DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Khamis, Julai 05, 2012

BSK 303. Nisfu Syaaban kebiasaan dan saranan

Bismillah.
Assalamualaikum.

Hari ini 15 Syaaban 1433H bersamaan 05 July 2012. Lepas Maghrib semalam (14 Syaaban 1433H bersamaan 04 July 2012) malam Nisfu Syaaban.

Photo0037

Kebiasaannya bagi kita umat Islam kat Malaysia, waktu selepas solat Maghrib malam Nisfu Syaaban itu dimenafaatkan dengan majlis bacaan Yasin. Dimana surah Yasin dibaca sebanyak tiga kali dan diselangi dengan doa-doa tertentu.

  • Bacaan Yasin pertama diikuti dengan doa keselamatan dunia dan akhirat.
  • Bacaan Yasin kedua dikuti dengan doa dipanjangkan umur dalam keberkatan.
  • Bacaan Yasin ketiga diikuti doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Mari kita hayati pula kelebihan bulan Syaaban itu sendiri.

  • Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”.
  • Hadith yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah yang bermaksud: “ Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. ” (HR al –Bukhari)
  • As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi di dalam kitab Duratun Nasihin menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”
  • Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.”(HR Ibn Majah)
  • Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.”(HR ibn Majah)

Berdasarkan hadith-hadith, amalan yang disarankan adalah berpuasa, bersalawat dan berqiyamullail. Selain itu tentunya membaca Quran dan berdoa.

Jangan silap, perbanyakkan, bulan-bulan lain pun kita sepatutnya melakukan amalan yang baik itu.

Cuba kita hayati gesaan yang selalu kita dengar, gesaan yang tidak jemu-jemu diulang-ulangi. Gesaan dari khatib pada setiap hari Jumaat. Jom-jom…..  

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan  dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, perteguhkan hati-hati kami diatas agamaMu. Wahai Tuhan yang memusing-musingkan hati, pusingkanlah hati-hati kami diatas ketaatan kepadaMu. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India