Bismillah.
Assalamualaikum.
Manusia sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT. Sebaik-baik dari segi kehebatan bentuk badan, keghairahan nafsu pemberi dorongan dan keupayaan otak berfikir mencari kebaikkan atau keburukkan.
Tidak Allah Taala ciptakan lain makhluk setanding manusia dimukabumi ini.
Persamaan yang ada hanyalah semua makhluk ciptaan Allah Taala dikurniakan kitaran hidupnya yang tersendiri. Itu sahaja.
Manusia pertamanya melalui zaman kanak-kanak. Kemudian zaman dewasa. Kemudian zaman kanak-kanak semula.
Yang dinamakan manusia juga, berupaya mengingati atau menyimpan kisah-kisah pengalaman hidupnya.
Kenapa kami memulakan kali ini dengan mukadimah sedemikian?
Well….. cuma terfikirkan mak dan abah kami yang sudah tua.
Semasa kami kecil, mereka berdua sudah dewasa. Masih kuat dalam segala urusan. Berfikir, beribadat, berbual, bekerja, bertukang, berjalan, berbasikal, mandi, buang air dan lain-lain urusan berkaitan dengan kehidupan. Mengurus anak-anak dan juga menjaga ibu dan ayah mereka.
Bila kami dewasa, kami juga mengikuti apa yang dilakukan oleh kedua mak dan abah kami. Bila kami dewasa, mak dan abah sudah menganjak tua. Fitrah kehidupan ini.
Kanak-kanak lemah, dewasa kuat dan tua lemah. Itu kitaran kehidupan manusia.
Persoalannya! Adakah kami mampu menjaga mereka seperti mereka menjaga kami dulu? Huhu.
Kami teringat satu kisah yang terjadi dimasa pemerintahan Khalifah Umar Al- Khattab.
Seorang lelaki berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab dan bertanya kepada Umar. Adakah sudah cukup kebaikkan yang telah dilakukannya terhadap kedua ibu-bapanya, setelah beliau menjaga dengan cermat segala keperluan mereka berdua yang sudah tua. Dijelaskan juga bahawa beliau sentiasa mengutamakan ibu-bapanya dan ditunaikan segala permintaan dan kemahuan mereka sebaik mungkin.
Umar berkata tidak! Kedua orang tua mu menjaga kamu dengan harapan kamu akan hidup. Kamu pula menjaga mereka berdua dengan harapan mereka akan mati.
Cuba kita fikir-fikirkan.
So….. semoga Allah SWT mengampuni segala dosa kesalahan kita dan juga dosa kesalahan ibu bapa kita serta mengasihani ibu bapa kita sebagaimana mereka berdua mengasihani kita semasa kita kecil. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan