Bismillah.
Assalamualaikum.
Kepemimpinan adalah amanah yang amat sukar untuk dilaksanakan dengan penuh jujur. Bagaimanapun ia satu kewajipan yang terpaksa dipikul oleh manusia memandangkan ada tujuan lebih besar di sebaliknya, iaitu memakmurkan bumi.
Allah SWT berfirman bermaksud “Apabila Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu khalifah. Mereka berkata Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di situ orang yang akan membuat kerosakan padanya dan akan menumpahkan darah, padahal kamilah yang sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Ali Imran ayat 30)
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn Umar ra, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya.
(Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil. Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Sad ayat 26)
Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya; dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil.” (Surah al-Nisa’ ayat 58)
Manusia mengetahui bahawa kepimpinan adalah amanah yang amat berat tetapi amanah itulah yang paling diidam-idamkankan dan dikejar-kejar.
Kami nak share sebuah kisah mengenai dua orang raja yang ditakdirkan sakit pada masa yang sama. Semoga boleh dijadikan ikhtibar oleh kita semua.
Pada zaman dahulu, ada seorang raja yang sepanjang hidupnya bersikap zalim iaitu suka berbuat sesuka hati dan menindas rakyat. Suatu hari dia jatuh sakit. Para doktor memberitahu raja itu supaya bersiap sedia mengucapkan selamat tinggal sahaja kerana penyakitnya tidak boleh sembuh kecuali dengan memakan sejenis ikan. Namun ketika itu bukan musim ikan itu naik ke permukaan laut. Kemudian Allah memerintahkan para malaikat supaya mengiringi ikan-ikan itu naik ke permukaan laut. Raja yang zalim tadi dapat memakan ikan itu lalu sembuh.
Pada waktu yang sama, seorang raja di negeri lain turut jatuh sakit. Baginda adalah seorang raja yang adil dan banyak membuat amalan kebajikan. Para doktor bersepakat, penawar kepada penyakitnya adalah ikan yang sama. Namun, mereka memberitahu raja itu supaya tidak risau kerana ikan itu sedang muncul dengan banyaknya di permukaan laut. Namun Allah memerintahkan kepada malaikat mengiringii ikan-ikan tadi balik semula ke sarangnya di dasar laut. Raja yang adil itu akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Di alam malakut iaitu di alam malaikat dan roh, para malaikat berasa hairan dengan fenomena itu. Mengapa harapan raja yang zalim itu dipenuhi Allah, namun doa raja yang adil itu tidak dikabulkan?
Allah menjelaskan, “Walaupun raja yang zalim itu banyak membuat dosa, pernah juga dia berbuat baik. Demi kasih sayang-Ku, Aku beri balasan atas amalan baiknya. Sebelum dia meninggal dunia, masih ada perbuatan baiknya yang belum Aku balas. Lalu Aku segera membalasnya supaya dia datang kepada-Ku hanya dengan membawa dosa-dosanya.
Begitu juga dengan raja yang bersikap itu. Walaupun dia banyak berbuat baik, pernah juga dia berbuat kesalahan. Aku balas semua keburukannya dengan bencana. Menjelang kematiannya, masih ada dosa yang belum Aku balas. Lalu Aku tolak doanya meminta sembuh, supaya dia datang menemui-Ku hanya dengan kebaikan-kebaikannya.”
Kita perhatikan pula pertanyaan Muaz bin Jabal kepada Rasulullah SAW, Muaz bertanya, Wahai pesuruh Allah, apakah yang dimaksdukan dengan ayat 18 dalam surah an-Nabak, ‘Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu datang berpuak-puak ke Padang Mahsyar.’
Nabi Muhammad menjawab, “Wahai Muaz, saudara bertanya perihal perkara yang berat.” Beliau memandang jauh sambil berkata, “Umatku akan dibangkitkan menjadi 10 golongan. Allah menyusun mereka, ada yang berbentuk monyet, ada yang berbentuk babi, ada yang berjalan terbalik dengan kaki di atas dan muka di bawah sambil terseret-seret, ada yang dalam keadaan buta dan berjalan sambil merayap, ada yang tuli dan bisu, ada yang menjulur lidah dan mengeluarkan cairan yang menjijikkan, ada yang dalam keadaan tangan dan kakinya terpotong, ada yang kepalanya disalibkan pada tiang-tiang api, ada yang berbau lebih busuk daripada bangkai dan ada yang memakai pakaian ketat tetapi pakaian itu membuat kulitnya terkoyak.
- Orang yang berbentuk monyet adalah para penyebar fitnah yang memecah-belahkan masyarakat.
- Orang yang berbentuk babi adalah pemakan harta haram.
- Orang yang kepalanya terbalik adalah pemakan riba.
- Orang yang buta adalah penguasa yang zalim.
- Orang yang buta dan tuli adalah mereka yang takjub dengan perbuatannya sendiri.
- Orang yang menjulurkan lidah dan mengeluarkan bau yang sangat menjijikkan adalah para ulama ataupun hakim yang perbuatannya bertentangan dengan perkataannya.
- Orang yang dipotong kaki dan tangan adalah mereka yang menyakiti jiran tetangganya.
- Orang yang disalibkan pada tiang apai adalah para pembisik penguasa bagi memburukkan manusia lain.
- Orang yang baunya lebih busuk daripada bangkai adalah mereka yang pekerjaannya hanya mengejar kesenangan jasmani dan tidak menunaikan hak-hak Allah dalam hartanya.
- Orang yang dicekik oleh pakaiannya sendiri adalah mereka yang sombong dan takbur.”
Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya kami menawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan bukit-bukau tetapi semuanya enggan memikulnya dan merasa khuatir akan mengkhianatinya. Lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Surah al-Ahzab ayat 72)
Malah benar apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat rapat baginda, Abu Zar mengenai kepemimpinan dengan berkata ia adalah satu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, berikanlah kepada diri kami perasaan taqwa kepadaMu dan sucikanlah diri kami kerana Engkau adalah sebaik yang mensucikannya. Engkaulah ya Allah penolong dan penyelamatnya. Amin.
Wassalam.
Sumber;
Berita Harian Online 18/3/2012 – Tugas kepimpinan berat, tidak patut dikejar
Indahnya Kematian (Bisri M. Djaelani) – ms 88-89, 128-129
0 comments:
Catat Ulasan