Bismillah.
Assalamualaikum.
Kami rewang kat rumah Imam 1 Surau At-Taqwa Taman Bukit Kepayang, Tn Haji Baharudin Ali hari Ahad lepas.
Sehari sebelum itu, Sabtu 26/05/2012 kami dan rakan-rakan kariah yang lain bersama-sama membantu membuat persiapan awal untuk majlis keesokan harinya. Seperti yang kami beritakan dulu, majlis perkahwinan dua anak beliau.
Kami mula berkumpul jam 2.30 petang. Markas operasi kat surau, rumah imam berdekatan dengan surau.
Daging dan ayam sampai jam 3.00 petang. Well….. ada yang memotong umbut kelapa. Ada yang melapah lembu. Ada yang membersihkan ayam. Ada yang menyediakan bahan-bahan menumis. Ada yang memarut kelapa.
Selepas memotong umbut kelapa, Kami join geng yang membasuh dan membersihkan ayam.
Tugas akhir petang tu membersihkan hati dan pedal ayam. Najis dah dibuang. Cuma nak buang lemak kat sekitar pedal dan darah hitam kat dalam jantung.
Ayam! Bermacam ayam.
Memang banyak yang perlu dibuat untuk majlis kawin.
Jam 6.31 petang. Jika diperhatikan kebanyakkan yang kat bawah kemah berdiri sambil cekak pinggang. Kenapa ya?
Paling kanan berkopiah putih tu Chief Cook.
Sekitar jam 6.45 petang kami balik. Belum solat asar walaupun berada kat laman surau. Hmm…..
Lepas solat maghrib, sambung operasi. Ramai kat sana.
Ada yang menyediakan makanan malam. Ada yang menggoreng ayam. Ada yang menumis. Ada yang menyediakan bahan asas untuk kemudahan masakan kesokkan harinya.
10.45 malam kami beransur pulang.
Ahad, 27/05/2012 jam 8.30 pagi dah sampai kat markas. Bantu susun meja dan kerusi.
Hari ini bermulanya tugas sebenar kami. Geng air minum dan tugas sambilan, inspektor makanan.
Penanggah makan pukul 11.00 pagi. Tetamu mula sampai jam 12.00 tengahari. Jamuan dari 12.00 tengahari hingga 4.00 petang
Ada 10 orang kawan-kawan adik pengantin dari sebuah sekolah tahfiz yang datang membantu majlis itu. Empat ditugaskan membasuh pinggan dan enam lagi ditugaskan kat kemah tetamu. Membantu mengemas meja. Memastikan nasi dan lauk-pauk tidak kehabisan di port buffet. Air minum, gelas bersih dan air cuci tangan berada di meja makan.
Rajin anak-anak ini. Alhamdulillah, banyak membantu meringankan tugas yang semi veteran dan veteran ni.
Pukul 2.45 petang tetamu dah berkurangan. Pukul 3.00 petang kami menutup salah satu port hidangan buffet dan mengemas kerusi dan meja disekitar kemah terbabit.
Tak ramai tetamu selepas jam 4.00 petang. Air minum masih ada kat kemah penyediaan air. Nasi dan lauk-pauk masih ada kat meja hidangan.
Jam 4.30 petang kami dan geng-geng air mengundur diri. Sebelum tu salam dulu dengan tuan rumah. Tak le dikatakan missing in action pulak.
Selepas jam 4.30 petang selalunya saudara-mara dan teman-teman rapat keluarga yang berkunjung. Biarlah pengantin dan sanak saudara yang uruskan.
Kami ke markas operasi. Ambil nasi dan lauk yang telah sedia dibungkus untuk mereka yang rewang.
Itulah yang selalu dilakukan apabila ada majlis kenduri kawin kat taman kami ini. Yang memilih untuk memasak sendiri.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan