DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Sabtu, Februari 11, 2012

BSK 274. Akidah, husnul dan suul khatimah

Bismillah.
Assalamualaikum.

Semalam ada dua laporan, pada hemat kami, kita sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam perlu peka dan mengambil perhatian.

Laporan yang berkaitan dengan akidah.

Laporan pertama membabitkan seorang pemimpin beragama Islam  yang mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan upacara keagamaan kaum lain dan merupakan kali ketiga beliau mengunjungi pusat ibadat perayaan itu sejak 2010.

Petikan sebahagian dari kata-kata seorang mufti mengenai isu itu:

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata mufti berkenaan menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

Laporan kedua menyentuh teks khutbah solat Jumaat semalam yang memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam.

Teks khutbah Jakim bertajuk “Awas Jerat Valentine” berkata selain bercanggah dengan akidah umat Islam, ia juga boleh membawa kepada budaya pemujaan berhala melalui istilah-istilah yang digunakan.

“Sedar atau tidak jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine?’ maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah.

Sentiasalah kita berlapang dada dan berterima kasih menerima teguran dan peringatan dari mereka-mereka yang berpengetahuan dan memahami agama yang kita anuti yang prihatin dan masih sayang dan mahu kita mendapat kebaikan di dunia terutamanya kebaikan di akhirat.

Sebagai renungan, kami ingin berkongsi satu kisah yang disebutkan dalam buku “Indahnya Kematian” oleh saudara Bisri M. Djaelani terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd. 

Satu masa dahulu ada pemuda yang sudah bertahun-tahun menjadi juruazan di masjid. Bersebelahan masjid itu terdapat sebuah rumah yang didiami sebuah keluarga yang bukan Islam. Keluarga itu memiliki anak gadis berparas cantik yang sedang menginjak dewasa.

Masjid KUIS2

Setiap kali juruazan itu naik ke menara masjid bagi melaungkan azan, tanpa disedari pandangan matanya selalu singgah kepada anak gadis yang cantik itu. Hal ini turut terjadi ketika pemuda itu turun dari menara masjid. Namun bak kata pepatah, ‘daripada mata turun ke hati’.

Akibat sering terpandang, hatinya mula terpaut pada kecantikan rupa paras gadis itu. Bahkan, tatkala lidah melaungan seruan azan, hatinya sibuk mengingati si gadis. Selepas sekian lama, juruazan itu nekad mengunjungi rumah anak gadis itu dengan tujuan melamarnya. Sayangnya, ibu bapa gadis itu menolak mentah-mentah permintaan juruazan itu. Apatah lagi apabila anak mereka perlu bertukar agama mengikut agama calon si suami yang beragama Islam. Bapa gadis itu berkata, “Selagi kamu masih beragama Islam, saya tidak izinkan anak saya menjadi isterimu.” Kenyataan itu sekali gus menjadi syarat iaitu juruazan itu perlu memeluk agama mereka terlebih dahulu sebelum dapat mengahwini anaknya.

Ketika berada di atas menara masjid, juruazan itu berfikir sedalam-dalamnya. Sayangnya, akalnya sudah tidak mampu berfikir dengan jernih sehingga terbit niat dalam hatinya supaya bertukar agama buat sementara waktu. Hatinya berkata, “Ya Allah, sudah bertahun-tahun aku melaungkan azan demi mengajak dan mengingati umat Islam supaya menyembah-Mu. Aku yakin Engkau menyaksikannya serta memberi balasan yang setimpal. Namun pada saat ini aku memohon kepada-Mu hendak memeluk agama keluarga gadis itu selama beberapa saat sahaja. Selepas berkahwin dengannya, aku berjanji akan kembali memeluk Islam.”

Baru sahaja hatinya berniat sedemikian, kakinya tergelincir dari tangga menara masjid yang tinggi itu. Juruazan itu jatuh lalu meninggal dunia dalam keadaan suul khatimah. [ms 11-12]

Mana pilihan kita? Suul khatimah iaitu dipanggil kembali dalam keadaan berdosa dan tidak baik atau husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik?

Semoga kita sekeluarga disetiap masa, sentiasa berada dibawah lindungan Allah SWT agar kita sekeluarga dijemput dalam keadaan husnul khatimah dan dijauhi kita sekeluarga daripada dipanggil dalam keadaan suul khatimah.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau beri pertunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmatMu. Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami Dunia ini kebaikan dan di akhirat pun kebaikan dan lindungilah kami dari azab api Neraka. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Melimpah kurnianya. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India