DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Isnin, April 16, 2012

BSK 285. Impian 1Malaysia dan raja berpelembagaan

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kami terbaca dan cukup teruja.

"Saya ada satu impian... Malaysia ini negara Islam dan biarlah kita mencatat sejarah sebagai negara Islam pertama di dunia mencapai status negara maju,”.

"Apabila kita capai tahap negara maju, golongan agama pun akan maju dan membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan lebih tinggi untuk terus memperkasakan serta memartabatkan agenda Islam,".

"Dengan sendirinya apabila kita membuat keputusan itu (Islam agama rasmi), maka kita dapat menepati, yakni dalam Islam tidak ada yang lebih indah, tidak ada yang lebih mulia dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam itu sendiri, ini telah dapat kita lakukan untuk negara Malaysia.

"Jadi, kalau ada orang yang membawa pendapat pluralisma, maka dengan sendirinya ia bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan yang telah diperjuangkan oleh pengasas negara kita,".

"Tiada siapa boleh mempersendakan istilah Islam sekali pun kerana kita ada undang-undang tertentu (yang) mempertahankan (Islam daripada) perbuatan seperti itu... itulah perjuangan yang kita lakukan selama ini,".

Itu adalah kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Perhimpunan Perdana Warga Agama dan Kariah Wilayah Persekutuan di Putrajaya, yang dihadiri oleh kira-kira 5,000 imam, ahli jawatankuasa masjid serta surau, guru agama dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Sementara itu Sultan Kedah Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badalishah Shah telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam upacara pertabalan penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara pada hari Rabu, 11/04/2012.

Berdasarkan  kepada Perlembagaan Persekutuan, di Negara kita, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi, sebagai Ketua Negara dan Baginda juga sebagai Ketua Agama  Islam.

Perlembagaan menyatakan Agong pemerintah tertinggi dan Ketua Negara namun tidak berfungsi sebagai pentadbir.

Negara ditadbir oleh Perdana Menteri.

Rasa-rasanya tak payahlah kita renung-renungkan sangat perkara itu. Siapa yang mentadbir negara atau yang menjaga agama Islam.

Cuma kami nak share sedikit intipati khutbah Jumaat lepas. Berkaitan dengan kepimpinan.

Al- Imam al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah wawilayatu ad-Diniyah dalam menghuraikan tugas dan tanggungjawab khalifah telah menggariskan beberapa dasar yang wajib  dipikul dan dilaksanakan oleh setiap yang bernama pemimpin sesuai dengan kedudukan masing-masing antaranya:

  1. Memelihara Din al-Islam, mengenai asasnya yang tetap dan juga tentang  perkara-perkara yang telah disepakati oleh ulama’.
  2. Melaksanakan hukum di antara pihak-pihak yang bertelagah serta menyelesaikan setiap perselisihan yang timbul.
  3. Melindungi  kehormatan wanita supaya masyarakat terus hidup aman damai.
  4. Menjalankan setiap hukum dan perintah yang Allah SWT amanahkan kepada manusia agar hak Allah tidak diabaikan dan dapat  pula melindungi hak manusia dari kerosakan dan kemusnahan.

Agong dan PM, kedua-duanya ditonjolkan sebagai pemimpin negara.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka  kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Dan sabda Rasulullah SAW  :
Mafhumnya: “Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati  pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)

Sistem pemerintahan Raja berperlembagaan yang menjadi tonggak kepada kekuatan dan perpaduan ummah telah sebati dikalangan rakyat di Negara ini.  Raja berperlembagaan bukan sahaja menjadi lambang sebuah Negara yang berdaulat, bebas dan merdeka tetapi ia juga merupakan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum.

Itulah serba sedikit isi khutbah yang kami ingin kongsi. Khutbah yang bertajuk, “Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Tonggak Perpaduan Ummah" .

No1959

Betulkah sistem diterimapakai oleh pemimpin terdahulu yang dikekalkan sehingga hari ini menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara kita ini?

Jika semangat perpaduan telah lama di terap oleh rakyat berbilang kaum, kenapa perlu ada 1Malaysia?

Adakah 1Malaysia cuma nama glamour yang dipatenkan untuk semangat perpaduan yang telah dibudayakan oleh rakyat berbilang kaum sejak dulu lagi?

Atau sememangnya rakyat Malaysia berbilang kaum tidak pernah bersatu sejak dulu?

"Kami ada satu impian... Malaysia ini negara Islam dan jadikanlah pemimpinnya yang pertama di dunia memelihara Din al-Islam, mengenai asasnya yang tetap dan juga tentang perkara-perkara yang telah disepakati oleh ulama’, melaksanakan hukum di antara pihak-pihak yang bertelagah serta menyelesaikan setiap perselisihan yang timbul, melindungi kehormatan wanita supaya masyarakat terus hidup aman damai dan menjalankan setiap hukum dan perintah yang Allah SWT amanahkan kepada manusia agar hak Allah tidak diabaikan dan dapat pula melindungi hak manusia dari kerosakan dan kemusnahan.”

So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kenikmatan pada hari kesusahan dan keamanan pada hari ketakutan. Dan jadikanlah kami dari golongan orang yang cerdik. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India