DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Sabtu, September 22, 2012

BSK 323. Sejuta nak pergi haji

Bismilah.
Assalamualaikum.

No2266

Hari ini 06 Zulkaedah 1433H bersamaan 22 September 2012. Seramai 28,000 saudara-saudara kita telah mula menyahut “seruan haji”. Tentunya berdebar-debar untuk menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasul-Nya.

Rombongan pertama telah memulakan perjalanan pada jam 1.30 pagi pada hari Isnin, 01 Zulkaedah bersamaan 17 September.  Seramai 320 jemaah haji berlepas dengan penerbangan pertama dari KLIA.

Kami mendoakan semoga tetamu-tetamu Allah SWT ini dapat memberikan usaha terbaik mereka. Melakukan yang terbaik dalam semua perkara. Ibadah haji itu sendiri dan hubungan sesama jemaah. Bertimbang rasa dan bantu membantu semasa menggunakan kemudahan yang disediakan terutama semasa di Arafah dan Mina.

Tetamu-tetamu Allah ini, jika ada masalah sebarang masalah semasa di tanah suci, jumpalah ustaz dan ustazah yang ada di maktab. Selalulah hadirkan diri semasa sessi penerangan yang dianjurkan oleh TH.

Paling utama perlu ikhlas semasa melakukan ibadah tersebut. Perlu juga ikhlas dengan apa sahaja yang kita lakukan.

Tetamu-tetamu Allah dan Rasul-Nya adalah manusia terpilih. Bukan semua yang mendaftar akan mendapat peluang itu.

Ketika ini bilangan umat Islam di negara kita yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat haji mencecah 982,000 orang. Dah nak sejuta tu!

Mereka-mereka yang berjaya menunaikannya semesti manusia pilihan.

Negara kita  telah memohon tambahan kuota haji. Pada 12 September lalu, Tabung Haji menghantar surat rasmi buat kali kedua kepada kerajaan Arab Saudi bagi memohon tambahan kuota sebanyak 10,000 orang jemaah haji Malaysia untuk tahun ini.

Namun Malaysia termasuk dalam senarai 40 negara yang tidak berjaya dalam permohonan..

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kegagalan mendapatkan penambahan kuota itu disebabkan keputusan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan hanya satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara dibenar menunaikan ibadah haji.

"Semua negara diberi kuota sebanyak satu peratus daripada jumlah penduduk bagi setiap negara... Kita ada 28 juta orang rakyat bermakna kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan seramai 28,000 orang jemaah sahaja daripada negara kita," katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil ke-22, di sini.

Malaysia negara Islam yang pesat membangun. Sedang melalui transformasi di pelbagai bidang. Pelbagai perubahan sedang dilakukan. Ekonomi dan politik stabil. Rakyatnya  menerima pelbagai jenis imbuhan dan bantuan. 

Seperkara lagi, jemaah Malaysia sememang berdisiplin dan berhemah. Pemimpin negara dikatakan mempunyai hubungan yang erat dengan kerabat Arab Saudi.

Permohonan tidak diperkenankan berkemungkinan kerajaan Arab Saudi tidak nampak kecemerlangan yang ada pada negara ini.

Walauapapun, mereka yang telah cukup syarat-syarat, mulakan usaha dari sekarang. Berjinak-jinak dengan solat-solat malam. Banyakkan doa pada waktu itu. Insyaallah akan dikabulkan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, lembutkanlah kami pada memudahkan setiap pekerjaan yang payah, bahawasanya memudahkan yang payah itu atas Engkau amatlah mudah. Amin.

Wassalam.

Rabu, September 12, 2012

BSK 322. Felda, KWSP dan Syaitan yang orang kenal

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita sedang memasuki fasa-fasa akhir Syawal. Hari ini dan 25 Syawal. Hari ini kami berhari-raya sekali lagi.

Diam tak diam kita dah masuk musim haji ni. Kami tak pasti siapa dikalangan ahli kariah kat sini yang bertuah menjadi tetamu Allah SWT dan Rasul-Nya tahun ini. Buat masa ni belum terdengar lagi sebarang cerita.       

Seperti tahun-tahun terdahulu, sesiapa yang berniat untuk melakukan ibadah korban akan menulis nama mereka kat white board yang disediakan kat surau. Buat masa ini Lembu no.1 dah ada 5 nama.

Jika difikirkan sejenak, begitu pantas usia kita berlalu.

Pantas tak pantas waktu berlalu, harga saham FGVH turun naik. Siapa yang dah menjadi jutawan dan hartawan bila saham ini tersenarai kami tidak pasti.

No2274

Yang kami pasti bukan dikalangan peneroka. Jika mereka telah menjadi jutawan dengan penyenaraiaan saham Felda, takkanlah mereka terus menerus diberi dan masih menerima  subsidi segera. Amat janggal bila golongan berada menerima pemberian sebegitu.

Kami sebenarnya malas nak cerita isu saham ni kerana tidak ada kena mengena dengan kami. Setahu kami tidak ada sedara-mara kami yang menjadi peneroka. Kawan-kawan pun tak ada rasanya.

Pada kami sekiranya saham FGVH naik atau turun itu rezeki mereka. Sebahagian besar dari mereka yang bersorak gembira bila diwar-warkan bahawa mereka akan menjadi kaya-raya dengan penyenaraiaan.

Sebelum saham ke bursa, peneroka ada pilihan samada nak sokong atau bantah. Ada yang bantah.

Sebahagian besar termakan pujukan dan janji manis puak yang diumpamakan oleh Tun Mahathir  sebagai ‘syaitan yang orang kenal’. "Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.

Lalu tersenarailah dengan gah saham Felda.

Seperti yang kami katakan, kami malas nak cerita kerana tak ada benda yang menghubungkan kami dengan Felda. Hmm…. Betul ke?

Ada kot! Kami teringat ada juga membeli minyak kelapa sawit keluaran Felda. Betul!

Tetapi bila KWSP diheret untuk membeli saham syarikat berkenaan maka tindakkan tergesa-gesa itu da kena mengena dengan kami.

Geng-geng tu jadi instant millionaire. Yang terkorban, ‘simpanan masa tua’ pekerja-pekerja seperti kami.

Sampai bila mereka-mereka yang diamanahkan untuk mengendalikan wang pekerja-pekerja akan menurut kehendak beberapa kerat manusia yang tidak bertanggung-jawab? Persoalannya. Adakah kedua-dua kelompok ini tidak bertanggung-jawab?

Kami mengatakan tidak bertanggung-jawab kerana mereka mengetahui apa yang mereka lakukan tidak membawa kebaikkan kepada rakyat (terutama golongan pekerja dan peneroka) dan juga kepada negara tetapi mereka masih meneruskannya. Degil semacam je.

Wang simpanan pekerja dilaburkan macam air laut. Agihan dividen pencarum  cuma segelas air sirap je. Beza macam langit dengan bumi.

Kami nak kongsi sikit nota yang ada kat kami mengenai syaitan dan puak-puak ni. Semoga kita boleh berhati-hati dan berfikir dan memilih dengan waras.

  • Didalam penggunaan bahasa Arab, syaitan bermaksud setiap yang degil dan engkar dari golongan manusia, jin dan binatang.
  • Didalam Al-Quran, Allah SWT telah menyuruh manusia supaya menjadikan syaitan sebagai musuh. Surah Faathir: ayat 6 yang bermaksud: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musun (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”.
  • Terlalu banyak tipudaya syaitan, antaranya seperti didalam surah Al-Mujadalah: ayat 13 yang bermaksud: “Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.
  • Untuk mengalahkan syaitan, manusia perlu kepada pertolongan Allah SWT. Surah An-Nahl: ayat 99-100 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan hasutannya melakukan syirik kepada Allah. 

Cuba-cubalah kita meninggalkan kesemua itu. Agar kita dapat hidup dengan penuh keceriaan. Cerah masa depan.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunan kami. Ya Allah, berilah ampun bagi kami dan bagi kedua ibu-bapa kami serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. Kami memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam. Amiiin.

Wassalam.

Sabtu, September 08, 2012

BSK 321. Ron ko up lagi ke

Bismillah.
Assalamualaikum.

Pengguna-pengguna RON97 menerima berita yang kurang menyenangkan. Harga petrol kegemaran mereka itu di upkan lagi. Ceritanya…..

KUALA LUMPUR: Harga petrol RON97 akan naik 20 sen kepada RM2.70 seliter berkuatkuasa tengah malam ini.

Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti, berkata kenaikan harga itu bagaimanapun tidak membabitkan petrol RON 95 dan bahan api lain.

Zulkifli berkata, peningkatan sebanyak 20 sen itu berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia kepada AS$114 setong minggu ini berbanding AS$105 minggu lalu.

"Kenaikan harga minyak mentah itu berikutan krisis di Asia Barat," katanya ketika dihubungi di sini.

Zulkifli juga berkata, harga minyak mentah dijangka terus meningkat berikutan situasi di Asia Barat itu yang mungkin berterusan.

Pada 31 Januari lalu, harga RON 97 yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter. – BERNAMA

Banyakkanlah bersabar.

No2268

Sementara itu PETRONAS telah melaporkan prestasi kewangan suku keduanya berakhir 30 Jun 2012.

Jom ikuti laporannya…..

Kuala Lumpur: PETRONAS mencatat untung sebelum cukai RM22.7 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2012 yang disandarkan kepada pendapatan RM70.7 bilion dalam keadaan persekitaran pasaran yang semakin mencabar.

Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu, untung syarikat petroleum nasional itu naik 1.9 peratus kepada RM52.7 bilion daripada RM51.7 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama 2011.

Bagaimanapun, pada suku kedua untung sebelum cukai yang dicatatkan itu menunjukkan penyusutan 26.5 peratus disebabkan beberapa faktor yang tidak menyebelahi syarikat dalam tempoh itu.

PETRONAS berdepan beberapa keadaan mencabar dalam tempoh antara April hingga Jun lalu berikutan harga minyak yang rendah, masalah pengeluaran di Sudan Selatan serta peningkatan beban subsidi gas yang perlu ditanggungnya.

Lalui tempoh mencabar

Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, berkata kumpulan akan melalui tempoh yang mencabar sepanjang tempoh separuh kedua 2012, di samping berdepan kesukaran untuk melabur dalam perbelanjaan modal jika harga minyak jatuh di bawah AS$80 (RM248) setong.

Malah, beliau berkata PETRONAS berdepan kesukaran untuk menyamai prestasi kewangannya tahun lalu, apabila kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM90 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2011.

“Kami sudah mengingatkan kerajaan supaya lebih berhati-hati kerana tidak banyak yang boleh kami lakukan (dalam persekitaran semasa). Pada suku ketiga ini, keadaannya akan menjadi lebih sukar,” katanya selepas melaporkan prestasi kewangan suku kedua PETRONAS, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Shamsul Azhar berkata, walaupun harga minyak semasa berada dalam lingkungan AS$114 (RM353) setong, paras itu dijangka tidak akan berkekalan memandangkan ia dipacu oleh spekulasi semata-mata berbanding asas sebenar.

Letak asas unjuran harga minyak pada RM270 setong

PETRONAS, katanya meletakkan asas unjuran harga minyak pada AS$87 (RM270) setong dan penurunan sehingga AS$80 setong akan menyukarkannya menampung rancangan perbelanjaan modal berjumlah RM300 bilion sehingga 2015 serta memenuhi keperluan bayaran dividen kepada kerajaan.

“Harga minyak semasa ialah berikutan ketegangan yang berlaku di Asia Barat. Kita semua tahu tidak mungkin Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan menikmati proses pemulihan yang bermakna jika harganya kekal di atas AS$100, justeru harga yang kekal di atas AS$100 itu ialah disebabkan perasaan bimbang,” katanya.

Shamsul Azhar berkata, PETRONAS juga berdepan penurunan pengeluaran daripada lapangan minyaknya yang sudah berusia di negara ini serta menjangka arah aliran itu akan kekal sehingga 2014.

Laporan diatas menyatakan dalam tempoh Apr-Jun 2012, harga minyak rendah. PETRONAS juga dilaporkan akan menghadapi kesukaran pada suku ketiga.

Presiden PETRONAS menyatakan, “walaupun harga minyak semasa berada dalam lingkungan AS$114 (RM353) setong, paras itu dijangka tidak akan berkekalan memandangkan ia dipacu oleh spekulasi semata-mata berbanding asas sebenar.”

Unjuran harga minyak syarikat itu ialah US$87 bersamaan RM270 setong.

Kenapa harga RON97 dinaikan di saat dan ketika ini?

Ada yang membuat andaian kenaikkan cuma untuk seketika.  Ianya akan diturunkan semula.  Diumumkan semasa pembentangkan bajet pada akhir bulan Sep ini.

Betul tak betul? Gimik atau politik?

Sama-sama kita tunggu. Apa pun “Janji ditepati”.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, tiadalah yang mudah melainkan yang Engkau jadikannya mudah dan Engkaulah yang menjadikan kesukaran itu mudah bila sahaja Engkau kehendaki. Maha suci Engkau sesungguhnya kami adalah dari golongan orang yang menzalimi diri sendiri. Amiiin.

Wassalam.

Selasa, September 04, 2012

BSK 320. Iblis dan syaitan yang orang kenal

Bismillah.
Assalamualaikum.

No2265

Syawal telah masuk hari ke-17. Ada sebahagian dari kita telah beraya untuk kali kedua, bagi mereka yang telah melengkapkan puasa sunat enam hari di bulan raya ini.

Kami baru memasuki hari kedua.

Walauapapun….. selamat kembali!

Kami memulakan bercerita dengan kisah Iblis Laknatullah teringin bertaubat. Jom ikut…..  

Iblis datang kepada Nabi Musa dan berkata: “Engkaulah yang dipilih oleh Allah sebagai rasul-Nya dan Kalimullah sedangkan aku seorang makhluk biasa yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku semoga taubatku diterima.

Nabi Musa merasa gembira lalu ia berwuduk dan sembahyang kemudian ia berdoa: “Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat maka terimalah taubatnya.”

Maka diturunkan wahyu kepada Nabi Musa: “Ya Musa, dia tidak akan bertaubat. Jawab Musa: Ya Tuhan, dia mahu bertaubat.

Maka turun wahyu kepada Nabi Musa: Aku telah menerima permintaanmu Musa maka suruhlah ia sujud kepada kubur Adam maka Aku akan menerima taubatnya.”

Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis.

Tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: “Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana aku hendak sujud kepadanya selepas kematiannya?

Kenapa kami kongsi kisah taubat Iblis ini?

Kerana teruja dengan lapuran mengenai tulisan mantan PM ke-4, Tun Dr Mahathir mengenai syaitan dan malaikat dalam isu membuat pemilihan.

Beliau mengemukakan pepatah Inggeris "lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal".

Sebagai tips gamaknya kepada kita semua siapa untuk dipilih semasa PRU ke-13 kelak.

Ketika memberi gambaran selanjutnya, mantan perdana menteri itu  menjelaskan bahawa "syaitan" yang dimaksudkannya dalam tulisan di blognya itu merujuk kepada kerajaan BN.

Ditanya siapakah golongan yang dimaksudkan sebagai "malaikat" itu, Mahathir berkata beliau merujuk kepada pembangkang.

Penjelasan selanjutnya yang diberikan oleh Tun Mahathir.

"Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.

Jelasnya, "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat banyak perkara salah," katanya.

Wallahualam, kami tidak pasti apa sebenarnya yang bermain difikiran beliau, cumanya kita sebagai pembaca perlu meneliti dan berfikir dengan tenang.  

Surah al-Hajj: ayat 75 yang bermaksud:
“Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah an-Nas: ayat 1-6 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".

Iblis dan syaitan termasuk didalam golongan yang dilaknati. Istilah taubat dan mohon maaf rasa-rasanya tidak ada dalam kamus geng-geng ini. Jika ada pun cuma samar-samar dan kabur sahaja.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk, dari godaannya baik tiupan atau hembusannya. Amin.

Wassalam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India