Bismillah.
Assalamualaikum.
Bila kita menghadiri majlis-majlis ilmu, ustaz-ustaz yang memberi penerangan akan sering berkata bahawa musibah yang kita terima merupakan ujian Allah Taala dan penghapus dosa.
Kami ingin berkongsi beberapa fakta dari buku yang sedang kami baca ketika ini mengenai musibah atau bencana. Bagaimana ianya boleh menghapuskan dosa dan menyucikan diri kita.
Kami dipertengahan buku “Indahnya Kematian [Hadapi Ajal Dengan Senyuman]” hasil tulisan saudara Bisri M. Djaelani terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. Terima kasih!
….. Nabi Muhammad mengajar kita satu doa yang baik iaitu, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan atas dosa-dosa yang aku sedari dan dosa-dosa yang tidak kusedari, dosa-dosa yang aku ketahui serta yang tidak kuketahui.” Doa ini penting kerana kita cenderung tidak bertaubat bagi dosa-dosa yang tidak kita ketahui atau sedari.
Namun begitu, Allah yang maha pengasih masih berkenan menyucikan diri kita. Penyucian daripada Allah ini disebut at-Tamhis iaitu bencana. Bencana-bencana yang menimpa kita di dunia ini sebenarnya menghapuskan dosa.
Bukhari dan Muslim merekodkan satu hadis perihal perkara ini. Nabi Muhammad berkata, “Apabila seseorang ditimpa bencana, kesalahan, keresahan ataupun terluka akibat terpijak duri, perkara-perkara itu menyebabkan dosa-dosanya terhapus.”
At-Tamhis iaitu penyucian daripada Allah dalam bentuk bencana ini terdiri daripada beberapa bentuk. Nabi Muhammad memberitahu, “Ada dosa yang tidak boleh dihapuskan dengan apa pun kecuali melalui kesulitan mencari pendapatan yang halal.” Kepayahan mencari nafkah yang halal itulah proses penyucian yang Allah berikan kepada kita. Namun begitu, ada syarat yang perlu dipenuhi supaya kepayahan itu menjadi penghapus dosa-dosa kita. Kunci mendapatkan at-Tamhis adalah sabar. Kita perlu bersabar dengan setiap kesusahan yang dihadapi.
Ada seorang sahabat Nabi Muhammad yang hidup mewah sebelum beliau memeluk agama Islam. Selepas memeluk Islam, bisnesnya mengalami kerugian berterusan. Lalu dia mengadu kepada Nabi Muhammad, “Wahai pesuruh Allah, harta-harta saya hilang dan badan saya pula sakit.” Nabi Muhammad menjawab, ”Allah memberi ujian kepada orang yang disayangi-Nya. Tiada baiknya seorang manusia yang tidak pernah sakit dan tidak pernah hilang hartanya.”
Walaupun banyak bencana menimpa kita, belum tentu ia dapat mencuci dosa-dosa kita kecuali apabila kita menerimanya dengan sabar. Sifat sabar, tenang dan berserah kepada Allah dalam menanggung bencana menjadi alasan Allah menghadiahkan kita dengan kesucian jiwa dan raga. Sebaliknya, apabila kita marah dan tidak sabar menghadapi bencana, hadiah tersebut tidak dapat kita perolehi. Malah, kualiti hidup kita akan semakin merosot.
[Bab 5-Erti Kematian (ms 86-87)]
Well….. jika kawan-kawan teringin mengetahui lebih lanjut atau teringin untuk lebih memahami fakta-fakta yang ditulis oleh penulis, beli buku ini. Boleh di buat ikhtibar.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan yang melepaskan dari sebarang kesusahan dan kesedihan, Tuhan yang mengabulkan segala doa orang yang susah, Tuhan yang Maha Pengasih di dunia dan akhirat dan Maha Penyayang, sayangilah diri kami dengan rahmatMu yang mana kami tidak perlu lagi kepada rahmat selain dariMu. Ya Allah, kami memohon campakkanlah rasa cukup dengan rezeki yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan gantikanlah apa yang telah hilang dari kami dengan sesuatu yang lebih baik di sisiMu. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan