DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Februari 15, 2011

BSK 183. Hari Keputeraan Rasulullah S.A.W.

Bismillah.

Assalamualaikum.

IMG_0248 2

Hari ini kita menyambut Maulidur Rasul. Rasulullah s.a.w. dilahirkan pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah. Ada yang meriwayatkan ia bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 M.

Diriwayatkan bahawa ibu Rasulullah s.a.w. pernah berkata: “Setelah aku melahirkannya keluar dari farajku cahaya yang menerangi untuknya istana-istana di Syam”.

Diriwayatkan bahawa perkara-perkara luar biasa sebagai tanda perutusan Rasulullah s.a.w. telah terjadi ketika baginda dilahirkan. Semasa baginda dilahirkan empat belas lengkungan gerbang istana Kisra telah gugur, api yang disembah oleh orang-orang Majusi terpadam dan gereja-gereja di sekitar Bahirah Sawah telah runtuh setelah ia mendap ke dalam bumi.

Apabila baginda dilahirkan ibunya Aminah telah berkirim salam kepada Abdul Muthalib dengan memberitahu bahawa seorang cucu lelaki telah dilahirkannya. Orang tua itu berasa amat gembira lalu segera pergi dan terus meletakkan cucunya itu di tangannya. Dia membawanya terus ke Kaabah dan mengelilinginya sebanyak 7 kali bersama bayi itu lalu berkata: “Wahai anak yang diberkati! Aku akan namakan engkau Muhammad. Kelahiran anak ini mengiringi kemuliaan dan kemenangan untuk Rumah Suci. Semoga ia diberkati”.

Apabila para pengikutnya bertanya mengapa dia menamakan cucunya itu dengan nama Muhammad, bukan memilih nama-nama nenek moyangnya, dia berkata: “Kerana aku ingin dia dipuji di atas langit Allah dan di atas bumi pengikutnya”. Nama Muhammad itu bermaksud ‘orang yang menerima pujian’.

Kelahiran Rasulullah s.a.w. merupakan rahmat Allah Taala yang terbesar untuk umat manusia dan juga semesta alam. Kita hayati firman Allah:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Surah al-Anbia’: ayat 107 yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Sebagai umat Islam, kita semestinya  sangat gembira dengan kelahiran Rasulullah s.a.w. sebagai rahmat yang agung untuk seluruh alam.

Kita Islam kerana kesabaran dan kecekalan Rasulullah s.a.w. melakukan dakwah. Dengan usaha baginda yang mantap dan padu dan tidak mengenal penat lelah kita boleh bersyukur kerana dikurniakan Islam. Alhamdulillah!

Cuba kita hayati kata-kata Rasulullah s.a.w. ini:
”Hai bapa saudaraku! Demi Allah, jika mereka letakkan matahari di sebelah kananku dan bulan disebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini – sehinggalah Allah menzahirkan kemenangannya atau aku terkorban di jalannya – nescaya aku tidak akan meninggalkannya”.

Itu adalah kata-kata Rasulullah s.a.w. apabila orang-orang Quraish datang mengancam Abu Talib yang memberi perlindungan kepada Nabi s.a.w. ketika itu.

Cuba kita renungkan juga kata-kata Rasulullah s.a.w. ini:
”Malah aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan dari sulbi mereka orang-orang yang akan menyembah Allah semata-mata tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu”.

Itu adalah jawapan baginda apabila malaikat bukit yang hadir bersama Jibril menawarkan untuk menghempaskan dua bukit di Mekah keatas penduduk Taif yang telah menyakiti baginda.

Kita mengetahui bahawa Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w. tidak memeluk Islam walaupun beliau memberi perlindungan kepada Rasulullah s.a.w. untuk menyebarkan Islam sepanjang hayat beliau.

Untuk pengorbanan itu Abu Talib menerima siksaan yang paling ringan di neraka. Ia itu dipakaikan selipar dari api neraka sehingga menggelegak otaknya.

Abu Lahab, bapa saudara Rasulullah s.a.w. yang merupakan musuh ketat dan salah seorang yang paling aktif menyekat dakwah baginda (apabila baginda memulakan dakwah Islam) juga menzahirkan kegembiraan dia apabila baginda dilahirkan. Dia telah memerdekakan seorang hamba perempuan bernama Thuwaibah.

Kerana itu dia diringankan siksaannya setiap malam Isnin seperti dalam kisah ini:
”Abu Lahab telah dilihat didalam mimpi setelah kematiannya lalu ditanya kepadanya, Apa khabar? Abu Lahab menjawab, Aku terseksa didalam neraka! Tetapi Allah telah meringankan siksa-Nya terhadapku setiap malam Isnin kerana hari tersebut aku telah memerdekakan hamba perempuan bernama Thuwaibah kerana terlalu gembira menyambut kelahiran Nabi Muhammad disamping memerintahkan supaya Thuwaibah menyusukan Nabi s.a.w. sekalipun Abu Lahab seorang kafir. Tetapi Allah telah meringankan azab untuknya didalam kubur setiap malam Isnin kerana dia menzahirkan kegembiraannya menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w.”.

Marilah kita perbanyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w. agar kita mendapat keberkatan Allah Taala. Perbanyakkan berselawat bukan sahaja pada sambutan Maulidur Rasul tetapi pada setiap hari.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
(Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad – bermaksud: Ya Allah, kurniakanlah keselamatan dan kesejahteraan keatas Nabi Muhammad dan keselamatan dan kesejahteraan juga keatas keluarga Nabi Muhammad.)

Selamat menyambut Maulidur Rasul. Semoga kita semua di rahmati Allah dan mendapat syafaat Rasulullah s.a.w. di akhirat kelak. Insya’allah.

So….. Ya Allah ya Tuhan kami! Engkau jadikan dan Engkau tetapkanlah Agama kami di Agama Nabi Muhammad s.a.w. Dan (jadikanlah) ke Islaman kami Islam yang sebenar-benar Islam, keimanan kami iman yang kukuh dan sempurna. Jadikanlah solat kami solat yang khusyuk sungguh-sungguh. Dan pendirian kami menurut pendirian orang yang tgkut (kepada-Mu). Dan rukuk kami bagi (rukuk) orang-orang yang merendah benar-benar, kepada-Mu. Dan jadikanlah sekalian amal kami sebagai amal orang yang soleh. Dan niat kami tetap dalam niat yang ikhlas (suci, bersih, benar-benar dalam keikhlasan). Dan jadikanlah dosa-dosa kami dosa yang diampunkan. Amin.

Wassalam.

(Bersumberkan: Sirah Nabawiyyah-terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kisah Para Nabi-terbitan Darul Fajr Sdn Bhd, Risalah Maulid Al-Rasul-terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan)

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India