Bismillah.
Assalamualaikum.
Masih belum reda lagi isu Mat Indera yang sejarahnya terukir didalam buku Pengukir Nama Johor hasil usaha Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Menteri Besar Johor akhirnya memecah kesunyian dan bersuara menyatakan status Mat Indera.
Laporan kenyataan beliau:
MB Johor: Mat Indera pengganas
Sep 7, 11 7:33pmMenteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.
"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno)."Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Johor hari ini.
Abdul Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, yang mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku "Pengkukir Nama Johor" pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera.
Abdul Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.
Beliau berkata kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950 dan fakta yang diperoleh dari pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.
Mengenai buku "Pengukir Nama Johor", Abdul Ghani berkata dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri.
Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.
- Bernama
Kita baca satu lagi tulisan mengenai seorang hamba allah yang bernama Rosli Dhoby…..
Adakah Rosli Dhoby juga pengkhianat?
Jofri Jaraiee Sep 6, 11 7:29pmSebelum tanggal 31 Ogos 1957, Malaya masih lagi dijajah oleh British. Jadi sesiapa saja yang bekerja dengan British semasa zaman tersebut mesti patuh dengan arahan penjajah British sama ada mereka suka atau tidak.
Jadi persoalannya sekarang adakah mereka yang mempertahankan kerajaan British pada zaman tersebut boleh dianggap sebagai hero mempertahankan tanah air atau mempertahankan kerajaan penjajah British?
Adakah mereka dapat imbuhan atau penghargaan setelah pemerintah British meninggalkan Malaya?
Kita minta mereka yang pernah bertugas dengan pemerintah British dahulu fikir baik-baik mengapa mereka sanggup bermati-matian mempertahan pemerintahan penjajah British sehingga sanggup menangkap dan membunuh perjuang kemerdekaan selain komunis.
Sekali lagi kita tegaskan bahawa apa yang Mohamad Sabu maksudkan bukan menyokong perjuangan komunis tetapi membela nasib perjuang kemerdekaan yang di anggap sebagai pengganas atau pemberontak.
Jadi bagaimana pula dengan nasib Rosli Dhoby, adakah beliau juga dianggap pengkhianat negara kerana membunuh gabenor British?Adakah mata-mata atau polis yang berjaya menangkap Rosli Dhoby boleh dianggap sebagai hero?
Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang Sarawak yang menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melanau. Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.
Beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut atas permintaan ibu beliau yang diugut akan ditembak.
Fikir-fikirlah sendiri siapa yang kejam semasa zaman tersebut? Kita juga pernah mendengar kerajaan BN pernah mengampunkan pengganas komunis yang menyerah diri dan memberi beberapa keistimewaan sekiranya mereka meninggalkan perjuangan.
Kemungkinan tidak mustahil ada di kalangan mereka dalam pemerintah sekarang walaupun mereka tidak mengangkat senjata tetapi ideologi mereka masih ada terpahat dalam hati.
Kita minta para pengkaji sejarah kena perbetulkan kesilapan sejarah yang telah diresapi oleh unsur-unsur penjajah di mana para perjuang kemerdekaan dianggap pengkhianat dan mereka yang bekerja dengan pemerintah penjajah pula dianggap sebagai hero.
PAS juga minta para pengkaji sejarah menjalankan tugas mereka dengan jujur dan amanah agar rakyat tahu sejarah tanah air dengan sebenar dan tepat tanpa di pengaruhi oleh unsur-unsur politik perkauman dan sebagainya.
PAS sama sekali tidak pernah merestui perjuangan komunis dan minta agar pemimpin BN jangan memutar belitkan kenyataan Mat Sabu kononnya PAS menyokong komunis.
[Penulis merupakan timbalan pesuruhjaya III PAS Sarawak dan yang dipertua PAS Miri.]
Yang mempertahankan kuasa penjajah adalah Melayu, yang menentang kuasa penjajah pun adalah Melayu.
Dua-dua kelompok Melayu ini berpegang dengan prinsip masing-masing.
Satu puak makan gaji dan bermati-matian menurut perintah, satu lagi berdikari dan bermati-matian menentang.
Kita dikurniakan Allah Taala dengan otak yang dimana kita boleh berfikir secara rasional dan dengan itu dapat kita menentukan mana yang benar atau sebaliknya.
Well….. fikir-fikirkan.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami sebagai sasaran bagi orang-orang kafir dan ampunilah kami, ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi maha Bijaksana. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan