Bismillah.
Assalamualaikum.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk didalam kumpulan ‘elit’ 10 dana pencen terbesar di dunia!
Apa yang tergambar di minda kita dengan kenyataan itu?
Wang! Pastinya badan itu berwang dan mempunyai dana yang banyak!
Kami adalah salah seorang daripada ribuan atau jutaan pekerja yang mencarum kepada badan tersebut.
Sebagai pencarum yang mempunyai kepentingan dalam badan itu, tidak salah jika kami ingin memberi pandangan kepada ‘proposal’ yang dimajukan oleh Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk dilaksanakan oleh KWSP.
Proposal untuk menggunakan dana KWSP sejumlah RM1.5 bilion untuk membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Skim Pembiayaan Khas yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 28 Januari lalu, yang mana skim berkenaan bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di bandaraya ini. Bandaraya KL!
Cuba kita selami dan fikirkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu.
“Melalui pelaburan tersebut, KWSP akan ‘menyelam sambil minum air’ kerana selain membiayai pinjaman perumahan, mereka juga akan mendapat ganjaran di akhirat kerana membantu orang susah,” katanya.
Kita sedang memperkatakan tentang wang pekerja. Caruman bulanan pekerja dari mula bekerja hingga pencen. Simpanan dari titik peluh pekerja untuk kegunaan di masa tua kelak.
Kerajaan mahu memulakan penggunaan wang pencen pekerja untuk membantu golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.
KWSP bukanlah badan yang sewajarnya menerima ‘assignment’ itu.
Institusi-institusi kewangan di Malaysia lebih menjurus dan lebih memahami urusan pinjam-meminjam ini. Bukankah institusi-institusi ini berniaga? Menjalankan perniagaan untuk mengaut keuntungan.
Tetapi kenapa kerajaan memilih KWSP?
Institusi-institusi kewangan ini juga boleh ‘menyelam sambil minum air’? Institusi-institusi ini juga boleh mendapat ganjaran di akhirat bila membantu golongan berpendapatn rendah ini.
Adakah institusi-institusi kewangan ini tidak mahu memberi pinjaman kepada orang susah, membantu mereka membeli dan memiliki rumah?
Mungkinkah kerajaan dan pihak berkaitan telah membuat penilaian dan menjangkakan golongan berpendapatan rendah yang diberi pinjaman perumahan tidak akan mampu membayar balik ansuran bulanan?
Pihak yang memberi pinjaman (KWSP atau institusi kewangan) berkemungkinan besar akan menghadapi bukan sahaja masalah tidak mendapat ansuran bulanan tetapi masalah-masalah lain yang berbangkit.
Institusi yang tujuan utama mahukan keuntungan dimana unjuran keuntungan tahunan sentiasa meningkat akan memandang sepi Skim Pembiayaan Khas ini.
Jika kerajaan tetap mahu KWSP mengambil alih peranan institusi kewangan dengan memberi pembiayaan kepada golongan ini maka ianya merupakan perbuatan khianat kepada satu golongan rakyat Malaysia yang lain.
Pembiayaan RM1.5 bilion ini akan menjadi ‘precedent’ kepada pembiayaan kepada banyak lagi golongan orang susah dan lain-lain pembiayaan berkaitan dengan rakyat.
Ini kerana golongan berpendapatan rendah jumlahnya bukan sedikit. Golongan ini bukan sahaja ada di KL tetapi berada di bandar-bandar besar lain. Orang susah bukan sahaja menetap di bandar-bandar tetapi juga di kampong-kampong. Boleh dikatakan 1Malaysia ada golongan berpendapatan rendah dan orang susah.
Kerajaan seolah-olah mahu berlepas tangan dan memberi beban dan risiko yang besar kepada golongan pekerja yang mencarum dalam KWSP.
Golongan cerdik pandai didalam kerajaan sepatutnya lebih peka dengan pengurusan wang pencen rakyat.
Membantu satu golongan dengan memperjudikan kesejahteraan golongan lain bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.
Kerajaan perlu mencari cara dan kaedah yang lebih effektif untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan orang susah di negara kita ini.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami berlindung denganMu dari penyakit malas dan nyanyuk. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung denganMu dari dosa dan hutang. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung denganMu dari kejahatan fitnah kekayaan. Ya Allah sesungguhnya kami berlindung denganMu dari fitnah kefakiran. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan