Bismillah.
Assalamualaikum.
Safar 1434H berada dipenghujung. Akan menjelang pula Rabiul Awal. Kita akan menyambut maulidur Rasul s.a.w kurang dua minggu lagi iaitu pada 24 Jan 2013.
Nabi s.a.w dilahirkan di Mekah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun pertama peristiwa gajah. Ada juga yang mengatakan 09 Rabiul Awal.
*“Sesungguhnya Allah memilih daripada anak Ibrahim akan Ismail dan daripada anak Ismail akan Kinanah. Daripada anak-anak Kinanah Allah memilih Quraish. Dan daripada Quraish dipilih-Nya anak pinak Hashim dan aku dipilih daripada anak pinak Hashim.”
“Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk-Nya lalu dijadikan aku yang terbaik antara kumpulan-kumpulan makhluk dan yang terbaik antara dua kumpulan. Kemudian Allah memilih kabilah-kabilah lalu dijadikan aku daripada kabilah yang terbaik, kemudian Allah memilih keluarga-keluarga lalu dijadikan aku daripada keluarga mereka yang terbaik, maka akulah yang terbaik jiwanya dan keluarganya dikalangan mereka.”
Sempena sambutan Maulidur Rasul 1434H kami ingin berkongsi satu peristiwa yang berlaku diantara orang-orang Ansar dan Nabi s.a.w.
Peristiwa disebabkan oleh pembahagian harta rampasan perang Hunayn yang disimpan di Ja’ranah.
Umat Islam memperolehi harta rampasan yang begitu banyak dalam perang itu. Perang yang bermula di Hunayn dan berakhir di Taif terjadi selepas pembukaan Kota Mekah. Pembukaan Kota Mekah menyaksikan berbondong-bondong warga Mekah menerima Islam.
Jom ikuti…..
*Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudry katanya:
Apabila Rasulullah s.a.w membahagikan kepada orang-orang Quraish dan kabilah-kabilah Arab pembahagian harta rampasan itu sedangkan orang-orang Ansar tidak mendapat apa-apa. Timbullah rasa tidak senang hati dalam diri mereka sehingga banyak diperbualkan di kalangan mereka. Hinggakan ada seorang di kalangan mereka yang berkata: Demi Allah Rasulullah s.a.w telah pun bertemu kaumnya.
Lalu Saad bin Ubadah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: “Wahai Rasulullah, orang-orang Ansar ini merasa tidak senang dengan kamu berkaitan dengan harta-harta yang kamu dapati, kamu bahagikan di kalangan kaummu sahaja dan kamu serahkan pemberian yang besar-besar kepada kabilah-kabilah Arab sedangkan orang-orang Ansar ini tidak mendapat apa-apa pun”.
Rasulullah s.a.w berkata: “Jadi kamu berada di pihak mana hai Saad”? Jawabnya: “Wahai Rasulullah, tentu aku di pihak kaumku”. Baginda berkata: “Kalau begitu kumpulkan kaummu di lapangan ini”.
Lalu Saad pun keluar untuk memanggil orang-orang Ansar untuk berkumpul di lapangan tersebut tetapi ada juga orang-orang Muhajirin yang datang tapi mereka tidak dipedulikan. Kemudian datang sekumpulan yang lain lalu mereka disuruh berpatah balik.
Setelah semua orang Ansar berkumpul untuk bertemu Rasulullah s.a.w Saad pun datang kepada baginda dan berkata: Orang-orang Ansar ini telah pun berkumpul untuk bertemumu.
Kemudian Rasulullah datang kepada mereka lalu memuji Allah dan berucap: “Hai sekelian orang Ansar, cakap-cakap apa yang sampai kepadaku ini? Dan apakah yang tidak menyenangkan kamu terhadap diriku? Bukankah aku datang kepadamu sedangkan ketika itu kamu adalah orang-orang yang sesat lalu Allah memberikan hidayah kepadamu. Bukankah kamu dulu orang yang miskin lalu Allah kayakanmu, dan bukankah kamu dulu orang yang bermusuhan lalu Allah jinakkan hatimu”. Mereka menjawab: “Bahkan Allah dan Rasul-Nya yang lebih besar kurniaan-Nya”.
Kemudian baginda berkata: “Tidakkah kamu mahu menyahutku hai orang-orang Ansar”? Mereka bertanya: “Apa yang nak kami sahuti ya Rasulullah? Sedangkan anugerah dan kurniaan itu milik Allah dan Rasul-Nya”. Rasulullah berkata: “Demi Allah, kalau mahu kamu boleh mengatakan dan nescaya kamu akan dibenarkan. Dahulu kami datang kepadamu padahal engkau didustakan lalu kami yang membenarkan engkau dan engkau tidak diberikan pertolongan lalu kamilah yang membantumu, dahulu engkau diusir dan kamilah yang membantumu dan engkau dalam keadaan miskin lalu kamilah yang menampung keperluanmu”.
“Hai orang Ansar apakah kamu rasa dirimu masih lagi terpaut pada dunia, dunia yang aku jadikan alat untuk melembutkan hati satu kaum untuk menerima Islam sedangkan keislaman kamu aku benar-benar telah meyakininya? Tidakkah kamu rela hai sekelian orang-orang Ansar membiarkan mereka membawa pergi kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah s.a.w ke kampungmu? Demi diri Muhammad yang ada dalam kekuasaan-Nya, kalaulah tidak adanya hijrah nescaya aku termasuk salah seorang dari orang-orang Ansar. Kalau manusia melalui satu lorong dan orang Ansar pula melalui lorong yang lain nescaya aku akan melalui lorong orang-orang Ansar. Ya Allah rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak orang Ansar dan cucu cicit orang-orang Ansar”.
Mendengar kata-kata baginda orang Ansar menangis sehingga air mata mereka membasahi janggut. Mereka berkata: “Kami rela Rasulullah s.a.w sebagai bahagian dan habuan untuk kami”.
Kemudian Rasulullah s.a.w beredar dan mereka pun bersurai.
Itulah sessi pertemuan antara Nabi s.a.w dengan orang Ansar di Ja’ranah yang ingin kami kongsikan bersama.
Setiap kali membaca atau mengingati peristiwa itu membuat kami merasa begitu sebak. Seolah-olah kami melihat peristiwa itu secara live.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, curahkanlah rahmat-Mu keatas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya sebagaimana yang Engkau rahmatkan atas Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya; dan berkatilah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya sebagaimana yang Engkau berkati atas Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya di seluruh alam; sesungguhnya Engkau yang Terpuji lagi yang Termulia. Amin.
Wassalam.
* sumber Sirah Nabawiyyah s.a.w terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
0 comments:
Catat Ulasan