DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Sabtu, Oktober 06, 2012

BSK 324. Pendek tapi power

Bismillah.
Assalamualaikum.

Dah lama kami tak bercerita. Tak pasti kenapa. Kami sendiri pun tertanya. Malas atau boring?

Berkemungkinan kedua-duanya. Hmm…..

No2265

Well….. hari ini, 20 Zulkaedah 1433H bersamaan 06 Oktober 2012 kami nak berkongsi surah yang sering kami baca didalam rakaat kedua solat. Samada solat fardu atau sunat.

Surah pendek dan mudah tetapi memberi impak yang besar. Surah yang anak kecil pun mudah menghafalnya. Surah yang terkenal dengan panggilan 3Qul. Surah yang pendek tetapi power.

Mula-mula jom kita hayati maksud surah-surah itu. Kami mulakan dengan surah al-Ikhlas.

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Surah al-Falaq:

Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, "Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; "Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); "Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

Surah al-Nas:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. "Yang Menguasai sekalian manusia, "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, - "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".

Jom kita hayati pula keutamaan surah-surah berkenaan.

Surah al-Ikhlas

Terdapat banyak hadis yang menyatakan keutamaan surah ini. Yang paling masyhur ialah surah ini sebanding dengan 1/3 al-Quran.

Disini kami akan berkongsi dua hadis daripada yang banyak itu.

Hadis pertama diriwayatkan daripada Muaz ibn Anas R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang membaca surah al-Ikhlas hingga selesai sebanyak sepuluh kali, maka Allah akan membina sebuah istana untuknya di syurga. Umar ibn Khattab berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika lebih dari itu?. “Rasulullah S.A.W menjawab: “Allah dapat memberi yang lebih banyak dan lebih baik dari itu.”

Hadis kedua pula diriwayatkan daripada Aisyah R.A yang bermaksud:

“Bahawa Rasulullah S.A.W mengutus seorang lelaki untuk turut serta dalam satu pasukan. Ketika solat dia mengimamkan rakan-rakannya dan mengakhiri bacaannya dengan surah al-Ikhlas. Ketika pasukan tersebut kembali pulang, perkara tersebut pun diberitahukan kepada Rasulullah S.A.W. Baginda lalu bersabda: “Tanyakan kepadanya, mengapa dia melakukan itu. ‘Mereka pun bertanya kepada lelaki tersebut, dan dia menjawab: ‘Sesungguhnya itu adalah sifat Allah Yang Maha Pengasih sehingga aku sangat suka membacanya.’ Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda: ‘Beritahu kepadanya, bahawa Allah S.W.T pun menyukainya.’”

Surah al-Falaq dan surah al-Nas

Surah yang disabdakan oleh Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Telah diturunkan kepadaku beberapa ayat yang belum pernah terlihat bandingannya sebelumnya.”

Dua surah yang selalunya dibaca bersama. Juga bersama surah al-Ikhlas seperti dalam solat witir.

Merupakan dua surah perlindungan yang diturunkan oleh Allah S.W.T ketika Rasulullah S.A.W disihir oleh seorang Yahudi yang telah membuat satu buhul (ikatan) untuk Baginda. Nabi telah memerintahkan Ali R.A untuk membukanya sambil membaca dua surah perlindungan (muawwizatain) dan Ali pun membuka buhul sehingga Nabi S.A.W berdiri seakan-akan baru terlepas dari ikatan.

Hadis diriwayatkan oleh Uqbah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Wahai Uqbah! Aku mengajarkan kepadamu dua surah terbaik yang mesti dibaca (iaitu surah al-Falaq dan al-Nas). Wahai Uqbah! Bacalahlah kedua surah tersebut setiap kali akan tidur atau bangkit dari tidur, tidak ada surah yang paling baik untuk memohon atau berlindung kepada Allah yang menyamai surah tersebut.”

Itu sahaja yang ingin kami kongsikan. Semoga kita semua mendapat perlindungan Allah S.W.T dan juga rahmatNya.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, tiadalah Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang satu, tidak ada sekutu bagiNya, kepunyaanNya kekuasaan dan segala pujian, Dia yang menghidupkan dan mematikan dan Dia berkuasa di atas segala sesuatu. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India