Bismillah.
Assalamualaikum.
Malam Isnin, 2 minggu lepas, adik kami dan keluarga singgah kat rumah kami. Nak bawa abah balik ke Sg Buloh.
Bila sesekali datang tu banyak le yang nak dibualkan. Satu topik ke satu topik sampailah ke topik anak-anak. Anak-anak kami berdua masih belajar. Anak kami tiga orang dan anak adik kami pula dua orang berada di IPT. Kecuali anak-anak bongsu kami berdua.
Anak bongsu, anak number 4 baru-baru ini mengambil result SPM dia. Taklah dapat apa yang dikatakan flying colours atau straight A. Dapatlah juga apa yang kami panggil sailing colours. Ada A, ada B ada juga le sikit-sikit abdjad lain. Kan meriah tu. Walauapapun alhamdulillah.
Anak-anak yang kat IPT ada yang dah over 20 tahun. Tiba pula topik yang berkisar pasal kahwin. Memang pernah juga kami terfikirkan isu itu.
Samada majlis besar-besaran, sederhana, sederhana sederhana atau pun ala-ala kadar. Bersanding tak bersanding.
Kat dewan atau atas jalan. Katering atau gotong royong.
Well….. keadaan ekonomi ketika ini dan yang mendatang yang membuatkan ibu-bapa perlu memikirkan dengan teliti halatuju majlis tersebut.
Kami terbaca satu bab pendek didalam buku “100 Pesanan Terakhir Rasulullah” hasil nukilan saudara Muhd Nasruddin Dasuki terbitan Grup Buku Karangkraf yang menyentuh soal urusan perkahwinan.
Kami ingin mengambil dan berkongsi tulisan beliau dengan kawan-kawan. Terima kasih!
Jom ikuti…..
Perkahwinan didalam Islam digalakkan dilakukan secara sederhana dan ditegah secara besar-besaran yang kemudiannya menjadi membazir atau medan untuk menunjuk-nunjukkan kemampuan. Perkahwinan juga sebenarnya merupakan satu amal ibadat.
Apabila perkahwinan termasuk didalam ibadat, sudah tentu kita akan mendapat pahala apabila melakukannya. manakala tujuan perkahwinan iti ialah untuk menghidupkan sunah Rasulullah s.a.w. Melalui perkahwinan akan menghindari seseorang daripada melakukan maksiat dan menambahkan bilangan umat Muhammad s.a.w.
Bagaimanapun dalam melaksanakan majlis perkahwinan, Islam menggalakkan dilakukan secara mudah dan tidak membebankan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w mengingatkan dalam sebuah hadis bermaksud, “Sesungguhnya sebesar-besar berkat perkahwinan itu ialah yang senang lagi murah perbelanjaannya.”
Didalam perkahwinan, pemberian mas kahwin merupakan sesuatu yang wajib iaitu pemberian daripada suami kepada bakal isteri. Pemberian mas kahwin merupakan satu sebab berlakunya pernikahan yang membolehkan persetubuhan dapat dilakukan.
Pemberian mas kahwin juga tidak akan membebankan bakal suami dengan nilai yang terlalu tinggi sehinggakan bakal suami tidak mampu. Rasulullah s.a.w sendiri berpesan, katanya, “Sebaik-baik mas kahwin ialah yang seringan-ringannya.”
Rasulullah s.a.w mengingatkan lagi, “Hendaklah kamu beri mas kahwin sekalipun dengan sebentuk cincin besi.”
Jelaslah disini, pemberian mas kahwin tidak semestinya yang mahal dan tidak mampu ditunaikan oleh bakal suami. Apa yang penting ialah mas kahwin itu mesti diberi tidak kira sama ada mahal atau murah.
Sehubungan ini, Sayidina Umar r.a pernah berkata, “Janganlah kamu meninggikan mas kahwin wanita. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak pernah menikahkan anak-anak perempuannya dengan mas kahwin yang lebih daripada 400 dirham. Andainya mas kahwin wanita itu tinggi, ia adalah satu kemuliaan di dunia atau ketakwaan di akhirat. Nescaya Rasulullah s.a.w terlebih dahulu melakukannya daripada kamu.”
Manakala sebahagian ulama berpendapat bahawa Islam tidak pernah menetapkan kadar atau nilai mengenai jumlah mas kahwin, bagaimanapun yang paling murah itulah paling banyak keberkatannya.
Itulah hasil tulisan saudara Muhd Nasruddin Dasuki dalam bab 66- Bersederhana Urus Perkahwinan.
Semua terpulang kepada kemahuan atau niat kita sendiri, keadaan kewangan kita dan terutamanya apa yang telah ditetapkan oleh Allah Taala.
Apa yang kami kongsikan diatas hanya sekadar bahan untuk dipertimbangkan oleh para ibu-bapa.
Jika mahu yang ringkas dan tidak memeningkan kepala, cuba buat majlis seperti yang diadakan oleh salah seorang iman surau kami. Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat. Dah dua kali kami menghadirinya.
Walauapapun, tepuk poket tanyalah dompet.
Fikir-fikirkan.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, berlemah-lembutlah kepada kami dalam memudahkan segala yang susah. Kerana sesungguhnya memudahkan segala yang susah bagiMu adalah mudah. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan