DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Disember 21, 2010

BKK 2. Mimbar Ingatkan Gejala Rasuah : Satu Perbuatan Jenayah (Teks Lengkap)

Bismillah.

Assalamualaikum.

No1058

Kami belum pernah cuba proses ‘split post’. Cubaan kami tak menjadi untuk posting pertama iaitu BKK 1. Mimbar Ingatkan Gejala Rasuah : Satu Perbuatan Jenayah.

Insya’allah, kami akan cuba usahakan dengan baik dilain kali.

Cuba hayati teks lengkap dibawah tu.

So….. semoga Allah SWT menjadikan kita hamba-hamba Nya yang suka kepada ilmu yang bermenafaat dan suka berkongsi ilmu walaupun terdaya hanya sedikit. Amin.

Wassalam.

Teks lengkap khutbah berkenaan:

clip_image002

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“GEJALA RASUAH : SATU PERBUATAN JENAYAH”

(17 DISEMBER 2010 / 11 MUHARRAM 1432H)

clip_image004

clip_image006

clip_image008

 

 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “GEJALA RASUAH : SATU PERBUATAN JENAYAH”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sempena dengan sambutan Hari Rasuah Sedunia yang disambut pada 9 Disember setiap tahun, maka mimbar pada hari ini akan memperkatakan tentang gejala rasuah yang merupakan satu perbuatan jenayah yang memberi ancaman besar kerana ia mudah menular ke dalam sistem kehidupan masyarakat. Amalan rasuah boleh membinasakan sesebuah negara mahupun sesebuah tamadun bangsa itu sendiri. Rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan dan nilai-nilai murni, menindas rakyat serta menggugat pemerintahan secara demokratik. Melahirkan keperibadian yang buruk lagi hina kerana rela mengadai maruah agama dan umat Islam demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat dan sebagainya.

Rasuah dalam Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang qat’ie iaitu al-Qur’an, as-Sunnah dan ijmak ulamak. Dalam al-Qur’an terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

clip_image009

 

 

Maksudnya : ” Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya) ”.

Di negara kita, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah terletak di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ).

Sepanjang siasatan yang dijalankan SPRM tidak membezakan antara satu pihak dengan pihak yang lain dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Setiap kesalahan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, SPRM akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka tanpa mengira pangkat atau taraf kedudukan seseorang itu.

Kesalahan rasuah tidak mengira golongan perasuah, kesalahan rasuah bukan terletak kepada kecil atau besar saiz atau amaun transaksi yang terlibat. Ingatlah kesalahan rasuah adalah terletak pada perbuatannya, samada seseorang itu pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan rasuah tersebut. Sabda Rasulullah SAW:

clip_image011

Mafhumnya: “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka ”. (Riwayat at-Thobarani)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan jenayah rasuah berlaku?. Berdasarkan pemerhatian mimbar, antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah sikap bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja. Seseorang yang didorong oleh perasaan tamak haloba dan mementingkan diri sendiri amat cekap dan berani melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam pada hal perbuatan itu hanyalah boleh menyusahkan diri sendiri dan mengakibatkan setiap punca atau pendapatan yang tidak halal. Ingatlah bahawa setiap darah daging kita daripada hasil yang haram, maka api neraka adalah tempatnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

clip_image013

Mafhumnya: “ Setiap daging yang tumbuh hasil dari makanan yang haram itu maka api neraka adalah lebih utama untuknya”. (Riwayat al-Tarmizi)

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan dan harta tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar kemiskinan dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat.

Satu lagi kesan buruk daripada jenayah rasuah ialah tertolaknya ibadah solat dan doa kerana mengguna sumber yang haram. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan ini, ibadah dan doa kita menjadi sia-sia justeru menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah SWT. Mimbar amat bimbang jika kita tidak segera membenteras penyakit ini nescaya akan terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112:

clip_image015

 

 

 

Maksudnya : Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas. ”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersyubahat dengan rasuah adalah musuh negara. Rakyat harus menilai dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Menerima sedikit rasuah mungkin di anggap ringan tetapi percayalah kesan buruk rasuah tidak bergantung kepada kecil atau besar jumlahnya. Jika rasuah dalam berbagai-bagai bentuk sudah menjadi tabiat, lambat laun bangsa akan lumpuh. Jika kita ingin menjadi bangsa yang mulia, bermaruah dan berjaya, elakkan diri daripada apa jua jenis rasuah, termasuk penyalahgunaan kuasa, sogokan wang dan sogokan sokongan. Rasuah adalah kotor dan jijik dan akan membawa kecelakaan kepada bangsa, agama, dan negara. Oleh itu, mimbar pada kali ini menyeru semua pihak sama-sama berusaha untuk memerangi jenayah rasuah dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dalam perkhidmatan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang hebat dan cemerlang kerana mereka inilah yang menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti dan dapat meningkatkan martabat dan maruah organisasi serta sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT. Mimbar menyeru sama-samalah kita mencari kehidupan yang diberkati Allah SWT dan hidup dengan sumber rezeki yang halal. Marilah sama-sama kita meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104:

clip_image017

 

 

 

Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.”(surah Ali Imran: 104).

clip_image019

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India