Bismillah.
Assalamualaikum.
10 Zulhijjah 1432H bersamaan 06 November 2011 umat Islam di negara kita Malaysia akan menyambut Idul Adha.
Bila membicarakan mengenai Idul Adha maka umat Islam tidak dapat lari dari mengaitkan hari itu dengan ibadah haji dan qurban.
Ibadah haji dan qurban pula berkait rapat dengan Nabi Ibrahim A.S. dan keluarga baginda.
Pengorbanan Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail A.S. yang ditinggalkan berdua tanpa bekalan di padang pasir yang tandus. Bagaimana Siti Hajar berikhtiar dan berusaha untuk mencari air untuk puteranya yang kehausan. Berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwa berulang kali.
Peristiwa Nabi Ibrahim A.S. diperintahkan oleh Allah S.W.T. untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail A.S.
Nabi Ismail A.S. patuh dengan ketetapan Allah S.W.T dengan kata-katanya kepada ayahandanya Nabi Ibrahim A.S.:
“Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada mu. Engkau akan mendapatiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah."
Kerana ketaataan dan kepatuhan sepenuhnya kepada Pencipta mereka, maka Allah S.W.T. memberi penghormatan kepada Nabi Ibrahim A.S. dan keluarga baginda.
Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima dimana umat Islam yang berkemampuan diwajibkan menunaikannya. Pada Idul Adha pula umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah qurban.
Pengertian qurban ialah sembelihan binatang seperti unta, kerbau, lembu, kambing dan biri-biri pada Idul Adha atau 3 hari berikutnya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Hukum qurban ialah sunat muakkad atau sunat yang sangat dituntut bagi yang mampu melakukannya.
Hukum qurban kadangkala menjadi wajib dengan sebab-sebab berikut:
- Seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang memenuhi syarat untuk dijadikan qurban sambil berkata, "Aku akan qurbankan lembu ini".
- Seseorang bernazar hendak melakukan qurban untuk mendampingkan diri kepada Allah S.W.T. dengan berkata, "Aku mewajibkan ke atas diriku berqurban kerana Allah".
Dengan kata-kata seperti di atas maka dia wajib melaksanakan qurban.
Daging qurban pula diagih-agihkan kepada golongan fakir, miskin atau golongan yang berhak menerimanya daripada kalangan orang Islam sahaja sementara bahagian daging yang diniatkan untuk akikah tidak boleh di makan oleh bukan Islam.Haram memberi, menghadiahkan atau menjual daging qurban kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir zimmi.
Ini adalah disebabkan menyembelih binatang qurban itu adalah merupakan ibadat kepada Allah S.W.T.
Sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan, dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.
Kita perhatikan pandangan dibawah untuk rujukan.
Mazhab Syafie berpandangan daging qurban dan akikah tidak dibenarkan diberi kepada orang bukan Islam kerana pemberian tersebut merupakan ibadat kepada Allah.
Di sisi mazhab Hambali, pemberian ini dibolehkan. Melihat kepada suasana hari ini, untuk kepentingan dakwah dan maslahat am seperti di majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh bukan Islam maka tidaklah menjadi satu persoalan besar khususnya untuk menunjukkan betapa indahnya Islam.
Bila kita berkata ‘sembelihan’ maka penting untuk kita mengetahui kebaikkan kaedah penyembelihan Islam.
Hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berlaku ihsan dalam semua perkara. Apabila kamu membunuh maka perelokkan pembunuhan, apabila kamu menyembelih maka perelokkan sembelihan, hendaklah penyembelih itu menajamkan mata alat sembelihannya dan rehatkanlah binatang sembelihannya.”
Proses atau kaedah penyembelihan Islam memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.
Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.
Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul didalam daging.
Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala diceraikan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma.
Seperkara lagi, dari kajian yang dijalankan, didapati daging haiwan yang disembelih mengikut kaedah Islam lebih lembut berbanding daging haiwan yang tidak disembelih.
Indahnya Islam!
Semoga Idul Adha menjadikan kita manusia yang patuh dan taat kepada Allah Taala.
Kerana ketaatan sepenuhnya kepada Allah ada kaitan rapat dengan prestasi ketaqwaan umat manusia.
Ketaatan kepada perintah Allah Taala akan menentukan dan mempengaruhi corak kehidupan kita di dunia.
Terlebih penting kerana ketaatan kepada perintah Allah Taala akan menentukan nasib kita di akhirat.
Selamat menyambut Idul Adha 1432 Hijrah, maaf zahir batin.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kenikmatan yang tidak akan hilang. Ya Allah, kami memohon penyejuk mata yang tidak putus-putus. Ya Allah, kami memohon perasaan redha ke atas ketetapanMu. Ya Allah, kami memohon kesejukan kehidupan selepas mati. Ya Allah, kami memohon kelazatan memandang ke atas wajahMu dan rindu untuk bertemu denganMu tanpa kemudaratan yang memudaratkan dan fitnah yang menyesatkan. Amin.
Wassalam.
(Sumber rujukan: Jakim dan Suara Masjid)
0 comments:
Catat Ulasan