Bismillah.
Assalamualaikum.
Syawal telah masuk hari ke-17. Ada sebahagian dari kita telah beraya untuk kali kedua, bagi mereka yang telah melengkapkan puasa sunat enam hari di bulan raya ini.
Kami baru memasuki hari kedua.
Walauapapun….. selamat kembali!
Kami memulakan bercerita dengan kisah Iblis Laknatullah teringin bertaubat. Jom ikut…..
Iblis datang kepada Nabi Musa dan berkata: “Engkaulah yang dipilih oleh Allah sebagai rasul-Nya dan Kalimullah sedangkan aku seorang makhluk biasa yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku semoga taubatku diterima.
Nabi Musa merasa gembira lalu ia berwuduk dan sembahyang kemudian ia berdoa: “Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat maka terimalah taubatnya.”
Maka diturunkan wahyu kepada Nabi Musa: “Ya Musa, dia tidak akan bertaubat. Jawab Musa: Ya Tuhan, dia mahu bertaubat.
Maka turun wahyu kepada Nabi Musa: Aku telah menerima permintaanmu Musa maka suruhlah ia sujud kepada kubur Adam maka Aku akan menerima taubatnya.”
Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis.
Tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: “Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana aku hendak sujud kepadanya selepas kematiannya?
Kenapa kami kongsi kisah taubat Iblis ini?
Kerana teruja dengan lapuran mengenai tulisan mantan PM ke-4, Tun Dr Mahathir mengenai syaitan dan malaikat dalam isu membuat pemilihan.
Beliau mengemukakan pepatah Inggeris "lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal".
Sebagai tips gamaknya kepada kita semua siapa untuk dipilih semasa PRU ke-13 kelak.
Ketika memberi gambaran selanjutnya, mantan perdana menteri itu menjelaskan bahawa "syaitan" yang dimaksudkannya dalam tulisan di blognya itu merujuk kepada kerajaan BN.
Ditanya siapakah golongan yang dimaksudkan sebagai "malaikat" itu, Mahathir berkata beliau merujuk kepada pembangkang.
Penjelasan selanjutnya yang diberikan oleh Tun Mahathir.
"Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.
Jelasnya, "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat banyak perkara salah," katanya.
Wallahualam, kami tidak pasti apa sebenarnya yang bermain difikiran beliau, cumanya kita sebagai pembaca perlu meneliti dan berfikir dengan tenang.
Surah al-Hajj: ayat 75 yang bermaksud:
“Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah an-Nas: ayat 1-6 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".
Iblis dan syaitan termasuk didalam golongan yang dilaknati. Istilah taubat dan mohon maaf rasa-rasanya tidak ada dalam kamus geng-geng ini. Jika ada pun cuma samar-samar dan kabur sahaja.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk, dari godaannya baik tiupan atau hembusannya. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan