Bismillah.
Assalamualaikum.
Bila sebut pasal tetamu-tetamu Allah Taala ni kami merasa cukup teruja. Jom-jom kita baca pasal mereka. Jom!
Haji: Semua jemaah Malaysia dijangka tiba 9 November
October 31, 2010
MEKAH, 31 Okt — Kesemua 26,000 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan fardhu haji musim 1431 Hijrah ini dijangka berada di tanah suci Mekah pada 9 November ini.
Menurut Timbalan Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman 73 peratus daripada mereka sudahpun berada di Mekah dan Madinah sehingga semalam.
“Penerbangan terakhir dijangka tiba di Jeddah pada 9 November ini dan mereka akan menaiki bas terus ke Kota Mekah kira-kira 70 kilometer,” katanya kepada pasukan media Tabung Haji yang membuat liputan musim haji ini.
Beliau berkata penerbangan terakhir membawa jemaah haji yang akan tinggal di Madinah selama lapan hari sebelum memasuki Mekah, tiba di lapangan terbang di Madinah semalam, dan selepas ini semua penerbangan akan terus ke Jeddah.
“Dari 73 peratus yang tiba, cuma 15 peratus masih berada di Madinah. Perjalanan mereka ke Mekah dengan bas sejak rombongan pertama tiba 9 Oktober lepas berjalan dengan lancar,” kata Syed Saleh yang juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Kewangan Korporat & Perkhidmatan Tabung Haji.
Mengenai penambahbaikan perkhidmatan untuk jemaah haji, beliau berkata Tabung Haji memperkenalkan program “Sahabat TH” dengan memilih 20 jemaah yang memenuhi kriteria antaranya sihat dan berpengalaman bagi membantu petugas agensi itu.
“Sahabat TH antaranya berperanan memberi maklum balas tentang perkhidmatan, sajian makanan, kualiti petugas serta memberi penerangan dan membantu pergerakan jemaah ke Arafah, Mina dan Muzdalifah,” kata Syed Saleh. Dr Noorminshah Ahad, 33, pensyarah Universiti Teknoloji Mara (UTM) Skudai, Johor yang menyertai program tersebut berkata Sahabat TH amat baik kerana ia dapat menjadi pentas interaksi dua-hala antara jemaah dan Tabung Haji.
Pegawai Mara dari Kota Bharu, Kelantan, Azman Mohd Yusoff, 50, pula berkata beliau menggunakan program itu untuk menyampaikan pandangan jemaah kepada Tabung Haji.
“Kami berpuas hati kerana perkhidmatan Tabung Haji cukup memuaskan dan antara yang terbaik.
Jemaah haji Malaysia cukup bertuah tambahan petugas Tabung Haji sangat mesra dan setiap masalah mereka ditangani dengan memuaskan,” tambahnya. — Bernama [Malaysian Insider]
Semestinya kita sebagai umat Islam bercita-cita untuk sampai kesana untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Balasan syurga! Besar ganjaran yang Allah SWT berikan kepada kita. Tetapi kita kena ikhlas dan hanya kerana Allah SWT bila mengerjakannya, bukan ada niat lain.
Mari kita semua doakan agar tetamu-tetamu Allah SWT dari seluruh dunia yang mengerjakan haji 1431H ini diberikan ganjaran haji yang mabrur oleh Allah SWT.
So….. semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita syurga-Nya dan segala kenikmatannya dan memudahkan kita dengan segala sesuatu yang dapat mendekatkan kita kepadanya. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan