DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Isnin, Ogos 08, 2011

BSK 216. Baca dan tentukan sikap sendiri

Bismillah.
Assalamualaikum.

Datuk Sasterawan Negara seorang ini semakin lantang berbicara. Tetapi pada kami apa yang dibicarakan ada kebenarannya.

Beliau mahu kita iaitu orang ramai banyak membaca, membaca untuk memperolehi infomasi.

Informasi yang kita perlu ambil bukan terhad dari media arus perdana sahaja. Tetapi orang ramai perlu juga membaca laporan dari media alternatif.

Saranan beliau agar kita mendapat laporan berimbang dan bukan dari satu sumber sahaja.

Puisi A Samad Said

Pak Samad: Tanpa alternatif, media perdana jadi 'gangster'

Jimadie Shah Othman Ogos 8, 11 12:17pm

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyeru orang ramai membaca dan menyokong media alternatif bagi mendapatkan laporan berimbang bagi "menentukan sikap" sendiri.

"Tanpa media alternatif, media harus perdana akan jadi gangster (samseng)," kata sasterawan pelbagai genre itu.

"Dalam media arus perdana yang ada hanya hitam dan putih sahaja. Semuanya parti pemerintah betul dan pembangkang mesti salah."

Berucap ketika merasmikan kempen "Jom Baca Media Alternatif" di Kuala Lumpur semalam, Samad mengakui dia sendiri sudah setahun tidak membaca media arus perdana.

"Biarlah terlepas. Tetapi saya tidak merasa rugi kerana tak baca pun saya sudah tahu," katanya di hadapan kira-kira 100 peserta yang kebanyakannya mahasiswa.

Bekas pengarang Berita Harian itu - yang meletakkan jawatan bagi membantah "meresapnya kuasa politik dalam akhbar" - juga mengambil peluang menggesa anak muda berubah.

Bukan sahaja berubah bahan bacaan, Samad mahukan perubahan lebih besar, iaitu apa yang disebutnya sebagai "perubahan regim".

"Sudah tiba masanya menukar regim. Kita sudah beri masa 54 tahun dan kita tidak harus beri lebih daripada itu," katanya yang lantang bersuara sejak tercetus bantahan besar seniman terhadap pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada 2009.

"Sudah 54 tahun negara ini diperintah oleh golongan bangsawan... Saya tertanya-tanya, bilakan pemimpin dari rakyat pula akan dipilih?".

Sebelum itu, bercakap dalam majlis yang sama, Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata perkembangan media alternatif sebagai sumber maklumat akan membantu ke arah "demokrasi dan persaingan sihat".

Ini kerana, tambahnya, lanskap media sekarang berada dalam keadaan tidak sihat ekoran beberapa kekangan terhadapnya seperti melalui Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

"Jadi asas persangain kita tidak sihat. Misalnya tiada hak untuk menjawab dan tiada wacana tanding (di media arus perdana)," katanya yang juga bekas pengarang majalah Detik yang pernah diharamkan kerajaan ketika era reformasi pada 1999.

Fathi bagaimanapun berkata, untuk terus beroperasi, media alternatif amat bergantung kepada sokongan pembaca kerana pasaran iklan yang terhad.

"Bukan sahaja (menyokong) dengan membaca, tetapi juga melalui dana. Kalau Malaysiakini, kena langganlah," katanya yang percaya kebebasan media sentiasa disokong oleh kebebasan kewangan.

Dalam majlis anjuran kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu, Malaysiakini diberi peluang berucap mewakili media alternatif.

***************************************************************************Kepada Cendekia Solidar

Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka,
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya
dengan media gergasi pertajam taring dustanya.

Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.

Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.

Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.

A Samad Said

***************************************************************

Bila kita pelbagaikan bacaan dan mendapat laporan seimbang ianya akan membuat kita berfikir.

Kita dapat menilai laporan dengan persekitaran kita. Apa sebenar yang sedang berlaku dalam masyarakat dan negara kita.

Adakah kita malas berfikir untuk "menentukan sikap" sendiri?

Well….. fikir-fikirkan.

So….. Ya Allah ya Tuhan kami, bukakanlah ke atas kami hikmat-Mu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmat-Mu. Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami sebagaimana orang-orang yang arif. Kurniakanlah kepada kami kefahaman nabi-nabi dan ilham para malaikat yang hampir denganMu, dengan rahmat-Mu wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India