami adalah golongan muda yang membesar di bawah kepimpinan Tun. Dahulunya kami mengenali Tun sekadar sebagai Dr M. Bahkan pernah pada suatu ketika, Perdana Menteri pada kami, hanyalah Tun sahaja. Sewaktu kami membesar, mungkin Tun lah orang pertama yang memperkenalkan kepada kepada perkataan-perkataan seperti 'mega', 'wawasan', 'visi', 'yang pertama' dan sebagainya. Walaupun kita tidak pernah sampai ke Everest, namun semangat kita pernah bersama-sama menawan puncak dunia. Walaupun kita tidak pernah berlayar mengelilingi dunia, namun semangat kita pernah bersama-sama mengiringi Jalur Gemilang merentas lautan dan benua.
Dari segi umur, Tun boleh dianggap sebagai abang kepada Tok Guru Nik Aziz. Kami pula ialah cucu kepada Tun dan Tok Guru. Usia kita jauh berbeza, pengalaman kita juga tidak setara. Kami mungkin tidak sempat melalui zaman-zaman sejarah lalu yang ditempuh oleh Tun dan Tok Guru, dan seolah-olah tidak layak berhujah dengan Tun. Namun kami merasakan kami perlu bangkit menyatakan pendapat kami selaku golongan yang akan mewarisi kepimpinan negara daripada Tun dan Tok Guru pada suatu ketika nanti.
Tun seorang yang bijak, lalu Tun suruh rakyat membaca, dan kami pun membaca. Pepatah pun ada mengatakan, banyak membaca , luas pengetahuan. Dan syukur kepada Allah, kami tidak rugi daripada membaca dan mencari kefahaman.
Tulisan ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak. Sebagai pihak ketiga, kami keliru pada mulanya apabila Tun mendakwa bahawa Tun menegakkan Islam, dan Tok Guru juga berdakwah memperjuangkan Islam. Namun mengapakah tidak ada titik pertemuan? Ada angin, ada pokoknya. Pastinya ada perbezaan yang nyata yang membezakan Tun dan Tok Guru, dan pasti salah seorang berkata benar kerana mesej Islam yang dibawa oleh Rasulullah hanyalah satu, dan kesemua Nabi dan Rasul termasuk Adam, Ibrahim, Musa dan Isa sebelum baginda membawa mesej Islam yang sama.
Seruan-seruan kepimpinan Tun nampak hebat, tapi kami mendapati ianya tidak lengkap. Kita sudah ada segala macam 'mega', namun sehingga ke hari ini, isu-isu utama seperti perpaduan nasional, rasuah, pemerintahan yang tidak adil dan tidak bersih, kemiskinan rakyat dan jenayah masih belum ada penyelesaiannya. Rumah siap, pahat berbunyi. Kami berpendapat pastinya ada 'missing piece of jigsaw puzzle'.
Rupa-rupanya kami mendapati kehebatan Tok Guru ialah pada politik beliau yang juga merupakan ibadah kepada Allah swt. Tiada pengasingan antara keduanya. Ucapan-ucapan pembangunan dan kesatuan kepada kami sebagai rakyat tidak pernah lari daripada peringatan persiapan akhirat. Tun mencanangkan 'Wawasan 2020', namun Tok Guru mendidik kami lebih daripada itu, iaitu 'Wawasan Akhirat'. Inilah wawasan yang jelas dan lengkap, yang memberikan kami kejayaan dunia dan akhirat. Hari esok belum pasti bagaimana bentuknya bagi kita, namun mati menjadi satu-satunya perkara yang pasti buat kita semua. Sebab itulah setelah memerintah, Tok Guru tidak semakin kaya, bahkan rakyat menjadi lebih kaya daripada beliau.
Tun ada membangkitkan persoalan pengharaman arak di dalam majlis rasmi kerajaan. Kami merasakan tidak perlu Tun selak satu persatu 'kejayaan' nasionalis zaman lalu, cukup sekadar jika Tun menjawab mengapa ada di kalangan pemimpin negara yang masih bergelumang dengan arak pada hari ini? Kami musykil mengapakah masih ada para teknokrat Melayu Muslim yang masih 'setia' dengan arak pada hari ini? Kami keliru mengapakah masih ada teknokrat Melayu Muslim yang tanpa segan silu mengetuai syarikat-syarikat dan perusahaan judi yang masyhur seantero Asia Tenggara? Kita tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja anak-anak Tun dan San Miguel, apa cerita? Katanya 'nilai-nilai Islam', 'negara Islam', 'Islam Hadhari', tapi kami musykil dan keliru kerana bunyinya serba tidak kena.
Jika Tun benar-benar ikhlas kepada seruan persaudaraan sesama Muslim, mengapakah setelah kami, rakyat, mengundi pemimpin secara sah di dalam pilihanraya, secara tiba-tiba dilantik dan 'ditauliahkan' JKKK Persekutuan di negeri-negeri yang tidak diperintah Barisan Nasional? Sewaktu berlakunya Tragedi Sauk pada 2001, mengapakah Tun gagal memimpin semua pihak untuk duduk semeja, berdiskusi bagi memperoleh cara terbaik menangani isu keselamatan nasional pada ketika itu? Sebaliknya beduk perbezaan terus dipalu dan pemimpin parti Islam dituduh bersubahat. Pada ketika Islam dituduh sebagai pengganas di Amerika dan seluruh dunia, Tun menambah api kemarahan masyarakat dunia kepada agama Islam kita. Adakah ini seruan yang wajar daripada pemimpin utama negara? Bahkan Barrack Obama yang usianya separuh daripada usia Tun komited mengajak Democrat dan Republican untuk sama-sama menghadapi cabaran nasional yang lebih besar, namun semangat jiwa besar ini gagal Tun jadikan contoh tauladan kepada pengganti Tun.
Antara 'tragedi' terbesar Tun sewaktu menjadi Perdana Menteri ialah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada 2002, yang akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun hadapan. Kami di luar negara meggunakan medium bahasa Inggeris, namun kami dukacita melihat nasib bahasa kita ini. Analoginya, bahasa Melayu kini ibarat peminta sedekah yang hidup melarat di kampung sendiri. Dato' Najib dan kerajaan hari ini kini acuh tidak acuh dengan mepertahankan keutuhan bahasa kita, kerana sibuk dengan politik dalaman dan mempertahankan kedudukan UMNO yang semakin rapuh. Buktinya jelas nyata daripada iklan-iklan di jalan raya, kaca televisyen, drama-drama tempatan dan sebagainya. Rakyat pula ditanam dengan pemikiran 'dengan bahasa kebangsaan, anda tidak mampu maju'. Bahasalah yang menjadi jiwa bangsa Malaysia. Barangkali Allahyarham Tan Sri Dol Ramli ingin menyuarakan pendapat yang sama, namun lidahnya kelu di hujung usia. Persoalan bahasa Melayu bukan tanda kami ini pro-Melayu atau anti mana-mana kaum, bahkan inilah tanda kami cintakan perpaduan dan mahukan keharmonian negara. Kami mahukan bahasa sepunya yang mampu menjadi menyatukan kami di dalam komunikasi dan percakapan seharian diperkukuh, namun jelas sekali bahasa Melayu semakin rapuh.
Ini berbeza dengan pendekatan Tok Guru yang benar-benar membawa Islam. Walaupun Kelantan bukanlah negeri yang paling kaya, namun negeri Kelantan telah diiktiraf oleh SPRM yang tahap rasuahnya amat kecil. Lain ceritanya dengan barisan kabinet Tun yang sehingga ke hari ini masih dibicarakan dengan tuduhan rasuah. Walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah melalui media-media pro-Tun dan rakan-rakan, namun Tok Guru terus menjadi titik penyatuan masyarakat berbilang kaum di Kelantan dan seluruh negara. Serban Tok Guru beliau tidak menambah ketakutan kaum India, Melayu dan Cina, bahkan bertambah kasih dan yakin dengan pemerintahan yang bersih dan cekap yang ditunjukkan Tok Guru. Tun mengilhamkan slogan 'Bersih, Cekap, Amanah', namun Tok Guru lah yang berjaya merealisasikan slogan ini dalam bentuk praktikal di dalam kepimpinan beliau. Dulunya Tun pernah berkata Rasulullah menyimpan janggut kerana tiada pisau cukur pada zaman tersebut, namun hakikatnya janggut sejemput Tok Guru tidak menjadi penghalang kepada kepimpinan yang adil untuk semua kaum dan agama, dan kami dapat hidup dengan harmoni. Lantas selayaknya Tok Guru digelar Bapa Perpaduan sebenar pada abad ini, kerana kekuatan beliau bukan pada slogan, tapi beliau berjaya untuk 'walked the talk'.
Akhir kata, sebagai anak muda, kami berharapkan agar Tun menyahut seruan Tok Guru Nik Aziz agar menggunakan kebijaksanaan Tun untuk Islam. Apabila Islam ditegakkan, semua kaum dan agama boleh hidup harmoni dan bahagia tanpa sengketa, kerana Islam itu adil untuk semua. Anggaplah ini sebagai nasihat daripada si adik yang ikhlas mahukan kebaikan buat si abang, lantas kami cucu-cucu yang sedang membesar ini dapat menjadikannya sebagai suri tauladan dalam mewarisi pemerintahan negara yang kita cintai.
Kami sayang Tun dan Tok Guru. Semoga Allah memanjangkan usia Tun dan Tok Guru, untuk menyumbang kepada Islam.
Yang benar,
Anak Muda
Kami teringat satu rangkap lagu nyanyian saudara Herman Tino yang menyatakan tentang hidup dan mati:
“Mati adalah pasti. Hidup insya’allah.”
Kawan-kawan pilihlah sendiri wawasan masing-masing. Tepuk dada, tanya selera atau tanya iman? Fikir-fikirkan.
So….. Ya Allah ya Tuhan kami, perbaikilah untuk kami agama kami, yang menjadi pemelihara bagi urusan kami, dan perbaikilah bagi kami dunia kami yang didalamnya berlaku kehidupan kami, dan perbaikilah untuk kami akhirat kami yang kepadanyalah tempat kembali kami. Jadikanlah kehidupan kami merupakan tambahan bagi kami terhadap segala rupa kebajikan dan jadikanlah kematian waktu beristirehat daripada segala kejahatan. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan