Bismillah.
Assalamualaikum.
Sememangnya isteri PM Malaysia yang ke-6 hebat. Tidak ada isteri PM-PM terdahulu begitu menonjol seperti menonjolnya isteri Datuk Seri Najib Razak. Tebaik!
Dilaporkan KM Melaka Datuk Seri Ali Rustam ditonjolkan untuk membaca teks ucapan isteri PM Datin Seri Rosmah Mansur pada majlis Pemantapan Mutiara MUBARAK di Melaka.
Dilaporkan…..
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berharap Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan terus menjadi 'jambatan penghubung' antara bekas wakil rakyat dan keluarga mereka dengan kerajaan demi kesinambungan kemajuan bangsa dan negara.
Beliau berkata anggota MUBARAK walaupun telah berpencen daripada menjadi wakil rakyat masih boleh terus setia berkhidmat untuk pembangunan negara selaras dengan moto pertubuhan itu iaitu terus berkhidmat.
Sebagai contoh, katanya, program Motivasi Anak Angkat MUBARAK negeri Melaka selama dua hari bermula semalam dilihat membantu para pelajar yang merupakan ahli keluarga Mubarak mencapai kejayaan yang cemerlang pada masa depan.
"Ia dapat membina karier mereka dan seterusnya meneruskan kesinambungan legasi keluarga mereka untuk menyumbangkan tenaga dan usaha kepada pembangunan negara sebagaimana dilakukan oleh ayah ataupun ibu mereka yang bergelar wakil rakyat," katanya pada majlis Pemantapan Mutiara MUBARAK di Melaka, semalam.
Teks ucapan beliau dibaca Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Rosmah berkata melalui program seumpama itu, bukan sahaja pemantauan dan latihan dapat dilakukan malah para pelajar tersebut dapat dibimbing dengan pembentukan akhlak dan moral yang baik, ditanam dengan semangat perpaduan, cintakan negara dan nilai patriotisme yang tinggi.
Katanya, jika pendekatan tersebut dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa pelajar berkenaan ia mampu mendorong mereka kembali berkhidmat untuk pembangunan negara.
"Mereka mungkin bekerja dengan kerajaan negeri menjadi pegawai yang cemerlang ataupun sebagai ahli perniagaan yang berjaya mahupun ahli politik yang akan mengharumkan nama negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap program anak angkat tersebut dapat membantu menjadi pendokong dalam mempergiatkan lagi usaha pencapaian matlamat negara dalam melahirkan modal insan bertaraf "minda kelas pertama".
Pada kami memang tidak ada masalah jika Datuk Seri Mohd Ali Rustam dengan penuh ikhlas membaca teks bekenaan tetapi kan lebih manis dan lebih mantap jika ada seorang timbalan menteri beliau yang membacanya.
Adakah pemimpin tertinggi negeri Melaka itu merasa tertekan dan serba salah kerana mantan PM ke-4 Malaysia memberikan “endorsement” untuk isteri PM Datin Seri Rosmah Mansur menonjol setinggi mana sekalipun.
Dilaporkan juga…..
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhak untuk menonjol setinggi mana sekalipun.
Mantan perdana menteri itu ditanya mengenai pandangan sama ada profil Rosmah menjadi tinggi berbanding dengan isteri perdana menteri sebelum ini.
"Tidak ada format standard untuk dipenuhi sekiranya anda menjadi isteri kepada perdana menteri. Anda boleh menonjol semahunya," katanya selepas satu majlis di Malaysian Petroleum Club di ibu negara hari ini.
Dr Mahathir juga berkata Rosmah mempunyai hak untuk menepis dakwaan terhadapnya melalui buku biografi yang dijangka akan diterbitkan bulan depan.
Dalam majlis pra-pelancarannya semalam, buku setebal 164 halaman itu dipromosi sebagai penerbitan yang "bakal menjawab secara telus" isu serta dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan isteri perdana menteri itu.
Apa sebenarnya yang dimaksud dengan modal insan yang mempunyai “minda kelas pertama?”.
Adakah ianya bermaksud ciri-ciri yang perlu ada pada mereka yang bergelar pentadbir atau pemimpin seperti kelayakan dan karisma. Dan lebih mendalam lagi seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.
Fikir-fikirkan.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, tambahkanlah ilmu kami dan luaskanlah faham kami. Ya Allah, kami berlindung dengan Mu dari ilmu yang tidak bermenafaat dan tidak berguna dan dari hati yang tidak khusyuk. Dan tiadalah daya dan kuasa melainkan dengan daya kuasa Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Amiiin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan