Bismillah.
Assalamualaikum.
Kami terbaca sajak yang dihasilkan oleh warga negeri Kelantan. Cuba kita hayati bait-bait yang diilhamkan. Jom…..
Tuan Boleh, Kami tidak boleh..
Fatihee Alkelantani
Tuan boleh memberi “gula-gula”
Bila kami yang beri, Tuan kata kami mengadu domba
Tuan boleh bina rumah lebih besar dari istana
Bila kami yang bina, Tuan arah pegawai rasuah memeriksa
Tuan dapat hak eklusif dimana-mana sahaja
Bila kami yang dapat, Tuan kata rampas hak pemunya
Tuan hantar anak belajar luar negara
Bila kami juga hantar, Tuan soal “Belajar dalam negara tak boleh ke?”
Tuan boleh makan di hotel berpuluh bintang
Bila kami dapat peluang, Tuan kata pendapatan kami tak sepadan
Tuan bersuara semuanya mesti betul
Bila kami bersuara, semuanya mesti dibetulkan
Tuan dulu yang mulakan serangan bertubi-tubi
Bila kami berhujah, Tuan menuduh kami tak sedar diri
Tuan boleh naik helicopter kesana dan kesini
Bila kami memohon ehsan hantar pesakit, Tuan berdalih rosak itu rosak ini
Tuan berjanji membina prasarana untuk kemudahan kami
Bila kami menagih janji, Tuan buat tak kenal kami
Tuan,
Hidup kami penuh teruji, seolah dijerut mati
Bersuara tak didengari, membantah dipukul separuh mati
Kami,
Semut kecil yang teguh berdiri
Mencari sesuap nasi sumber rezeki
Tidaklah kami menagih lagi
Dari Tuan yang sombong meninggi
[Harakah Daily]
Keluhan berkemungkinan dari pengundi yang telah mengundi dalam PRK di Kelantan.
Keluhan kerana janji-janji yang tidak ditepati. Janji ditabur tetapi abang beca terbang ajaib menghilangkan diri.
Ibarat kata-kata “habis pangkah, pensel di buang”. Sungguh menghiris hati.
Pangkah memangkah memang senang. Ambil pensel, buat “X”. Tetapi bahana atau musibahnya kekal sampai lima tahun.
Tapi orang Melayu masih tak pandai-pandai pangkah memangkah. Makin berumur makin teruk. Lupa, mamai atau nyanyuk? Tak bijak, tak pandai atau tak waras? Masih menghadiahkan “X” pada yang lembut lidah berjanji tetapi di hati keras tidak mahu ditepati.
Itu lah yang dinamakan Melayu! Bak kata-kata hikmat mantan PM kita “Melayu mudah lupa”.
Adakah Melayu ini hebat? Betul ke apa yang dikatakan oleh Laksamana Hang Tuah, seorang power ranger suruhan raja yang dikatakan berkata “tak Melayu hilang di dunia”?
Khalifah Umar r.a. pernah berkata iaitu kita (orang Arab) mulia kerana Islam. Orang Melayu, beragama Islam semestinya dipandang mulia oleh kawan dan lawan. Yang pasti, tidak kira apa bangsa sekali pun di dunia ini yang berpegang dengan Islam yang lurus akan dipandang mulia. Mengikut akidah dan akhlak Islam gitu.
Cuba kita renungi dengan mendalam kemana halatuju bangsa Melayu dan kearah mana agama Islam akan dibawa oleh bangsa Melayu ini. Cuba fikir-fikirkan.
So….. semoga Allah SWT hidupkan kita dengan iman dan matikan kita dalam iman. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan