DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Disember 25, 2012

BSK 336. Bersih SPRM tapis

Bismillah.
Assalamualaikum.

No2458

Kita jangan hiraukan pandangan dan pendapat orang lain tetapi cadangan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaaffar mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amatlah tepat.

“Cadangan ini membabitkan semua parti politik dan individu yang akan bertanding sebagai calon Bebas, termasuk Ahli Parlimen atau ADUN yang bakal dicalonkan semula atau yang pertama kali bertanding”.

“Ini bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya,” katanya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengiyakan, senarai calon Barisan Nasional (BN) akan melalui proses tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dimuktamadkan.

“Kita akan merujuk nama-nama calon ini kepada SPRM, dan jika mereka mempunyai fail yang masih boleh dipertikaikan, maka mereka tak mungkin lulus tapisan SPRM,”

“Ini merupakan sesuatu yang sedang kita lakukan pada masa sekarang. Pendirian BN ialah setiap calon mesti melalui tapisan SPRM,” katanya.

Cadangan yang wajar, tak payah fikir lama-lama, semestinya dikuat-kuasakan tanpa was-was.

Namun begitu ada segelintir ahli politik tidak setuju.  Sepertinya di hati mereka masih ada perasaan was-was dengan hasrat murni Pengerusi mereka memberi SPRM ‘authoriti’ memastikan calon ‘bersih’ BN.

“Bagi saya, harta ini personal (bersifat peribadi). Jadi bagi saya memadailah kalau isytihar harta kepada Perdana Menteri. Takkan kita nak canang semua harta kita kepada seluruh rakyat? Kita kena fikirkan keselamatan wakil rakyat itu sendiri.”

“Dalam sistem BN, dalam parti sendiri sudah ada proses sebegini, kita semua isytihar harta kepada pengerusi BN.

“Biasanya di dalam sistem kami, anggota pentadbiran sudah declare (isytihar) harta, itu memang perlu.”

“Calon tidak semestinya perlu isytihar harta, kerana tidak semestinya mereka akan menang.”

“Hanya apabila sudah menang barulah mereka perlu isytihar harta.”

“Memadailah jika sekadar mengisytiharkan harta kepada perdana menteri, dan sekiranya berlaku penyelewengan, perdana menteri boleh menyerahkan dokumen pengisytiharan harta kepada SPRM.”

“Apa yang lebih penting calon pilihan raya akan tampil dengan bersih bagi mendapatkan keyakinan pengundi.”

Dengan menggunakan istilah terkini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed merayu kepada ahli politik agar tidak 'menembak SPRM dari belakang', suatu kecenderungan yang beliau sifatkan hanya menyulitkan usaha memerangi rasuah.

“Saya ingin katakan kepada ahli politik daripada semua parti... janganlah tembak dari belakang. SPRM adalah tentera untuk memerangi rasuah.”

“Jika anda menembak kami dari belakang, kepada siapa lagi masyarakat boleh meminta pertolongan untuk menentang rasuah?” katanya.

Tapi….. kami bukan menembak atau menikam mana-mana pihak dari belakang tetapi dari dulu, kini dan selamanya kami masih tidak mendapat kepastian makna sebenar “politik wang.”

Di TV kita sering diingatkan bahawa ‘belanja nasi lemak’ pun boleh dikira rasuah. Beri makan untuk undi. Belanja nasi lemak tu bukan ke sebiji macam politik wang?

Kita dianjurkan untuk mengatakan tidak pada rasuah. Kita dilarang untuk memberi dan juga menerima rasuah. SPRM perlu walk the talk.

Sebagai pengundi, semestinya mahukan calon-calon yang bersih. Sebagai rakyat, semestinya mahukan pemimpin yang berwibawa dan berintegriti.

Betul ke tak betul?

So….. ya Allah ya Tuhan kami, curahkanlah kurnia hidayah-Mu kepada kami untuk melaksanakan amal perbuatan serta perilaku yang baik. Tidak ada yang memberi petunjuk untuk melaksanakan perbuatan serta perilaku yang baik kecuali Engkau. Dan jauhkanlah buruknya perilaku dan perbuatan dari kami, dan tidak ada yang dapat menjauhkan kami darinya kecuali Engkau. Ya Allah, baikkanlah keberkesanan perbuatan kami dalam segala urusan dan selamatkanlah kami dari kehinaan dunia dan azab akhirat. Amin.

Wassalam.

Jumaat, Disember 21, 2012

BSK 335. Bicara rezeki, peluru, selera dan saudara

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kami menonton satu program yang membicarakan pengalaman mereka yang telah berkunjung ke Palestin.

Ada beberapa isu atau mungkin boleh kami katakan disini kisah menarik yang diperkatakan dan dikisahkan.

Diantaranya, satu keluarga seramai 30 orang lebih yang dibunuh oleh askar-askar Yahudi. Yang berjaya melepaskan diri dan terselamat dari musibah berkenaan menceritakan bagaimana keluarga beliau ditembak oleh pengganas Israel. “Yang seorang ditembak disini. Satu lagi pula kat sana. Dua orang lagi terbunuh kat depan tu”.

Satu lagi mengenai seorang bapa yang juga seorang bekas menteri diberitahu bahawa anak lelaki beliau telah terbunuh.

Yang menarik dan menghairankan adalah hamba Allah yang menceritakan kisah keluarga dia dibunuh tidak menunjukkan ekspresi sedih di wajahnya. Wajahnya tenang sepanjang sessi berkenaan.

Bapa yang anaknya terbunuh pula tidak menangis atau bersedih bahkan bersyukur dan gembira diatas apa yang berlaku.

Dikatakan, ada juga yang mahu mengambil anak-anak yatim piatu dari Palestin untuk dijadikan anak angkat. Tetapi tawaran ini ditolak.

Dari apa yang kami dengar, dapat dibuat kesimpulan bahawa warga Palestin sememangnya faham benar dengan perjuangan mereka. Faham dengan situasi yang mereka hadapi dan berada. Dari kanak-kanak hingga warga tua faham benar apa maksud jihad. Mereka tidak mudah untuk melarikan diri dari perjuangan. Kami pasti mereka lebih utamakan yang abadi.

Kami juga teruja dengan gesaan untuk memboikot produk dan barangan yang di usahakan dan dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang memberi sumbangan besar kepada negara haram Israel. Bukan sumbangan one-off tetapi telah menjadi agenda tetap dalam operasi perniagaan mereka.

Produk boikot 1Satu persoalan, ramai remaja Islam yang bekerja dengan francais ternama dari luar negara ini dan berkemungkinan besar rezeki mereka akan terjejas dengan pemboikotan itu. Tuanpunya francais pun ada yang beragama Islam.

Senarai boikot 2Apa yang kami faham dari jawapan yang diberikan….. jika kita sendiri pergi ke Palestin dan melihat sendiri kesengsaraan dan keganasan yang dilakukan oleh rejim Yahudi kepada rakyat disana baru kita tersedar bahawa RM1 yang kita belanjakan makanya umpama kita menghadiahkan 1peluru kepada warga Palestin. Peluru untuk saudara kita sendiri!

Rezeki atau peluru?

Well….. kita pun selalu makan makanan segera tu. Meneguk air berperisa tu. Menggunakan produk dari syarikat-syarikat tu. Semua tu!

Selera atau saudara?

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, penolong kami adalah Allah, tiada Tuhan melainkan Engkau, kepada-Mu jua kami berserah. Ya Allah, selamatkanlah kami dari orang-orang yang zalim itu. Kami menyerahkan urusan kami kepada-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Melihat akan hamba-hamba-Mu. Amin.

Wassalam.

Selasa, Disember 18, 2012

BSK 334. Melayu pilih halam untuk bersaing

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita sering terdengar dan membaca komen-komen dan kata-kata negatif yang dilemparkan kepada Islam.

Jika ianya datang dari bukan Islam, mungkin kita masih boleh menerimanya dengan fikiran terbuka. Jika kata-kata itu datang dari kalangan kita sendiri?

Seorang pemimpin tertinggi sebuah NGO Melayu dilaporkan berkata jutaan ringgit tidak dapat dinikmati masyarakat Melayu kerana mereka tidak boleh menjalankan perniagaan yang haram di sisi Islam, sedangkan usahawan bukan Islam mengutip jutaan ringgit daripada perniagaan perjudian dan arak.

“Judi, arak, premis hiburan ... Melayu tidak boleh menjalankan perniagaan seperti itu, boleh kita bersaing?” katanya.

Mungkin ada yang menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata sedemikian.

Kenapa ya?

No2227

Kerana ianya mengenai fulus dan kekayaan. Melayu telah dinafikan hak untuk mengaut kekayaan dari sumber-sumber yang kelihatannya menjana dan memberi pulangan lumayan.

Pada kami, soalan dilontarkan menyatakan Melayu tidak mendapat keadilan kerana tidak dapat bersaing dan menceburi perniagaan yang diharamkan oleh agama yang mereka anuti.

Untuk berjaya dalam kehidupan adakah Melayu perlu terlupakan soal halal dan haram? Halam!

Kami ingin berkongsi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengenai ukuran iman yang sempurna untuk renungan bersama.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.

Cuba kita hayati huraian dan pengajaran hadith berkenaan:

  • Orang yang tergamak melakukan perbuatan yang ditegah agama menandakan ketidaksempurnaan iman di jiwanya.
  • Kebahagiaan hidup adalah bergantung pada pertalian keturunan yang baik, keselamatan akal dan fikiran serta harta benda kerana keturunan yang terpelihara akan menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat, akal yang sihat membolehkan seseorang itu membezakan antara yang baik dan buruk, hak dan batil serta keselamatan harta benda itu pula membolehkan segala perancangan dilakukan dengan lancar dan sempurna.
  • Oleh itu Islam melarang keras daripada melakukan perbuatan zina yang boleh mencemarkan keturunan manusia, minum arak atau menagih dadah yang boleh merosakkan akal fikiran serta perbuatan mencuri yang menyebabkan kesusahan orang lain dan sebagainya.
  • Sesungguhnya kekuatan iman itu dinilai pada sejauh mana seseorang itu dapat membendung hasutan nafsunya serta menjauhi bisikan-bisikan jahat yang menggodanya. Oleh itu amat penting bagi setiap mukmin sentiasa menjaga pergaulannya agar tidak terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat yang berlaku di sekitarnya.

Banyak lagi perniagaan yang boleh diceburi oleh orang Melayu. Tak perlu kita merasa irihati kepada mereka-mereka yang bergelumang dengan perniagaan yang diharamkan oleh syarak.

Surah at-Tallaq; ayat 2-3 yang bermaksud:

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Kita ikuti komen Pak Lah berkaitan dengan soalan yang dilontarkan oleh pemimpin NGO Melayu tu.

“Apa lah, itu yang dia nak ambil jadi satu hujah pula.

“Kita jangan katakan kalau itu maka kita tak boleh berniaga ... Tak bermakna kita tak boleh jadi usahawan.

“Ada juga syarikat Melayu yang maju ... Semua bergantung kepada kemampuan dan kebolehan untuk dia menguruskan perniagaan dia tanpa mesti ada bahan haram,” katanya.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kayakanlah kami dengan harta benda yang halal serta jauhilah daripada yang haram dengan mentaati-Mu dan menjauhi maksiat dan dengan dengan kurnia-Mu sahaja tidak dari yang lain. Ya Allah, anugerahkanlah kami dari isteri kami dan keturunan kami menjadi penyenang hati kami. Amin.

Wassalam.

Khamis, Disember 13, 2012

BSK 333. Isteri PM semestinya terbaik menonjol

Bismillah.
Assalamualaikum.

Sememangnya isteri PM Malaysia yang ke-6 hebat. Tidak ada isteri PM-PM terdahulu begitu menonjol seperti menonjolnya isteri Datuk Seri Najib Razak. Tebaik!

Dilaporkan KM Melaka Datuk Seri Ali Rustam ditonjolkan untuk membaca teks ucapan isteri PM Datin Seri Rosmah Mansur pada majlis Pemantapan Mutiara MUBARAK di Melaka.

Dilaporkan…..

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berharap Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan terus menjadi 'jambatan penghubung' antara bekas wakil rakyat dan keluarga mereka dengan kerajaan demi kesinambungan kemajuan bangsa dan negara.

Beliau berkata anggota MUBARAK walaupun telah berpencen daripada menjadi wakil rakyat masih boleh terus setia berkhidmat untuk pembangunan negara selaras dengan moto pertubuhan itu iaitu terus berkhidmat.

Sebagai contoh, katanya, program Motivasi Anak Angkat MUBARAK negeri Melaka selama dua hari bermula semalam dilihat membantu para pelajar yang merupakan ahli keluarga Mubarak mencapai kejayaan yang cemerlang pada masa depan.

"Ia dapat membina karier mereka dan seterusnya meneruskan kesinambungan legasi keluarga mereka untuk menyumbangkan tenaga dan usaha kepada pembangunan negara sebagaimana dilakukan oleh ayah ataupun ibu mereka yang bergelar wakil rakyat," katanya pada majlis Pemantapan Mutiara MUBARAK di Melaka, semalam.

Teks ucapan beliau dibaca Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Rosmah berkata melalui program seumpama itu, bukan sahaja pemantauan dan latihan dapat dilakukan malah para pelajar tersebut dapat dibimbing dengan pembentukan akhlak dan moral yang baik, ditanam dengan semangat perpaduan, cintakan negara dan nilai patriotisme yang tinggi.

Katanya, jika pendekatan tersebut dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa pelajar berkenaan ia mampu mendorong mereka kembali berkhidmat untuk pembangunan negara.

"Mereka mungkin bekerja dengan kerajaan negeri menjadi pegawai yang cemerlang ataupun sebagai ahli perniagaan yang berjaya mahupun ahli politik yang akan mengharumkan nama negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap program anak angkat tersebut dapat membantu menjadi pendokong dalam mempergiatkan lagi usaha pencapaian matlamat negara dalam melahirkan modal insan bertaraf "minda kelas pertama".

Pada kami memang tidak ada masalah jika Datuk Seri Mohd Ali Rustam dengan penuh ikhlas membaca teks bekenaan tetapi kan lebih manis dan lebih mantap jika  ada seorang timbalan menteri beliau yang membacanya.

No2166

Adakah pemimpin tertinggi negeri Melaka itu merasa tertekan dan serba salah kerana mantan PM ke-4 Malaysia memberikan “endorsement” untuk isteri PM Datin Seri Rosmah Mansur menonjol setinggi mana sekalipun.

Dilaporkan juga…..

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhak untuk menonjol setinggi mana sekalipun.

Mantan perdana menteri itu ditanya mengenai pandangan sama ada profil Rosmah menjadi tinggi berbanding dengan isteri perdana menteri sebelum ini.

"Tidak ada format standard untuk dipenuhi sekiranya anda menjadi isteri kepada perdana menteri. Anda boleh menonjol semahunya," katanya selepas satu majlis di Malaysian Petroleum Club di ibu negara hari ini.

Dr Mahathir juga berkata Rosmah mempunyai hak untuk menepis dakwaan terhadapnya melalui buku biografi yang dijangka akan diterbitkan bulan depan.

Dalam majlis pra-pelancarannya semalam, buku setebal 164 halaman itu dipromosi sebagai penerbitan yang "bakal menjawab secara telus" isu serta dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan isteri perdana menteri itu.

Apa sebenarnya yang dimaksud dengan modal insan yang mempunyai “minda kelas pertama?”.

Adakah ianya bermaksud ciri-ciri yang perlu ada pada mereka yang bergelar pentadbir atau pemimpin seperti kelayakan dan karisma. Dan lebih mendalam lagi seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, tambahkanlah ilmu kami dan luaskanlah faham kami. Ya Allah, kami berlindung dengan Mu dari ilmu yang tidak bermenafaat dan tidak berguna dan dari hati yang tidak khusyuk. Dan tiadalah daya dan kuasa melainkan dengan daya kuasa Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Amiiin.

Wassalam.

Ahad, Disember 09, 2012

BSK 332. Graduan vs Sektor Awam dan Swasta

Bismillah.
Assalamualaikum.

Penjawat awam akan dikurangkan pengambilannya tahun hadapan sementara sektor swasta akan memulakan persaraan 60 tahun pekerja mereka pada awal Julai 2013.

Laporan-laporannya…..

Pengambilan penjawat awam dijangka kurang tahun depan: Pengerusi SPA

PUTRAJAYA: Pengambilan penjawat awam dijangka berkurangan tahun depan berikutan pelaksanaan opsyen pelanjutan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam hari ini.

Secara purata, beliau berkata, SPA menerima hampir 1.2 juta permohonan kerja setiap tahun dan kira-kira 40,000 calon diambil untuk berkhidmat dalam sektor awam.

"Pada tahun ini dan tahun depan, ramai penjawat awam telah memilih opsyen untuk bersara pada umur 60 tahun, maka pengambilan sudah berkurang.

"Namun, selepas tahun depan, apabila ramai yang bersara pada usia 60 tahun, jumlah pengambilan akan bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penjawat awam akan diambil," katanya selepas merasmikan Seminar Pengenalan Kepada Skil Pekerjaan Sektor Awam di Pejabat SPA di sini, hari ini.

Bersara 60 tahun Julai depan

Putrajaya: Akta Umur Persaraan Minimum 2012 yang menetapkan umur persaraan sektor swasta kepada 60 tahun akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun depan.

Bagaimanapun, majikan boleh menangguhkan pelaksanaannya sehingga 31 Disember 2013 dengan membuat permohonan kepada Kementerian Sumber Manusia sebelum 28 Februari tahun depan berserta alasannya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dalam satu kenyataan semalam, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan tiga hala bersama wakil majikan, pekerja selain pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

Itulah apa yang kami baca.

Kami dan wife menghadiri konvokesyen anak ke-3 di Shah Alam. Sidang ke-9 di Istiadat Konvokesyen UiTM ke-77 pada 28/11/2012.

Sebelum sidang ditangguhkan ibu bapa dan hadiin di dewan konvo mendengar ucapan penutup dari Pro-Canselor Y Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Arshad Ayub.

Didalam ucapannya dinyatakan jumlah graduan yang menerima ijazah dan diploma berjumlah 27,626 orang. Satu peningkatan yang sememangnya besar.

Itu baru jumlah graduan yang keluar dari UiTM. Belum lagi graduan-graduan yang keluar dari IPTA yang lain. Itu belum dikira jumlah graduan yang menuntut di IPTS. Dimana bilangan IPTS sememangnya banyak di negara kita ini.

Sektor swasta akan mengikuti sektor awam menuju persaraan umur 60 tahun. Ketika ini secara umumnya umur persaraan bagi sektor swasta ialah apabila pekerja mencapai umur 55 tahun.

No2448

Anak-anak muda akan berada didalam situasi persaingan sengit untuk jawatan atau pekerjaan di kedua-dua sektor.

Lulusan SPM dan SPTM perlu bersaing dengan lulusan IPT. Kelompok ini perlu pula bersaing dengan pak cik2 dan mak cik2 dan juga atuk2 dan nenek2 yang mahu atau perlu atau terpaksa bekerja sampai umur subsidi.

Bila masanya pula anak-anak muda ini akan mendapat peluang untuk memulakan kehidupan mereka sendiri.

Dalam keadaan ekonomi dan isu sosial ketika ini kami seram memikirkan masa depan dan nasib anak-anak muda kita ini.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, sekiranya rezeki kami ada di langit maka turunkannya. Jika ada di bumi keluarkannya. Jika adanya jauh maka perdekatkannya dan jika adanya hampir maka permudahkannya. Amiiin.

Wassalam.

Khamis, November 22, 2012

BSK 331. Yahudi dulu kini dan selamanya

Bismillah.
Assalamualaikum.

Orang-orang Yahudi mencemuh penduduk Yathrib dan orang-orang Arab kerana menyembah berhala. Orang Yathrib selalu diperingatkan akan kedatangan seorang nabi yang akan memimpin orang-orang Yahudi untuk menundukkan orang-orang Arab. Orang Yahudi yakin sepenuhnya bahawa nabi besar ini adalah dari kalangan mereka kerana ciri-ciri dan kedatangan nabi ini ada termaktub didalam kitab suci mereka.

Bila dikhabarkan bahawa nabi yang dinanti-nantikan telah muncul dikalangan bangsa Arab, penduduk Yathrib iaitu suku  Khazraj dan suku Aus telah mendahului menyatakan keimanan kepada nabi itu.

Orang-orang Yahudi pula mendustakan nabi akhir zaman itu kerana nabi yang dinanti-nantikan oleh mereka rupa-rupanya bukan dari kalangan mereka. Mereka ini terdiri dari golongan yang mengetahui. Abdullah Bin Salam, orang penting dikalangan mereka memeluk Islam.

Tetapi boleh dikatakan sebahagian besar dari mereka menolak kebenaran demi bangsa. Dan sememangnya mereka ini tergolong didalam golongan orang-orang yang rugi. Rugi dunia rugi akhirat.

Selepas penghijrahan nabi akhir zaman dari Mekah ke Yathrib, orang Yahudi diperangi oleh umat Islam dan mereka diusir keluar dari bumi Yathrib. Kerana mereka terbukti bukanlah jiran yang baik. Maka bertebarlah mereka ke serata pelusuk dunia..

Dendam kesumat mereka kepada nabi akhir zaman dan umat Islam tidak pernah surut. Seiring dengan pepatah, dulu, kini dan selamanya.

Lebih 1,400 tahun berlalu. Dendam kaum yang dilaknati Allah SWT semakin menggila.  Kaum ini bercita-cita untuk mendirikan negara mereka sendiri. Dan dengan bantuan dan sokongan England, selepas Perang Dunia ke-2 negara haram Israel berjaya ditubuhkan di bumi Palestin.

Dendam kesumat kaum yang dilaknati ini dilampiskan kepada rakyat Palestin. Selapas tanah air mereka dirampas, orang Palestin ditindas dalam segala bidang.

Negara haram Israel berani melakukan kealiman kerana mereka didokong oleh kuasa besar dunia ketika ini. Amerika Syarikat ketika ini merupakan sekutu utama orang Yahudi.

Dalam beberapa hari ini rakyat Palestin dibantai habis-habisan oleh rejim pengganas Israel. Ramai yang terkorban termasuk bayi dan kanak-kanak.

Amerika Syarikat tidak berusaha untuk menyekat keganasan sekutunya. Bahkan menzahirkan restu dengan tindakan kejam berkenaan.

Berkatalah Presiden Amerika Syarikat seperti yang dilaporkan:

Presiden Barack Obama berkata Ahad lalu bahawa Israel mempunyai "hak" untuk mempertahankan dirinya daripada serangan peluru berpandu oleh militan di Gaza tetapi memberi amaran bahawa memesatkan serangan dengan menggunakan tentera darat Israel akan menjejaskan harapan proses damai dengan Palestin.

"Mari kita fahami kejadian yang merupakan punca krisis sekarang dan ia adalah kerana serangan peluru berpandu yang dilancarkan bukan sahaja ke wilayah tentera Israel tetapi di kawasan yang didiami orang awam, tiada negara di dunia ini yng akan bertolak ansur dengan serangan peluru berpandu merentas sempadan kepada rakyatnya," ujar Obama ketika sidang akhbar di Thailand, permulaan lawatan tiga negara beliau di Asia.

"Jadi, kami menyokong sepenuhnya hak Israel untuk mempertahankan dirinya daripada pendaratan peluru berpandu di rumah dan tempat kerja orang awam yang berpotensi membunuh orang awam."

Beliau menambah: "Israel mempunyai setiap hak untuk mengharapkan bahawa mereka tidak mendapat serangan peluru berpandu yang dilancarkan ke wilayahnya. Jika harapan itu dapat dicapai tanpa menambahkan aktiviti ketenteraan di Gaza, maka itu adalah lebih baik. Ia bukan hanya lebih untuk rakyat Gaza. Ia juga lebih baik untuk rakyat Israel, kerana jika tentera Israel berada di Gaza, mereka berisiko tinggi untuk mati atau tercedera. "

Amerika Syarikat sejak dulu lagi merupakan penyumbang terbesar peralatan ketenteraan negara haram Israel. Rejim Israel mempunyai segala peralatan pemusnah yang canggih. Cakap sahaja, semuanya akan dipekenankan oleh Amerika Syarikat. Seolah-olahnya Israel adalah sebahagian dari bumi Amerika yang paling bernilai. Ditatang seperti minyak yang penuh oleh setiap Presiden Amerika.

Perkembangan terbaru menunjukkan bahawa gencatan senjata telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang bertelagah.

No2421

Adakah gencatan bersenjata ini terhasil daripada usaha Malaysia dan Indonesia membangkitkan isu kekejaman rejim Zionis kepada Presiden Barack Obama yang turut sama menghadiri mesyuarat ASEAN-Amerika Syarikat di Phnom Penh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata usaha ini berjaya mempengaruhi Presiden Amerika Syarikat itu untuk mengambil tindakan segera membendung keganasan di Gaza.

"Obama memberitahu saya, beliau membuat beberapa panggilan telefon selepas Malaysia dan Indonesia membangkitkan perkara itu."

"Beliau sudah bertindak memainkan peranan cuba menghentikan konflik yang berlarutan di Gaza," kata Datuk Seri Najib kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan,

Atau mungkinkah gencatan bersenjata itu dipersetujui apabila kerajaan Mesir dan Turki menegaskan bahawa kedua-dua negara itu tidak akan meninggalkan Gaza bersendirianl.

Mesir dilaporkan menegaskan bahawa Kaherah bukan pengantara di antara Israel dan Palestin, tetapi berdiri teguh di pihak Palestin.

Malah Presiden Mesir Mohamed Mursi sendiri  menegaskan bahawa "Kaherah tidak akan meninggalkan Gaza sendirian, Mesir hari ini bukan Mesir yang semalam, dan Arab hari ini bukan Arab yang semalam”.

Perlu diingat bahawa Mesir dibawah kepimpinan Hosni Mubarak dahulu merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat.

Adakah ketegasan Mursi memberi impak yang besar kepada dasar luar Amerika Syarikat mengenai timur tengah dalam masa terdekat ini?

Allah SWT yang menentukan segalanya.

Sesuatu yang perlu kita renungkan, kebanyakkan pak-pak ustaz berkata kita kini hidup di akhir zaman. Dan di akhir zaman akan berlakunya siri-siri peperangan besar yang melibatkan umat Islam.

Well….. umat Islam semestinya  telah menetapkan pendirian dan kedudukan  mereka ketika ini.

Renung-renungkan dan fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, Engkau jadikan dan Engkau tetapkanlah agama kami di agama Nabi Muhammad SAW. Dan jadikanlah ke Islaman kami Islam yang sebenar-benar Islam. Keimanan kami iman yang kukuh dan sempurna Jadikanlah solat kami solat yang khusyuk sungguh-sungguh. Dan pendirian kami menurut pendirian orang-orang yang takut kepada Mu. Wahai Tuhan kami janganlah Engkau memesongkan kami sesudah Engkau beri pertunjuk kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. Amiiin.

Wassalam.

Selasa, November 13, 2012

BSK 330. Amoi Astaka Orkid dan TBK

Bismillah.
Assalamualaikum.

No2418

Ahad 11/11/2012 kami sekeluarga menghadiri dua majlis walimatul urus.

Pertama di Astaka Orkid, Bukit Ekspo UPM Serdang.

Majlis dianjurkan bersama oleh kedua keluarga pengantin.

Ayah dan ibu pengantin lelaki adalah sepupu wife, Hj. Sakur B. Salimin dan Hjh. Juniah Bt. Hashim. Besan mereka ialah En. Noordin B. Hassan dan Pn. Norini Bt. Ahmad.

OK gitu. Permulaan yang baik. oleh kedua-dua pihak.

No2417

Yang menjadi raja sehari ialah Mohamad Rizuwan Bin Sakur dan Nurrul Naim Bt. Noordin.

Kami sampai awal kat majlis berkenaan. Pukul 11.30am++ dah sampai kat lokasi. Sebelum sampai tu berpusing-pusing juga kami dibuatnya. Ingatkan disekitar UPM. Rupanya masuk jauh kat dalam kawasan berpagar UPM.

Pengantin pun belum sampai. Kelibat sedara mara sebelah wife pun belum kelihatan. Pagi sangat katakan.

No2416

Selepas bersalamam dengan yang empunya majlis kami terus ke hub makanan.

Tak nak lama-lama kat sana kerana ada satu lagi majlis yang perlu dihadiri. Sebab kedua kerana ada abah kat rumah. Tak nak tinggalkan abah lama seorang diri kat rumah.

Semasa sedang menjamu selera kami terlihat seorang tetamu sedang menikmati makanan yang disediakan. Amoi sorang tu tak pandai nak makan nasi menggunakan jari-jemarinya. Rasanya pihak katerer terlepas pandang pasal sudu dan garpu. Kelihatan amoi tu menggunakan papadom untuk mengaut nasi dan menyuap kedalam mulut beliau. Orait tu.

No2420

Sebelum masuk waktu Zohor kami sudah berada kat majlis kedua. Tak jauh pun dari rumah kami. Dalam taman perumahan kami juga. 

Yang mengadakan majlis ini adalah salah seorang bilal kat surau kami. Beliau ialah En. Yusoff B. Bakar dan isteri Pn. Jamaliah Binti Waris.

Raja sehari yang diraikan ialah Zulaiha Binti Yusoff dan pilihan hatinya Muhammad Firdaus B. Zainal Abidin. Pengantin lelaki ni orang Perak. Yop dari Selama. Selama-lamanya.

Kepada kedua-dua pasangan pengantin kami doakan semoga berkekalan berbahagia di dunia dan di akhirat dan semoga dikurniakan zuriat yang soleh dan sejuk mata memandang.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon dari Engkau keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon rahmat Mu dan keampunan Mu yang sesungguh-sungguhnya, kelimpahan kebaikkan, selamat dari segala dosa, berjaya mendapat syurga dan selamat daripada neraka. Amiiin.

Wassalam.

Isnin, Oktober 29, 2012

BSK 329. Korban Masjid Negeri 1433H

Bismillah.
Assalamualaikum.

Semalam 12 Zulhijjah 1433H bersamaan 28 Oktober 2012 kami dan seorang sahabat, saudara Roslan ke Masjid Negeri Negeri Sembilan Darul Khusus.

No2396

Kami berdua membantu Ustaz Kamaruddin Ibrahim yang menjadi ‘mastermind’ Program Korban 1433H Masjid Negeri. Kebetulan hari Ahad dan kami pun tidak ada program lain hari tu. Lebih baik kesana dan membantu apa yang terdaya.

Sehari sebelum tu, 11 Zulhijjah 1433H bersamaan 27 Oktober 2012 ada majlis korban kat taman kami ni. Tujuh ekor lembu disembelih. Seekor untuk akikah dan enam ekor korban. Kami tak berkesempatan untuk mengambil gambar kat majlis tu. Hmmm…..

Kami sampai kat Masjid Negeri rasanya pukul 8.10 pagi. Lembu korban belum tiba. Jadinya kami pun bersarapan dulu. Sarapan pagi memang disediakan.

Lebih kurang pukul 8.30 pagi lori yang ditunggu tiba. Ada enam ekor lembu korban. Memang cukup besar lembu-lembu yang dibawa. Lebih besar jika dibandingkan dengan lembu korban di taman kami.

Kami diberitahu bahawa lembu kat Masjid Negeri dibeli di Labu. Lembu kat taman kami pula dari Felda Palong.

Kami nak kongsi beberapa gambar yang sempat kami ambil kat majlis korban Masjid Negeri. Jom ikut…..

No2388No2389

Salah seekor lembu yang diturunkan dari lori. Kelihatan anak bongsu Ustaz Kamaruddin bercekak pinggang. Kami tak pasti samada pinggang terasa sengal semasa membantu turunkan lembu atau ada sebab lain. 

No2393No2394

Peserta dan yang datang membantu sedang mempersiapankan lembu untuk dikorban. Abang-abang bomba yang datang sememangnya  ringan tulang.

No2390No2391

Seekor lembu korban sedang hendak disembelih. Ramai yang membantu memegang lembu korban untuk mempastikan sembelihan yang sempurna dilakukan oleh penyembelih.

No2399No2400

Daging telah diambil untuk dibahagi-bahagikan. Rangka dan tulang-tulang dikerat bagi memudahkan sesiapa yang menginginkan.

No2398No2397

Proses menimbang daging. Kelihatan daging korban yang siap dibungkus untuk diagih-agihkan kepada peserta-peserta, fakir miskin dan ahli kariah.

No2401No2402

Ustaz Kamaruddin sedang bersiap-siap untuk membahagi-bahagikan daging korban. Itu lembu nombor 1 ke? Yang tu pula nombor berapa? Gamaknya itulah yang dikatakan oleh beliau..

Abang yang pakai songkok kat sebelah kanan tu sedang tekun melapah ekor lembu. Malam nanti pekena sop ekor le tu. Yang dikerjakan ekor takkan sop kepala pulak kan.

Setiap majlis ada kekurangannya tetapi secara keseluruhan majlis korban di Masjid Negeri berjalan lancar.

Well….. itu le serba sedikit gambar-gambar yang dapat kami kongsikan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, wahai Tuhan yang Maha Kaya, wahai yang Maha Terpuji, wahai yang mula-mula Menjadikan makhluk, wahai yang Mengakhirkan, wahai yang Maha Penyayang, wahai yang Maha Lembut, kayakanlah kami dengan harta benda yang halal serta jauhilah daripada yang haram dengan mentaati-Mu dan menjauhi maksiat dan dengan kurinia-Mu sahaja, tidak dari yang lain. Amiiin.

Wassalam.

Ahad, Oktober 21, 2012

BSK 328. Agong perlu hentikan kebiadapan CSL

Bismillah.
Assalamualaikum.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada ketika ini berada di Kota Suci Mekah.

Baginda berdua tiba di Madinah pada hari Jumaat lepas. Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah serta rombongan menziarah makam Nabi Muhammad SAW dan bersolat di Masjid Nabawi.

No2366

Seri Paduka berdua berangkat ke Jeddah pada hari Sabtu iaitu semalam dan memasuki Kota Makkah bagi menunaikan umrah.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah dijadual berangkat melawat Ibu Pejabat Tabung Haji di Makkah serta bertemu para jemaah haji Malaysia hari Isnin ini.

Seri Paduka berdua akan berwukuf pada Khamis bersama tiga juta umat Islam dari seluruh dunia yang menunaikan haji musim ini.

Semoga baginda berdua mendapat haji yang mabrur. InsyaAllah.

Kami juga benar-benar berharap apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kembali ke Malaysia baginda akan menghentikan kebiadapan Presiden MCA  Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang lantang menghina dan memburukkan Islam.

Baginda selaku ketua agama Islam semestinya campur tangan dalam kebiadapan manusia seekor ini yang seolah-olah mendapat lesen menghina dan memburukkan Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kami merasakan tidak berusaha untuk mengawal keadaan, memilih untuk diam membisu malah tidak mahu menasihatkan rakan sekutu beliau itu agar berhenti menghina dan memburukkan Islam.

Kami beranggapan begitu kerana PM yang menjadi tetamu kehormat bagi merasmikan perhimpunan agung MCA ke-59 mempunyai kesempatan terbaik untuk memberi nasihat tetapi beliau memilih untuk terus  membisu di majlis tersebut.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami sebagai sasaran bagi orang-orang kafir dan ampunilah kami, ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dan kami berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan. Amiiin.

Wassalam.

Rabu, Oktober 17, 2012

BSK 327. Jangan jual saham FGVH

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kami teruja dengan nasihat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah agar pemegang saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) khususnya peneroka FELDA tidak menjual saham mereka.

“Kita sedia maklum permainan saham terdedah kepada risiko, tetapi kita yakin pengurusan FELDA mampu menaikkan semula harga saham itu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Janji Ditepati anjuran FELDA di Bandar Chiku, di sini, kelmarin.

“Terus pegang saham itu untuk tempoh beberapa tahun akan datang kerana kejatuhan harga saham FGVH di Bursa Malaysia sekarang bersifat sementara,” katanya.

Yang amat mengujakan apabila katanya, peneroka amat beruntung dengan langkah kerajaan mentransformasi FELDA bagi memberi peluang kepada kumpulan sasar memiliki saham FGVH dan akhirnya mendapat keuntungan.

Ada 2 tanda tanya pada kata-kata bekas menteri kewangan itu.

  1. Betul ke peneroka amat beruntung?
  2. Betul ke peneroka ini kumpulan sasar?

No2344

Pada kami peneroka dipergunakan bagi memberi peluang kepada kumpulan sasar memiliki saham FGVH yang akhirnya mendapat keuntungan.

Adakah bekas menteri kewangan terlepas pandang hakikat bahawa seorang peneroka hanya diberi 810 unit saham sahaja.

Bukan 810 lot!

Peneroka merupakan golongan yang paling ciput mendapat agihan ‘kek kekayaan’ FGVH.

Camno boleh dikategorikan sebagai amat beruntung?

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami berlindung dengan Engkau dari ilmu yang tidak bermanfaat dan tidak berguna dan dari hati yang tidak khusyuk. Dan dari doa yang tidak diindahkan dan dari nafsu yang tidak puas-puas dan tiada kenyang-kenyangnya. Ya Allah, kami berlindung dengan Engkau dari syak wasangka dan dari kemusyrikan dan dari munafiq dan dari keburukan akhlak dan budi pekerti. Amiiin.

Wassalam.

Ahad, Oktober 14, 2012

BSK 326. Imam pergi haji. Makmum?

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita sedang berada di penghujung bulan Zulkaedah. Waktu ini Kota Mekah menjadi tumpuan umat Islam. Terutamanya insan-insan terpilih iaitu tetamu-tetamu Allah, ketika ini mereka sedang membanjiri Kota Suci itu.

Mengikut kalendar kat negara kita ni, hari Wukuf iaitu 09 Zulhijjah 1433H jatuh pada hari Khamis bersamaan 25 Oktober 2012.

rosmah_pm

Apa yang menariknya, ada satu rombongan jemaah haji yang diberikan publisiti meluas. Mereka ini terdiri dari 400 orang jemaah haji Malaysia dan disertai oleh 3 orang pengiring khas.

Kenapa mereka ini begitu istimewa?

Mereka ini menunaikan haji melalui program penajaan jemaah haji 1Malaysia Development Bhd. (1MDB). Mereka terpilih menunaikan haji secara percuma menerusi program penajaan ini.

1MDB adalah 1 entiti milik penuh Kerajaan Malaysia.

Siapa mereka insan terpilih ini?

Mereka terdiri daripada 400 imam dan Pengerusi JKKK seluruh negara. Kita ikuti dan hayati kenyataan PM Datuk Seri Najib Tun Razak:

"Setelah sasaran menghantar para imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini dicapai, tidak mustahil kita akan panjangkan pula kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru KAFA," katanya.

"Sepanjang tempoh pemilihan calon dijalankan, kita dapati ada dalam kalangan imam dan ketua kampung yang langsung tidak mempunyai akaun Tabung Haji dan ada antaranya jumlah simpanannya hanyalah RM10 sahaja. Malah, ada yang tidak terfikir langsung dapat menunaikan ibadat itu.

"Maka, menjadi tanggungjawab kita merubah keadaan ini kepada suatu keadaan yang lebih baik kerana ia merupakan tuntutan dan ajaran asas dalam Islam," katanya.

Tidak salah untuk kerajaan memberi penajaan kepada mereka-mereka ini kerana mereka juga rakyat Malaysia.

1MDB milik kerajaan dan dana yang disalurkan kepada entiti ini adalah wang rakyat dan penajaan yang diberikan kepada mana-mana kelompok rakyat negara ini amat dialu-alukan. Itu sudah pasti.

Cumanya yang menjadi persoalan adalah kuota haji yang ditetapkan oleh Arab Saudi.

Kami teringat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom:

Malaysia termasuk dalam senarai 40 negara yang tidak mendapat tambahan kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom

"Semua negara diberi kuota sebanyak satu peratus daripada jumlah penduduk bagi setiap negara... Kita ada 28 juta orang rakyat bermakna kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan seramai 28,000 orang jemaah sahaja daripada negara kita," katanya.

Katanya Malaysia memohon penambahan kuota sebanyak 10,000 memandangkan jumlah yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat haji kini mencecah 982,000 orang.

Cuba bayangkan rakyat Malaysia yang sudah mendaftar dan menunggu giliran nak pergi haji kat Tabung Haji dah nak mencecah 1juta orang. Mereka-mereka yang menunggu giliran ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.

Yang muda dan tua. Yang kaya dan miskin. Yang cukup simpanan dan yang belum.

Mereka semua berada didalam dan tertakluk kepada sistem giliran yang dibawah seliaan Tabung Haji.

Semestinya saban tahun mereka akan menunggu dengan satu harapan iaitu untuk menjadi tetamu Allah.

Dan semestinya juga setiap tahun juga angka mereka yang masuk kedalam sistem itu akan semakin bertambah.

Well….. iman pergi haji. Makmun?

Pada hemat kami, selesaikan dahulu masalah mereka-mereka yang sudah bertahun didalam sistem tetapi masih tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.

Berkemungkinan besar mereka orang susah yang sudah menabung bertahun-tahun dan berkemungkinan juga usia mereka semakin lanjut.

Buat pemilihan dari golongan ini. Buat penilaian secara jujur dan hulurkan bantuan, top-up tabungan mereka dan penuhkan dahulu hasrat dan cita-cita golongan ini

Dan jika ikhlas mahu membantu mereka-mereka yang mengibarkan syiar Islam, daftarkan dan masukkan terlebih dahulu nama mereka dalam sistem yang sediaada. Buat pantauan rapi insan-insan terpilih ini.

Baru nampak tidak ada ketempangan dalam sistem giliran atau berat sebelah atau pilih kasih dalam isu kuota haji.

Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, dengan nama Allah dipohon pelihara diri kami, harta kami dan agama kami. Ya Allah jadikanlah kami redha dengan penentuan-Mu dan berilah keberkatan kepada kami pada perkara-perkara yang ditetapkan bagi kami agar kami tidak suka menghendaki sesuatu yang Engkau lambatkan serta tidak pula suka melambatkan sesuatu yang Engkau segerakan. Amiiin.

Wassalam.

Ahad, Oktober 07, 2012

BSK 325. PM debat dapat mandat

Bismillah.
Assalamualaikum.

No2237

Bila agaknya PRU13? Tangan ni dah gatal sangat nak memangkah.

Dari bulan ke bulan rakyat Malaysia menunggu. Menunggu dan terus menunggu pengumuman.

Pengumuman yang hanya boleh di umumkan oleh PM Datuk Seri Najib Razak sahaja. Kenapa lambat sangat nak menggumumkan tarikhnya?

Takkan belum datang bulan lagi kot. Opp….. apa pulak belum datang bulan! Takkan belum nampak anak bulan lagi kot.

Tunggu punya tunggu, PM Datuk Seri Najib Razak hanya mengumumkan pasal mandat sahaja. Katanya:

"Saya ingin mendapat mandat besar, kerana bagi mencapai visi kami menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, tempoh lima tahun akan datang ini akan menjadi sangat penting."

Nak mandat perlulah diadakan PRU. Tak ada PRU camno rakyat nak beri mandat. Nak pangkah kat mana?

Kenapa melambat-lambatkan PRU13?

Pada kami yang cetek hal-hal politik ni, rasa-rasanya PM kita ni tak “confident” team dia boleh menang dengan selesa. Tak boleh menang besar setelah pembentangkan bajet baru-baru ni? Kan banyak yang diberikan pada rakyat dalam bajet tu? Hampeh ni…..

Kenapa tak confident?

Rasa-rasa ada dua sebab utama why. Tell me why!

Pertama kerana pengakuan mantan PM ke-4 Malaysia. Kenyataan mashyur beliau:

"Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.

Bilanya mantan Presiden parti Melayu terbesar itu mengakui mereka adalah syaitan yang orang kenal makanya, apa kita hendak panggil ahli-ahli parti tersebut. Terutama Presidennya.

Terlebih penting, siapa nak percaya pada syaitan. Orang Melayu dah lama tahu, syaitan terdiri dari dua golongan. Syaitan dari golongan jin dan manusia.

Tu yang payah tu.

Satu lagi kerana PM Datuk Seri Najib Razak tidak menyahut cabaran debat ketua pembangkang. Dah dua tiga kali Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi cabaran. PM kita buat-buat bodoh je.

Sepatutnya debat itu perlu diadakan seperti sessi debat calon Presiden Amerika Syarikat diantara calon Parti Republikan, Mitt Romney dan Presiden Barack Obama.

Tak kisahlah isu apa yang hendak didebatkan. Apa-apa isu pun boleh.

Yang penting rakyat nak tengok ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim demam.

Demam tu cerita utamanya.

Tu le dua sebab kami, rakyat biasa ni terfikirkan kenapa dilambatkan PRU13.

Nak komen mengenai bajet atau visi atau transformasi yang setiap hari disogokkan tak mampu rasanya.

Sebagai rakyat dan pengundi yang rasional apa yang patut kita lakukan? Pangkah memang tetap pangkah. Fikir-fikirkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, wahai Tuhan yang hidup kekal lagi sentiasa berdiri sendiri. Wahai pencipta keindahan langit dan bumi. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kurnia, tiada Tuhan selain Engkau, dengan rahmat kurniaMu kami memohon pertolonagn. Perbaikilah untuk kami semua urusan kami. Dan jangan Engkau membiarkan kami sekejap matapun. Amin.

Wassalam.

Sabtu, Oktober 06, 2012

BSK 324. Pendek tapi power

Bismillah.
Assalamualaikum.

Dah lama kami tak bercerita. Tak pasti kenapa. Kami sendiri pun tertanya. Malas atau boring?

Berkemungkinan kedua-duanya. Hmm…..

No2265

Well….. hari ini, 20 Zulkaedah 1433H bersamaan 06 Oktober 2012 kami nak berkongsi surah yang sering kami baca didalam rakaat kedua solat. Samada solat fardu atau sunat.

Surah pendek dan mudah tetapi memberi impak yang besar. Surah yang anak kecil pun mudah menghafalnya. Surah yang terkenal dengan panggilan 3Qul. Surah yang pendek tetapi power.

Mula-mula jom kita hayati maksud surah-surah itu. Kami mulakan dengan surah al-Ikhlas.

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Surah al-Falaq:

Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, "Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; "Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); "Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

Surah al-Nas:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. "Yang Menguasai sekalian manusia, "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, - "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".

Jom kita hayati pula keutamaan surah-surah berkenaan.

Surah al-Ikhlas

Terdapat banyak hadis yang menyatakan keutamaan surah ini. Yang paling masyhur ialah surah ini sebanding dengan 1/3 al-Quran.

Disini kami akan berkongsi dua hadis daripada yang banyak itu.

Hadis pertama diriwayatkan daripada Muaz ibn Anas R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang membaca surah al-Ikhlas hingga selesai sebanyak sepuluh kali, maka Allah akan membina sebuah istana untuknya di syurga. Umar ibn Khattab berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika lebih dari itu?. “Rasulullah S.A.W menjawab: “Allah dapat memberi yang lebih banyak dan lebih baik dari itu.”

Hadis kedua pula diriwayatkan daripada Aisyah R.A yang bermaksud:

“Bahawa Rasulullah S.A.W mengutus seorang lelaki untuk turut serta dalam satu pasukan. Ketika solat dia mengimamkan rakan-rakannya dan mengakhiri bacaannya dengan surah al-Ikhlas. Ketika pasukan tersebut kembali pulang, perkara tersebut pun diberitahukan kepada Rasulullah S.A.W. Baginda lalu bersabda: “Tanyakan kepadanya, mengapa dia melakukan itu. ‘Mereka pun bertanya kepada lelaki tersebut, dan dia menjawab: ‘Sesungguhnya itu adalah sifat Allah Yang Maha Pengasih sehingga aku sangat suka membacanya.’ Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda: ‘Beritahu kepadanya, bahawa Allah S.W.T pun menyukainya.’”

Surah al-Falaq dan surah al-Nas

Surah yang disabdakan oleh Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Telah diturunkan kepadaku beberapa ayat yang belum pernah terlihat bandingannya sebelumnya.”

Dua surah yang selalunya dibaca bersama. Juga bersama surah al-Ikhlas seperti dalam solat witir.

Merupakan dua surah perlindungan yang diturunkan oleh Allah S.W.T ketika Rasulullah S.A.W disihir oleh seorang Yahudi yang telah membuat satu buhul (ikatan) untuk Baginda. Nabi telah memerintahkan Ali R.A untuk membukanya sambil membaca dua surah perlindungan (muawwizatain) dan Ali pun membuka buhul sehingga Nabi S.A.W berdiri seakan-akan baru terlepas dari ikatan.

Hadis diriwayatkan oleh Uqbah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Wahai Uqbah! Aku mengajarkan kepadamu dua surah terbaik yang mesti dibaca (iaitu surah al-Falaq dan al-Nas). Wahai Uqbah! Bacalahlah kedua surah tersebut setiap kali akan tidur atau bangkit dari tidur, tidak ada surah yang paling baik untuk memohon atau berlindung kepada Allah yang menyamai surah tersebut.”

Itu sahaja yang ingin kami kongsikan. Semoga kita semua mendapat perlindungan Allah S.W.T dan juga rahmatNya.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, tiadalah Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang satu, tidak ada sekutu bagiNya, kepunyaanNya kekuasaan dan segala pujian, Dia yang menghidupkan dan mematikan dan Dia berkuasa di atas segala sesuatu. Amin.

Wassalam.

Sabtu, September 22, 2012

BSK 323. Sejuta nak pergi haji

Bismilah.
Assalamualaikum.

No2266

Hari ini 06 Zulkaedah 1433H bersamaan 22 September 2012. Seramai 28,000 saudara-saudara kita telah mula menyahut “seruan haji”. Tentunya berdebar-debar untuk menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasul-Nya.

Rombongan pertama telah memulakan perjalanan pada jam 1.30 pagi pada hari Isnin, 01 Zulkaedah bersamaan 17 September.  Seramai 320 jemaah haji berlepas dengan penerbangan pertama dari KLIA.

Kami mendoakan semoga tetamu-tetamu Allah SWT ini dapat memberikan usaha terbaik mereka. Melakukan yang terbaik dalam semua perkara. Ibadah haji itu sendiri dan hubungan sesama jemaah. Bertimbang rasa dan bantu membantu semasa menggunakan kemudahan yang disediakan terutama semasa di Arafah dan Mina.

Tetamu-tetamu Allah ini, jika ada masalah sebarang masalah semasa di tanah suci, jumpalah ustaz dan ustazah yang ada di maktab. Selalulah hadirkan diri semasa sessi penerangan yang dianjurkan oleh TH.

Paling utama perlu ikhlas semasa melakukan ibadah tersebut. Perlu juga ikhlas dengan apa sahaja yang kita lakukan.

Tetamu-tetamu Allah dan Rasul-Nya adalah manusia terpilih. Bukan semua yang mendaftar akan mendapat peluang itu.

Ketika ini bilangan umat Islam di negara kita yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat haji mencecah 982,000 orang. Dah nak sejuta tu!

Mereka-mereka yang berjaya menunaikannya semesti manusia pilihan.

Negara kita  telah memohon tambahan kuota haji. Pada 12 September lalu, Tabung Haji menghantar surat rasmi buat kali kedua kepada kerajaan Arab Saudi bagi memohon tambahan kuota sebanyak 10,000 orang jemaah haji Malaysia untuk tahun ini.

Namun Malaysia termasuk dalam senarai 40 negara yang tidak berjaya dalam permohonan..

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kegagalan mendapatkan penambahan kuota itu disebabkan keputusan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan hanya satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara dibenar menunaikan ibadah haji.

"Semua negara diberi kuota sebanyak satu peratus daripada jumlah penduduk bagi setiap negara... Kita ada 28 juta orang rakyat bermakna kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan seramai 28,000 orang jemaah sahaja daripada negara kita," katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil ke-22, di sini.

Malaysia negara Islam yang pesat membangun. Sedang melalui transformasi di pelbagai bidang. Pelbagai perubahan sedang dilakukan. Ekonomi dan politik stabil. Rakyatnya  menerima pelbagai jenis imbuhan dan bantuan. 

Seperkara lagi, jemaah Malaysia sememang berdisiplin dan berhemah. Pemimpin negara dikatakan mempunyai hubungan yang erat dengan kerabat Arab Saudi.

Permohonan tidak diperkenankan berkemungkinan kerajaan Arab Saudi tidak nampak kecemerlangan yang ada pada negara ini.

Walauapapun, mereka yang telah cukup syarat-syarat, mulakan usaha dari sekarang. Berjinak-jinak dengan solat-solat malam. Banyakkan doa pada waktu itu. Insyaallah akan dikabulkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, lembutkanlah kami pada memudahkan setiap pekerjaan yang payah, bahawasanya memudahkan yang payah itu atas Engkau amatlah mudah. Amin.

Wassalam.

Rabu, September 12, 2012

BSK 322. Felda, KWSP dan Syaitan yang orang kenal

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita sedang memasuki fasa-fasa akhir Syawal. Hari ini dan 25 Syawal. Hari ini kami berhari-raya sekali lagi.

Diam tak diam kita dah masuk musim haji ni. Kami tak pasti siapa dikalangan ahli kariah kat sini yang bertuah menjadi tetamu Allah SWT dan Rasul-Nya tahun ini. Buat masa ni belum terdengar lagi sebarang cerita.       

Seperti tahun-tahun terdahulu, sesiapa yang berniat untuk melakukan ibadah korban akan menulis nama mereka kat white board yang disediakan kat surau. Buat masa ini Lembu no.1 dah ada 5 nama.

Jika difikirkan sejenak, begitu pantas usia kita berlalu.

Pantas tak pantas waktu berlalu, harga saham FGVH turun naik. Siapa yang dah menjadi jutawan dan hartawan bila saham ini tersenarai kami tidak pasti.

No2274

Yang kami pasti bukan dikalangan peneroka. Jika mereka telah menjadi jutawan dengan penyenaraiaan saham Felda, takkanlah mereka terus menerus diberi dan masih menerima  subsidi segera. Amat janggal bila golongan berada menerima pemberian sebegitu.

Kami sebenarnya malas nak cerita isu saham ni kerana tidak ada kena mengena dengan kami. Setahu kami tidak ada sedara-mara kami yang menjadi peneroka. Kawan-kawan pun tak ada rasanya.

Pada kami sekiranya saham FGVH naik atau turun itu rezeki mereka. Sebahagian besar dari mereka yang bersorak gembira bila diwar-warkan bahawa mereka akan menjadi kaya-raya dengan penyenaraiaan.

Sebelum saham ke bursa, peneroka ada pilihan samada nak sokong atau bantah. Ada yang bantah.

Sebahagian besar termakan pujukan dan janji manis puak yang diumpamakan oleh Tun Mahathir  sebagai ‘syaitan yang orang kenal’. "Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.

Lalu tersenarailah dengan gah saham Felda.

Seperti yang kami katakan, kami malas nak cerita kerana tak ada benda yang menghubungkan kami dengan Felda. Hmm…. Betul ke?

Ada kot! Kami teringat ada juga membeli minyak kelapa sawit keluaran Felda. Betul!

Tetapi bila KWSP diheret untuk membeli saham syarikat berkenaan maka tindakkan tergesa-gesa itu da kena mengena dengan kami.

Geng-geng tu jadi instant millionaire. Yang terkorban, ‘simpanan masa tua’ pekerja-pekerja seperti kami.

Sampai bila mereka-mereka yang diamanahkan untuk mengendalikan wang pekerja-pekerja akan menurut kehendak beberapa kerat manusia yang tidak bertanggung-jawab? Persoalannya. Adakah kedua-dua kelompok ini tidak bertanggung-jawab?

Kami mengatakan tidak bertanggung-jawab kerana mereka mengetahui apa yang mereka lakukan tidak membawa kebaikkan kepada rakyat (terutama golongan pekerja dan peneroka) dan juga kepada negara tetapi mereka masih meneruskannya. Degil semacam je.

Wang simpanan pekerja dilaburkan macam air laut. Agihan dividen pencarum  cuma segelas air sirap je. Beza macam langit dengan bumi.

Kami nak kongsi sikit nota yang ada kat kami mengenai syaitan dan puak-puak ni. Semoga kita boleh berhati-hati dan berfikir dan memilih dengan waras.

  • Didalam penggunaan bahasa Arab, syaitan bermaksud setiap yang degil dan engkar dari golongan manusia, jin dan binatang.
  • Didalam Al-Quran, Allah SWT telah menyuruh manusia supaya menjadikan syaitan sebagai musuh. Surah Faathir: ayat 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musun (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”.
  • Terlalu banyak tipudaya syaitan, antaranya seperti didalam surah Al-Mujadalah: ayat 13 yang bermaksud: “Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.
  • Untuk mengalahkan syaitan, manusia perlu kepada pertolongan Allah SWT. Surah An-Nahl: ayat 99-100 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan hasutannya melakukan syirik kepada Allah. 

Cuba-cubalah kita meninggalkan kesemua itu. Agar kita dapat hidup dengan penuh keceriaan. Cerah masa depan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunan kami. Ya Allah, berilah ampun bagi kami dan bagi kedua ibu-bapa kami serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. Kami memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam. Amiiin.

Wassalam.

Sabtu, September 08, 2012

BSK 321. Ron ko up lagi ke

Bismillah.
Assalamualaikum.

Pengguna-pengguna RON97 menerima berita yang kurang menyenangkan. Harga petrol kegemaran mereka itu di upkan lagi. Ceritanya…..

KUALA LUMPUR: Harga petrol RON97 akan naik 20 sen kepada RM2.70 seliter berkuatkuasa tengah malam ini.

Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti, berkata kenaikan harga itu bagaimanapun tidak membabitkan petrol RON 95 dan bahan api lain.

Zulkifli berkata, peningkatan sebanyak 20 sen itu berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia kepada AS$114 setong minggu ini berbanding AS$105 minggu lalu.

"Kenaikan harga minyak mentah itu berikutan krisis di Asia Barat," katanya ketika dihubungi di sini.

Zulkifli juga berkata, harga minyak mentah dijangka terus meningkat berikutan situasi di Asia Barat itu yang mungkin berterusan.

Pada 31 Januari lalu, harga RON 97 yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter. – BERNAMA

Banyakkanlah bersabar.

No2268

Sementara itu PETRONAS telah melaporkan prestasi kewangan suku keduanya berakhir 30 Jun 2012.

Jom ikuti laporannya…..

Kuala Lumpur: PETRONAS mencatat untung sebelum cukai RM22.7 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2012 yang disandarkan kepada pendapatan RM70.7 bilion dalam keadaan persekitaran pasaran yang semakin mencabar.

Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu, untung syarikat petroleum nasional itu naik 1.9 peratus kepada RM52.7 bilion daripada RM51.7 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama 2011.

Bagaimanapun, pada suku kedua untung sebelum cukai yang dicatatkan itu menunjukkan penyusutan 26.5 peratus disebabkan beberapa faktor yang tidak menyebelahi syarikat dalam tempoh itu.

PETRONAS berdepan beberapa keadaan mencabar dalam tempoh antara April hingga Jun lalu berikutan harga minyak yang rendah, masalah pengeluaran di Sudan Selatan serta peningkatan beban subsidi gas yang perlu ditanggungnya.

Lalui tempoh mencabar

Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, berkata kumpulan akan melalui tempoh yang mencabar sepanjang tempoh separuh kedua 2012, di samping berdepan kesukaran untuk melabur dalam perbelanjaan modal jika harga minyak jatuh di bawah AS$80 (RM248) setong.

Malah, beliau berkata PETRONAS berdepan kesukaran untuk menyamai prestasi kewangannya tahun lalu, apabila kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM90 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2011.

“Kami sudah mengingatkan kerajaan supaya lebih berhati-hati kerana tidak banyak yang boleh kami lakukan (dalam persekitaran semasa). Pada suku ketiga ini, keadaannya akan menjadi lebih sukar,” katanya selepas melaporkan prestasi kewangan suku kedua PETRONAS, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Shamsul Azhar berkata, walaupun harga minyak semasa berada dalam lingkungan AS$114 (RM353) setong, paras itu dijangka tidak akan berkekalan memandangkan ia dipacu oleh spekulasi semata-mata berbanding asas sebenar.

Letak asas unjuran harga minyak pada RM270 setong

PETRONAS, katanya meletakkan asas unjuran harga minyak pada AS$87 (RM270) setong dan penurunan sehingga AS$80 setong akan menyukarkannya menampung rancangan perbelanjaan modal berjumlah RM300 bilion sehingga 2015 serta memenuhi keperluan bayaran dividen kepada kerajaan.

“Harga minyak semasa ialah berikutan ketegangan yang berlaku di Asia Barat. Kita semua tahu tidak mungkin Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan menikmati proses pemulihan yang bermakna jika harganya kekal di atas AS$100, justeru harga yang kekal di atas AS$100 itu ialah disebabkan perasaan bimbang,” katanya.

Shamsul Azhar berkata, PETRONAS juga berdepan penurunan pengeluaran daripada lapangan minyaknya yang sudah berusia di negara ini serta menjangka arah aliran itu akan kekal sehingga 2014.

Laporan diatas menyatakan dalam tempoh Apr-Jun 2012, harga minyak rendah. PETRONAS juga dilaporkan akan menghadapi kesukaran pada suku ketiga.

Presiden PETRONAS menyatakan, “walaupun harga minyak semasa berada dalam lingkungan AS$114 (RM353) setong, paras itu dijangka tidak akan berkekalan memandangkan ia dipacu oleh spekulasi semata-mata berbanding asas sebenar.”

Unjuran harga minyak syarikat itu ialah US$87 bersamaan RM270 setong.

Kenapa harga RON97 dinaikan di saat dan ketika ini?

Ada yang membuat andaian kenaikkan cuma untuk seketika.  Ianya akan diturunkan semula.  Diumumkan semasa pembentangkan bajet pada akhir bulan Sep ini.

Betul tak betul? Gimik atau politik?

Sama-sama kita tunggu. Apa pun “Janji ditepati”.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, tiadalah yang mudah melainkan yang Engkau jadikannya mudah dan Engkaulah yang menjadikan kesukaran itu mudah bila sahaja Engkau kehendaki. Maha suci Engkau sesungguhnya kami adalah dari golongan orang yang menzalimi diri sendiri. Amiiin.

Wassalam.

Selasa, September 04, 2012

BSK 320. Iblis dan syaitan yang orang kenal

Bismillah.
Assalamualaikum.

No2265

Syawal telah masuk hari ke-17. Ada sebahagian dari kita telah beraya untuk kali kedua, bagi mereka yang telah melengkapkan puasa sunat enam hari di bulan raya ini.

Kami baru memasuki hari kedua.

Walauapapun….. selamat kembali!

Kami memulakan bercerita dengan kisah Iblis Laknatullah teringin bertaubat. Jom ikut…..  

Iblis datang kepada Nabi Musa dan berkata: “Engkaulah yang dipilih oleh Allah sebagai rasul-Nya dan Kalimullah sedangkan aku seorang makhluk biasa yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku semoga taubatku diterima.

Nabi Musa merasa gembira lalu ia berwuduk dan sembahyang kemudian ia berdoa: “Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat maka terimalah taubatnya.”

Maka diturunkan wahyu kepada Nabi Musa: “Ya Musa, dia tidak akan bertaubat. Jawab Musa: Ya Tuhan, dia mahu bertaubat.

Maka turun wahyu kepada Nabi Musa: Aku telah menerima permintaanmu Musa maka suruhlah ia sujud kepada kubur Adam maka Aku akan menerima taubatnya.”

Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis.

Tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: “Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana aku hendak sujud kepadanya selepas kematiannya?

Kenapa kami kongsi kisah taubat Iblis ini?

Kerana teruja dengan lapuran mengenai tulisan mantan PM ke-4, Tun Dr Mahathir mengenai syaitan dan malaikat dalam isu membuat pemilihan.

Beliau mengemukakan pepatah Inggeris "lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal".

Sebagai tips gamaknya kepada kita semua siapa untuk dipilih semasa PRU ke-13 kelak.

Ketika memberi gambaran selanjutnya, mantan perdana menteri itu  menjelaskan bahawa "syaitan" yang dimaksudkannya dalam tulisan di blognya itu merujuk kepada kerajaan BN.

Ditanya siapakah golongan yang dimaksudkan sebagai "malaikat" itu, Mahathir berkata beliau merujuk kepada pembangkang.

Penjelasan selanjutnya yang diberikan oleh Tun Mahathir.

"Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.

Jelasnya, "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat banyak perkara salah," katanya.

Wallahualam, kami tidak pasti apa sebenarnya yang bermain difikiran beliau, cumanya kita sebagai pembaca perlu meneliti dan berfikir dengan tenang.  

Surah al-Hajj: ayat 75 yang bermaksud:
“Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah an-Nas: ayat 1-6 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".

Iblis dan syaitan termasuk didalam golongan yang dilaknati. Istilah taubat dan mohon maaf rasa-rasanya tidak ada dalam kamus geng-geng ini. Jika ada pun cuma samar-samar dan kabur sahaja.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk, dari godaannya baik tiupan atau hembusannya. Amin.

Wassalam.

Rabu, Ogos 22, 2012

BFK 193. Aidil Fitri penat bukan tak penat

Bismillah.
Assalamualaikum.

Ramadhan bulan keberkatan telah berlalu meninggalkan kita. Begitu pantas jarum jam berputar.

Adakah kita pasti telah menerima rahmat, keampunan dan janji pelepasan dari api neraka dari Pencipta kita. Setiap dari kita pastinya mengharapkan balasan yang terbaik dariNya.

Hari ni dah 04 Syawal dan kita ada 26 hari lagi untuk berRAYA. Sudah menjadi budaya kat sini untuk berRAYA selama sebulan.

Menurut kat kalendar, Ramadhan 29 hari je tapi Syawal 30 hari. Jadinya….. meriah gitu.

Tahun ini kami sekeluarga menjadi tuan rumah. Kali kedua kami buat kami. Sepatutnya adik kami yang menjadi host tahun ini tetapi kerana masalah teknikal kami dan wife mengambil alih.

Kami 3 beradik. Datang berkumpul pun 3 keluarga ni le. Keluarga kami, keluarga kakak dan keluarga adik. Jumlah kesemuanya 13 orang. Termasuk abah 14 semuanya. Mak meninggal tahun lepas.

Walaupun jumlahnya kecil tapi persiapannya memenatkan juga. Persiapan memasak untuk berbuka puasa dan hari raya.

Di kalendar, 01 Syawal iaitu Aidil Fitri adalah pada hari Ahad, 19/08/2012. Tahun terdahulu tarikh di kalendar bertepatan dengan pengumuman hari raya.

Persiapan kami bermula awal.

Biskut raya untuk tetamu disiapkan oleh wife dengan di bantu oleh abang dan anak ke-3. Anak ke-4 pun ada juga membantu. Anak ke-2 terlepas dari tugasan ini kerana masih kat tempat dia belajar. Ada le juga 7-8 jenis yang tersedia. Yang tak ada tat nenas dan peyek.

No2260

Bahan-bahan untuk lauk-pauk kami beli awal. Ayam bersih dan daging  lembu kami beli awal dan simpan dalam freezer. Bahan-bahan lain pun begitu juga.

Hari Jumaat, 17/08/12, kami sekeluarga dan memulakankan task.

Ada yang bersihkan bawang dan ubi kentang. Memotong dan merebus daging dan paru. Membersihkan daging ayam. Menghiris kacang panjang. Alhamdulillah, 1Keluarga bergotong-royong gitu.  

Hari Sabtu, 18/08/12, task sebenar bermula.

Seperti biasa juga, yang mengorganize task ini semestinya my dear wife. Dia yang berkebolehan memaksa rela anak-anak melaksanakan task dengan jayanya. Anak-anak ni bukan tak ada ability nak masak. Ada bakat semuanya. Cuma nak tak nak sahaja. Sabor je le.

Pukul 2.00 petang, ketupat siap direbus dan lauk-pauk dah selesai dimasak. Sambal goreng dan sayur kacang panjang semestinya ada. Resepi arwah mak tu…..

Memang target wife selepas jam 2.00 petang kami semua dah boleh rehat. Semestinya menepati KPI tu.

Lepas Asar kami ke rumah Abang Kasim. Orang penting gak kat taman ni. Pengedar roti canai mini sejuk beku. Wireman, handyman, semua boleh. Tiap hari raya, Aidil Fitri dan Aidil Adha kami buat tempahan lemang kat dia. Memang terbaik lemang abang ni.

Dekat pukul 6.00 petang kakak sampai. Adik pula menyusul tak lama kemudian.

Meriah kami semua berbuka petang tu.

Penat memang penat. Memasak. Membasuh dan mengemas peralatan dapur. Membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya. Memang kami semua penat.

Sebagai host kami sekeluarga perlu melaksanakannya dengan ikhlas. Betul ke tak betul? Betul!

Pada kekawan semua, kami sekeluarga mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir batin”.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, berilah kami ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepada kami dan kepada kedua ibu-bapa kami dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah kami dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh. Amin.

Wassalam.

Khamis, Ogos 16, 2012

BSK 319. Lailatul Qadr berlalu pergi

Bismillah.
Assalamualaikum.

Petang semalam hujan lebat. Memang lebat. Hujan, reda sebentar, hujan lagi. Rasanya empat atau lima kali keadaan sedemikian.

No2222

Pagi ini redup sahaja. Nak kat tengahari kelihatan awan hitam bergerak  menuju tempat kami. Terasa dingin angin yang dibawa oleh awan mendung tersebut. Nyaman. Hujan turun tak lama kemudian.

Lailatul Qadr malam tadi ke?

Malam tadi malam ke-27 Ramadhan. Salah satu malam ganjil di sepuluh malam terakhir Ramadhan. Kita disarankan mencari lailatul qadr pada malam-malam ganjil. Malam ke-27 ini juga dikenali dengan nama ‘malam tujuh likur’. Not sure why. Tapi masa zaman kanak-kanak dulu memang siap pasang panjut kat sekeliling rumah. Meriah gitu. Tu dulu…..

Lailatul Qadr sudah berlalu pergi?

Dikatakan, ada impak besar yang membawa perubahan kepada ‘orang awam’  yang menemui malam tersebut. Orang awam macam kita-kita ni yang masih banyak ilmu yang perlu dipelajari.

Tak pasti perubahan yang macamana. Mungkin amalan, perbuatan atau status diri bertambah baik. Samada perubahan itu secara mendadak atau beransur-ansur, wallahualam.

Masih ada satu malam ganjil berbaki yang boleh kita membuat pencarian.   . Malam yang ke-29.

Bagi yang  istiqomah membuat persiapan rapi memulakan pencarian malam Lailatul Qadr dari awal Ramadhan lagi, ikhlas dan mengikut sunnah, insyaAllah akan ditemukan dengan malam itu.

Kita merancang tapi bukan kita menentukan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, terimalah daripada kami akan solat kami, puasa kami dan permohonan kami. Kami menyerahkan urusan kami kepada Allah. Sesunggyhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya. Amin.

Wassalam.

Sabtu, Ogos 11, 2012

BSK 318. Jom-jom cari malam terlebih baik dari 1000 bulan

Bismillah.
Assalamualaikum.

No2055

Kita telah memulakan perjalanan dalam fasa ke-3 puasa.

Sejak hari ke-19 terasa panas dan berbahang. Semakin mencabar. Tidak seperti fasa pertama dan awal fasa ke-2. Kedua fasa terdahulu itu terasa sedikit rilek. Tak pasti samada itu cuma perasaan kami atau sememangnya benar. Hmm…..

Dalam fasa ke-3 ini kita di gesa untuk mencari Lailatul Qadr. Satu malam anugerah Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW, dimana kebaikkan beribadat pada malam itu lebih baik dari seribu bulan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-5 yang bermaksud:

Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya yang engkau dapat mengetahui, apa dia kebesaran malam lailatul Qadr itu? Malam lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka. kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar”.

Rasulullah SAW bersabda:

clip_image002

Maksudnya: Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan Ramadhan.” (Riwayat al-Bukhari)

Jom-jom kita cari dan hidupkan, pertingkatkan dan mencantikkan ibadah sepuluh malam terakhir ini.

Pada kami tak perlulah diperjelaskan apa yang perlu diakukan. Kita sendiri yang semestinya tahu apa sebenarnya yang kita kehendaki.

Sedikit atau banyak yang mahu kita usahakan, lakukanlah dengan ikhlas. Kerana kita berusaha untuk mencari keredhaan dan keampunan Allah SWT.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon keredhaanMu dan syurga dan kami berlindung denganMu daripada siksa api neraka. Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, maka ampunilah kami, ibu-bapa kami dan sekelian kaum muslimin dan muslimat, dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Amin.

Wassalam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India