السلام عليكم
بسم الله الرحمن الرحيم
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Hari ke-22 dan ada baki 2 hari lagi untuk kami melengkapkan puasa 6 bulan Syawal. Memang lewat benar kami memulakan puasa tahun ini. Hmm…..
Kita ada satu lagi perayaan besar yang akan disambut pada bulan Syawal ini.
Pada hari Sabtu, 31/08/2013 negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-56.
Amat malang kerana tahun ini dilaporkan suasana sambutan tidak jelas kelihatan. Hambar!
Tidak ada keseronokan dan kemeriahan dirasakan. Jom kita digest kenyataan seorang pakar sejarah negara mengenai fenomena itu…..
Ramai tak kibar Jalur Gemilang
2013/08/28 - Kuala Lumpur: Hanya beberapa hari berbaki sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-56, namun suasana bagi menggambarkan semangat patriotik rakyat untuk bersama-sama merayakan ulang tahun bersejarah itu kekal hambar.
Setakat ini hanya sesetengah premis perniagaan, pejabat dan kediaman di seluruh negara dilihat mengibarkan Jalur Gemilang. Sikap dingin sedemikian nyata mengecewakan ahli akademik dan bekas tentera yang menganggap semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat kian luntur.
Sikap generasi muda
Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, berkata beliau percaya perkembangan itu ada kaitan dengan sikap generasi muda masa kini yang takut dikatakan menyokong kerajaan, sedangkan sambutan yang diadakan bagi menghargai jasa pejuang kemerdekaan negara.
Sambutan kemerdekaan kali ini sangat hambar kerana ada kaitan dengan politik. Generasi muda kini dipercayai enggan mengibar Jalur Gemilang kerana takut dikatakan menyokong kerajaan, sedangkan ia bertujuan menghargai pengorbanan pejuang negara.
Semangat patriotik luntur
Jika keadaan ini jadi trend pada masa depan, ia boleh mengelirukan rakyat dan menghilangkan semangat patriotik mereka, katanya ketika dihubungi, semalam.
Ramlah yang turut merumuskan masyarakat hari ini banyak bersifat keakuan kerana hanya menyumbang sekiranya ada kepentingan terhadap mereka, meminta kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih tegas mewajibkan setiap premis perniagaan dan pejabat memasang bendera.
Perlukah rakyat menyambut Hari Kemerdekaan?
Kenyataan seorang profesor pada 2011…..
Menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling, “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”
“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik,” kata beliau.
Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.
“Dinaungi tidak sama dengan kolonial... hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.
“(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah,” kata beliau sambil berkata, “jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun.”
“Itu adalah kesalahan yang amat besar,” katanya.
Kenyataan mantan PM ke-4 kita pada 2011…..
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.
Bekas perdana menteri berkata British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”
“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.
“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata Dr Mahathir.
“Dalam lain perkataan, British tidak beri nasihat, mereka beri arahan,” kata beliau sambil menambah, penasihat memerintah dan pemerintah pula memberi nasihat.
Cuba kita fahami dahulu erti kemerdekaan dari malaysiamerdeka.gov.my…..
Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.
Negara menggunapakai undang-undang yang digubal oleh British…..
Sejarah Perlembagaan Malaysia
Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.
Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.
Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957. Bila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada Malaysia.
Kita terus menerus menggunakan undang-undang peninggalan ‘penasihat’ atau ‘penjajah’ negara sehingga hari ini. Adakah pemikiran kita masih dijajah?
Dijajah atau tidak. Merdeka atau tidak. Masih dijajah atau sudah merdeka. Nak kibar Jalur Gemilang ke tidak.
Yang sependapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Profesor Datuk Dr Zainal Kling sudah tentu akan tersenyum sinis atau ketawa bila ada yang mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kenderaan mereka kerana kita tidak pernah dijajah, kita cuma dinasihati.
Bila cerdik pandai bertelagah dan tidak sepakat yang pening dan keliru tentunya rakyat. Berpecah rakyat dibuatnya.
Dari pengamatan kami dari sambutan kemerdekaan yang ke-55 lagi suasana hambar itu sudah mula ketara.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, kurniakanlah hidayah kepada hati kami dan kesaksamaan kepada lidah kami dan hapuskan perasaan dendam dari dada kami. Amin.
لَا إِلَّهَ إِلَّا الله مُحَمَّدٌ رَسُولُ الله
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته