Bismillah.
Assalamualaikum.
Mari kita baca peringatan dari bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai ceramah dan penceramah:
Dr Asri: Ustaz jangan lupa 'kerakusan' atasan
Jan 2, 11 1:54pm
Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan golongan agama supaya tidak "menyempitkan Islam dalam batasan yang terhad", dengan melupakan 'kerakusan' sesetengah golongan atasan, seperti dalam isu kenaikan harga barang.
"Jangan hanya ceramah agama di media elektronik dan cetak sekadar menekan orang bawahan semata, tetapi melupai 'kerakusan' sesetengah golongan atasan.
"Ceramah (disampai) dalam isu yang remeh temeh tetapi membiarkan rakyat hidup dalam (suasana) keadilan sosial yang tidak seimbang.
"Para penceramah jangan sekadar 'guna agama untuk cari makan', tetapi hendaklah agama berfungsi dalam menegakkan hak dan keadilan," katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, ulama muda yang terkenal dengan kelantangannya itu turut mengingatkan golongan peniaga supaya beretika dalam perniagaan.
"Kerakusan peniagaan akan merosakkan merosakkan negara dalam jangka masa panjang dan akhirnya tiada pihak yang dapat hidup senang.
Bagi yang muslim, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dalam urusan perniagaan mereka," katanya sambil menyeru media massa turut aktif menentang kenaikan harga barang.
Mengulas peranan rakyat pula, Dr Mohd Asri berkata, jika golongan itu tidak memprotes dari awal, tahun baru ini bakal menyaksikan kenaikan harga barang yang membimbangkan.
"Kesannya akan dirasai oleh rakyat bawahan terutama mereka yang berpendapatan rendah. Para peniaga di pelbagai peringkat akan mengambil kesempatan dalam hal ini."
Beliau juga menekannya beberapa perkara dalam kenyataannya itu, antaranya:
- 1. Jika kerajaan tidak mengambil langkah yang berkesan dalam mengawal kenaikan harga barang, bererti slogan 1Malaysia: "Rakyat didahulukan" bermaksud rakyat didahulukan menanggung beban hidup, sedangkan pembesar negara dan istana terus kemewahan.
- 2. Rakyat juga mesti menjadi pengundi yang bijak dan bersedia menghukum pihak yang membiarkan kenaikan harga barang dan 'mengumpulkan' kekayaan negeri atau negara dalam kalangan mereka sahaja.
- 3. Rakyat mesti menjadi pembeli yang bijak memilih kedai atau pasaraya.
[Malaysiakini]
Satu peringatan yang baik dari bekas mufti Perlis, terutamanya 3 poin terakhir diatas.
Pemimpin adalah pengembala, seperti yang disabdakan Rasulullah SAW. Iaitu tugasan pengembala umpama tugasan pemimpin.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah diingatkan oleh Hasan al-Basri, seorang ulama zuhud, dengan kata-katanya, “Pemimpin yang adil laksana seorang pengembala yang mengasihi haiwan gembalaannya. Dia membawa gembalaannya ke tengah padang rumput yang luas dan subur. Dia menjaganya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan dan kehausan.”
Mari kita hayati apa yang dikatakan oleh Khalifah Umar al-Khattab, “Aku orang pertama yang merasa lapar kalau rakyat kelaparan dan orang terakhir yang merasa kenyang kalau mereka kenyang.”
Dalam erti kata lain, pemimpin harus memikirkan rakyat sebelum dirinya sendiri.
Tanpa pemimpin yang adil dan bertimbang rasa, rakyat tidak akan dapat mengecap kehidupan aman dan sejahtera.
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Surah Ali ‘Imran: ayat 26 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Kepada kawan-kawan sekelian, pandai-pandailah menggunakan alat tulis bila tiba masa dan ketikanya nanti. Allahuakbar!
So….. semoga Allah SWT hidupkan kita dengan iman dan matikan kita dalam iman dan diakhiri-Nya umur kita dengan kesudahan yang baik dan janganlah diakhirkan umur kita dengan kesudahan yang tidak baik. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan