DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Sabtu, Februari 12, 2011

BKK 3. Khazanah Allah SWT Kepada Rasulullah SAW

Bismillah.

Assalamualaikum.

No1059

Khutbah Jumaat semalam, 11/2/2011 bertajuk “Menghayati Perjuangan Rasulullah SAW.”

Satu topik yang diutarakan kerana kita berada di bulan Rabiulawal dan akan menyambut Maulidul Rasul pada 12 Rabiulawal 1432H bersamaan 15/2/2011.

Kami ingin berkongsi poin-poin atau perenggan-perenggan yang menarik (pada hemat kami) dalam khutbah semalam dengan kawan-kawan. Mari kita hayati bersama-sama…..

Kini kita berada di bulan Rabiulawal, bulan yang penuh berkat lagi bermakna untuk umat Islam di mana pada tarikh 12 Rabiulawal kita akan menyambut Maulidul Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam, yang pada biasanya akan disambut dengan begitu meriah di negara ini. Dengan cara sambutan sebegini kita akan terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa oleh Baginda semenjak 1432H yang lalu. Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan umat dan telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

clip_image002

Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi. (Riwayat Iman Malik )

Kejayaan Rasulullah SAW di dalam mengembangkan dakwah Islamiah sehingga tertegaknya sebuah negara Islam adalah berasaskan kepada pendekatan yang diamalkan oleh Baginda iaitu secara wasatiyyah. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak manusia. Pada masa yang sama agama Islam dijunjung dan dimartabatkan dan tidak juga meminggirkan penganut agama lain untuk terus mengamalkan ajaran mereka. Dengan ini semasa pemerintahannya Nabi SAW melaksanakan titah perintah Allah SWT secara sempurna. Dengan sendirinya masyarakat Islam dapat dibentuk sebagai umat yang terbaik. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:

clip_image004

Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu .

Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah ditakrifkan sebagai umat pertengahan iaitu umat yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan. Ia mengambarkan umat Islam yang telah di jelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb,“Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada dengan erti kebaikan dan kelebihan atau dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”. Justeru itu, Umat Islam dituntut untuk menseimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman didalam menentukan kejayaan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Menarik bukan apa yang dikatakan dan dikupas oleh ‘mimbar’ semalam.

Diperkuatkan dengan kenyataan yang benar dari Rasulullah SAW:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi”. 

Dah nak masuk 54 tahun negara kita merdeka dan telah acapkali kita mendengar hadith tersebut, di mimbar, di kuliah, di tazkirah, di forum, di seminar, di siaran radio, di siaran TV, di internet dll.

Telah acapkali juga kita didedahkan dengan kupasan hadith tersebut.

Rasanya maksud hadith tersebut telah difahami sangat-sangat oleh alim ulamak kita, pemimpin-pemimpin kita dan juga segenap lapisan masyarakat negara kita yang beragama Islam.

Tetapi kita masih tidak mahu (atau tidak suka, atau tidak gemar)merealisasikan dua khazanah Rasulullah SAW itu dalam pemerintahan dan amalan hidup seharian kita. 

Hinggakan rakan-rakan bukan Islam yang membesar bersama-sama kita masih buta dengan prinsip-prinsip yang basic dalam Islam. Sehingga tergamak membangkitkan pertikaan dalam beberapa perkara. Contoh azan, arak, judi dan berjabat tangan.

Hinggakan kekadang itu terasa seperti ada ketegangan diantara orang Islam dan bukan Islam disini.

Bolehkah kita berkata kita telah mengikuti cara pendekatan Rasulullah SAW seperti kenyataan ini:
”Kejayaan Rasulullah SAW di dalam mengembangkan dakwah Islamiah sehingga tertegaknya sebuah negara Islam adalah berasaskan kepada pendekatan yang diamalkan oleh Baginda iaitu secara wasatiyyah. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak manusia.”  

Bolehkah kita mengaku kita umat terbaik di negara kita, seiring dengan pandangan Sayyed Qutb iaitu:
“Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada dengan erti kebaikan dan kelebihan atau dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”.

Adakah kita termasuk didalam golongan umat yang disebuat dalam surah al-Baqarah ayat 143 diatas yang bermaksud:
“Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu” .

Atau adakah kita telah menyimpang jauh dari ajaran Islam yang kita anuti dan kini kita sememangnya telah tersesat jauh dari landasan Islam?

Kita kenalah berfikir tentang halatuju negara kita dan halatuju yang mahu diterapkan kepada rakyat negara ini.

Barulah boleh kita tanya diri kita sendiri dan menjawab persoalan diatas.

Mari kita hayati lagi firman Allah SWT yang terdapat dalam khutbah tersebut iaitu dalam surah al-Qasas ayat 77:

clip_image002[13]Yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.

So….. Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau jadikan dan Engkau tetapkanlah Agama kami di Agama Nabi Muhammad SAW. Dan (jadikanlah) ke Islaman kami Islam yang sebenar-benar Islam, Keimanan kami iman yang kukuh dan sempurna.
Ya Allah ya Tuham Kami, sesungguhnya kami memohon segala sesuatu kebaikkan seperti yang dipohonkan oleh Nabi-Mu, Kekasih-Mu, Utusan-Mu dan Hamba-Mu Muhammad SAW. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada keburukan dan kejahatan sebagaimana perlindungan yang dipohon oleh Nabi-Mu, Kekasih-Mu, Utusan-Mu dan Hamba-Mu Muhammad SAW. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India