DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Jun 14, 2011

BSK 194. Negara Berkebajikan 2

Bismillah.
Assalamualaikum.

Masih lagi dengan isu samada PAS menggugurkan perjuangan untuk menegakkan negara Islam setelah parti itu dikatakan berubah arah dengan hasrat untuk mendirikan pula negara berkebajikan.

Dua pendapat dibawah ini mungkin boleh memberi input kepada pembaca yang berfikiran terbuka.

Pendapat pertama dari Pak Sako.

[Pak Sako ini bukanlah Ishak Haji Muhammad, penulis dan pengasas penerbitan akhbar Utusan Melayu. Pak Sako sebenar meninggal pada tahun 1991.]

No1384

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

PAS tolak negara Islam atau tidak? — Pak Sako

June 13, 2011

13 JUN — Perwakilan PAS telah memilih ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat yang baru untuk penggal 2011-2013. Majoriti pasukan ini terdiri daripada golongan profesional (jurutera, doktor dan sebagainya). Mereka merupakan ahli-ahli PAS yang bukan berkelulusan agama atau berpangkatkan ulama.

Ekoran ini, sesetengah pihak mendakwa bahawa parti PAS sudah menggadaikan agama Islam. Mereka kononnya kecewa bahawa PAS telah mengkhianati cita-cita parti untuk membentuk sebuah negara Islam kerana PAS mengenengahkan konsep “negara berkebajikan”.

Paling ketara melemparkan kritikan ini tanpa sebarang bukti ialah Ibrahim Ali, presiden Perkasa dan Mahathir Mohamad, maskot persatuan tersebut.

Seperti kedua-dua pemimpin tersebut, rakyat Malaysia pun mungkin keliru tentang kedudukan PAS berhubung cita-cita melaksanakan negara Islam.

Rencana ini bertujuan menjawab soalan “sama ada PAS sudah benar-benar menyeleweng dari dasar Islam dan matlamat negara Islam, atau sebaliknya”.

A. Adakah perlembagaan PAS menolak Islam dan cita-cita menubuhkan negara Islam?

PAS tidak boleh lari daripada asas dan matlamat parti seperti yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Oleh itu kita perlu meninjau dan memahami sedikit kandungan perlembagaan PAS.

“Dasar”, “tujuan-tujuan” dan “usaha-usaha” PAS adalah tersenarai seperti di dalam Fasal-fasal 3 hingga 6 perlembagaannya. Fasal-fasal inilah yang merangkumi asas dan matlamat PAS. Jika diteliti, ketiga-tiga perkara ini tidak berubah; semuanya tetap sama seperti dahulu.

Misalnya, dasar PAS masih tercatat sebagai “Islam”. Tidak pun dipinda kepada “Kebajikan” ataupun “Melayu”. Dua tujuan parti PAS masih ialah perjuangan untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang menurut nilai-nilai hidup Islam, serta mempertahankan kesucian Islam.

Usaha-usaha parti pula menghuraikan langkah-langkah yang akan diambil oleh PAS untuk mencapai tujuan-tujuan parti. Di antara usaha-usaha utama PAS ialah untuk mendakwah kepada semua “umat manusia” (dengan menitikberatkan bukan Muslim), menjadikan Islam “sebagai panduan berpolitik dan bernegara”, dan “memperkenalkan nilai-nilai keIslaman” dalam usaha menegakkan keadilan dan membawa kemajuan ke dalam semua bidang termasuk “pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi, sosial, serta pelajaran dan pendidikan”. Menurut Fasal 7 yang berhubung Hukum dan Kekuasaan pula, hukum tertinggi PAS ialah Al-Quran dan Sunnah, dan kekuasaan PAS yang dipegang oleh muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut.

Secara ringkasnya, kesemua yang disebutkan di atas merupakan rangka dan rancangan-rancangan penting dalam membentuk sebuah negara Islam.

Jalan untuk meminda atau membatalkan dasar, tujuan-tujuan dan usaha-usaha PAS bukanlah mudah. Menurut Fasal 86, cadangan pindaan perlu dikemukakan oleh ahli parti kepada setiausaha agung parti, dan jika terima, persetujuan dua pertiga (66.7 peratus) suara yang hadir di dalam muktamar tahunan PAS diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan. Hasrat mana-mana ahli profesional jawatankuasa kerja pusat untuk membatalkan mana-mana fasal perlembagaan PAS yang berkenaan dengan Islam pasti akan dimatikan oleh perwakilan PAS. Tambahan, masa depan politik ahli profesional itu bersama-sama dengan puak profesional secara amnya juga mungkin terkubur.

B. Majlis syura ulama lebih berkuasa daripada jawatankuasa kerja pusat

Majlis syura ulama PAS ialah badan yang tertinggi di dalam hierarki kuasa PAS. Jawatankuasa kerja pusat, termasuk presiden dan timbalan presidennya, terletak pada peringkat yang kedua. Pada peringkat seterusnya ialah Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (wanita).

Berbeza daripada jawatankuasa kerja pusat, majlis syura lazimnya diwakili 100 peratus oleh para ulama (Fasal 8(3)). Puak profesional tidak berpeluang untuk menguasai badan ini, apatah lagi menganggotainya.

Ahli-ahli majlis syura dipilih dan dilantik tidak lebih daripada lima orang oleh majlis syura ulama sendiri; empat orang oleh jawatankuasa kerja ulama pusat; empat lagi oleh jawatankuasa kerja pusat; dan dua masing-masing oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS (Fasal 8(4)).

Perhatikan bahawa pemilihan ahli-ahli majlis syura bukan melalui pertandingan demokratik sepertimana ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih oleh ahli-ahli PAS di muktamar. Namun majlis syuralah yang mengawal halatuju jawatankuasa kerja pusat dan PAS seluruhnya. Juga, lebih daripada 50 peratus daripada ulama di dalam majlis syura dipilih oleh golongan ulama sendiri (sembilan ahli daripada 17 ahlinya dipilih oleh majlis syura dan jawatankuasa ulama pusat). Dominasi golongan ulama cukup kuat di dalam PAS walaupun jika jawatankuasa kerja PAS pusat dikuasai 100 peratus oleh puak profesional.

Penguasaan kepimpinan ulama diperkukuhkan lagi oleh peranan majlis syura. Antara tugas utama majlis syura ulama ialah untuk ‘menjamin’ kekuasaan PAS tidak terkeluar daripada mematuhi hukum tertinggi iaitu Al-Quran dan Sunnah, dan muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum itu (Fasal 8(1a)).

Majlis syura juga bertanggungjawab mengeluarkan perintah supaya dasar Islam PAS dan peruntukan yang berkenaan dengannya (seperti tujuan-tujuan dan usaha-usaha parti) “dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS”, dan majlis syura perlu ‘mengawasi’ supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam perlembagaan “dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS” (Fasal 8(1b)).

Dalam erti kata lain, majlis syura tidak akan membenarkan jawatankuasa kerja pusat menyimpang daripada dasar dan tujuan-tujuan parti seperti penubuhan negara Islam walaupun sejengkal. Dengan itu, soal puak profesional menidakkan atau melawan matlamat negara Islam tidak timbul sama sekali. Mereka perlu melangkah mayat majlis syura dahulu.

Mampukah Nik Aziz menutup mata kepada peminggiran matlamat negara Islam? Tidak mungkin. Menurut perlembagaan PAS Fasal 9(1c), tugas Mursyidul Am ialah untuk “mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.

Apakah pendirian Mat Sabu — yang memenangi kerusi timbalan presiden PAS baru-baru ini — mengenai hal ini? Mengikut temuramah akhbar, beliau “terus mendokong konsep kepimpinan ulama” dan berpendapat bahawa “Majlis syura perlu diperkukuhkan agar PAS tidak terkeluar daripada dasar perjuangan Islam”. Jelas bahawa Mat Sabu bukan ancaman kepada aspirasi negara Islam.

C. Kesimpulan

1. Nik Aziz, presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalan presidennya Mat Sabu atau mana-mana ahli jawatankuasa kerja PAS pusat tidak pernah menolak atau menafikan harapan PAS untuk menubuhkan satu negara Islam suatu hari kelak.

2. Konsep “negara berkebajikan” yang diwar-warkan PAS ialah satu dasar sosio-ekonomi semata-mata yang tidak bercanggah dengan ataupun membatalkan matlamat utama mewujudkan sebuah negara Islam.

3. Ibrahim Ali, Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain tidak perlu gelisah tentang halatuju PAS. Ini selagi majlis syura PAS yang menjadi nadi cita-cita negara Islam masih wujud dan tidak dibubarkan. Jawatankuasa kerja pusat hanya melaksanakan kehendak parti dan wajib mematuhi semangat perlembagaan parti.

4. Konsep “negara berkebajikan” dan pemilihan puak profesional ke dalam jawatankuasa kerja pusat lebih merupakan satu strategi PAS untuk memancing undi kelompok bukan Muslim dan Muslim golongan sederhana yang was-was terhadap “pengIslaman” Malaysia yang radikal atau menyeluruh.

5. PAS amat sedar bahawa negara Islam perlu dilaksanakan dengan lembut dan perlahan agar tidak ditentang masyarakat Malaysia yang tidak mendokong sebuah negara Malaysia yang berlandaskan Islam teokratik (yang tidak sejajar dengan semangat perlembagaan persekutuan Malaysia).

6. Tidak ada konflik langsung di antara golongan profesional dengan fahaman “kepimpinan ulama”. Bezanya hanya dari segi pendekatan, iaitu sebahagian daripada golongan ulama lebih cenderung berpakat dengan Umno untuk mendapatkan kuasa manakala puak profesional berpegang bahawa PAS perlu menolak pinangan Umno dan mengalahkan Umno untuk merampas tampuk kuasa.

7. Para pemimpin Umno yang kononnya melahirkan rasa dukacita terhadap slogan “negara berkebajikan” PAS sebenarnya takut dengan pendekatan golongan profesional yang lebih agresif dan menolak usaha “perpaduan” Melayu-Islam yang dipelopori Umno. Mereka berasa bimbang hilang undi jika penyokong Melayu atau bumiputera Umno lebih teruja dengan PAS yang ‘berimej lembut’ dan Pakatan Rakyat secara amnya. — CPI

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pendapat kedua ini dari saudara Hassan Mohd Noor.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mencari modal politik baru selepas ‘perkahwinan kekal’ PAS-DAP — Hassan Mohd Noor

June 13, 2011

13 JUN — Minggu ini masih ada ruang untuk menyelak mengenai PAS sesudah muktamar. Memang menarik perkembangan yang berlaku hari ini. Tetapi ia bukanlah kejutan kerana Pas semakin berubah.

Siapa sangka Mohamad Sabu @ Mat Sabu mampu meletakkan dirinya sebagai orang No. 2. Jika Abdul Hadi Awang tidak mahu jawatan Perdana Menteri (PM), maka seorang lagi anak Pulau Pinang, Mat Sabu bakal jadi calon PM kalau pakatan DAP-PAS-PKR menang pada pilihan raya umum (PRU). Mat Sabu juga diisytiharkan sebagai “senjata” PAS untuk menyerang Umno menjelang PRU Ke-13.

Orang di luar PAS boleh “serang” Mat Sabu tetapi seperti kata Abdul Hadi: Walau apapun tanggapan Umno terhadap Mat Sabu, kita menganggap berlainan.

Semasa era pemudanya, Mat Sabu adalah “ayam tambatan” PAS. Bagi mereka yang “hidup” pada era itu tahu bagaimana hebatnya anak Guar Petai, Pulau Pinang, negeri Parti Islam SeMalaysia (PAS) dilahirkan pada 1951. Beliau aktif menyertai demonstrasi dan berucap di pentas ceramah. Biar pun ada yang menganggap pemilihan Mat Sabu memudahkan mereka ‘menyerang’ Timbalan Presiden ini tetapi keadaan sudah berubah.

Kata dan dedahlah apa sahaja mengenai Mat Sabu tetapi penyokong-penyokong PAS juga PKR tidak akan peduli. Bagi mereka, biar betul semua dakwaan itu, ia boleh ditukar sebagai fitnah! Lebih-lebih lagi setelah PAS menutup buku negara Islam dan mengitar semula manifesto pakatan pembangkang pada PRU 2008.

PAS patut berterima kasih kepada parti komponen BN yang selama ini tidak yakin dengan negara Islam. Terima kasih juga kepada DAP yang tidak berganjak menentang negara Islam. DAP pernah menuntut PAS mengenepikan konsep negara Islam menjelang PRU 1995.

Berikutan kesediaan PAS menerima realiti kuasa politik hari ini, maka sudah ada suara mahu mempertahankan PAS dengan berkata, perlembagaan PAS tidak pernah menyebut mengenai negara Islam. Orang seperti ini juga akan melenting jika sebelum muktamar 3 Jun lalu, ada yang berkata, PAS tidak memperjuangkan negara Islam.

Ramai keliru sama ada konsep negara Islam menjadi perjuangan PAS atau tidak. Tetapi selak kembali ucapan dasar Mursyidul Am PAS, Allahyarham Yusoff Rawa pada Muktamar Tahunan Pas Ke-34 pada 8 April 1988. Selaku Yang Dipertua PAS, dalam ucapan Allahyarham bertajuk Bertekad Membulatkan Jamaah antara lain menyebut: PAS menjadi gerakan Islam yang pertama-tama ditubuhkan di tanah air kita setelah Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir yang diharamkan oleh penjajah Inggeris, sejak ditubuhkan dasarnya ialah Islam yang kamil dan muktamil dengan mencatatkan setengah-tengahnya di dalam undang-undang tubuhnya fasal (3) menyatakan PAS ialah Islam dan fasal (5,6 dan 7) menegaskan perjuangan menegakkan negara Islam melalui da‘wah secara lisan, tulisan dan amalan seterusnya menyatakan Islam adalah yang tertinggi.

Ketegasan ini diulangi oleh Allahyarham Fadzil Mohd Noor dalam ucapan dasar Presiden pada muktamar ke-40 di Masjid Rusila, Terengganu (12 Jun 1994). Dalam ucapan bertemakan Ulama: Teras Kepimpinan Ummah itu, Allahyarham menegaskan: PAS mengumumkan hasratnya untuk melaksanakan syariat Islam termasuk hudud sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951. Para pemimpin PAS sejak itu tidak pernah berselindung mengenai cita-cita ini.

Allahyarham juga pernah menggariskan tujuh ciri model pemerintahan Islam pada abad ke-21 iaitu: Negara masyarakat awam (madani) dan bertamadun (hadari); Negara yang mengamal prinsip kesaksamaan; Negara yang mendukung kedaulatan undang-undang berdasarkan perundangan dan syariah Islam; Negara yang berteras dan bermatlamat keadilan; Negara yang mendukung prinsip kelayakan; Negara berkebajikan; Negara yang dinamik dan inovatif.

Dan dalam muktamar baru-baru ini, lain pula nada Abdul Hadi. Ciri keenam yang menjadi manifesto 2008 diulangi. Mungkin ada yang akan marah-marah jika dikatakan perjuangan PAS tidak konsisten. Dulu wanita PAS tidak digalakkan menjadi wakil rakyat tetapi tidak sekarang.

Selak juga buku kecil Penyelewengan PAS Satu Pendedahan Kritis tulisan bekas Naib Presiden PAS, Nakhaie Ahmad. PAS asalnya adalah sayap ulama Umno dan apabila berlaku krisis dalaman, PAS menjadi parti politik. Buku itu juga mengulas bagaimana corak perjuangan PAS. Pada tahun 50-an dan 60-an, PAS mendukung nasionalisme Melayu dan Islam. PAS menganggap nasionalisme Melayu Umno tidak sempurna , tidak cukup Melayu kerana menerima kemerdekaan yang terpaksa berkongsi kuasa dengan kaum lain dan menerima dasar kerakyatan Jus-soli. PAS menyebarkan fatwa yang mengharamkan kerjasama dengan bukan Islam dalam pemerintahan negara. Muncul juga politik mengkafirkan orang Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam.

Tetapi semuanya itu sudah jadi sejarah.

PAS sudah tersedar dari lamunan apabila melihat peluang untuk ke Putrajaya bersama sekutunya. PAS sudah bangkit berjuang dalam politik mengikut zaman. Pernah pada satu muktamar, timbul cadangan supaya kepimpinan ulama keluar daripada kepompong sempit yang hanya berkisar kepada hal ehwal agama dan tertumpu di masjid dan madrasah sahaja. Ada juga cadangan supaya pucuk pimpinan PAS menggunakan artis-artis sebagai pendekatan untuk menarik minat golongan muda.

Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas dalam tulisannya mengenai PAS dan Ke mana dengan Islam pernah mengungkapkan kata-kata berikut: Yang penting sekali perlunya keahlian berfikir semasa, bukan berfikir belakang masa. Usaha PAS untuk mendirikan undang-undang yang mereka namakan hudud dengan tafsiran ala PAS, merupakan satu pemikiran kitar semula. Mereka yang ingin memimpin pemikiran agama janganlah menjadi kilang fikir kitar semula. Segala undang-undang lama yang tak mungkin dapat diterapkan begitu sahaja dalam bentuk dari zaman silam, perlu diperbaharui dan dikaitkan dengan permasalahan dan keadaan zaman sekarang. Dasar-dasar agama, faham salah dan benar, baik dan buruk, iman dan kufur, semua ini tidak patut diubah tetapi tafsiran dan perundangan perlu berubah.

Kini PAS sudah berubah. Hubungan “adik abang” antara Lim Guan Eng dan Mat Sabu memudahkan perjuangan ke Putrajaya.

Justeru Umno tidak boleh terus berkomentar mengenai matlamat baru PAS walaupun negara berkebajikan sudah lama diamalkan oleh kerajaan BN. Jika dulu isu (gugur negara Islam) ini timbul mungkin keadaan berubah. Ingatlah, penyokong tegar yang berpegang kepada asas penubuhan PAS semakin berkurangan dan “lemah”. PAS tidak seperti DAP yang konsisten dengan Malaysian Malaysia.

Menggugurkan negara Islam yang dalam keadaan samar juga membantu meyakinkan bukan Melayu/bukan Islam dan generasi muda untuk menyokong DAP-PAS-PKR. Mungkin sambutan lebih hebat jika PAS menggugurkan perkataan Islam. Ini bermakna komponen BN yang menjadikan negara Islam modal mempengaruhi pengundi bukan Melayu perlu mencari isu baru.

Peralihan arah ini juga akan menghapuskan tanggapan “kahwin mutaah PAS-DAP” iaitu perkahwinan untuk bercerai selepas menang PRU. Kini perkahwinan PAS-DAP yang bersaksikan PKR akan kekal.

Benarlah politik penuh sandiwara!

Semoga parti politik Melayu tidak memperjudikan nasib bangsa dan agama ketika masing-masing ghairah memperkukuh atau memperkuatkan kuasa politik. — Utusan Malaysia

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kedua-dua pendapat memberikan gambaran tersendiri kenapa PAS berubah dari konsep “Negara Islam” kepada “Negara Berkebajikan”.

Kita boleh memilih mana-mana pendapat yang kita suka.

Allah SWT memberi kita hak untuk memilih. Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang paling sempurna. Dikurniakan manusia dengan akal dan nafsu.

Jika kita perhatikan dengan teliti, di negara kita ada dua pendapat yang dipegang oleh umat Islam.

  1. Politik dan agama tidak boleh dipisahkan.
  2. Politik dan agama tidak boleh dicampur adukkan.

Fikir-fikirkan.

So….. Ya Allah ya Tuhan kami! Engkau jadikanlah dan Engkau tetapkanlah agama kami di agama Nabi Muhammad SAW. Dan jadikanlah ke Islaman kami Islam yang sebenar-benar Islam. Keimanan kami iman yang kukuh dan sempurna. Jadikanlah solat kami solat yang khusyuk dan sungguh-sungguh. Pendirian kami menurut pendirian orang yang takut kepada-Mu. Rukuk kami bagi rukuk orang-orang yang merendah benar-benar kepada-Mu. Jadikanlah segala amal kami sebagai amal orang yang soleh. Niat kami tetap dalam niat yang ikhlas. Dan jadikanlah dosa-dosa kami dosa yang diampunkan. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India