DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Isnin, Februari 07, 2011

BSK 178. Yang Pertama Sambut Maulid Nabi S.A.W.

Bismillah.

Assalamualaikum.

Masjid Nabawi Madinah 2

Kita akan menyambut Maulid Nabi s.a.w. tahun ini pada 12 Rabi’ul Awwal 1432H bersamaan hari Selasa, 15/2/2011.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Surah Al Anbiyaa’ (Nabi-Nabi): Ayat 107 yang bermaksud:
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

Siapakah yang pertama Mengadakan Sambutan Maulid al-Rasul?

Orang yang pertama membuat sambutan Maulid al-Rasul ialah Raja al-Muzaffar Abu Sa’lid Kaukabri Ibnu Zainuddin Ali Bin Baktakin seorang Raja yang tersohor dari Irbil di Iraq. Hal ini dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah. Katanya, Raja al-Muzaffar mengadakan sambutan Maulid al-Rasul secara besar-besaran pada bulan Rabi’ul Awwal. Beliau adalah seorang raja yang bijaksana, berani, pintar serta adil.1

Pendapat ulama tentang keizinan Syara’ Menyambut Maulid al-Rasul:

1. Kata Ibnu Taimiyyah: “Memuliakan Kelahiran Rasulullah s.a.w. serta mengadakan sambutan yang bermusim seperti yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam adalah perbuatan yang akan mendapat ganjaran besar daripada Allah. Hal ini adalah kerana niat dan tujuan sambutan itu adalah untuk memuliakan Rasulullah s.a.w.2

2. Imam al-Nawawi r.h. berkata: “Antara Bid’ah Hasanah yang dilakukan dizaman kita ini ialah mengadakan sambutan Maulid al-Rasul pada setiap tahun. Pada hari tersebut orang ramai mengambil kesempatan bersedekah, membuat pekerjaan terpuji seperti menzahirkan kegembiraan, memakai perhiasan dan berlaku ihsan kepada orang miskin yang didorong oleh perasaan cinta dan ta’zim kepada Rasulullah s.a.w. serta rasa syukur kepada Allah dengan kelahiran baginda sebagai rahmat untuk seluruh alam.3

3. Ibn Hajar al-Haithami r.a berkata, Bid’ah Hasanah adalah disepakati oleh Ulama’ bahawa hukumnya adalah sunat. Berhimpun mengadakan sambutan Maulidur al'-Rasul hukumnya juga adalah Bid’ah Hasanah.

4. Imam al-Sakhawi berkata: “Berdasarkan fakta, bahawa Maulid al-Rasul ini tidak pernah diadakan oleh Salaf al-Soleh pada tiga kurun yang pertama selepas wafat Rasulullah s.a.w. Ia diadakan selepas itu. Kemudian sambutan ini diadakan oleh umat Islam di merata tempat. Pada sebelah malamnya barulah mereka bersedekah, membaca sejarah kelahiran Rasulullah s.a.w. serta mereka dapat merasakan keberkatan Rasulullah s.a.w. yang merata.4

1

Al-Hawi Lil Fatawa – 292/1

2

Al-Sirah al-Halabiah oleh Ali bin Burhanuddin al-Halabi 83, 84/1. Hal ini juga disebutkan Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Iqtida’al-Sirat al-Musyaqim

3

Sirah al-Halabi 83, 84/1

4

Sirah al-Halabi 83, 84/1

(Sumber: Risalah Maulid Al-Rasul – Diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan)

Marilah kita perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. kerana banyak kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada hamba-hamba Nya yang berselawat kepada Rasululllah s.a.w.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Surah al-Ahzab (Golongan yang bersekutu): ayat 56 yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan  ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
(
Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad – bermaksud: Ya Allah, kurniakanlah keselamatan dan kesejahteraan keatas Nabi Muhammad dan keselamatan dan kesejahteraan juga keatas keluarga Nabi Muhammad.)

Tapi janganlah kita cuma berselawat kepada Nabi Besar kita secara bermusim sahaja. Macam adat sahaja jadinya.

Amalkan berselawat setiap hari.

So….. Ya Allah! Engkau jadikan dan Engkau tetapkanlah Agama kami di Agama Nabi Muhammad s.a.w. Dan (jadikanlah) ke Islaman kami Islam yang sebenar-benar Islam, keimanan kami iman yang kukuh dan sempurna. Jadikanlah solat kami solat yang khusyuk sungguh-sungguh. Dan pendirian kami menurut pendirian orang yang tgkut (kepada-Mu). Dan rukuk kami bagi (rukuk) orang-orang yang merendah benar-benar, kepada-Mu. Dan jadikanlah sekalian amal kami sebagai amal orang yang soleh. Dan niat kami tetap dalam niat yang ikhlas (suci, bersih, benar-benar dalam keikhlasan). Dan jadikanlah dosa-dosa kami dosa yang diampunkan. Amin.

Wassalam.

Ahad, Februari 06, 2011

BSK 177. Valentine’s Day Menjelma Lagi

Bismillah.

Assalamualaikum.

No1177

“Sekuntum mawar merah, sebuah puisi, untuk gadis pilihan, di bulan February.”  Red rose

Valentine’s Day disambut pada 14 February setiap tahun. Hari itu disambut diseluruh pelusuk dunia. Termasuk juga di Malaysia.

Tetapi kenapa orang Islam turut sama merayakan Valentine’s Day? Bukankah perayaan itu bukan bersumber dari Islam dan ianya bercanggah dengan Islam itu sendiri.

Mengikut trend? Suka-suka ikut kawan-kawan? Saja-saja nak bersukaria? Nak berseronok? Nak menunjuk-nunjuk kat girlfriend?

Mari kita baca fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berhubung dengan Valentine’s Day:

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah: 
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:

من تشبه بقوم فهو منهم    

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”                                                                                                            ( Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.
[Sumber: e-Fatwa (Portal Rasmi Fatwa Malaysia)]

Fatwa dikeluarkan pada akhir tahun 2005, tetapi masih ada ramai lagi orang Islam yang merayakan hari itu sehingga kini.

Kenapa?

Adakah orang-orang Islam terutamanya remaja-remaja Islam di negara kita tidak paham dengan bahasa lembut, kiasan atau berlapik yang digunakan oleh Majlis Fatwa?

Adakah perlu dikatakan atau ditulis sahaja “haram” untuk memahamkan orang-orang Islam disini?

Mungkin juga!  Takut pulak nanti  ada pihak yang kata “dilarang” sahaja. Belum jatuh “haram” lagi. Ish ish ish…..

Kita telah tahu sambutan itu haram, oleh itu mari kita pastikan yang kita serta keluarga kita menghindari diri dari membudayakan segala jenis gejala yang dilarang Islam.

So…..Ya Allah wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya. Amin.

Wassalam.

Sabtu, Februari 05, 2011

BSK 176. Tun Mahathir Dan Tok Guru Nik Aziz

Bismillah.

Assalamualaikum.

Mari kita baca tulisan Anak Muda di Harakah Daily yang pada kami sedikit sebanyak memberikan gambaran halatuju Tun Mahathir dan Tok Guru Nik Aziz.

Panjang tulisannya. Tapi….. jom baca:

Jawapan anak muda kepada Tun Dr M
Anak Muda

Tun Dr M yang dihormati,

No0983

Kami adalah golongan muda yang membesar di bawah kepimpinan Tun. Dahulunya kami mengenali Tun sekadar sebagai Dr M. Bahkan pernah pada suatu ketika, Perdana Menteri pada kami, hanyalah Tun sahaja. Sewaktu kami membesar, mungkin Tun lah orang pertama yang memperkenalkan kepada kepada perkataan-perkataan seperti 'mega', 'wawasan', 'visi', 'yang pertama' dan sebagainya. Walaupun kita tidak pernah sampai ke Everest, namun semangat kita pernah bersama-sama menawan puncak dunia. Walaupun kita tidak pernah berlayar mengelilingi dunia, namun semangat kita pernah bersama-sama mengiringi Jalur Gemilang merentas lautan dan benua.

Dari segi umur, Tun boleh dianggap sebagai abang kepada Tok Guru Nik Aziz. Kami pula ialah cucu kepada Tun dan Tok Guru. Usia kita jauh berbeza, pengalaman kita juga tidak setara. Kami mungkin tidak sempat melalui zaman-zaman sejarah lalu yang ditempuh oleh Tun dan Tok Guru, dan seolah-olah tidak layak berhujah dengan Tun. Namun  kami merasakan kami perlu bangkit menyatakan pendapat kami selaku golongan yang akan mewarisi kepimpinan negara daripada Tun dan Tok Guru pada suatu ketika nanti.

Tun seorang yang bijak, lalu Tun suruh rakyat membaca, dan kami pun membaca. Pepatah pun ada mengatakan, banyak membaca , luas pengetahuan. Dan syukur kepada Allah, kami tidak rugi daripada membaca dan mencari kefahaman.

Tulisan ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak. Sebagai pihak ketiga, kami keliru pada mulanya apabila Tun mendakwa bahawa Tun menegakkan Islam, dan Tok Guru juga berdakwah memperjuangkan Islam. Namun mengapakah tidak ada titik pertemuan? Ada angin, ada pokoknya.  Pastinya ada perbezaan yang nyata yang membezakan Tun dan Tok Guru, dan pasti salah seorang berkata benar kerana mesej Islam yang dibawa oleh Rasulullah hanyalah satu, dan kesemua Nabi dan Rasul termasuk Adam, Ibrahim, Musa dan Isa sebelum baginda membawa mesej Islam yang sama.

Seruan-seruan kepimpinan Tun nampak hebat, tapi kami mendapati ianya tidak lengkap. Kita sudah ada segala macam 'mega', namun sehingga ke hari ini, isu-isu utama seperti perpaduan nasional, rasuah, pemerintahan yang tidak adil dan tidak bersih, kemiskinan rakyat dan jenayah masih belum ada penyelesaiannya. Rumah siap, pahat berbunyi. Kami berpendapat pastinya ada 'missing piece of jigsaw puzzle'.

Rupa-rupanya kami mendapati kehebatan Tok Guru ialah pada politik beliau yang juga merupakan ibadah kepada Allah swt. Tiada pengasingan antara keduanya. Ucapan-ucapan pembangunan dan kesatuan kepada kami sebagai rakyat tidak pernah lari daripada peringatan persiapan akhirat. Tun mencanangkan 'Wawasan 2020', namun Tok Guru mendidik kami lebih daripada itu, iaitu 'Wawasan Akhirat'. Inilah wawasan yang jelas dan lengkap, yang memberikan kami kejayaan dunia dan akhirat. Hari esok belum pasti bagaimana bentuknya bagi kita, namun mati menjadi satu-satunya perkara yang pasti buat kita semua. Sebab itulah setelah memerintah, Tok Guru tidak semakin kaya, bahkan rakyat menjadi lebih kaya daripada beliau.

Tun ada membangkitkan persoalan pengharaman arak di dalam majlis rasmi kerajaan. Kami merasakan tidak perlu Tun selak satu persatu 'kejayaan' nasionalis zaman lalu, cukup sekadar jika Tun menjawab mengapa ada di kalangan pemimpin negara yang masih bergelumang dengan arak pada hari ini? Kami musykil mengapakah masih ada para teknokrat Melayu Muslim yang masih 'setia' dengan arak pada hari ini?  Kami keliru mengapakah masih ada teknokrat Melayu Muslim yang tanpa segan silu mengetuai syarikat-syarikat dan perusahaan judi yang masyhur seantero Asia Tenggara? Kita tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja anak-anak Tun dan San Miguel, apa cerita? Katanya 'nilai-nilai Islam', 'negara Islam', 'Islam Hadhari', tapi kami musykil dan keliru kerana bunyinya serba tidak kena.

Jika Tun benar-benar ikhlas kepada seruan persaudaraan sesama Muslim, mengapakah setelah kami, rakyat, mengundi pemimpin secara sah di dalam pilihanraya,  secara tiba-tiba dilantik  dan 'ditauliahkan' JKKK Persekutuan di negeri-negeri yang tidak diperintah Barisan Nasional? Sewaktu berlakunya Tragedi Sauk pada 2001, mengapakah Tun gagal memimpin semua pihak untuk duduk semeja, berdiskusi bagi memperoleh cara terbaik menangani isu keselamatan nasional pada ketika itu? Sebaliknya beduk perbezaan terus dipalu dan pemimpin parti Islam dituduh bersubahat. Pada ketika Islam dituduh sebagai pengganas di Amerika dan seluruh dunia, Tun menambah api kemarahan masyarakat dunia kepada agama Islam kita. Adakah ini seruan yang wajar daripada pemimpin utama negara? Bahkan Barrack Obama yang usianya separuh daripada usia Tun komited mengajak Democrat dan Republican untuk sama-sama menghadapi cabaran nasional yang lebih besar, namun semangat jiwa besar ini gagal Tun jadikan contoh tauladan kepada pengganti Tun.

Antara 'tragedi' terbesar Tun sewaktu menjadi Perdana Menteri ialah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada 2002, yang akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun hadapan. Kami di luar negara meggunakan medium bahasa Inggeris, namun kami dukacita melihat nasib bahasa kita ini. Analoginya, bahasa Melayu kini ibarat peminta sedekah yang hidup melarat di kampung sendiri. Dato' Najib dan kerajaan hari ini kini acuh tidak acuh dengan mepertahankan keutuhan bahasa kita, kerana sibuk dengan politik dalaman dan mempertahankan kedudukan UMNO yang semakin rapuh. Buktinya jelas nyata daripada iklan-iklan di jalan raya, kaca televisyen, drama-drama tempatan dan sebagainya. Rakyat pula ditanam dengan pemikiran 'dengan bahasa kebangsaan, anda tidak mampu maju'. Bahasalah yang menjadi jiwa bangsa Malaysia. Barangkali Allahyarham Tan Sri Dol Ramli ingin menyuarakan pendapat yang sama, namun lidahnya kelu di hujung usia. Persoalan bahasa Melayu bukan tanda kami ini pro-Melayu atau anti mana-mana kaum, bahkan inilah tanda kami cintakan perpaduan dan mahukan keharmonian negara. Kami mahukan bahasa sepunya yang mampu menjadi menyatukan kami di dalam komunikasi dan percakapan seharian diperkukuh, namun jelas sekali bahasa Melayu semakin rapuh.

Ini berbeza dengan pendekatan Tok Guru yang benar-benar membawa Islam. Walaupun Kelantan bukanlah negeri yang paling kaya, namun negeri Kelantan telah diiktiraf oleh SPRM yang tahap rasuahnya amat kecil. Lain ceritanya dengan barisan kabinet Tun yang sehingga ke hari ini masih dibicarakan dengan tuduhan rasuah. Walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah melalui media-media pro-Tun dan rakan-rakan, namun Tok Guru terus menjadi titik penyatuan masyarakat berbilang kaum di Kelantan dan seluruh negara. Serban Tok Guru beliau tidak menambah ketakutan kaum India, Melayu dan Cina, bahkan bertambah kasih dan yakin dengan pemerintahan yang bersih dan cekap yang ditunjukkan Tok Guru. Tun mengilhamkan slogan 'Bersih, Cekap, Amanah', namun Tok Guru lah yang berjaya merealisasikan slogan ini dalam bentuk praktikal di dalam kepimpinan beliau. Dulunya Tun pernah berkata Rasulullah menyimpan janggut kerana tiada pisau cukur pada zaman tersebut, namun hakikatnya janggut sejemput Tok Guru tidak menjadi penghalang  kepada kepimpinan yang adil untuk semua kaum dan agama, dan kami dapat hidup dengan harmoni. Lantas selayaknya Tok Guru digelar Bapa Perpaduan sebenar pada abad ini, kerana kekuatan beliau bukan pada slogan, tapi beliau berjaya untuk 'walked the talk'.

Akhir kata, sebagai anak muda, kami berharapkan agar Tun menyahut seruan Tok Guru Nik Aziz agar menggunakan kebijaksanaan Tun untuk Islam. Apabila Islam ditegakkan, semua kaum dan agama boleh hidup harmoni dan bahagia tanpa sengketa, kerana Islam itu adil untuk semua. Anggaplah ini sebagai nasihat daripada si adik yang ikhlas mahukan kebaikan buat si abang, lantas kami cucu-cucu yang sedang membesar ini dapat menjadikannya sebagai suri tauladan dalam mewarisi pemerintahan negara yang kita cintai.

Kami sayang Tun dan Tok Guru. Semoga Allah memanjangkan usia Tun dan Tok Guru, untuk menyumbang kepada Islam.

Yang benar,

Anak Muda

Kami teringat satu rangkap lagu nyanyian saudara Herman Tino yang menyatakan tentang hidup dan mati:

“Mati adalah pasti. Hidup insya’allah.”

Kawan-kawan pilihlah sendiri wawasan masing-masing. Tepuk dada, tanya selera atau tanya iman? Fikir-fikirkan.

So….. Ya Allah ya Tuhan kami, perbaikilah untuk kami agama kami, yang menjadi pemelihara bagi urusan kami, dan perbaikilah bagi kami dunia kami yang didalamnya berlaku kehidupan kami, dan perbaikilah untuk kami akhirat kami yang kepadanyalah tempat kembali kami. Jadikanlah kehidupan kami merupakan tambahan bagi kami terhadap segala rupa kebajikan dan jadikanlah kematian waktu beristirehat daripada segala kejahatan. Amin.

Wassalam.

BSK 175. Tarian Singa Gong Xi Fa Cai

Bismillah.

Assalamualaikum.

Hari Khamis lepas Tahun Baru Cina. Hari Selasa, hari last jiran sebelah rumah kami membersihkan rumah. Siap cat rumah luar dalam. Bersih!

Pagi Khamis, 3.2.2011, kami sekeluarga dapat melihat secara live persembahan tarian singa. Depan rumah sahaja. Meriah!

Kami nak share kemeriahan pagi tu dengan kawan-kawan. Zass…..

No1155

No1159

No1160

Persiapan sebelum tarian dimulakan. Yang membuat persembahan kebanyakkan adalah remaja-remaja lelaki. Ada juga remaja perempuan. Mereka yang main gendang besar tu.

No1161

Kedua-dua singa bertarung untuk mendapatkan sepinggan limau. Lama jugak pertarungan tu.

No1162

Yang sebelah kiri tu nampak lebih gagah. Yang kanan tu nampak membiarkan sahaja yang kiri tu nak menelan buah-buah limau yang dipertarungkan.

No1163

Nampak macam singa sebelah kanan tu frust kerana tidak memenangi pertarungan. Singa sebelah kiri telah bersiap sedia nak membedal limau-limau yang dimenangi.

No1164

Mungkin kerana semangat tahun baru. Singa-singa pun boleh compromise. Kedua-dua singa nampaknya share sepinggan limau-limau tu. Sikap toleransi untuk win win situation. Hmm…..

No1166

No1167

Setelah kedua-dua singa berdamai, mercun pun dinyalakan.

Tak ramai yang sempat melihat persembahan tu. Mungkin kerana masih waktu bersarapan. Kan cuti umum hari tu!

No1169

Cuma ada satu penonton tu lain dari yang lain. Underdog! Dari jauh sahaja melihat singa-singa menari. Takut nak join. Bukan tak pandai menari. Tapi takut kena telan!

Itu le sahaja yang sempat kami rakamkan.

So….. Ya Allah Ya Tuhan kami, kami berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk, dari godaannya baik tiupan atau hembusannya. Amin.

Wassalam.

Jumaat, Februari 04, 2011

BBK 38. Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz–Pelajaran Kesembilan

Bismillah.

Assalamualaikum.

Kami akan share Pelajaran Kesembilan hari ini. Sebelum itu kami nak refreshkan pada kawan-kawan tajuk-tajuk pelajaran terdahulu.

Pelajaran Pertama - Surah Al-Fatihah.
Pelajaran Kedua – Ma’na dan Syarat La Ilaha Illa Allah.
Pelajaran Ketiga – Rukun Iman.
Pelajaran Keempat – Pembagian Tauhid dan Syirik.
Pelajaran Kelima – Rukun Islam.
Pelajaran Keenam – Syarat-syarat Shalat.
Pelajaran Ketujuh – Rukun-rukun Shalat.
Pelajaran Kelapan – Kewajiban-kewajiban Shalat.

Pel 9

Bacaan Tasyahud.

Bacaan Tasyahud sebagai berikut:
No1170

Artinya:
”Segala penghormatan hanya milik Allah, demikian pula seluruh keselamatan dan kebaikan. Semoga keselamatan untukmu wahai Nabi, demikian pula rahmat Allah dan berkah-Nya. Semoga keselamatan untuk kami dan untuk para hamba Allah yang shaleh. Aku bersaksi bahwa tidak ada Ilah (yang diabdi) selain Allah, dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba Allah dan Rasul-Nya”.

Kemudian setelah itu membaca shalawat untuk nabi saw, sebagai berikut:
No1171

Artinya:
”Ya Allah, berikanlah keselamatan kepada Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah berikan keselamatan kepada Nabi Ibrahim dan kepada keluarga Nabi Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah berkahi Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia”.

Pada Tasyahud Akhir (ia membaca bacaan Tasyahud Awal diatas, kemudian menambahkannya) dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT dari adzab Jahannam dan adzab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, serta dari fitnah Al-Masih Ad-Dajjal.

Setelah itu ia memilih do’a yang dikehendaki, terutama do’a-do’a ma’thur (yang diriwayatkan dariRasulullah saw), misalnya do’a berikut ini:
No1172

Artinya:
Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingatiMu dan bersyukur kepadaMu serta untuk membaguskan ibadah kepadaMu.

Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan penganiayaan yang banyak (banyak berbuat dosa dan maksiat), sedang tak ada yang mengampuni aku dengan maghfirah (ampunan) dariMu dan rahmatilah aku, sesungguhnya hanya Engkaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Adapun pada Tasyahud Awal, setelah selesai membaca dua Kalimah Syahadah, ia berdiri ke raka’at ketiga, pada shalat Zhuhur, Asar, Maghrib dan Isya. Dan jika ia membaca shalawat, maka hal itu lebih baik, atas dasar keumuman hadits-hadits yang menerangkan hal itu.

Diatas adalah Pelajaran Kesembilan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Disini, tashahhud awal seperti berikut:
No1173

Yang bermaksud segala ucapan selamat yang penuh berkat dan doa yang baik hanya semata-mata untuk Allah. Salam sejahtera ke atas kamu wahai Nabi dan Rahmat Allah serta keberkatannya. Selamat sejahtera juga ke atas kami dan ke atas hamba Allah yang soleh, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.

Membaca selawat ke atas Nabi dalam tashahhud yang pertama sekurang-kurangnya menyebut: 
No1174 1 

Maksudnya:
Ya Allah, kurniakanlah keselamatan dan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad.

Membaca selawat kepada keluarga Nabi dalam tashahhud akhir:
No1174

Maksudnya:
Keselamatan dan kesejahteraan juga ke atas keluarga Nabi Muhammad.

Dan juga selawat Ibrahimiah dalam tashahhud akhir: 
No1175

Membaca doa selepas tashahhud akhir sebelum salam. Bacaan doa (contohnya) seperti berikut:
No1176

Yang bermaksud:
Ya Allah Ya Tuhan ku, ampunilah dosa-dosa ku yang telah lalu, mahupun yang akan datang, yang ku lakukan secara terang-terangan, mahupun yang aku rahsiakan dan yang tidak disedari dan apa yang Engkau lebih mengetahui dari ku. Engkaulah yang dahulu dan Engkaulah jua yang kemudian, tidak ada Tuhan melainkan Engkau.

Ya Allah, aku minta perlindungan dari Mu akan azab kubur dan daripada seksa hidup dan mati dan daripada kejahatan dajal, wahai Tuhan yang mengubah hati-hati manusia, tetapkan hati ku di atas agama Mu.

So….. semoga Allah SWT bukakan pintu hati kita sebagaimana orang-orang yang arif, dikurniakan kepada kita kefahaman nabi-nabi dan ilham para malaikat yang hampir dengan-Nya, semua itu dengan rahmat-Nya wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Amin.

Wassalam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India