Bismillah.
Assalamualaikum.
Sudah lama kami tidak membicarakan tentang buku. Kami masih memegang buku Insan, Ingatlah! hasil tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Banyak isu yang menarik dikupas dalam buku tersebut.
Kami nak share sedikit dengan kawan-kawan apa yang terdapat di bab 19 yang bertajuk “Taubat Ibarat Menangis Selepas Ketawa.
Ianya penerangan Saidina Ali r.a. kepada seorang lelaki berkenaan dengan pengertian taubat.
Kata Saidina Ali r.a. kepada lelaki itu: “Bahawa yang dikatakan taubat itu ada enam pengertian:
Yang pertama, sekiranya kamu telah melakukan dosa yang lalu, maka taubatnya hendaklah kamu menyesali segala kesalahan dan dosamu itu.
Yang kedua, jika kamu melakukan kesalahan dan dosa kepada Allah SWT kerana meninggalkan perintah yang wajib, maka hendaklah kamu mengerjakan semula kewajiban yang telah ditinggalkan itu.
Yang ketiga, sekiranya kamu melakukan kezaliman kepada orang lain, maka taubatnya ialah bahawa wajib bagi kamu memulangkan semula apa-apa juga yang berlaku kepada orang itu, sehingga tiada lagi perkara yang bersangkutan dengan orang yang kamu zalimi itu dan dia memaafkan segala penganiayaan yang kamu lakukan terhadapnya itu.
Yang keempat, maka sekiranya kamu melakukan maksiat sehingga diri dan jiwamu sebati dengan maksiat itu, maka demikian jugalah kamu wajib melakukan taat kepada Allah sehingga jiwamu sebati dengan ketaatan itu.
Yang kelima, sebagaimana lazat dan manisnya maksiat yang kamu lakukan, maka demikianlah pula kamu lakukan ketaatan sekalipun pahit.
Yang keenam, sekiranya kamu melakukan maksiat kepada Allah dalam keadaan kamu gembira dengan gelak ketawa, maka sampailah giliran kamu menangis menyesali dosa yang kamu lakukan itu berserta mengerjakan segala ketaatan kepada Allah SWT.”
Demikianlah pengertian taubat menurut Saidina Ali r.a. bahawa urusan taubat itu bukan suatu tugas sampingan yang dilakukan secara sambil lewa dan tergopoh-gapah. Walaupun lidah menyebut perkataan taubat, namun ia tidak semestinya menjadi suatu permohonan taubat yang sebenar.
Taubat sekadar pada lidah tanpa memperlihatkan tanda-tanda penyesalan terhadap kesalahan yang lampau, dapat dibuktikan sebagai suatu permainan lidah semata-mata sekiranya dia masih lagi mengekalkan perbuatan yang membawa kepada dosa, maka bagi Saidina Ali r.a. perbuatan tersebut hanyalah suatu pendustaan terhadap Allah SWT.
Diatas adalah sedikit dari apa yang terdapat dalam bab 19 buku tersebut. Jika hati ingin tahu penerangan lebih lanjut, dapatkanlah buku tersebut.
Dengan membaca kandungan buku tersebut, kita akan dapat mengetahui sedikit sebanyak hati budi Tuan Guru. Tidak seperti apa yang digambarkan di media.
So….. semoga Allah SWT mengakhiri umur kita dengan kesudahan yang baik dan dihindari-Nya kita dari kesudahan umur yang tidak baik. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan