Bismillah.
Assalamualaikum.
Semalam kami menghantar anak ke3 balik ke UiTM Segamat. Kami mengikut jalan biasa. Seremban-Simpang Ampat-Gemas dan terus ke UiTM.
Semasa memandu, tidak pasti dimana, tetapi sebelum sampai Gemas kami terlihat sebuah papantanda disebelah kiri jalan yang terpampang NFC. Dah comot papantanda tu.
NFC….. NFC….. NFC….. macam familiar je.
Dekat semint dua baru teringat.
National Feedlot Corporation! Pusat Fidlot Kebangsaan! Projek Lembu!
Tajuk terhangat kebelakangan ini. Banyak isu yang ditimbulkan.
National Feedlot Corporation (NFC) atau Pusat Fidlot Kebangsaan ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan penggantungan negara kepada pengimportan daging dari luar negara.
Syarikat Agro Science Industries Sdn Bhd – salah sebuah daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjayakan Pusat Fidlot Kebangsaan – telah diberikan sejumlah pinjaman daripada RM250 juta yang diperuntukkan dan juga geran sebanyak RM6 juta melalui kementerian pertanian.
Ada pihak mengatakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menetapkan sasaran supaya Pusat Fidlot Kebangsaan menyediakan sebanyak 276,000 ekor lembu fidlot setahun.
Dakwaan itu dikatakan boleh dilihat melalui kertas dasar projek berkenaan yang diletakkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
"Mengikut RMK9, projek itu perlu ternak sekurang-kurang 60,000 ekor lembu, bina satu ladang komersil bebas dengan 20,000 ekor lembu setiap tahun, dan juga bina 310 ladang satelit dengan 600 ekor setahun (setiap ladang)," kata pihak itu lagi.
Tambah pihak itu lagi, jumlah sasaran bilangan lembu itu juga selari dengan jumlah sasaran bekalan daging yang ditetapkan untuk Pusat Fidlot Kebangsaan – sebanyak 50,000 tan daging menjelang 2009 atau 40 peratus daripada permintaan daging Malaysia.
Menteri yang berkaitan dalam jawapannya di Dewan Rakyat semalam berkata projek berkenaan tidak menemui kegagalam memandangkan syarikat Agro Science berjaya membekalkan sejumlah 8,016 ekor lembu sepanjang 2008 hingga 2010.
National Feedlot Corporation (NFC) dikaitkan dengan suami dan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Sasaran membekal sebanyak 276,000 ekor lembu setahun. Jumlah sebenar yang dibekalkan 8,016 ekor lembu sepanjang 2008 hingga 2010.
Memang tersasar jauh dari sasaran. Amatlah jauhnya.
Dalam kekalutan isu projek lembu tersebut ada gesaan dari Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang juga timbalan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan.
Namun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata:
“Seruan Bung itu saya fikir tak perlulah sangat. Soal-soal sebegini khusus di kalangan kita sama kita (sesama Umno) kerana ia tidak secara langsung menyatakan Shahrizat terlibat.
"Sebenarnya, ini soal operasi perniagaan yang diuruskan oleh keluarga tetapi Shahrizat sendiri tidak terlibat," katanya.
Dilaporkan juga Muhyiddin adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika projek lembu itu diserahkan kepada keluarga Shahrizat.
Mungkin benar Shahrizat tidak terlibat secara langsung dalam menguruskan projek itu. Suami dan anak-anak beliau yang menguruskannya. Tetapi itu projek keluarga.
Beliau tinggal sebumbung malah sebilik dengan pengurusan atasan projek berkenaan. Adakah beliau tidak diberikan feedback terkini mengenai status projek itu?
Sebagai seorang pemimpin negara yang berintegriti tidakkah beliau peka dengan status dan halatuju projek yang menggunakan dana rakyat?
Sebagai ahli keluarga, tidakkah beliau memberi pandangan dan nasihat bahawa mereka perlu berhati-hati dengan perbelanjaan yang digunakan dengan dana rakyat kerana ianya 1amanah yang telah disanggupi oleh keluarga beliau?
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah At-Tahriim: ayat 6)
“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalamkitab-kitab Zabur dan Injil) melaui lidah nabi Daud dan nabi Isa ibni
Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan munkar ( derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk-nya apa yang mereka telah lakukan”. (Surah Al-Maidah, ayat 78-79)
“Demi diriku di bawah kekuasaan Allah, hendaklah kamu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran atau ditakuti bahawa Allah akan menurunkan ‘azab dan bala’. Kemudian kamu berdoa kepada Allah dan Allah tidak akan menerima (permohonan) kamu lagi ” . (HR at-Tirmizi)
“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan lidah, jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun yang demikian ini adalah selemah-lemahnya”. (HR Muslim)
Sebagai seorang ahli keluarga dan terlebih lagi seorang pemimpin beliau seharusnya lebih memahami bahawa menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar itu perlu, terutama kepada keluarga dan kaum kerabat.
Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. (Surah Asy-Syu’araa’: ayat 214)
Pembaziran dana rakyat semakin berleluasa. Dilakukan oleh segenap lapisan, dari peringkat bawahan sehingga peringkat tertinggi. Terbukti dari laporan tahunan Ketua Audit Negara.
Fikir-fikirkan.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kepadaMu kecintaanMu dan kecintaan orang yang cinta kepadaMu. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan-kebaikan yang diminta oleh nabiMu Muhammad SAW dan kami meminta perlindungan denganMu dari kejahatan yang nabiMu meminta perlindungan darinya. Engkaulah tempat kami meminta, Engkaulah yang menyampaikan dan tiadalah sebarang kekuatan melainkan kekuatan dengan pertolongan Allah. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan