DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Khamis, Januari 05, 2012

BFK 173. Kunci syurga

Bismillah.
Assalamualaikum.

Ustaz yang membimbing kami dan beberapa kawan-kawan ‘mengaji’ di KLCC satu waktu dahulu ada menyatakan, ‘Kunci syurga adalah solat. Kunci solat pula adalah wuduk.’

No1568

Tidak ada seorang ‘pelajar’ pun yang meminta penjelasan atau pertanyaan mengenai kata-kata ustaz itu.

Berkemungkinan semua, termasuk kami faham apa yang dimaksudkan oleh ustaz.

Jika urusan dan persoalan solat diterima Allah SWT, akan mudahlah laluan ke syurga.

Tetapi untuk solat diterima maka wuduknya perlu betul dan sempurna.

Hari ini kami nak cerita kelebihan wuduk yang sempurna. Jom…..

Sebelum tu!

Wuduk dari segi syarak ialah membersih anggota tubuh badan yang tertentu dengan niat yang tertentu.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah: ayat 6 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Cara mengambil wuduk dengan sempurna berdasarkan hadis Nabi SAW antaranya ialah: 

  • Membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’ ketika membasuh kedua tangan hingga sampai ke pergelangannya, selepas itu hendaklah berkumur-kumur sekurang-kurangnya tiga kali dan membersihkan hidung, dengan memasukkan air kedalamnya serta mengeluarkannya iaitu tiga kali.
  • Membasuh muka tiga kali, sambil berniat dengan lafaznya yang bermaksud, “Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala.” atau  “Sahaja aku berwuduk kerana Allah Taala.”
    (Membasuh muka hendaklah dimulai dari bahagian atasnya hingga meliputi seluruh bulatan mukanya hingga kebawah dagu, ini termasuk membersihkan kelopak mata.)
  • Membasuh tangan kanan, mulai dari hujung jari hingga meliputi siku dan bahagian atasnya sebanyak tiga kali dan diikuti dengan tangan kiri tiga kali juga.
  • Menyapu sedikit dari kepala (lebih afdal seluruh kepala) tiga kali.
  • Menyapu kedua telinga luar dan dalam tiga kali.
  • Menyapu tengkuk dan leher tiga kali.
  • Membasuh kaki kanan tiga kali iaitu dari hujung jari hingga meliputi buku lali dan bahagian atasnya termasuk celah-celah jari kaki. Diikuti membasuh kaki kiri seperti cara membasuh kaki kanan. 

Kita perlu mengambil perhatian kepada rukun-rukun dan sunatnya. Perkara yang makruh dan yang membatalkannya.

Sesiapa yang mengambil berat menjaga kesempurnaan wuduk akan diberi kelebihan atau balasan yang baik.

Dari Amru bin Abasah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Barang siapa yang hampir untuk berwuduk terlebih dahulu dia menyedut air ke hidungnya lalu menghamburkannya keluar, maka keluarlah bersama air itu dosa-dosa wajah dan hidungnya. Apabila ia membasuh mukanya seperti yang diperintah Allah, maka keluarlah dosa-dosanya dari mukanya hingga ke hujung janggutnya. Apabila ia membasuh kedua tangan hingga ke siku maka gugurlah dosa-dosanya hingga ke hujung jari. Apabila ia menyapu kepala, lalu gugurlah dosa-dosanya hingga ke hujung rambut. Apabila ia membasuh kedua kakinya maka gugurlah dosa-dosa kaki hingga ke hujung jari kaki. Apabila ia berdiri untuk solat kemudian memuji Allah dengan selayaknya serta mengikhlaskan hati kepada Allah maka gugurlah segala dosa-dosanya seperti seorang kanak-kanak yang baru dilahirkan oleh ibunya.” [HR Muslim]

Dari Umar Al-Khattab RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
”Barang siapa yang berwuduk dan menyempurnakannya lalu ia membaca lafaz yang bermaksud: Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah, niscaya akan terbukalah lapan buah pintu-pintu syurga dan dia boleh masuk melalui mana-mana pintu-pintu syurga dan dia boleh masuk melalui mana-mana pintu yang dia suka.” [HR Muslim dan Tarmizi]

Kelebihan yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambaNya yang cermat.

Nak kongsi sedikit fakta yang diberikan oleh ustaz malam Rabu lepas.

Katanya dosa-dosa yang digugurkan jika kita melaksanakan puasa-puasa sunat contoh puasa 9 Zulhijjah (hari Wukuf) atau 10 Muharram (hari Ashyura) dan yang seumpamanya adalah dosa-dosa kecil sahaja.

Yang membabitkan dosa-dosa besar perlu bertaubat.

Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah al-Araaf: ayat 153]

Wallahualam.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, terimalah daripada kami akan solat kali. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, perteguhkan hati-hati kami diatas agamaMu dan ketaatan kepadaMu. Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India