Bismillah.
Assalamualaikum.
Sudah hari ke24 kita di bulan Ramadan. Malam ini merupakan malam ke25 Ramadan.
Malam Lailatul Qadar? Wallahualam.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengumumkan sebanyak 30 tempat ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal pada 29 Ogos ini bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini.
Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab dan pengisytiharan tarikh akan diumumkan pada malam Isnin itu menerusi radio dan televisyen.
Bukan nak menyanggah ketetapan tetapi sampai 30 tempat nak lihat anak bulan. Banyak tu. Berapa ramai pula pegawai dan kakitangan yang perlu bertugas malam tu?
Jika setiap negeri menyediakan satu tempat pun sudah lebih dari memadai.
Sekarang ini kita sudah rancak memulakan persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
Baju, biskut, duit, mercun (ni tak ada) semua dah siap atau hampir-hampir siap.
Bila sibuk membuat persiapan “raya” ni, kami teringat kata-kata ustaz yang mengetuai pengajian pada suboh Ahad.
Antara kata beliau (ada penambahan dari kami), ulama dahulu begitu sedih bila Ramadan akan melabuhkan tirainya. Sedih kerana bulan berkat akan pergi. Mereka sedih memikirkan samada mereka akan menemui Ramadan di tahun hadapan atau pun tidak.
Kata beliau lagi, orang sekarang bergembira bila Ramadan akan berakhir. Gembira kerana hendak sambut 1 Syawal. Raya katakan. Siap pasang lagu raya lagi.
Well….. orang dulu tekun mencari keberkatan. Mencari rahmat dan keampunan Allah Taala dan juga pengharapan pelepasan dari siksaan api neraka.
Orang sekarang pun mencari. Mencari keberkatan bulan Ramadan dan juga menikmati kemeriahan Syawal.
Well….. mencari keberkatan Ramadan setakat yang mampu dan menikmati kemeriahan Syawal semaksima mungkin.
Ada juga kami terdengar (tahun lepas) rumah terbuka aidilfitri diadakan pada bulan Zulkaedah. Sakan bebenor tu yop!
Terlupa pula satu fakta lagi yang Pak Ustaz tu sebut.
Bila tiba hari kebangkitan seluruh manusia dari masa Nabi Adam sehingga hari kiamat akan dihidupkan semula.
Seluruh manusia berhimpun untuk menemui Allah Taala dan mereka akan berhimpun didalam saf-saf tersendiri.
Dikatakan ada 120 saf. Panjang saf-saf berkenaan hanya Allah Taala yang mengetahuinya.
Daripada 120 saf itu, 80 saf terdiri daripada umat Nabi Muhammad s.a.w.
Daripada seramai-ramai manusia disana hanya 70,000 manusia diperkenankan oleh Allah Taala memasuki syurga tanpa hisab. Allahuakbar.
Ada 7 golongan manusia yang mendapat naungan Allah Taala ketika kegawatan dan hura-hara ketika itu.
Golongan tersebut adalah seperti yang di sabdakan oleh Rasulullah s.a.w:
“Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu:
Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.”
Sekadar nak berkongsi sekelumit dari apa yang kami dengar.
Semoga dapat menjadi iktibar dan peransang kepada kita untuk memakmurkan malam-malam Ramadan yang berbaki.
Bukan sahaja pada malam-malam Ramadan tetapi di malam-malam 11 bulan yang lain.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya kami memohon keredaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung dengan-Mu daripada siksa api neraka. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, maka ampunilah kami, ibu bapa kami dan sekelian kaum muslimin dan muslimat, dengan rahmat-Mu wahai Tuhan yang Pemurah lagi Maha Penyayang. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan